TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Selasa, 26 Februari 2013

UniKL jadi universiti terbaik Asia 2018




KUALA LUMPUR 25 Feb. - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dimiliki sepenuhnya Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk mencapai kedudukan terbaik dalam kelompok universiti terbaik Asia dalam tempoh lima tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su'ud yakin sasaran itu mampu dicapai melalui amalan sistem pembelajaran yang berasaskan 'hands on' yang dilaksanakan di universiti berkenaan.

UniKL yang sudah berusia 10 tahun itu menawarkan pelbagai program kejuruteraan teknologi, selain teknologi maklumat dan multimedia, perniagaan dan sains politik.

Menurut beliau, uniknya di UniKL para penuntut bukan sahaja didedahkan dengan pembelajaran di dalam bilik kuliah tetapi turut menawarkan pembelajaran dalam kilang yang disediakan oleh universiti itu.

"Ini untuk memastikan para penuntut universiti berkenaan terdedah dengan teknik, teknologi dan amalan industri sebenar.

"Teknik pembelajaran ini sama seperti seorang doktor yang perlu menjalani pembelajaran di hospital. Pengalaman yang sama kami terap di UniKL," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mazliham menambah, sistem pembelajaran yang pertama seumpamanya dipraktikkan di UniKL adalah hasil kombinasi sistem pembelajaran di Perancis, Jerman, Sepanyol, United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan Rusia tetapi diubahsuai mengikut sistem pembelajaran di sini.

Menurut beliau, sistem pembelajaran seumpama itu bertujuan memastikan para graduan UniKL mampu menikmati gaji yang besar sebaik sahaja mendapat pekerjaan.

"Graduan UniKL yang mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam kimpalan mampu memperoleh gaji sebanyak RM8,000 hingga RM9,000 sebulan. Malah, ada graduan mekatronik keluaran UniKL dibayar gaji sebanyak RM60,000 sebulan.

"Kejayaan ini menunjukkan bahawa pendidikan bidang teknik dan vokasional bukan bertaraf kelas kedua kerana peluang untuk berjaya, mendapat kerjaya yang baik serta gaji yang tinggi milik semua orang," katanya.


 

Khamis, 7 Februari 2013

Bonus Tabung Haji 8 peratus



Oleh Norlaili Abd. Rahman, pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Feb. - Lembaga Tabung Haji hari ini mengumumkan bonus sebanyak lapan peratus iaitu yang tertinggi dalam sejarah 50 tahun penubuhannya.

Bonus berkenaan adalah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012.

Agihan tersebut merangkumi bonus tahunan sebanyak 6.5 peratus dan bonus khas sempena sambutan Jubli Emas penubuhan Tabung Haji sebanyak 1.5 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji membelanjakan RM2.46 bilion bagi pembayaran bonus tersebut kepada 8.2 juta pendeposit.

"Ini adalah hadiah ulang tahun terbaik bagi menghargai kesetiaan pendeposit yang sentiasa aktif menyimpan dana dengan Tabung Haji.

Malah kedudukan kewangan yang positif dan kukuh serta lebihan wang rizab yang dikumpul sejak tujuh tahun lalu turut membolehkan Tabung Haji memberi hadiah istimewa ini," katanya ketika mengumumkan pemberian bonus Jubli Emas bagi tahun kewangan 2012 di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Tambah Jamil Khir, kadar bonus Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan profil pelaburannya yang terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah manakala tabungan pula adalah secara sukarela dan tanpa had.

Secara umumnya pembayaran bonus tahunan Tabung Haji bagi tahun kewangan 2012 adalah lebih tinggi berbanding bank komersial sama ada konvensional mahu pun perbankan Islam.

Kadar pembayaran bonus tahunan bagi akaun simpanan bank konvensional adalah 1.04 peratus dan simpanan tetap adalah 3.18 peratus.

Pembayaran bonus tahunan bagi kadar akaun simpanan perbankan Islam pula adalah 0.97 peratus dan simpanan tetap adalah 3.31 peratus.

Prestasi positif itu disumbang oleh pendapatan Tabung Haji yang melonjak 28 peratus kepada RM2.8 bilion tahun lalu berbanding RM2.2 bilion pada 2011.

Keuntungan selepas zakat dan cukai juga meningkat sebanyak 27 peratus kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.7 bilion sebelumnya.

Ini sekali gus menghasilkan tambah nilai sebanyak RM9.2 bilion kepada dana pendeposit sejak tahun 2006.

Saiz pendeposit meningkat 17 peratus kepada 8.2 juta orang dengan dana terkumpul meningkat kepada RM35.8 bilion berbanding tahun 2011.

Pendeposit boleh menyemak bonus masing-masing di kaunter Tabung Haji dan mesin ATM rakan strategiknya bermula 10 Februari ini.



Sumber: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran