TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Universiti Malaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Universiti Malaya. Papar semua catatan

Selasa, 6 September 2011

Cacat tidak halang Aini Azlita ke menara gading

Rabu 07 September 2011.

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kecacatan kaki yang memaksanya berkerusi roda tidak pernah menghalang Aini Azlita Ahmad Kamal, 19, untuk menjejaki menara gading malah kekurangan itulah yang membakar semangatnya untuk berjaya.

Pelajar yang baru mendaftar di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM) itu berharap kejayaannya menjejakkan kaki ke universiti berkenaan akan menjadi ikutan empat adiknya.

"Saya ingin menjadi contoh kepada adik-adik saya agar mereka juga dapat belajar hingga ke menara gading," ujar anak sulung dari Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis itu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Sulaiman itu memperoleh 9A, 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun menitiskan air mata apabila mengenangkan terpaksa berjauhan daripada keluarganya.

"Sebelum ini, saya belajar di Kolej Matrikulasi Perlis dan ini kali pertama saya berjauhan dengan ibu, ayah serta adik-adik," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian dan Upacara Lafaz Akujanji Pelajar Baru 2011/2012 UM di sini hari ini.

Dia bagaimanapun sangat bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang membantu dan melayannya dengan begitu baik sepanjang berada di UM.

Aini Azlita berkata, pihak pengurusan universiti dan kolej juga menyediakan kemudahan yang lengkap dan selesa untuk pelajar kurang upaya.

"Saya rasa gembira kerana layanan yang diberikan oleh pihak universiti dan kolej amat memuaskan dan saya tidak rasa terasing dengan pelajar lain," katanya.

Seorang lagi pelajar baru UM, Hafiyyan Lali, 21, yang menghadapi masalah penglihatan berharap dapat melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah kedoktoran dan menjadi pensyarah.

"Saya mahu membantu penduduk kampung di Tawau terutama yang mengalami kecacatan seperti saya," katanya yang akan menuntut di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

Anak sulung daripada empat adik beradik itu memberitahu tiga lagi adiknya juga menghadapi masalah penglihatan sepertinya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, universiti tersebut mempunyai kolej khas yang dilengkapi kemudahan untuk pelajar kurang upaya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Universiti Malaya antara 500 IPT terbaik dunia

Rabu 07 September 2011.


KUALA LUMPUR 6 Sept. - Universiti Malaya (UM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan pertama disenaraikan dalam Ranking Akademik Universiti Dunia (ARWU) oleh Universiti Shanghai Jiao Tung pada kedudukan antara 401 hingga 500 IPT terbaik dunia bagi tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tan Sri Arshad Ayub berkata, kedudukan itu turut dikongsi bersama IPT terkemuka lain termasuk Universiti Kaherah di Mesir, Universiti Zagreb di Croatia dan Universiti Wollongong di Australia manakala Universiti Harvard berada di tempat pertama.

Katanya, ARWU yang bermula sejak 2003 itu menilai kredibiliti sesebuah IPT dalam melahirkan alumni yang memenangi Hadiah Nobel, mengemukakan penyelidikan bertaraf dunia dan prestasi keseluruhan pelajarnya yang lazimnya didominasi IPT dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan Taiwan.

"Penyenaraian tersebut mengambil kira jumlah penerbitan jurnal dalam pangkalan data indeks jurnal Information Sciences Institute (ISI), mendapatkan perkhidmatan pensyarah antarabangsa dan kemasukan pelajar antarabangsa.

"Ia turut disusuli dengan kejayaan menduduki tangga 167 berbanding 207 pada tahun lalu oleh Quacquarelli Symonds (QS) (syarikat penarafan yang berpangkalan di London)," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Perasmian Minggu Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Akujanji Mahasiwa Baru UM di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UM, Tan Sri Profesor Emeritus Augustine Ong Soon Hock.

Seramai 3,154 mahasiswa termasuk 116 dari luar negara menghadiri majlis tersebut.

Jelas Arshad, peningkatan 40 tangga pada QS ini merupakan sebuah kejayaan besar bagi IPT ini dan membuktikan kepimpinan serta staf UM sentiasa bekerja keras untuk mencapai tahap yang membanggakan.

Dengan perkembangan ini, katanya, hasrat untuk berada dalam senarai 100 universiti terbaik dalam QS pada 2015 akan tercapai.

Sementara itu, Ghauth pada sidang akhbar kemudiannya berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan UM berada di landasan yang betul dalam meningkatkan kecemerlangan bagi bersaing dengan IPT terkemuka lain.

"Orang kata saya gila ranking, tapi dengan ranking inilah kita dapat menjamin prestasi sesebuah universiti sentiasa meningkat terutama melalui komitmen setiap warganya dalam memperbaiki diri di samping mengharumkan nama negara di mata dunia," jelasnya.

Dalam pada itu, QS turut menyenaraikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada kedudukan 279 terbaik diikuti Universiti Sains Malaysia (335) dan Universiti Putra Malaysia (358).

Antara penyelidik kedudukan IPT yang berprestij di dunia adalah ARWU, QS dan Times Higher Education Supplement (THES-QS).

Source: Utusan Malaysia Online.

Rabu, 17 Ogos 2011

UM alami krisis kemerosotan?

Oleh FAZRINA AYU RADUIAN, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Universiti Malaya (UM) didakwa sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar berikutan peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.

Mereka yang meletak jawatan melibatkan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti yang sudah lama menabur bakti dan berkhidmat di universiti itu.

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom semasa mendedahkan perkara itu berkata, antara yang meletakkan jawatan ialah 52 orang dari Fakulti Perubatan, 12 dari Fakulti Perakaunan, 10 Fakulti Sains dan 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun ini sahaja, katanya, kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan yang sama.

"Berikutan itu, pihak pengurusan universiti telah melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India dan Jordan.

"Pelantikan dibuat bagi tujuan penerbitan jurnal bahasa Inggeris demi mengejar rangking sehingga menganaktirikan pensyarah tempatan yang telah lama berkhidmat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Naib Canselor UM itu pernah mengeluarkan kenyataannya Mac lalu yang mengakui 'kegilaannya' meletakkan universiti tersebut dalam rangking 100 terbaik di dunia.

Usaha tersebut bagaimanapun kurang berkesan kerana rangking universiti tertua di Malaysia itu jatuh ke tangga 207 pada 2010 berbanding kedudukan 180 pada 2009.

Azmi mendakwa Ghauth turut memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data ISI dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu.

"Tindakan ini menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Beliau hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal antarabangsa tanpa mengira kualiti penyelidikan dan mutu jurnal semata-mata untuk mengejar rangking sehingga mengabaikan fungsi teras universiti untuk menyebarkan ilmu dan melahirkan graduan berkualiti," katanya.

Ghauth dilantik menjadi Naib Canselor pada 2008 menggantikan Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran