Kuala Lumpur: Qari Indonesia, Dasrizal Marah Nainin dan
qariah Maghribi, Hajar Boussaq dinobat johan Tilawah Al-Quran Peringkat
Antarabangsa (MTQA) kali ke-55, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), malam tadi.
Dasrizal Marah, memperdengarkan bacaaan Surah Thaha,
memperoleh markah 93.26 peratus. Naib johan disandang qari Iran, Mohammad
Mashmoul dengan 92.38 peratus, manakala tempat ketiga milik qari Malaysia,
Anuar Hasin, memperoleh 89.55 peratus.
Hajar yang memperdengarkan bacaan Surah An-Nisa, memperoleh
91.27 peratus, manakala naib johan disandang peserta Malaysia, Hanimzah
Jalaluddin (88.08 peratus) dan ketiga, Natipa Manasiya dari Thailand dengan
87.67 peratus.
Bawa pulang jongkong emas
Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori membawa
pulang hadiah jongkong emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 selain wang
tunai RM40,000 serta piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Hadiah kepada qari disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah. Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah pula
menyampaikan hadiah kepada peserta qariah.
Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM30,000 serta
cenderamata dan sijil penyertaan manakala pemenang tempat ketiga menerima
RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
43 peserta terima RM3,000
Seramai 43 peserta tilawah lain turut menerima hadiah sagu
hati wang tunai RM3,000 seorang, cenderamata serta sijil penyertaan.
Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul
Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff; Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.
MTQA 2013 bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’
berlangsung selama lapan malam mulai 29 Jun lalu disertai 59 peserta iaitu 37
qari dan 22 qariah dari 48 negara.
Pelihara hukum tajwid
Jemaah hakim kali ini berpendapat setiap peserta
memperdengarkan bacaan yang amat baik serta lancar dengan memelihara hukum
tajwid.
Seramai 15 juri dari 10 negara antaranya Malaysia, Jordan,
Mesir, Magribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar dipertanggungjawabkan menilai
bacaan setiap peserta.
MTQA 2013 turut disiarkan secara langsung di TV1, TV
al-Hijrah, Astro Oasis serta saluran radio IKIM.FM, Radio Klasik Nasional, Ai
FM, Traxx FM dan Asyik FM.
JAKIM juga menganjurkan kuiz khas untuk pengunjung sempena
tilawah kali ini. Seramai 10 pemenang dipilih setiap hari sepanjang program
berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan