TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Rabu, 6 Oktober 2010

Penduduk Kampung Baharu, Batu Balai minta laluan selesa ke Benta

Sumber: Berita Harian Online.
Tarikh siar: 2010/10/06

Berlopak - Oleh Amir Hamzah Nordin, bhnews@bharian.com.my


JERANTUT: Penduduk Kampung Baharu, Batu Balai, Damak serta beberapa perkampungan kecil sepanjang jalan dari bandar Jerantut ke Benta memohon kerajaan membaiki segera laluan utama itu bagi keselamatan, kemudahan dan keselesaan semua pengguna.

Tinjauan Berita Harian mendapati jalan lama itu beralun, tidak rata, berlopak dan boleh mengundang nahas kepada pengguna di samping boleh mengakibatkan kenderaan rosak. Malah, keadaan tidak selesa itu amat berbahaya terutama kepada penunggang motosikal malah memberi kesan lebih teruk kepada roda dan tayar kenderaan masing-masing.


Pengerusi Penduduk Taman Seri Damak, Ahmad Norzaha, 50, berkata pihaknya sudah membuat aduan mengenai kerosakan jalan terutama di persimpangan masuk ke taman itu dan kerja menurap jalan dilakukan yang dilakukan sebelum Aidilfitri lalu dibuat secara tergesa-gesa.

"Akibat penurapan yang tidak mengikut spesifikasi sebenar, tar berkenaan pecah dan mewujudkan lopak besar sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengguna jalan raya.

"Keadaan menjadi lebih buruk terutama apabila air bertakung sukar dilihat pemandu. Kami mahu keadaan ini dibaiki segera kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku sehingga boleh mengakibatkan kemalangan maut, terutama kepada orang luar," katanya yang ditemui di sini, baru-baru ini.
Penduduk Batu Balai, Kamal Ahmad, 35, berkata ramai pemandu yang melalui jalan itu terpaksa berhati-hati berikutan bimbang dengan keadaan jalan yang boleh merosakkan kenderaan mereka.

"Keadaan jalan ini sudah bertahun-tahun terbiar begitu saja tanpa penyelenggaraan sehingga mengganggu keselesaan pemandu dan penunggang motosikal yang menggunakan jalan itu untuk urusan harian.

"Kami berharap agar jalan ini tidak dibiarkan terus rosak dan tidak menyisihkan kemudahan asas di kampung berkenaan kerana laluan itu adalah perhubungan utama dari bandar Jerantut ke Benta, daerah Lipis," katanya.

Ahmad Safuan Abd Rahman, 17, berkata kemalangan maut berlaku di jalan berkenaan kerana keadaan jalan berlopak serta tidak rata cukup berbahaya, terutama penunggang motosikal.

"Pernah berlaku kemalangan membabitkan penunggang akibat terjatuh sehingga membawa maut selepas roda motosikal terperosok ke dalam lopak yang dalam.

Penduduk Kampung Sempadan dekat Pekan Batu Balai, Mohd Aiman Latnan, berkata penduduk Batu Balai meminta kerajaan dan wakil rakyat segera mengambil tindakan menaik taraf jalan itu bagi mengelakkan lebih banyak kemalangan berlaku di kawasan berkenaan.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2010100607075820101006070758/Article

Tiada ulasan:

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran