KUALA LUMPUR 25 Feb. -
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang dimiliki sepenuhnya Majlis Amanah Rakyat
(Mara) menyasarkan untuk mencapai kedudukan terbaik dalam kelompok universiti
terbaik Asia dalam tempoh lima tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai
Eksekutif UniKL, Prof. Dr. Mazliham Mohd. Su'ud yakin sasaran itu mampu dicapai
melalui amalan sistem pembelajaran yang berasaskan 'hands on' yang dilaksanakan
di universiti berkenaan.
UniKL yang sudah berusia 10
tahun itu menawarkan pelbagai program kejuruteraan teknologi, selain teknologi
maklumat dan multimedia, perniagaan dan sains politik.
Menurut beliau, uniknya di
UniKL para penuntut bukan sahaja didedahkan dengan pembelajaran di dalam bilik
kuliah tetapi turut menawarkan pembelajaran dalam kilang yang disediakan oleh
universiti itu.
"Ini untuk memastikan
para penuntut universiti berkenaan terdedah dengan teknik, teknologi dan amalan
industri sebenar.
"Teknik pembelajaran
ini sama seperti seorang doktor yang perlu menjalani pembelajaran di hospital.
Pengalaman yang sama kami terap di UniKL," katanya kepada Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Mazliham menambah, sistem
pembelajaran yang pertama seumpamanya dipraktikkan di UniKL adalah hasil
kombinasi sistem pembelajaran di Perancis, Jerman, Sepanyol, United Kingdom,
Australia, Amerika Syarikat dan Rusia tetapi diubahsuai mengikut sistem
pembelajaran di sini.
Menurut beliau, sistem
pembelajaran seumpama itu bertujuan memastikan para graduan UniKL mampu
menikmati gaji yang besar sebaik sahaja mendapat pekerjaan.
"Graduan UniKL yang
mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam kimpalan mampu memperoleh gaji sebanyak
RM8,000 hingga RM9,000 sebulan. Malah, ada graduan mekatronik keluaran UniKL
dibayar gaji sebanyak RM60,000 sebulan.
"Kejayaan ini
menunjukkan bahawa pendidikan bidang teknik dan vokasional bukan bertaraf kelas
kedua kerana peluang untuk berjaya, mendapat kerjaya yang baik serta gaji yang
tinggi milik semua orang," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan