TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Utusan Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Utusan Malaysia. Papar semua catatan

Isnin, 17 Oktober 2011

Tutor ILMS Utusan ke Sri Lanka

Daripada WAHID HASHIM, pengarang@utusan.com.my

COLOMBO 17 Okt. - Kerajaan Sri Lanka dijangka mengguna pakai pakej solusi Tutor Sistem Pengurusan Pembelajaran Pintar (Tutor ILMS) yang dibangunkan Kumpulan Utusan bersama MIMOS Berhad.

Sebuah syarikat daripada India, Barnas International Pvt. Ltd, akan menjadi rakan kongsi projek dalam pembangunan objek pembelajaran mengikut kesesuaian bahasa dan budaya negara itu.

Solusi berkenaan yang meliputi pakej sistem ILMS, latihan dan isi kandungan, merupakan generasi kedua daripada penambahbaikan tutor.com.my yang dibangunkan Unit Pendidikan Utusan Malaysia pada 2001.

Sejurus selepas sesi pembentangan di Biro Pembangunan Ekonomi di sini, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Biro Pembangunan Ekonomi (Wilayah Barat) Sri Lanka, Janaka Kolonnage, berkata, pakej yang dibawa ke Colombo oleh Kumpulan Utusan itu sangat bertepatan dengan keperluan di negara itu kerana ia lengkap dan boleh menjejak status psikometri pelajar.

"Sekaligus pihak sekolah boleh merancang pembelajaran individu setelah mengetahui gaya belajar pelajarnya,'' katanya selepas mendengar taklimat mengenai sistem itu daripada wakil Kumpulan Utusan iaitu Ketua Pegawai Operasi Perfisio Solution Sdn. Bhd., Fareed Abdul Ghani dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Barnas International Private Limited (Barnas) yang beribu pejabat di Chennai, India, M. Najimudeen.

Janaka turut mencadangkan Tutor ILMS diguna pakai di 100 buah sekolah dahulu, sebelum dikembangkan ke sekolah lain.

Janaka memberitahu, sistem itu sungguh mengkagumkan dan melebihi kebolehan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) yang konvensional.

Beliau turut tertarik dengan reka bentuk instruksi sistem pengurusan Tutor ILMS yang mencakupi pentadbiran dan pemantauan di peringat sekolah sehingga ke tahap pusat.

Kumpulan Utusan merupakan penyedia pertama sistem e-pembelajaran di Malaysia dan di Asia Tenggara yang dapat menyesuaikan keperluan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan kehendak gaya belajar setiap pelajar.

Laman web www.tutor.com.my sebelum ini pernah dinobatkan lima laman web pendidikan terbaik di Malaysia selain pernah mewakili Malaysia di UNICEF.

Melalui aplikasi perisian baru yang dibangunkan secara kerjasama dengan MIMOS Berhad ini, pelajar perlu menjalani ujian psikometrik terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kepandaian pelbagai dan cara pembelajaran yang sesuai dengan dirinya.

Hasil daripada ujian itu, sistem akan menjana profil pengguna dan memadankannya dengan format bahan pengajaran dan pembelajaran yang menepati cara pembelajaran pelajar berkenaan. - Utusan

Perisian Tutor iLMS akan memandu pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran secara teratur menggunakan objek pembelajaran yang dipersembahkan mengikut format yang menepati cara pembelajarannya sama ada dalam bentuk teks dan grafik, multimedia, realiti maya atau augmented reality.

Berbeza dengan sitem e-pembelajaran sedia ada, Tutor iLMS lebih pintar kerana menawarkan teknik pembelajaran mengikut kecenderungan pelajar dan tidak terhad kepada nota dalam talian dan soalan latih tubi sahaja.

Ulang kaji mengikut cara yang sesuai dengan kehendak pelajar ini pasti akan menambah kefahaman mereka terhadap sesuatu topik atau subjek.

Kumpulan Utusan kini sedang membangunkan bahan multimedia Tutor ILMS. – UTUSAN

Source: Utusan Malaysia Online.

Ahad, 20 Mac 2011

Kelangsungan perjuangan akhbar

Petikan ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sempena pelancaran Wajah Baru Utusan Malaysia di Johor Bharu, baru-baru ini.

Pada kesempatan ini saya merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Kumpulan Utusan kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama menyempurnakan majlis ini, lebih-lebih lagi berkaitan dengan wajah baru akhbar yang berpengaruh di negara ini.

Syabas kepada Kumpulan Utusan kerana berjaya mengekal dan meningkatkan kedudukan Utusan Malaysia sebagai akhbar nasional berbahasa Melayu yang ulung dan kekal saiz broadsheet di negara ini. Saya rasa terharu apabila Johor Bahru telah dipilih sebagai destinasi untuk melancarkan secara rasminya wajah baru akhbar-akhbar terbitan Kumpulan Utusan.

Dengan penambahbaikan loji cetak dan wajah baru yang diperkenalkan Kumpulan Utusan ini, membuktikan akhbar yang menjadi lambang perjuangan bangsa sejak sekian lama ini, sentiasa berusaha memberikan yang terbaik bagi memenuhi kehendak pembaca.

Saya percaya dengan wajah baru ini Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pasti akan dapat menarik minat lebih ramai pembaca termasuk golongan muda. Malah, bahan-bahan yang disajikan juga menjadi lebih berkualiti dan santai yang merentasi lapisan semua kaum.

Malah, saya sendiri menjadikan Utusan Malaysia bukan sahaja sebagai bahan tatapan harian, malah rujukan mengenai perjuangan dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Seiring dengan slogan Pemangkin Fikiran Rakyat, Utusan Malaysia sememangnya akhbar keramat bagi orang Melayu. Ini kerana akhbar ini lahir daripada perjuangan rakyat khususnya kaum Melayu untuk menentang penjajah dan tugas tersebut tetap diteruskan sehingga kini.

Kumpulan Utusan telah melahirkan ramai penulis yang sarat dengan bara perjuangan sepanjang penerbitannya sejak 72 tahun lalu, yang bermula dalam tulisan jawi. Malah, ketika itu Utusan Melayu ditubuhkan dengan matlamat membangkitkan nasionalisme rakyat dengan pengasasnya Yusof Ishak.

Maka, soal maruah bangsa, masa depan rakyat, hubungan antara kaum, pembangunan luar bandar, memartabatkan bahasa dan budaya serta pendidikan anak bangsa sentiasa menjadi tumpuan.

Lama sebelum merdeka, mata pena di Tanah Melayu sudah tajam. Ramai nama-nama besar yang menjadi penulis ketika itu membakar semangat nasionalisme untuk mengembalikan kedaulatan tanah air termasuklah pejuang utama menentang Malayan Union, Allahyarham Dato' Onn Jaafar.

Anak kelahiran Johor itu amat tajam penulisannya terhadap pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu sebagai wartawan Warta Malaya dan kemudiannya ketika menjadi pengarang akhbar harian Lembaga dan Mingguan Lembaga Malaya pada tahun 1930-an.

Sejak itu, penggunaan akhbar sebagai senjata perjuangan terus diwarisi oleh pengarang-pengarang selepasnya termasuklah akhbar Utusan Melayu yang ditubuhkan pada 1939 dengan dimodali sendiri oleh orang Melayu.

Akhbar dan wartawan terus memainkan peranan bersama-sama pejuang bangsa termasuk di kancah politik dan kesusasteraan, mengerakkan semangat nasionalisme dengan hasrat membela nasib bangsa melalui pembebasan tanah air.

Perjuangan melalui penulisan oleh Dato' Onn dan nama-nama seperti Othman Kalam dan Abdul Rahim Kajai, diperhebatkan lagi dengan watak Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin dan ramai lagi yang tidak mampu kita bariskan satu demi satu.

Mereka bukan sekadar wartawan tetapi adalah pejuang yang kadangkala sehingga menggadaikan kebebasan dengan ada di kalangan tokoh-tokoh itu yang dipenjarakan mahupun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bukan kita mahu menyorot mengapa mereka dikenakan hukuman dan tindakan sedemikian, kerana yang terpancar daripada semua episod itu adalah liku-liku perjuangan yang tertera melalui penulisan mahupun penglibatan secara langsung dalam perjuangan memerdekakan bangsanya.

Intipati tulisan dan suara perjuangan mereka bukan berkeluh kesah atau menuding jari atas perkara-perkara remeh serta hal sekeliling yang boleh diselesai melalui pentadbiran, tetapi berkisar kepada soal-soal pokok dan dasar, teras dan masa depan agama, bangsa dan negara.

Allahyarham Tan Sri Samad Ismail, yang pernah diasuh oleh Rahim Kajai misalnya, tidak pernah berubah prinsip perjuangan dengan sentiasa menulis untuk menyedarkan orang Melayu sekalipun selepas bersara daripada bidang kewartawanan pada 1988.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Samad, sering melontarkan pandangan berani sebagai seorang nasionalis Melayu yang melihat masa depan bangsanya secara kritis agar mereka dapat membina kekuatan sendiri bagi menentang arus dan menongkah zaman.

Sebagai contoh, sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi, Pak Samad telah mengingatkan peri pentingnya memartabatkan bahasa Melayu. Dalam rencana yang bertajuk The Future of the Malay Language di akhbar The Singapore Standard pada 1953, beliau menulis:

"Kita tidak boleh lagi mengkaji mutiara tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara. Pada masa yang sama kita tidak boleh membincangkan tentang bahasa Melayu tanpa memikirkan masa depan orang Melayu. Bahasa Melayu adalah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu adalah sejarah orang Melayu. Maka, masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga.''

Namun, apakah dunia kewartawanan tanah air masa kini dapat merasai bahawa mereka adalah sebahagian daripada pewarisnya?

Dalam apa jua keadaan, falsafah kewartawanan mendukung government of the day perlu menjadi pegangan demi kepentingan Malaysia menuju sebagai sebuah negara maju.

Kepentingan negara tetap perlu diletakkan di pundak dunia persuratkhabaran dan kewartawanan tanah air, di mana soal persefahaman dan pengagihan kekayaan secara adil diberikan perhatian. Keadilan bukan bermakna sama rata atau sama banyak, tetapi mengikut keperluan dalam usaha mencari keseimbangan dalam masyarakat.

Penumpuan harus diberikan kepada liputan pembangunan, merapatkan jurang perbezaan antara kaum dan mengharmonikan hubungan antara masyarakat serta mempertegakkan asas-asas penubuhan negara bangsa yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Nilai-nilai ini kita dapati masih kuat mendasari identiti Kumpulan Utusan khususnya akhbar Utusan Malaysia. Sebab itu, jika ada pihak yang mengatakan Utusan Malaysia rasis, jelas ia tidak berasas sama sekali kerana Utusan Malaysia bukan eksklusif untuk satu kaum sahaja, malah ia akhbar untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Contohnya bukan sahaja perjuangan orang Melayu yang dipaparkan di dalam Utusan Malaysia, malahan perjuangan dan hak serta aktiviti yang membabitkan kaum Cina, India dan juga Iban, Kadazan dan lain-lain tetap diberi ruang.

Selain itu, seiring dengan peredaran zaman, Utusan Malaysia bukan dinasour yang tidak mampu mengadaptasikan diri dengan peredaran masa. Utusan Malaysia terus berubah. Berubah kearah peningkatan untuk memenuhi kehendak pelanggannya seperti yang ditunjukkan pada hari ini.

Oleh itu, sebagai institusi media Melayu yang tertua di tanah air, Kumpulan Utusan sewajarnya boleh berbangga dengan pencapaiannya pada hari ini selepas 72 tahun penerbitannya. Daripada penerbitan satu akhbar jawi yang mula diterbitkan pada 29 Mei 1939, Kumpulan Utusan kini menerbitkan empat akhbar utama iaitu Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad selain sisipan jawi iaitu Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan pada setiap hari Isnin.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Rabu, 6 Oktober 2010

Majlis Aidilfitri Utusan meriah

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh: 06 Oktober 2010.

KUALA LUMPUR 5 Okt
.
- Majlis Aidilfitri Kumpulan Utusan yang diadakan di Hotel Nikko di sini hari ini dihadiri oleh 5,000 jemputan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum.

Antara kenamaan yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe.


Majlis yang berlangsung selama empat jam itu turut dihadiri tiga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin, yang juga bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Mazlan Nordin serta Datuk Johan Jaaffar yang kini Pengerusi Kumpulan Media Prima.

Antara tokoh yang hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Tan Sri Tajuddin Atan, Pengerusi eksekutif Kumpulan Glomac, Tan Sri F. D. Mansor, Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd., Datuk Kadir Jasin dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Turut hadir beberapa Ahli Lembaga Pengarah Utusan termasuk Tan Sri Hussein Ahmad, Datuk Tengku Sarrifuddin Tengku Ahmad dan Datuk Ab. Halim Mohyiddin.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Mohd. Nasir Ali, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Othman Mohamad turut meluangkan masa melayan para tetamu pelbagai kaum.


Turut serta beberapa blogger terkenal, antaranya Datuk Ahirudin Attan, Zakhir Mohamed, Syed Akbar Ali, Salim Iskandar dan Akhramsyah M.H. Sanusi.

Majlis Aidilfitri yang menyediakan pelbagai juadah cita rasa Malaysia itu dimeriahkan lagi dengan celoteh dua pengacara, Haiza dan Didie Alias.

Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza bersama suami Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa tidak ketinggalan memeriahkan majlis pada petang tersebut.


Dalam majlis itu, Siti Nurhaliza berduet dengan Pengarang URTV, Huzz yang menyampaikan lagu Joget Pahang.

Lebih daripada 30 artis hadir seperti Latif Ibrahim, Halil Chik, Datuk Salwa Abdul Rahman, Datuk Malek Ridzuan, Rohana Jalil, Ifa Raziah, Roslan Shah, Ezylnn dan Mas Omar, sementara Aizat, Riz, Maulana, Haziq mewakili artis keluaran Akademi Fantasia.


Barisan pelakon terkenal yang turut hadir termasuk Rozita Che Wan, Sofia Jane, Erma Fatima, Fasha Sandha, Fizo Omar dan Haleeda.

Turut kelihatan anak Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

Selasa, 5 Oktober 2010

Sepanjang Sukan Komonwel Di New Delhi

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Gambar-gambar tentang atlit Malaysia di Sukan Komonwel di New Delhi India.

Amirul Hanizan Ibrahim - pingat emas
untuk acara snatch angkat berat

Amirul Hanizan Ibrahim.

Aricco Jumitih - Pingat emas juga.

Mohd Rizal Tisin - Pingat perak.

Raihan Yusoff - Pingat gangsa.

Tahniah kepada semua atlit negara di Sukan Komonwel.

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 22 September 2010

Tinggalkan Utusan jika perjuangan tidak selari

Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tarikh siar: 23 September 2010.


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang baru, Hata Wahari didesak supaya meletakkan jawatan sebagai wartawan di Utusan Malaysia jika tidak selari dengan perjuangan akhbar tersebut untuk menyedarkan orang Melayu.

Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM), Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail (gambar) berkata, Hata tidak perlu 'cari makan' di syarikat akhbar tersebut jika mahu 'menggigit' organisasi yang telah banyak berjasa itu.

"Kalau tidak selari dengan Utusan Malaysia, beliau patut berhenti. Jangan kita 'gigit' tangan yang menyuap makanan ke mulut kita hanya kerana kepentingan peribadi yang berbaur politik.

"Jika tidak setuju dengan akhbar ini, beliau pergilah 'cari makan' di tempat yang dia sanjung, berkhidmat dengan syarikat yang kononnya mengamalkan 'kebebasan media' seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan media pertama Hata yang mempersoalkan pendirian Utusan Malaysia dalam isu tertentu termasuk, kritikan akhbar itu terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan beberapa pemimpin parti pembangkang.

Semalam, kenyataan Hata turut mengundang kemarahan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang menyifatkan Presiden NUJ itu sebagai cenderung kepada pembangkang kerana memilih bulu dalam melemparkan kritikan, sedangkan portal berita propembangkang 'dilindungi'.

Menurut Raja Ahmad Niza, pihaknya membantah keras kenyataan Hata kerana jelasnya, Utusan Malaysia adalah antara sebuah institusi Melayu yang bertanggungjawab secara langsung dalam membentuk sejarah Malaysia moden.

"Hata harus mengkaji sejarah sebelum membuat tuduhan terhadap syarikat akhbar ini dan beliau perlu sedar bahawa, apa yang dinikmati oleh orang Melayu kini, sebahagian besarnya adalah kerana perjuangan Utusan Malaysia.

"Apa sumbangan beliau selaku Presiden NUJ kepada bangsa dan negara jika hendak dibandingkan dengan Utusan Malaysia. Janganlah kita menjadi alat kepada pihak yang memang mendambakan 'suara Melayu' lenyap," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa Utusan Malaysia supaya memperketatkan kod etika bagi menghalang mana-mana kakitangan bertindak mencemar dan memburukkan imej syarikat secara terbuka.

Jelasnya, Utusan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang menjadi 'tali barut' kepada pihak luar khususnya parti pembangkang.

"Utusan Malaysia perlu menjaga lebih 1,000 pekerjanya berbanding seorang dua individu yang membuat angkara," katanya.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

Jumaat, 10 September 2010

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran