TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Tun Dr Mahathir Mohamad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tun Dr Mahathir Mohamad. Papar semua catatan

Khamis, 13 Oktober 2011

Rakyat Malaysia diminta cabar kebolehan diri

ARKIB : 13/10/2011


PUTRAJAYA 12 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu lebih ramai rakyat negara ini mencabar diri dengan melakukan sesuatu yang baharu kerana ia mampu menguji kebolehan diri mereka.

Menurutnya, aktiviti itu bukan tertakluk dalam bidang sukan sahaja, tetapi juga bidang-bidang lain yang mampu mencetuskan budaya baharu buat rakyat negara ini.

"Kalau seseorang itu sanggup hadapi cabaran, dia akan buat persediaan untuk menghadapi cabaran tersebut. Kalau kita ada sikap sebegitu atau kesanggupan seperti itu maka rakyat negara ini tetap akan berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan peserta Misi Larian Sahara, Suwaibah Muhammad Nasir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Kumpulan Utusan merupakan antara penaja bagi program itu.

Dr. Mahathir berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk Suwaibah merentas padang pasir, tetapi dengan semangat Malaysia Boleh bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sanggup mencabar diri bagi tujuan itu.

Larian Sahara melibatkan perjalanan sejauh 1,111 kilometer akan dilakukan secara solo oleh wanita berusia 38 tahun yang berasal dari Kelantan itu.

Larian yang dijangka mengambil masa 35 hari akan bermula dari Aswan ke Luxor sejauh 179 kilometer, Luxor-Sohag- Assyut (221 kilometer), Assyut-Al-Minya-Giza-Kaherah (318 kilometer) dan Kaherah ke Suez sejauh 125 kilometer.

Seterusnya laluan mencabar menanti Suwaibah dari Suez ke Port Said sejauh 146 kilometer sebelum menamatkan misinya di laluan Port Said-Rafaj sejauh 122 kilometer.

Dr. Mahathir turut menyeru orang ramai agar menghulurkan bantuan untuk menjayakan misi larian yang memerlukan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM1 juta.

"Bantuan kewangan daripada penderma yang bermurah hati amat diperlukan untuk tujuan ini dan mereka akan diberikan hadiah istimewa iaitu dinar emas," katanya.

Sementara itu Pengurus Larian Sahara, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, mereka yang menderma sebanyak RM1,500 akan menerima dinar emas bernilai RM800 dan ini bermakna mereka menyumbang sebanyak RM700 untuk larian tersebut.

"Sebahagian daripada sumbangan ini akan digunakan untuk membantu penduduk Palestin di Gaza manakala selebihnya akan didermakan kepada Tabung Bantuan Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-YPU, Persatuan Kanser Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang," tambahnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Melayu hilang kuasa 10 tahun lagi

ARKIB : 13/10/2011

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Orang Melayu di negara ini dijangka kehilangan identiti serta kuasa terutama berkaitan hal sosial, politik dan ekonomi dalam masa 10 tahun lagi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, jangkaan itu berdasarkan trend perpecahan politik yang semakin ketara di kalangan kaum itu sehingga menyaksikan terdapat di antara mereka menjadi pihak minoriti dalam mana-mana perkongsian kuasa.

Apabila itu terjadi, katanya, golongan minoriti tersebut terpaksa meminta bantuan pihak lain demi kuasa, tetapi 'berhutang' dengan pemberi 'bantuan' berkenaan sehingga akhirnya membuatkan Melayu Islam kerugian.

Menurutnya, senario identiti Melayu Islam di Singapura serta keadaan ekonomi golongan itu di Thailand wajar dijadikan iktibar.

"Di Singapura, muftinya tidak boleh memprotes hidangan daging haram yang dihidangkan di majlis membabitkan Melayu Islam (serta Islam lain) walaupun membuat ketetapan Islam tidak boleh memakannya.

"Hidang tidak apa dan ini (berlaku) kerana ketiadaan kuasa (di kalangan Melayu)," katanya semasa berucap merasmikan Seminar Perpaduan dan Ekonomi Ummah di Bangi, dekat sini hari ini.

Seterusnya, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mengingatkan supaya masyarakat Islam merebut kekayaan negara serta menguruskan kekayaan itu kerana kekuatan ekonomi boleh menyelamatkan agama.

Sebagai contoh, katanya, banyak negara Arab yang mempunyai kekayaan hasil minyak tetapi gagal menjananya semula sehingga menyimpan wang dalam bentuk rizab bon di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun menurut beliau, AS yang kini mempunyai hutang terkumpul bernilai AS$14 trilion dikhuatiri tidak mampu membayar rizab bon negara-negara Arab berkenaan.

"Miskin itu kufur dan pegangan (agama) juga boleh jadi lemah," ujarnya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Jumaat, 28 Januari 2011

Setakat mana sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah, soal Tun M

Tarikh siar: 2011/01/28

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta masyarakat supaya tidak terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum negara ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperoleh daripada sejarah benar negara.

Beliau berkata, sekiranya pengalaman dahulu yang dialami dilupakan atau diketepikan, tidak dapat tidak, pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak
akan menjadi lebih baik."Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira.

"Soalnya, setakat manakah sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan, maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah," katanya dalam entri terbaru dalam blognya chedet.co.cc hari ini.

Beliau memberi contoh dakwaan berkenaan penduduk asal Semenanjung yang bercanggah dengan kebenaran.

"Apakah kerana sensitifnya perkara itu maka tidak akan kita sebut berkenaan penduduk asal Semenanjung, berkenaan orang asing yang menduduki Semenanjung, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka.
"Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu," katanya.

Dr Mahathir berkata, banyak lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif iaitu sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan suku kaum lain.

"Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis, maka tidak ada pelajaran yang akan diperoleh penuntut," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau sudah membaca buku teks sejarah dan mendapati banyak peristiwa penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku berkenaan.

"Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran," katanya.

Dr Mahathir berkata, satu daripada hasil daripada mata pelajaran sejarah ialah masyarakat lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah.

"Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat," katanya.

Beliau berkata, semua golongan masyarakat, belajar daripada pengalaman dan jika zaman ini lebih baik iklimnya dari dahulu sebabnya ialah kerana kesilapan dahulu tidak lagi diamalkan.

"Kita telah belajar daripada pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian daripada sejarah," katanya.

Memetik kata-kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika Syarikat,
Dr Mahathir berkata: "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali". – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran