TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 27 Disember 2010

Pertemuan Keluarga Di Jelebu, Negeri Sembilan

By Idris Ismail Talu.

Baru-baru ini, saya dan isteri bersama dua orang anak lelaki kami serta seorang cucu kami telah berkunjung ke rumah adik saya, Ishak di Jelebu, Negeri Sembilan.

Pada hari berikutnya, adik saya, Asiah, bersama dua orang anaknya, menantu dan dua orang cucunya tiba ke Jelebu. Bagi Asiah, ini merupakan kunjungan pertamanya ke rumah abangnya di Jelebu ini.

En Abdul Rahman, jiran Ishak bertamu sama.

Sebahagian dari ahli keluarga tiga beradik di Jelebu.

Pertemuan di rumah adik saya, Ishak di Jelebu, Negeri Sembilan.

http://idristalu.blogspot.com/

Ahad, 26 Disember 2010

Malaysia jadi pengeksport ICT

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka mencapai kemajuan ketara pada 2011 dengan peralihan negara menjadi pengeksport bersih ICT.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, tidak diragui lagi, 2010 akan dianggap sebagai tahun pemulihan.

"Selepas kesan ekonomi global pada 2009, kerajaan dan perniagaan menjadi lebih berhati-hati dan tingkah laku ini ketara terutamanya dalam bahagian semua pelaburan baharu, termasuk ICT," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, hari ini.

Badlisham berkata, 2010 akan dianggap sebagai tahun yang utuh bagi negara, dengan banyak pembangunan utama yang jelas mencerminkan keseriusan kerajaan untuk menukarkan rangka kerja ekonomi negara bagi memenuhi cabaran ekonomi digital inovatif.

Mengikut data MDeC, pada 2009, Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia menyumbang RM6 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Ia mencatatkan pendapatan RM24.8 bilion, di mana RM7.17 bilion datang daripada eksport.

Beliau berkata, MDeC telah menggariskan strategi di bawah Fasa Tiga MSC-Malaysia dengan matlamat, bermula dari 2011, untuk menukar Malaysia menjadi pengeksport bersih ICT daripada pengimport bersih sekarang.

Badlisham berkata, ia juga akan melihat transformasi Malaysia menjadi masyarakat berdasarkan pengetahuan menggunakan ICT sebagai 'pemboleh' dalam seluruh sektor ekonomi bagi memacu produktiviti dan inovasi negara untuk menjadi hab cergas bagi penghasilan penyelesaian ICT.

"Fasa tiga juga akan menyaksikan MSC Malaysia membangunkan keupayaan syarikat tempatan utama bagi membolehkan mereka bersaing di arena antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2011 baik bagi industri kerana langkah-langkah strategiknya akan mengukuhkan eko-sistem, mengasuh bakat dan menyemai budaya inovasi dan keusahawanan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham berkata, tahun ini, lebih banyak pelanggan syarikat tersebut dalam sektor perkhidmatan, harta, hartanah, kewangan, pendidikan dan sektor awam, menggunakan teknologi untuk menukar perniagaan dan industri mereka.

"Satu daripadanya ialah inisiatif strategik dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi membangunkan keupayaan pembuatan Sisco di Pulau Pinang.

"Kerjasama dengan MDeC juga dijalin antara Universiti Malaysia bagi Program Latihan Perindustrian Cisco untuk membangunkan pakar perangkaian ICT berkemahiran bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Tahun 2010 juga menyaksikan UEM Land Holdings Bhd. dan Sime Darby Bhd. mengguna pakai model Cisco Smart + Connected Communities bagi Symphony Hills dan Idea House, ketika mereka mewujudkan komuniti yang saling berhubungan, katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat di Malaysia mula menghargai nilai 'perkomputeran awan' sebagai kaedah untuk mengurangkan kos operasi mereka dan pada masa yang sama meningkatkan produktiviti dan mobiliti.

"Selain perkomputeran awan, pusat data dan virtualisasi desktop akan terus menjadi teknologi pemboleh yang menyokong pengembangan perniagaan tempatan.

"Tahun depan, kita akan menyaksikan peningkatan pilihan virtualisasi bagi PKS," katanya.

Pengurus Besar NetApp Malaysia & Brunei, Andy Khoo berkata, tahun depan dan tahun-tahun akan datang akan menjadi penting, kerana keputusan peneraju teknologi maklumat (IT) bukan sahaja akan memberi kesan kepada bagaimana mereka bersaing tetapi juga kejayaan jangka panjang perniagaan mereka.

"Peneraju IT yang berwawasan akan melihat peluang dalam penerokaan data sebagai sumber inovasi baharu," katanya.

Beliau berkata, peneraju IT perlu mengambil kesempatan daripada teknologi untuk memikirkan dan membina semula prasarana perniagaan. – BERNAMA

Source: Utusan Malaysia Online

Hawking ibaratkan perkataan “Tuhan” sebagai kiasan










Stephen Hawking membandingkan otak manusia dengan komputer, suatu ciptaan paling pintar oleh manusia. Namun, komputer masih rendah mutunya dari otak kurniaan Tuhan. Tiada manusia yang boleh mencipta kepintaran otak.

Pada hemat saya, satu-satunya kelemahan Hawking ialah ia tidak mengenali Tuhan yang mencipta alam semesta.

Demikian kandungan dua pucuk surat para pembaca majalah Time ketika mengulas pelbagai pandangan Hawking, seorang ahli sains dari Universiti Cambridge yang pernah melawat Malaysia beberapa waktu dahulu dan disambut dengan meriah dan spontan oleh mereka yang kaget dengan kecerdasannya.

Beliau menjadi professor matematik selama 30 tahun hingga bersara pada tahun 2009. Antara pingat yang diterima olehnya ialah Presidental Medal of Freedom kurniaan peringkat awam paling tinggi di Amerika.

Antara bukunya yang paling laris sekali jualannya ialah A Brief History of Time, tetapi menurut pelbagai laporan sorotan buku tersebut hanya segelintir yang membaca sepenuhnya kerana sukar difahami pembaca biasa.

Kepercayaan

Menurut satu laporan lain Hawking menggunakan perkataan “Tuhan” ibarat kiasan saja sambil menyatakan bahawa “wujudnya tuhan tidak perlu dijelaskan bersabit kelahiran alam semesta”. Ini antara yang dicatat dalam A Brief History of Time itu.

Bekas isterinya, Jane Hawking pernah menyatakan dalam perbicaraan perceraian mereka bahawa beliau seorang ateis. Menurut kepercayaan Hawking “alam semesta lahir dari unsur-unsur saintifik”.

Beliau disanjungi kerana kepintaran luar biasa dalam ilmu fizik. Beliau beransur-ansur hilang kekuatan menggunakan kedua-dua belah tangan, kaki dan suaranya hingga hampir lumpuh setelah jatuh dari tangga sewaktu belajar di universiti. Kerana kepintaran yang luar biasa, maka beliau dihormati oleh pelbagai pihak.

Juga dilaporkan ialah kepercayaan mengenai adanya makhluk asing dilain-lain bintang siarah. Interaksi dengan mereka mungkin membawa akibat kepada manusia”. Jika makhluk asing mengunjungi kita, akibatnya ialah seperti ketika Columbus dulu mendarat di Amerika, iaitu membawa nasib malang bagi pribumi Amerika”. Yang dimaksudkan ialah mereka yang kemudian dipanggil Red Indians.

Menurut laporan lain pula hanya 2.3 peratus penduduk seluruh dunia menganggap diri mereka ateis dan 11.9 peratus lagi di kalangan yang tidak beragama.

Selanjutnya dicatat: “Di Eropah bilangan ateis dan seumpamanya tidak ramai seperti di Poland, Romania, Cyprus dan lain-lain negara. Bilangan mereka 85 peratus di Sweden, 80 peratus di Denmark, 72 peratus di Norway.

Perhatian

Menarik perhatian ialah hal-hal lain yang dihuraikan oleh Profesor Chandra Muzaffar dalam bukunya berjudul Exploring Religion in Our Time (Universiti Sains Malaysia Press).

Ia berupa cubaan untuk “memahami sesetengah isu penting yang muncul di antara agama dan masyarakat sejak beberapa dekad lampau. Apakah peranan agama-agama Buddha, Kristian, Hindu, Islam dan Judaisme dalam pembicaraan umum dewasa ini”.

Antara persoalan: Apakah yang mendorong peralihan kepada peranan agama sebagai saluran untuk reformasi dan bantahan dalam beberapa masyarakat di Asia? Lalu dicatat antara lainnya: “Mempertahan identiti Melayu bererti mempertahan identiti Islam dan sebaliknya”.

Juga disentuh ialah sikap Islamophobia yang telah berlarutan selama seribu tahun dan terbitnya buku-buku anti-Islam seperti Satanic Verses atau kartun-kartun mempersenda Nabi Muhammad dalam akhbar Denmark serta filem Fitna di negeri Belanda.

Huraian meliputi enam negeri asing - tiga dengan majoriti bukan Islam dan tiga lagi dengan majoriti Islam. Selanjutnya pula pelbagai cubaan yang dihadapi oleh kesemua.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Bertenang ketika di Tenang











DAHULU orang takut menjadi pemimpin, sebab mereka tahu bahawa memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan amanah yang akan disoal oleh Allah SWT. Sebagai respons, rakyat selalu mendoakan pemimpin atau wakil rakyat mereka supaya sentiasa sihat dan panjang umur.

Kini, keadaan mula berubah. semua berlumba mahu jadi pemimpin, tanpa mengira kelayakan, bakat dan kebolehan. Golongan cerdik pandai sukar untuk mendapat tempat kerana telah dicantas sejak awal-awal lagi.

Mungkin ada benarnya kata-kata, rakyat hari ini mula mendoakan wakil rakyatnya cepat mati, kerana dengan kematian itu akan berlaku pilihan raya kecil dan hajat untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat mungkin tercapai. Bagi rakyat marhaen pula, lain pula keseronokannya, kerana mendapat pelbagai peruntukan seperti jalan raya dan rumah baharu. Pendek kata, dengan adanya pilihan raya, landskap atau keadaan sesuatu kawasan berubah serta-merta. Tidak kira sama ada kawasan tersebut di bawah BN atau pembangkang.

Inilah budaya pemikiran pandir atau politik pandir yang masih berlaku dalam budaya politik negara kita seperti yang diungkapkan oleh Syed Hussin Al-attas. Perkara sebegini jarang berlaku di negara maju. Mereka yang ingin menjadi pemimpin, mesti membuktikan bahawa mereka benar-benar boleh memimpin. Jika tidak, mereka akan ditinggalkan dalam arus perdana. Justeru, kita lihat pemimpin negara maju mengamalkan sikap begitu mulia, jika terpilih jadi pemimpin, Alhamdulillah. Jika tidak terpilih, bersangka baik dan tidak khianat. Malah, terus berusaha memperkasakan parti demi untuk agama, bangsa dan negara. Itulah bahasa yang mudah diungkapkan, walaupun semua negara maju adalah bukan negara Islam. Tetapi nilai-nilai Islam dapat dilihat di sana. Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka cepat maju. Berbanding dengan negara-negara Islam yang masih ketinggalan. Nama saja Islam, akhlak entah ke mana, hidup penuh khianat, tipu daya dan pura-pura. Pahit juga untuk membuat generalisasi sedemikian, tetapi itulah hakikatnya.

Senario yang disebutkan perlu menjadi ingatan kepada kita dalam menikmati suasana tenang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dalam sebuah negara yang tenang. UMNO (BN) tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan sebelum ini kerana pakatan pembangkang juga mempunyai keyakinan yang sama, apatah lagi setelah berakhir konvensyen mereka baru-baru ini. Ternyata parti ultra kiasu telah mengubah strateginya. Kalau dahulu, mereka begitu elergi dengan negara Islam Pas kali ini rentaknya sudah berubah, mereka mahukan penyelesaian. Apakah konsep negara Islam Pas akan diterima?

Menurut Profesor Aziz Bari, isu negara Islam tidak termasuk dalam dasar bersama pakatan pembangkang. . Beliau juga mencadangkan pakatan pembangkang yang dianggotai Pas, PKR dan DAP memberi tumpuan ke atas perkara-perkara lain daripada bercakap soal negara Islam.

Saranan Aziz Bari bukan mudah untuk dipersetujui oleh Pas kerana Presiden Pas sudah memberikan respons bahawa Pas perlukan masa untuk menjelaskan kepada DAP tentang konsep negara Islam. Saranan saya, Pas tidak perlu jelaskan kepada DAP, kerana DAP tidak pernah akan bersetuju. Lebih baik Pas duduk bersendirian daripada bersubahat dengan kemungkaran dalam pakatan pembangkang.

Komen

Saya juga ingin sangat mendapatkan komen Pas mengenai gambar Lim Kit Siang mengangkat dan memegang tangan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Ismail di atas pentas ketika konvensyen PR baru-baru ini yang siarkan dalam MalaysianInsider. Malangnya gambar tersebut tiba-tiba hilang apabila saya ingin cetak kerana telah dikeluarkan. Inilah kegusaran Pas dan mungkin juga PKR, apabila berdepan dengan parti ultra kiasu yang bersifat sekular ini. Mereka tidak kenal halal haram, walaupun mereka mendakwa mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Jangan pula tanya saya, UMNO pun sama juga? Bukankah selama ini Pas menuduh UMNO tidak Islamik? Jadi, jika ada perkara yang melanggari batas, jawapannya wajar. Jika Pas benar-benar ikhlas dengan perjuangan, tidakkah wajar Pas membetulkannya, daripada terus menuduh UMNO semuanya tidak betul. Pas juga wajar diperbetulkan oleh UMNO, kerana dilihat ‘dipergunakan’.

Perkembangan Pas mutakhir ini begitu menarik perhatian. Sedikit demi sedikit Pas mula berubah mengikut peredaran masa, walaupun mungkin terpaksa ‘menggadaikan prinsip’. Namun, Pas berada dalam keadaan yang sukar dalam pilihan kecil ini. Jika Pas mahukan ‘diamkan isu negara Islam, sudah tentu ia akan mendapat tentangan daripada ahli-ahli partinya. Pas, negara Islam dan hudud sudah sinonim. Walaupun Karpal Singh sudah menunjukkan ‘lampu hijau’ untuk membincangkan isu negara Islam, itu bukan bermakna beliau menerima isu yang dilihat “duri dalam daging” dalam hubungan Pas - DAP.

Kedua-dua parti ini mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum. Namun, tindak tanduk mereka tidak sedemikian. Pas tetap akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, begitu juga dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka benar-benar parti untuk semua kaum, bertandinglah di kawasan yang sebaliknya. Apa pun, DAP tetap parti dominasi Cina, begitu juga dominasi Melayu dalam Pas.

Sesiapapun yang mengkaji politik Malaysia mengetahui, memang senario politik Malaysia adalah bersifat perkauman. Mahu tidak mahu, UMNO perlu wujud. UMNO perlu mewakili majoriti orang Melayu kerana semua etnik telah diwakili melalui penubuhan parti-parti politik etnik masing-masing. Malangnya parti etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO satu sahaja.

Bukan Melayu

Sedangkan bukan Melayu diwakili oleh begitu banyak parti etnik bangsa dan suku-sukunya dalam BN. Begitu juga dengan isu agama, Islam yang dibawa UMNO terpaksa menghadapi paling kurang lima agama yang diwakili oleh parti-parti tersebut. Bagaimanakah UMNO hendak menghadapi semua tuntutan ini, jika Islam yang diwakilinya tidak begitu kuat atau banyak bilangannya?

Selama ini UMNO berseorangan menghadapi mereka semua. Itu yang menyebabkan kadang kala keputusan UMNO ibarat diluah mati mak, ditelan mati bapak, terutama selepas PRU 2008.

Ada kalanya UMNO terpaksa ‘menggadaikan prinsip’ disebabkan oleh tuntutan dan desakan luar teramat kuat. Pada saya, di saat-saat ini Pas perlu tampil menghulurkan bantuan. Bukan seronok melihat UMNO hancur.

Percayalah, jika UMNO hancur, Melayu akan hancur. Tidak semua Melayu UMNO akan menyokong Pas sekiranya UMNO hancur. Walaupun Pas mungkin boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa Pas adalah parti alternatif orang Melayu, selepas melihat UMNO hancur.

Sejarah membuktikan bahawa percubaan untuk menubuhkan parti pelbagai kaum telah gagal seperti yang cuba dilakukan oleh Dato’ Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) 1951, setelah kecewa dengan UMNO. Walaupun Parti Negara yang ditubuh selepas itu tidak membuka keahlian kepada bukan Melayu, tetapi tidak mendapat sambutan, kerana orang Melayu sudah ada alternatif iaitu UMNO.

Pendek kata, politik Malaysia sudah sebati dengan perkauman. Politik, ekonomi, pendidikan dan sosial semuanya perkauman. UMNO boleh berbeza pendapat dengan Pas. Begitulah sebaliknya. Tetapi janganlah sampai perbezaan tersebut sehingga boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata hancurlah UMNO atau hancurlah Pas. Bertanding secara profesional tanpa mengecam dan mengumpat. Elok kita bertenang sedikit ketika berada dalam suasana Tenang.

Janganlah dicemari dengan insiden-insiden politik pandir yang saya sebutkan tadi. Apatah lagi jika mesej Islam yang diperjuangkan oleh parti yang bertanding. Kalimah ‘Islam’ itu membawa makna yang begitu besar apabila Ia digunakan dan tidak boleh sama sekali dipermainkan.

Penggunaan kalimah Islam sepatutnya melembutkan hati-hati kita, bukan menjadikan kita semakin ego. Sudahkah kita lupa adab-adab berbeza pendapat atau adabul ikhtilaf. Berbeza pendapat dibenarkan selagi tidak putus persaudaraan, apatah lagi sehingga berpecah-belah.

Jika Rasulullah SAW hidup saat ini dan melihat keadaan umatnya, Baginda pasti akan menitiskan air mata. Hati Baginda mungkin hiba melihat betapa negara-negara Islam begitu ketinggalan berbanding negara-negara Barat. Kehibaan ini bukan disebabkan oleh keadaan umat Islam ketinggalan, tetapi yang membuat hati Nabi Muhammad begitu terluka, adalah ketika umat Baginda saling membenci dan bermusuhan antara satu sama lain. Umatnya begitu bodoh sehingga boleh dipergunakan. Inilah punca mereka ketinggalan.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Pelihara aib orang lain


SEJENAK merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang, membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita, coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan kadangkala memualkan.

Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan keluarganya.

Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah, umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina. Saya menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias, namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang putihnya.

Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang lain. Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus hatinya, hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata dengan perkataan yang baik. Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya.

Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT. Hal ini mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”

Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata mencegah dirinya dari berbicara.

Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam kehancuran.” Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya syurga.” Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Bahaya fitnah

Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang di bencinya.”

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari keaibannya. Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah rumahnya.”

Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan mengambil tahu. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita. Hanya ilmu dan penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya, kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”

Tentang keburukan orang lain.

Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan perbuatan mereka. Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi kepada tiga : (1) ghibah : iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada dirinya; (2) buhtan :iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya; (3) ifkun : iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”

Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah taala sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.”

Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan sahaja dengan syarat yang tertentu. Antaranya seperti aduan seorang yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain.

Politik, umpat dan fitnah

Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu. Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum. Lebih mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait dengan isu-isu peribadi. Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu dilangsaikan. Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.

Ledakan ICT

Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar. Menurut sumber internetworldstats.com menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna.

Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan. Adakah ini termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah, namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan. Tidak keberatan saya katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk membobrokkan orang lain.

Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam neraka.”

Maruah manusia terlalu berharga hingga menyebabkan setiap manusia perlu memeliharanya. Kemakmuran beragama, bermasyarakat dan bernegara sukar dikecapi melainkan setiap warga menghormati antara satu sama lain.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 25 Disember 2010

Teratak Pendita Za'ba

By Idris Ismail Talu.

Baru-baru ini, penulis sempat mengunjungi "Teratak Za'ba" yang dibina sebagai menghargai sumbangan tokoh bahasa Melayu terbilang yang bernama Zainal Abidin bin Ahmad, atau lebih dikenali dengan panggilan Pendita Za'ba.

















http://idristalu.blogspot.com/

Khamis, 23 Disember 2010

Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail pahlawan sejati

Foto Berita Harian 12 Dis 2010.


Oleh ROHANA MAN, rohana.man@utusan.com.my

“Orang-orang muda seharusnya menghormati orang-orang yang lebih dahulu mengalami pahit maung sebelum Angkatan Tentera berada dalam keadaan seperti sekarang. Kalau tidak ada orang-orang tua, tentu tidak ada orang-orang yang muda,” kata Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun terbitan Pustaka Budiman Sdn. Bhd.

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu meninggal dunia pada usia 88 tahun di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur pada pukul 4.40 pagi semalam.

Jenazah beliau dibawa ke rumahnya di No. 22, Villa Sang Suria, Jalan Mesra off Jalan Damai Kelab Aman sebelum dibawa ke Masjid Negara untuk dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Asar. Allahyarham dirawat di hospital berkenaan kerana sakit tua, sejak tiga bulan lalu.

Anak kelahiran Johor Baharu ini menyimpan banyak pengalaman pahit dan manis sepanjang berkhidmat selama 36 tahun sebagai tentera. Allahyarham menamatkan perkhidmatan dalam pasukan tentera pada 30 November 1977 sekali gus menamatkan perkhidmatan selama tujuh tahun sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

Sejarah awal penglibatannya dalam pasukan tentera bermula pada 1941 apabila beliau menyertai Johor Military Force (JMF) sebagai kadet. Tujuan memasuki JMF adalah untuk membolehkannya melanjutkan pelajaran dalam bidang ketenteraan di luar negara. Cita-cita itu menjadi kenyataan apabila beliau dan dua rakannya iaitu Hussein Datuk Onn dan Ungku Ahmad Ungku Abd. Rahman dihantar mengikuti kursus Gentlemen Cadet selama dua tahun di Indian Army Academy di Dehra Dun, India dari Ogos 1941 sehingga Februari 1942.

Namun, apabila Perang Pasifik tercetus, latihan itu disingkatkan kepada lapan bulan dan berikutan kejatuhan Tanah Melayu ke tangan Jepun, beliau tidak dapat kembali ke tanah air. Sehubungan itu, beliau ditugaskan di 19 Rejimen Hyderabad sebelum berkhidmat di Rejimen Ke-10/19 Hyderabad dan berpindah pula ke Rejimen Ke-25/19 Hyderabad.

Pada November 1943, beliau dengan sukarela menawarkan diri untuk berkhidmat menentang Jepun di Tanah Melayu. Usaha pertamanya menyusup masuk ke Tanah Melayu untuk mendarat di Pulau Pinang dengan kapal selam dari Ceylon bagaimanapun gagal. Dalam usaha kedua, beliau cuba menyusup masuk ke Terengganu dengan kapal terbang pada Oktober 1944 tetapi masih gagal. Hanya dalam usaha ketiga, beliau berjaya mendarat di Pulau Perhentian, Terengganu tetapi tidak lama kemudian, beliau ditangkap dan menjadi tawanan Jepun selama 10 bulan.

Selepas Jepun menyerah kalah, beliau dibebaskan dan kembali berkhidmat dengan Indian Army di Pahang dan Johor. Sebelum menamatkan perkhidmatannya dengan Indian Army pada Mac 1947, beliau ditugaskan sebagai Penjaga Rekod Local Forces Records Office di Pulau Pinang dari Ogos sehingga September 1946.

Selepas itu, beliau memohon memasuki Askar Melayu tetapi disebabkan pihak Inggeris enggan mengiktiraf pentauliahannya setaraf dengan pegawai Inggeris, maka beliau enggan menerima tawaran pentauliahan High Commissioner Commission. Ini kerana pentauliahan itu jauh lebih rendah berbanding dengan pegawai Inggeris yang menerima pentauliahan King Commission.

Selama lima tahun, beliau berjuang untuk membetulkan perkara tersebut termasuk merayu kepada Dato’ Onn Jaafar. Akhirnya, pada tahun 1951, barulah tauliah yang setaraf dikurniakan kepada para pegawai Melayu melalui Raja-raja Melayu.

Hasilnya pada 1 Mac 1951, beliau berkhidmat semula dalam Askar Melayu dengan pangkat Leftenan dan bertugas di Depot Cawangan Latihan Askar Melayu. Sebelas bulan kemudian, beliau dinaikkan pangkat kepada Kapten.

Dalam tempoh darurat, beliau ikut sama menjalankan operasi di hutan-hutan di sekitar Raub, Bentong dan Jerantut di Pahang. Namun, beliau tidak pernah terlibat dalam pertempuran besar.
Dalam pada itu, beliau berpeluang mengikuti kursus ketua kompeni di Warminster pada 1952 dan kembali ke tanah air dengan memikul tugas sebagai ketua kompeni di Batalion Ke-5 dan Ke-6 Melayu. Antara kursus lain yang diikutinya adalah kursus ketua kompeni di Sekolah Infantri Warminster, kursus Air Photography Intelligence di Joint School of Military Intelligence di RAF Nuneham Park dan kursus Joint School of Chemical Warfare di Winterbourne Gunner, Salisbury, Wilts.

Selain itu, antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pegawai Turus Am 2 (Latih)/Pegawai Tadbir di HQ Federation Army, Pegawai Memerintah Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja. Ketika itu beliau berpangkat Leftenan Kolonel dan pada 1 Jun 1960, beliau dinaikkan ke pangkat Kolonel dan ditukarkan ke Kementerian Pertahanan sebelum dihantar mengikuti kursus Post War di Imperial Defence College, London dari Januari hingga Disember 1961.

Sekembalinya ke tanah air, suasana politik di Tanah Melayu agak tegang berikutan rancangan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ditentang oleh Indonesia yang melancarkan konfrontasi terhadap Tanah Melayu. Justeru, beliau ditugaskan menubuhkan briged pertama di Sabah iaitu di Kalabakan bagi menghindarkan ancaman Indonesia.

Selepas konfrontasi tamat, beliau sudahpun berpangkat Mejar Jeneral dan selepas dua tahun berkhidmat di Malaysia Timur, beliau dipanggil balik ke Kuala Lumpur. Apabila peristiwa 13 Mei meletus dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk, beliau dilantik menjadi Pengarah Keselamatan iaitu penolong kepada Pengarah Mageran, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kecemerlangan dalam perkhidmatan yang sentiasa menyerlah telah membuka pintu kepadanya untuk dilantik sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera pada 1 Julai 1970.

Source: Utusan Malaysia Online

Profesor Ulung contoh cendekiawan terbilang

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Tarikh siar -2010/12/24

PROFESOR dalam bahasa Latin bermaksud seseorang yang menguasai sesuatu ilmu sama adalah dalam sains atau sastera dan ia perlu seorang tenaga pendidik bertahap tinggi. Profesor bukan saja berautoriti dalam sesuatu sumber ilmu dan disiplin tertentu, malah ia terbukti berkebolehan dan berkemahiran dari segi penyelidikan, penulisan, tenaga pengajar yang berkualiti dan mampu berkongsi ilmu diperoleh dengan masyarakat.

Profesor juga seharusnya diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi seperti universiti dan agensi kerajaan dan swasta. Jaringan hubungan dibentuk seseorang profesor menjadikannya tumpuan di dalam dan luar negara untuk berkongsi pemikiran khususnya dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara. Perkara tadi menjadikan jawatan dan gelaran profesor adalah suatu yang istimewa dan menjadi idaman semua ahli akademik.

Bagaimana dengan anugerah gelaran Profesor Ulung yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi? Gelaran itu haruslah dirujuk sebagai Yang Teristi-mewa yakni profesor yang terbaik dalam kalangan keseluruhan profesor tempatan yang ada di Malay-sia. Profesor Ulung seharusnya menjadi model terbaik atau idola kepada ahli akademik sebagai contoh cendekiawan terbilang dan berintegriti negara.

Penghargaan dan pengiktirafan diberikan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi kepada Profesor Ulung ini amat dialu-alukan sebagai usaha memartabatkan kecemerlangan ilmu dan bermatlamat meletakkan kedudukan cendekiawan negara ke tahap tertinggi dalam masyarakat. Tahniah kepada Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Prof Dr Looi Lai Meng dan Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan sebagai tiga penerima pertama gelaran Profesor Ulung itu yang juga menjadi jambatan yang menghubungkan Profesor Kelas A dan Profesor Diraja.

Jawatan Profesor Ulung ini juga akan merancakkan persaingan dalam kalangan profesor dan ahli akademik secara keseluruhannya untuk menghasilkan sumber ilmiah yang tinggi mutunya melalui penulisan dan penyelidikan. Ketiga-tiga tokoh tadi terbukti layak dianugerahkan gelaran Profesor Ulung dengan hasil sumbangan berkualiti mereka yang sudah dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara umumnya selain memberi impak kepada kualiti kehidupan sejagat.

Ucapan terima kasih dan tahniah juga harus diberikan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyediakan platform yang baik dan jelas kepada ahli akademik yang bercita-cita menjadi terbilang seperti Profesor Ulung. Seperti diucapkan Khaled bahawa ilmu itu adalah untuk kepentingan bersama yang mana maklumat dan pengetahuan harus dikongsi untuk kebaikan pembangunan negara. Inisiatif dan insentif ini bukan saja dapat menarik minat profesor yang berkelayakan untuk dipertimbangkan ke jawatan gred yang lebih tinggi, malah membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada akademik muda untuk maju dalam karier akademik mereka.
Walaupun kewujudan gelaran Profesor Ulung ini menjadikan kerjaya dunia akademik semakin menjadi impian masyarakat, masih banyak usaha yang harus dibuat secara menyeluruh untuk memar-tabatkan universiti tempatan untuk bersaing di dalam proses globalisasi pendidikan kini. Dari jumlah seramai lebih kurang 22,500 pegawai akademik di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini, sebanyak 1,426 atau 6.3 peratus adalah berjawatan profesor (VK7, VK6, VK5).

Usaha yang lebih giat perlu dilakukan ahli akademik untuk meningkatkan lagi peratusan berjawatan profesor. Langkah memartabatkan universiti tempatan bukan saja membabitkan pertam-bahan jumlah profesor dan ahli akademik yang berstatus kedoktoran (PhD) malah ia lebih menyeluruh sifatnya. Misalnya, objektif penubuhannya Majlis Profesor Negara dengan jelas menggariskan perkara yang harus dilakukan bagi mencapai kecemerlangan akademik yang mana di antara lain:

* - Membantu Kegiatan Pembangunan Ilmiah;
* - Menggalak dan merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan melalui program dijalankan dari semasa ke semasa;
* - Mengadakan wacana dan juga seminar bagi bertukar pandangan dan pendapat masing-masing berdasarkan kepada bidang kepakaran di kalangan profesor pada peringkat tempatan dan antarabangsa;
* - Memupuk budaya kesarjanaan dan keintelektualan dalam negara untuk meningkatkan kemajuan minda rakyat;
* - Menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan kesarjanaan dalam dunia akademik, dan,
* - Membina jaringan akademik dengan badan-badan luar negara yang mempunyai objektif sama.

Yang jelas anugerah Profesor Ulung ini adalah cerminan kepada peranan universiti itu sendiri bukan saja melahirkan pemikir masyarakat yang kritis, juga pemimpin masa depan yang berilmu, menegakkan kebenaran, bijaksana, berani dan berhemah tinggi.

Sumbangan pemikiran bijak pandai negara penting untuk dimanfaatkan di dalam pentadbiran kerajaan, perkembangan industri, pembangunan pertanian, kemajuan perdagangan, kecemerlangan pendidikan, pertambahan mutu perkhidmatan kesihatan dan sebagainya sebagai penyelesaian masalah sosioekonomi dan politik negara.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Satu rumah, satu naskhah



Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail, smohd@bharian.com.my

Tarikh siar - 2010/12/19


Setiap rumah umat Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, disasar ada senaskhah al-Quran Braille

SEMANGAT mereka membuak-buak mahu turut sama membaca al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Tuhan, mereka tiada upaya dari segi penglihatan. Lalu hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan.

Bagi yang kuat berazam dan kuat ingatan, tiada masalah mengingati kesemua 30 juzuk isi kandungan kitab suci. Betullah kata orang, biarpun penglihatan terhalang, golongan ini memang berhati terang.

Seiring perkembangan zaman, teknologi juga turut berkembang. Proses membaca al-Quran buat golongan cacat penglihatan menjadi semakin mudah dan menyenangkan.

Tercipta al-Quran Braille umpama sinar suci buat mereka. Apa tidaknya, kandungan kitab Allah yang selama ini hanya mampu diperdengarkan oleh orang lain kini sudah boleh dibaca sendiri. Banyak bezanya di antara mendengar dan membaca sendiri.

Mengimbau kemunculan al-Quran Braille, ia pada mulanya terhasil menggunakan mesin taip Perkins Brailler, tetapi proses menaipnya memakan masa amat panjang. Untuk menyiapkan 30 juzuk, ada kala mengambil masa sehingga setahun.

Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 dan dibuktikan tidak ada kesalahan pada cetakan, namun timbul pula masalah lain, kitab suci dalam cetakan sedemikian tidak mampu menampung permintaan kumpulan sasaran.
Menyedari masalah itu, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mah Hassan Omar mengambil langkah berani menggunakan komputer `bersuara’ sebagai usaha menggalakkan lebih ramai orang buta membaca dan menghayati kitab suci.

“Sebelum ini, kami menggunakan mesin taip Braille menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, tetapi prosesnya memang mengambil masa. Contohnya jika lima orang membaca al-Quran, dalam tempoh setahun hanya lima juzuk al-Quran cetakan ini dapat dihasilkan,” katanya.

Lama sebelum menghasilkan al-Quran Braille sendiri, SBM mendapat sumbangan al-Quran cetakan itu daripada Badan Yayasan Kebajikan Penatrat Islam Indonesia, namun oleh kerana keperluan untuk kumpulan sasar di republik itu juga tinggi, sumbangan itu terpaksa dihentikan.



Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.

“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.

Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah di luar kemampuan persatuan.



Kekangan itu sekali gus membantutkan matlamat mereka yang mahu melihat sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga Islam yang ada ahlinya cacat penglihatan, ada senaskah al-Quran Braille.

“Kos untuk sekotak kertas Braille saja sudah kira-kira RM120. Kami memerlukan kira-kira 1,000 helai kertas jenis itu untuk mencetak senaskah al-Quran, belum dikira lagi kertas Braille yang rosak disebabkan masalah mesin cetak,” katanya yang juga seorang peguam dan turut menerajui Pusat Sumber Braille Kuala Lumpur.



Namun, ketika itu pelbagai organisasi yang prihatin dengan masalah golongan cacat penglihatan turut menyumbang al-Quran Braille seperti Yayasan Emkay, Yayasan Sime Darby, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan orang perseorangan.

Menyambung kisah perit mereka dalam menghasilkan al-Quran Braille, Mah Hassan berkata, kertas yang diguna bagi memuatkan cetakan itu juga memainkan peranan kerana ketebalannya jika dikira dalam bentuk timbangan mesti tidak kurang 150 gram dan permukaannya pula tidak kasar bagi memudahkan pembacaan.



“Sejak diperkenalkan, ada sekurang-kurangnya 5,000 naskhah al-Quran Braille diletakkan di sekolah dan pusat latihan golongan cacat penglihatan seluruh negara, namun agak menyedihkan kerana sukar mencari naskhah berkenaan di kebanyakan masjid utama di negara kita.

“Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid untuk kegunaan jemaah cacat penglihatan. Saya juga merayu lebih banyak syarikat korporat membantu dalam hal ini supaya dalam setiap keluarga Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, sekurang-kurangnya ada senaskhah al-Quran Braille,” katanya.



Info al-Quran Braille

# Dicetak dalam bentuk jawi Braille untuk membantu golongan cacat penglihatan menguasai al-Quran dengan baik.

# Menggunakan kod khas bagi memudahkan kumpulan sasar membaca dan mengikut tajwid yang betul.

# Boleh dibaca oleh pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan tahu sistem tulisan jawi Braille.

# Proses penghasilan membabitkan kerjasama pakar agama yang mahir dengan tulisan Braille.

Tulisan Braille


# Sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta.

# Dicipta oleh seorang Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

# Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan tentera bagi memudahkan tentera membaca ketika gelap.

# Sistem ini dinamakan sistem Braille, tetapi ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

# Braille terdiri daripada sel yang mempunyai enam titik timbul yang dinomborkan.

# Huruf Braille bahasa Melayu hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris.

# Simbol Braille juga diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

# Boleh dihasil menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

# Juga boleh dihasil menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)

# Organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri warga cacat penglihatan.

# Keanggotaan mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.

# Objektif untuk meningkatkan taraf kedudukan sosio ekonomi orang cacat penglihatan di negara ini.

# Membimbing kumpulan sasar menjadi warga Malaysia yang berguna dan produktif.

# Telefon, 03-22746162, Faks 03-22743818, e-mel admin@sbm.org.my


Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Kenapa Singapura terus memperlekeh Malaysia

Bersama Rejal Arbee

2010/12/23
Perwatakan Melayu dianggap sering beralah memakan diri

APAKAH masalahnya dengan kepemimpinan negara jiran kita, Singapura dan sesetengah rakyatnya berterusan memperlekeh negara ini. Terakhir ialah pandangan yang sungguh mencemuhkan kita, khususnya oleh pimpinan agungnya, Lee Kuan Yew, mahu pun tiga diplomat kanannya yang sedikit pun tidak menunjukkan perangai sebagai diplomat.

Pendedahan oleh WikiLeaks awal bulan ini memberi gambaran bagaimana jeleknya pandangan ketiga-ketiga diplomat kanan republik itu terhadap kita dan juga beberapa negara lain, termasuk Jepun dan India.

Mereka terdiri daripada Peter Ho (bekas Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya), Bilahari Kausikan (Setiausaha Tetap Kementerian itu), kebetulan berada di sini sekarang mengetuai perwakilan republik itu dalam rundingan lanjut mengenai tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di republik itu) dan duta kelananya, Tommy Koh.
Mereka semua diberitakan berpandangan begitu rendah sekali terhadap kita dan pimpinan negara seperti Thailand, India, Jepun. Apakah agaknya dalam pemikiran mereka sehingga menunjukkan bahawa bongkak dan angkuhnya mereka terhadap kita dan beberapa negara lain itu.

Begitu menghina sekali pandangan Kausikan terhadap kita yang dianggapnya sebagai ‘keliru dan berbahaya’ dengan ‘kemungkinan besar tercetus pertelingkahan kaum yang boleh membawa kepada penghijrahan beramai-ramai rakyat berketurunan Cina ke Singapura hingga menenggelaminya.’ Kausikan menambah lagi: “ketandusan pimpinan yang cekap adalah satu masalah benar yang dihadapinya”.

Beginilah pandangan seorang diplomat kanan republik itu terhadap negara ini dan pimpinan kita dan kini sibuk mengepalai rombongan untuk berunding mengenai tanah kepunyaan KTM. Saya tidak hairan pimpinan ulung mereka, Kuan Yew bersikap kiasu dan memandang rendah terhadap negara ini dan rakyatnya, khususnya orang Melayu serta pimpinan beberapa negara lain seperti Myanmar yang dianggapnya bodoh dan Korea Utara katanya sebagai tidak berfikiran waras dengan mempunyai seorang pemimpin tua menggeleber dan gilakan sanjungan.

Walaupun sudah lebih 45 tahun Singapura dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965, tetapi, Kuan Yew masih tidak boleh melupakan peristiwa yang amat pahit baginya.
Tunku ketika itu berterusan tidak mahu melayan usahanya supaya beliau mengetepikan MCA yang dipimpin Tun Tan Siew Sin yang diremehkan Kuan Yew sebagai seorang yang bukannya boleh mewakili orang Cina sebab tidak boleh berucap dalam bahasa Cina.

Baginya hanya parti pimpinannya, PAP sajalah yang boleh mewakili orang Cina. Ini adalah daripada ketaksuban kebolehannya bahawa Singapura adalah terlalu kecil bagi seorang yang ‘geliga’ sepertinya.

Sememangnya ketika negara ini diwujudkan pada 1963 dengan gabungan tiga negeri baru, Singapura, Sabah dan Sarawak, Lee mempunyai harapan menjadikan negara yang baru wujud itu sebagai landasan baginya berperanan besar pada peringkat Pusat.

Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum 1964 partinya PAP bertanding bermati-matian memainkan soal perkauman dengan laungan ‘Malaysian Malaysianya’ untuk mempengaruhi pengundi Cina memaling sokongan daripada MCA kepada partinya.
Alangkah terkejutnya apabila PAP hanya memenangi satu kerusi saja di Bangsar ketika itu dengan orang kuatnya, Devan Nair berjaya dipilih.

Saya masih teringat bagaimana dia keluar dari biliknya di Pesuruhjaya Singapura di Jalan Tun Razak (ketika itu Jalan Pekeliling) bersebelahan Kelab Golf Diraja untuk menemui kami (pemberita) pada pagi hari selepas keputusan menunjukkan rakyat Malaysia menolak partinya.

Mukanya merah padam dan jelas sekali dia tidak dapat menerima penolakan partinya oleh rakyat Malaysia, khususnya pengundi Cina yang terus menyokong MCA. Walaupun rakyat negara ini menolaknya, dia masih meneruskan dengan laungan ‘Malaysian Malaysia’ hingga mewujudkan suasana yang amat cemas hingga Tunku membuat keputusan mengeluarkan republik itu dari Malaysia.

Inilah suatu hal yang tidak dapat diterimanya, khususnya daripada pimpinan Melayu dan dengan itu berterusan berusaha meremehkan negara ini dalam serba-serbi rundingan untuk menyelesaikan pelbagai masalah akibat daripada perpisahan pulau itu dari Malaysia pada 1965.

Sebenarnya, Malaysia nampaknya sudah banyak mengalah dengan Singapura dalam berbagai-bagai hal, termasuk perpecahan MSA (Malaysia-Singapore Airlines) menjadi dua syarikat penerbangan dengan penubuhan Singapore Airlines dan MAS – Malaysia Airlines System yang mana jelas Singapura mendapat yang terbaik, termasuk semua hak penerbangan ke luar negara dengan MAS hanya mempertahankan hak penerbangan dalam negara saja.

Bahkan hingga sekarang ini masalah bekalan air Johor ke republik itu dan kemahuannya supaya kita membenarkan jet pejuangnya berlatih di ruang Johor, misalnya masih berlarutan tanpa penyelesaian hanya kerana mereka ini begitu bongkak dan tidak mahu beralah dengan pemimpin Melayu.

Masalahnya ialah perwatakan Melayu yang sering saja beralah kerana tidak mahu menimbulkan perasaan tidak selesa dengan puak yang mereka berbalah atau berunding. Tempias pandangan yang begitu rendah terhadap kebolehan pemimpin negara ini, khususnya orang Melayu juga mempengaruhi pemimpinnya yang lain, termasuk rakyatnya.

Maka tidak menghairankan anggapan rakyatnya terhadap negara ini sebagai sebuah negara ‘gila’ oleh sekumpulan rakyatnya. Peristiwa jelek ini diceritakan rakyat Malaysia, Lim Chai Heng dari Batu Pahat yang ‘menemui’ sekumpulan rakyat negara itu ketika beliau melancong ke Taiwan pada November lalu.

Apa yang dihadapinya dihuraikan dalam tulisannya kepada The New Sunday Times, Ahad lalu. Beliau hairan dengan anggapan tidak bersopan itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara tidak siuman. Lim dengan megahnya berkata: “Saya berbangga datang dari Malaysia ‘gila’ ini”. Syabas kita ucapkan kepada Lim.

Penulis ialah Felo Kanan UKM
Source: Berita Harian Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran