TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Tan Sri Mazlan Nordin. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tan Sri Mazlan Nordin. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Oktober 2011

Tumbangnya penjajahan Perancis seluruh dunia


Tan Sri Mazlan Nordin
Karyawan Tamu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

LAWATAN Presiden Truong Tan Sang baru-baru ini terus memperteguh hubungan akrab antara Vietnam dan Malaysia sejak sekian lama.

Lalu dikenang kembali adalah kunjungan Jeneral Vo Nguen Giap yang menewaskan tentera Perancis di Dien Bien Phu pada 7 Mei 1954. Lawatannya itu ialah atas undangan Tun Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1990.

Kekalahan Perancis itu kemudian menjadi pembuka tirai ketewasan selanjutnya Perancis di Algeria, Maghribi dan Tunisia.

Kubu tentera Perancis di Dien Bien Phu ditawan oleh tentera Vietnam setelah berlaku pertempuran sengit selama 55 hari. Satu perjanjian damai ditandatangan kemudiannya di Geneva, tetapi negara Vietnam dibahagi dua. Berlaku selanjutnya ialah perang dengan Amerika pula.

Jelas ketika itu ialah rasa malu pihak Perancis kerana ketewasan mereka. Sebagaimana dicatat oleh seorang sejarawan Perancis: "Kemenangan Vietnam begitu besar sekali kesannya hingga mencetus harapan besar negara-negara Dunia Ketiga yang masih dijajah".

Seperti berlaku pada peringkat awal Perang Pasifik tentera Jepun menewaskan angkatan Tentera British, Australia, Belanda dan Amerika di darat, laut dan udara.

Pada 10 Disember, 1941 pesawat-pesawat udara Jepun berjaya menenggelamkan dua buah kapal perang British, Prince of Wales dan Repulse berhampiran pantai Kuantan.

Mendiang Perdana Menteri India, Pandit Nehru dalam buku riwayat hidupnya menulis: "Kekalahan dan bencana memang pedih, tetapi kekalahan di tangan golongan Asia dan Oriental begitu aib sekali. Seorang pegawai tinggi Inggeris, memberitahu bahawa ia lebih rela kalau kedua-dua kapal perang itu ditenggelamkan oleh pihak Jerman, bukan oleh Yellow Japanese".

Satu rombongan dari Malaysia yang melawat ke Vietnam pada tahun 1991 mendapat kesempatan menginterbiu Jeneral Giap. Darinya pujian sepenuhnya kepada askar-askar Vietnam dan sokongan rakyat kerana kemenangan di Dien Bien Phu. "Semangat perjuangan mereka menewaskan musuh," beliau menambah.

Menegaskan

General Giap menegaskan kedudukannya sebagai petugas bawahan Presiden Ho Chin Minh. Sebuah buku kisah perjuangan yang ditandatanganinya mengandungi gambar mendiang presiden sahaja.

Beliau berjabat tangan dengan kesemua yang datang berkunjung ke rumahnya, termasuk pemandu-pemandu yang membawa para pembesar.

"Journalist, Commander and a Legend", demikian tajuk salah sebuah akhbar Malaysia mengenai interbiu di rumahnya itu. Kerana sebelum masuk berjuang dalam angkatan tentera beliau beberapa waktu bekerja sebagai wartawan.

Mengulangi sesuatu ialah kenyataan Setiausaha Agung Persatuan Wartawan Vietnam, Lun Quy Ky: "Perang adalah negatif, tetapi perjuangan adalah positif".

Turut mengadakan lawatan ke Hanoi ialah rombongan Organisasi Setiakawan Rakyat Afro - Asia (Afro - Asia People's Solidarity Organisation) Pada tahun 1975. Kunjungan tersebut atas undangan AAPSO Vietnam Utara.

Menjelaskan lagi hal ialah The Origins of the Vietnam War oleh Frederik Logevall mengenai dua peristiwa:

1) Sidang damai di Geneva diadakan pada bulan Julai 1954. Setiausaha Amerika, John Foster Dulles berat hati menyertainya dan menegaskan "saya hanya akan bertemu dengan Menteri Luar China, Zhou Enlai kalau kereta kami berlanggar". Akhirnya mereka bertemu juga dengan aman, tetapi Dulles enggan berjabat tangan.

2) Pada 6 September 1954, Dulles tiba di Manila untuk berucap menubuhkan Pertubuhan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) terdiri dari Amerika, Britain, Perancis, Pakistan, Thailand dan Filipina.

Pada bulan Disember 1965 sejumlah 200,000 tentera Amerika telah berada di Vietnam Selatan.

Pada 23 Januari tahun 1973 Perjanjian Damai ditandatangani di Paris dan pada 29 Mac tentera Amerika berundur dari Vietnam. Akhirnya pada 30 April 1975 kerajaan Vietnam Selatan menyerah kalah.

General Giap, kini berumur 100 tahun, melambai tangan mengucap selamat jalan kepada para tetamu yang menemuinya setelah diinterbiu dan tukang catat ini teringat kembali betapa ia dulu pernah berkhidmat sebagai wartawan.

Tapi itu tidak bererti bahawa setiap wartawan boleh menjadi general.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 20 Ogos 2011

Hala tuju kedamaian global sejak 39 tahun lalu

ANTARA bahan bacaan penting dewasa ini ialah On China oleh Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika Syrikat, setelah mengunjungi negara itu lebih 50 kali.

Ini ialah kerana Amerika masih kuasa dunia nombor satu dan China pula telah menjadi kuasa ekonomi nombor dua dan dengan itu berupa faktor penting dalam menentukan kedamaian global.

Kunjungan paling penting Kissinger ialah manakala mengiringi Presiden Nixon mengadakan lawatan bersejarah ke Beijing untuk berunding dengan Mao Zedong, pemimpin besar China pada 21 Februari, 1972.

Seperti dicatat oleh Kissinger, 88 tahun, pada peringkat awal bukunya (586 muka), terbitan Penguin Press pada awal tahun 2011: “Hampir 40 tahun dahulu adanya, Presiden Nixon menghantar saya ke Beijing untuk usaha memulihkan hubungan dengan sebuah negara penting dalam sejarah Asia.” Walhal selama sekian lama Nixon terkenal kerana pendiriannya yang anti-komunis.

Maka berundinglah Nixon dengan Mao mengenai pelbagai perkara, termasuk masa depan benua Asia. Ia berkaitan dengan persaingan antara Amerika dan China hingga ke abad 21 tertumpu kepada jurusan ekonomi dan sosial.

Mengejutkan ialah satu kenyataan berulang dari Mao mengenai perang nuklear: “Kalau pihak imperialis melancar perang ke atas kami, maka kami mungkin kehilangan lebih dari 300 juta nyawa rakyat. Ada apa? Perang adalah perang. Pada tahun-tahun berikutnya nanti lebih ramai lagi bayi akan lahir”.

Faedah

Juga dicatat oleh Kissinger ialah kisah pertemuan Mao dengan Khrushchev, pemimpin Soviet Union pada satu masa lalu, yang bertanya kenapa pihak China membiarkan Dalai Lama melarikan diri dari Tibet pada tahun 1959: Negara kami tidak akan membenarkan dia lari. Kini ia berada di India dan mungkin pergi ke Amerika. Apakah ini memberi faedah kepada negara-negara sosialis?

Mao menjawab: Kami tidak dapat menangkap semasa itu. Kami tidak boleh melarangnya meninggalkan negara kerana sempadan dengan India begitu jauh sekali dan beliau boleh menyeberang di mana saja.

Mengenai satu aspek lain pula Mao menegaskan kepada Khruschev pada tahun 1958 bahawa China akan mendahului Soviet Union menjadi negara komunis sepenuhnya. Kenyataan itu dianggap oleh pihak Soviet Union sebagai sesuatu yang “bidaah” dari segi ideologi.

Kissinger juga menulis mengenai dialog antara Nixon dengan Zhou Enlai, Perdana Menteri China atas asas-asas hubungan negara, termasuk jurusan ekonomi.

Lalu dicatat pelayaran Laksamana Zheng He (1405-1437), seorang warga Islam China, ke Pulau Jawa, India dan Afrika antara lainnya. Lalu beliau menyampaikan pelbagai hadiah istimewa dari Maharaja China. Tiada pun pihaknya menjajah mana-mana negeri seperti dilakukan oleh penjajah-penjajah Eropah kemudiannya.

Pada satu peringkat Nixon memuji Mao kerana melaksanakan pelbagai transformasi atas tamadun China ribuan tahun. Lantas Mao membalas: “Saya tidak dapat mengubahnya. Saya hanya berjaya membawa beberapa perubahan kecil di tempat-tempat di pinggir Beijing”.

Jelas dari karya Kissinger ialah tiada hasrat untuk Amerika melancarkan perang dingin seperti telah berlaku terhadap Soviet Union dulu. Hubungan di antara Amerika dan China ialah untuk menegakkan kedamaian dan kesejahteraan global. Masa depan Asia bergantung padanya.

Pada peringkat akhir setelah Kissinger menulis; Setelah Perdana Menteri Zhou Enlai dan saya mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama kunjungan beliau berkata “ini akan mengejutkan dunia”.

Mao menjadi pemimpin Parti Komunis China selama 40 tahun dan Zhou menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Tan Sri Mazlan Nordin

ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 2 Julai 2011

British, Soviet dan Amerika Syarikat kalah di Afghanistan

Oleh Tan Sri Mazlan Nordin

SEJARAH berulang di Afghanistan. Pada tahun 1842 laskar dan para pejuangnya menyerang seramai 16,000 askar British yang sedang berundur dari Kabul. Daripada bilangan begitu ramai hanya seorang saja askar British selamat.

Namanya William Brydon. Lalu namanya disebut dalam laporan perang kali pertama British - Afghanistan dari 1939 hingga 1842. Ini berlaku semasa persaingan di antara pihak British dan Russia yang dipanggil “The Game”, iaitu untuk menguasai Afghanistan dan negeri-negeri Asia Tengah.

Pihak British melancarkan pencerobohan kali kedua pada tahun 1878-1880, tetapi juga tewas.

Masa berlalu. Pada bulan Disember 1979 pihak Soviet Union pula menceroboh kedaulatan Afghanistan. Ia berlaku berikutan rampasan kuasa oleh Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) yang mahu mewujudkan sistem sosialis di Afghanistan.

Maka berlakulah perang saudara selama 10 tahun. Lebih dari 7 juta rakyat Afghanistan terpaksa mencari perlindungan di negara-negara lain.

Kira-kira 100,000 askar Soviet membunuh satu juta orang tetapi akhirnya tewas kepada pejuang-pejuang Afghanistan. Kira-kira 20,000 askar Soviet mati dan puluhan ribu lagi cedera.

Tentera Soviet terpaksa berundur pada tahun 1989. Menurut catatan sejarah kekalahan mereka antara sebab tumpasnya pemerintahan komunis Soviet selama 74 tahun dan jatuhnya pimpinan Michael Gorbachev.

Antara yang terlibat dalam pemerintahan komunis ialah seorang warga Afghanistan, Dr. N. Ahmadzai dari PDPA. Beliau kemudian menjadi ketua polis rahsia yang bertanggungjawab merangkap dan membunuh rakyat yang tidak mahu bekerjasama.

Bertemu

Tetapi akhirnya beliau dan adiknya ditangkap dan mati di tali gantung oleh pihak lawan.

Kisah beralih kepada gerak khas yang melibatkan 6,500 askar marin Amerika dan askar British serta 4,500 askar Afghanistan di Wilayah Selatan Afghanistan pada peringkat awal 2010. Ia dipanggil operasi Moshtarak dan dilancarkan ke atas kubu pihak Taliban.

Sebelum kempen dilancarkan panglima tentera Amerika dan NATO di Afghanistan bertemu dengan 450 ketua kaum Afghanistan. Menurut laporan majalah Time, bandar utama di situ Marjah mempunyai 60,000 penduduk. Bilangan pejuang pihak Taliban hanya 400 orang sahaja.

Lantas disebut mengenai kota Kandahar: “kota ini di bawah perintah NATO, tetapi khabarnya beribu-ribu pejuang Taliban berada di situ”.

Laporan beralih kepada satu persidangan di Universiti Tufts Amerika yang dihadiri juga oleh pakar-pakar mengenai Afghanistan. Ulasan yang berulang-ulang disebut mendapat perhatian:

“Saya tidak ragu-ragu bahawa pada satu hari nanti keamanan akan wujud di Afghanistan, tetapi saya tidak dapat menyatakan apakah ia akan berlaku dalam masa 50 atau 200 tahun. Apa yang boleh saya katakan ialah bahawa menurut kadar kegiatan ketika ini, tempoh itu tidak mungkin lebih awal dari itu”.

Presiden Barack Obama baru-baru ini mengumumkan pengunduran 33,000 tentera Amerika dan Afghanistan menjelang akhir tahun depan. Seperti dikatakan ini bukan kerana ketewasan di medan perang.

Bala tentera Amerika tiba di Afghanistan mula Oktober 2001 lalu menyingkirkan kerajaan Taliban. Pada bulan Disember berikutnya. Majlis keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu meluluskan penubuhan pasukan keselamatan antarabangsa untuk mengawasi keselamatan negara dan membantu Presiden Karzai.

Berikutan pengumuman mengenai tentera Amerika itu kenyataan sama dibuat bersabit bala tentera British, Perancis, Belanda. Antara lain-lain pasukan tentera NATO ialah dari Itali, Poland, Kanada, Sepanyol, Australia, tetapi kegiatan- kegiatan mereka tidak beliau diketahui.

Wajar disebut ialah pesanan penyerang masa dahulu di Afghanistan, terutama Alexandar the Great, Genghis Khan dan Babur keturunan Tamerlane.

Lebih 80 peratus rakyat Afghanistan kini ialah dari golongan Sunni, 15 hingga 20 peratus Syiah. Bilangan mereka 28,395,716, iaitu tidak termasuk kira-kira 3 juta yang berlindung di Pakistan dan Iran. Bagi mereka perjuangan berterusan.

Perang di Afghanistan hampir tiga kali ganda lebih lama dari Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Namun, seperti telah dinyatakan dalam sebuah akhbar Australia: “The outside world has never won a war in Afghanistan and never will”.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 3 Jun 2011

Selepas negara Israel mahu pula Greater Israel?

Mazlan Nordin

PERTANYAAN: Apakah Perdana Menteri Israel, Binyamin Netanyahu mahu mewujudkan Eretz Yisrael (Greater Israel)?

Ini adalah kerana beliau menolak sama sekali saranan Presiden Barack Obama supaya sempadan Israel dan Palestin pada tahun 1967 menjadi asas rundingan antara mereka, termasuk penubuhan Negara Palestin.

Seperti diketahui Tebing Barat dan Gaza telah ditawan oleh tentera Israel dalam Perang Enam Hari, 1967. Dua kali berikutan itu warga Palestin melancarkan Intifada, kali pertama pada tahun 1987 dan kali kedua pada tahun 2000 tetapi gagal.

Nasib malang warga Palestin kemudian diceritakan oleh seorang wartawan Amerika, Richard Ben Cremer dalam laporannya berjudul How Israel Lost: Antara lain ialah cara bertindak pasukan-pasukan keselamatan bila berlaku hal, iaitu mereka “menghukum secara kolektif”.

Antara contoh ialah manakala seorang budak lelaki Palestin menyeludup masuk perkampungan warga Israel untuk melakukan serangan. Yang dibinasakan kemudiannya oleh pasukan keselamatan Israel sebagai tindak balas ialah rumah-rumah yang dikongsi oleh keluarga-keluarga ayah, nenek lelaki, bapa saudara atau kakak-kakak yang telah berkahwin.

Kenapa warga Palestin tidak mempunyai negara sendiri? Demikian antara pertanyaan Cremer. Lalu beliau mencatat betapa Gaza, umpamanya, dikepung seluruh pantainya dan garisan sempadan di darat.

Di Tebing Barat pula tembok setinggi 20 kaki dibina untuk “mencegah tindakan keganasan” Kesemuanya dibina atas tanah milik warga Palestin.

Juga dilaporkan pertemuan dengan beberapa guru sekolah Palestin yang mengadu mengenai sesetengah murid tidak hadir kerana kekurangan makanan. Bagi mereka tiada sarapan pagi.

Mencerminkan keadaan sebenar ialah pelbagai cerita oleh penduduk, termasuk kisah seorang wanita yang hampir melahirkan anak. Ia tidak dapat pergi ke hospital kerana dikepung oleh askar-askar Israel.Cerita bersambung: “Akhirnya orang kampung membawanya ke hospital tentera Israel. Ia kemudian melahirkan dua anak kembar lelaki.

Kepala anak pertama muncul dari tubuh ibunya. Maka ia pun memandang keadaan sekelilingnya, lalu melihat askar-askar di sana sini. Ia kemudian berteriak ke arah kembarnya: “Ahmad, kita dikepung ini! Ambil batu-batu untuk kita lemparkan”, tamat cerita.

Mengenai warga Israel pula disebut mengenai orang-orang Yahudi yang berhijrah dari negara-negara Islam dan Arab pada tahun 1950-an dan 1960-an. Mereka dipanggil Sephardium kerana tradisi pelajaran dan keagamaan mereka dari negara Sepanyol. Seperti dicatat dalam buku-buku sejarah, pemerintah Islam wujud di selatan Sepanyol selama kira-kira 700 tahun waktu silam.

Menurut Cremer lagi, rakyat Israel bercadang untuk menguasai terus wilayah Tebing Barat dengan mendirikan perkampungan-perkampungan baru Sebagai ganti kepada Palestin padang-padang pasir di kawasan Israel diberi kepada Palestin.

Juga telah dilaporkan pembinaan perkampungan-perkampungan baru Israel di Baitulmaqdis sedangkan pihak Palestin juga mahu ia menjadi ibu negara mereka.

Parti politik pertama Palestin ialah Fatah yang ditubuhkan oleh Yassir Arafat pada tahun 1959 untuk perjuangan kemerdekaan, tetapi Arafat telah meninggal dunia.

Hamas pula lahir pada tahun 1987 dan menjadi parti politik yang popular setelah menang dalam pilihan raya. Perselisihan berlaku antara kedua-dua parti selama beberapa tahun. Hanya baru-baru ini tercapai kata sepakat. Lantas Netanyahu memberi ingatan: “Kalau mahu kedamaian ketepikan Hamas”. Astaga, warga Palestin berucap dan juga warga Islam lain.

Bagi Israel, perang pada tahun 1948 dengan enam Negara Arab melahirkan kemerdekaannya. Perang Enam Hari pada 1967 pula membolehkan Israel menguasai Tebing Barat dan Gaza, Semenanjung Sinai (dikembalikan kepada Mesir kemudiannya) dan Golan Heights dari Syria (masih dikuasai Israel).

Catatan: Netanyahu beberapa hari lalu berucap dalam sidang khas Kongres Amerika di Washington. Pemimpin Arab bila kok?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 30 April 2011

Kenapa negara penjajah perlu musuh

Oleh Tan Sri Mazlan Nordin

QUO Vadis, Africa? Demikian tajuk sebuah buku yang membicarakan pelbagai aspek agama Islam di benua Afrika. Lalu dicatat pada peringkat awal, antara lainnya, nama Bilal, warga Islam pertama yang menyampaikan azan.

Seterusnya, disebut betapa selama beribu-ribu tahun dahulu apa yang dipanggil benua Afrika ialah sebahagian dari tanah besar yang dipanggil benua Asia.

Berperanan selanjutnya ialah kuasa-kuasa penjajah asing yang melancarkan pelbagai tindakan termasuk menghapuskan tulisan-tulisan bahasa Arab dan menggantikannya dengan tulisan rumi. Dewasa ini pula serangan demi serangan terhadap Palestin, Iraq, Afghanistan dan lain-lain atas alasan melawan keganasan dan menyebarkan demokrasi.

Buku berjudul Some Aspects of Islam in Africa ditulis oleh Profesor Uthman Sayyid Ahmad Ismail Al Bili dari Pusat Islam di Doha, Qatar setelah menuntut di universiti-universiti lain, termasuk Universiti Cambridge.

Dengan demikian, tegas beliau warga-warga Afrika, negeri-negeri, agama dan budaya perlu waspada terhadap pelbagai hal yang dilakukan ke atas umat Islam dan agama Islam di Afrika.

Ini kerana apa yang telah berlaku di masa lampau walaupun Perang Salib akhirnya gagal.

Dalam keadaan masa kini Afrika mempunyai bilangan warga Arab yang paling ramai sekali dalam dunia, iaitu di Mesir dan pelbagai negeri di Afrika Utara. Bahasa Arab paling ramai pembicaranya dan banyak sekali bahan-bahan bacaannya.

Bahasa-bahasa sampingan seperti Swahili, Hause dan Fulfulde meminjam begitu banyak perkataan-perkataan Arab dan gagasan Islam.

Warga-warga Afrika juga mendapati dari sejarah masa lampau bahawa agama Islam berkembang bukan kerana penggunaan pedang dan senapang oleh bala tentera untuk menjajah. Dalam Islam juga tidak ada aspek-aspek perkauman dan eksploitasi.

Dari ketiga agama - Islam, Kristian dan Judaism, warga Islam yang mengiktiraf dan menghormat kedua yang lain itu. Apa yang dikatakan oleh umat Islam mengenai Nabi Isa, Musa dan lain-lain nabi adalah sebahagian daripada kepercayaan mereka.

Sebaliknya pula apa yang dikatakan oleh pihak-pihak lain mengenai Nabi Muhammad adalah sebahagian daripada budaya mereka yang mencermin peristiwa-peristiwa sejarah, termasuk marabahaya faham Nazis dan Fascism dan sikap Apartheid serta pembunuhan beramai-ramai manusia.

Lalu dianjurkan supaya warga-warga Afrika Utara dan Mesir memberi perhatian sewajarnya kepada lain-lain negara di bahagian selatan benua Afrika.

Menurut Profesor Uthman lagi bilangan warga Islam di kedua benua Amerika, di Eropah dan Asia, Australia, New Zealand dan Afrika meningkat setiap hari.

Namun, mereka perlu mengawasi pandangan seperti disebarkan Profesor Huntington dalam bukunya “Clash of Civilisations” bahawa negara penjajah perlu musuh. Jika tidak ada musuh semulajadi maka musuh mesti diadakan.

Dalam keadaan dewasa ini kecaman-kecaman terhadap Nabi Muhammad dilancarkan untuk tiga tujuan. Pertama untuk menentukan Islam sebagai musuh, kedua untuk menghasut pihak Islam bertindak balas dan ketiga untuk menggembeling tenaga pihak-pihak lain bertindak terhadap Islam.

Juga disebut ialah nama-nama cerdik pandai zaman silam seperti Ibnu Khaldun, Ibnu Al-Wazzan, Ibnu Said, Al-Idrisi, Ibn Batuta dan Ibnu Jubair, iaitu kesemuanya warga Afrika.

Di samping itu budaya Islam di negara Sepanyol selama 700 tahun mendorong penyebaran Ilmu oleh Ibnu Rush (Averros), Ibnu Sina (Avicenna) dan Ibnu Tufail yang ada kaitan dengan Islam di Afrika Utara.

Turut memberi sumbangan pada masa lampau ialah hamba-hamba abdi Afrika yang kebanyakan mereka beragama Islam yang membanting tulang bagi pihak tuan-tuan kulit putih mereka.

Seperti dicatat dalam sejarah negara-negara Islam di Afrika yang mula sekali bertindak mempertahankan benua Afrika dari serangan-serangan pelbagai negara Eropah yang mahu menjajah.

Berperanan ialah pejuang-pejuang Mahdi di Sudan (1881-1898), para pejuang Mahdi di Somali. Mereka mendahului perjuangan Jomo Kenyatta di Kenya, Ben Bella di Algeria dan Mandela di Afrika Selatan.

Kerana itu pertanyaan lanjut: Quo Vadis, Africa?

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 23 April 2011

Mengimbau pentas Pak Samad dan Pak Rosihan


Tan Sri Mazlan Nordin

SEORANG jurubicara bangsa Indonesia, Rosihan Anwar meninggal dunia baru-baru ini dan dengan itu menyertai sahabat karibnya dari Malaysia, Samad Ismail. Keduanya telahpun menerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu-Indonesia dari rakan-rakan seperjuangan pada bulan Januari 2008.

Seorang dipanggil Pak Ros (10 Mei 1922 - 14 April 2011) dan seorang lagi Pak Samad. Setelah sepanjang hayat berkhidmat dalam dunia kewartawanan mereka menjadi pejuang bahasa, sasterawan, sejarawan dan budayawan.

Satu contoh hubungan mereka ialah makalah khas dalam akhbar Kompas, Jakarta pada hari Sabtu 12 Ogos 1987 bertajuk Selamat Haji Samad. Antara catatan:

“Haji Samad seorang wartawan terkemuka, cendekiawan dan fikiran kritis, nasionalis sejati, pejuang bangsa Malaysia dan kesusasteraan Melayu, penulis kreatif, pendiri beberapa perhimpunan pengarang dan parti politik. Di atas segala-galanya, beliau seorang Melayu yang perjuangan kompleksnya tidak dapat dilupakan dalam perkembangan intelektual negeri.

Selain wartawan, dia juga sasterawan, banyak menulis cerita pendek (cerpen) di zaman pendudukan Jepun dalam majalah Semangat Asia (1943). Tahun 1950 ia salah seorang pendiri Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang salah satu tujuannya berbunyi “mengadakan pembaharuan dalam sastera dengan tidak membunuh yang lama”.

Samad sejak masa muda menjadi langganan penjara. Sehabis Perang Dunia Kedua, tahun 1945, dia dipenjara oleh Inggeris selama enam bulan kerana dituduh sebagai kolaborator Japang. Memang ia wartawan Berita Malai tahun 1943 tapi bukan anti Jepang.

Pada tahun 1951-53, Samad ditahan lagi di penjara St John’s Island bersama Devan Nair (tahun 1981 menjadi Presiden Republik Singapura).

Tahun 1958 ia pindah ke Kuala Lumpur dan menjadi pemimpin redaksi Berita Harian dari kelompok Straits Times. Samad teman baik Adam Malik dan kerana itu pada pertengahan 1950-an, saya biasa melihat ia berjalan-jalan di depan kantor Antara di Jakarta.

Saya bertemu lagi dengan Samad di Kuala Lumpur tahun 1967 dan waktu itu dia menawarkan kepada saya untuk menjadi koresponden Berita Harian. “Tulis apa saja Mad”? dan dia menjawab “Ya, tulis tentang bintang filem dan wayanglah”.

Membantu

Jelas, dia mahu membantu saya kerana saya waktu itu wartawan bebas. Seperti juga pada tahun 1970, setelah saya kehilangan pedoman dia minta saya menjadi koresponden New Strats Times.

Pada tanggal 22 Jun 1997, tidak lama setelah menghadiri sebuah konferensi para wartawan ASEAN di Jakarta, Samad menaging editor New Straits Times ditahan di bawah kuasa Internal Security Act dan mendekam lima tahun dalam penjara.

Setelah Samad dibebas dari tahanan oleh pemerintah PM Datuk Mahathir, beliau diundang menjabat jawatan sebagai penasihat editorial kelompok New Straits Times.

Dia juga aktif dalam persiapan mendirikan stesen televisyen TV3 yang ternyata siarannya mendapat sambutan bagus tidak saja di Malaysia, tetapi juga di Medan dan Sumatera Utara umumnya”. Demikian sedutan dari makalah Rosihan mengenai Samad lebih 20 tahun lalu.

Ia menjelaskan hubungan akrab antara dua wartawan ulung Malaysia dan Indonesia. Rosihan juga menulis buku berjudul “Sebelum Prahara Pergolakan Politik Indonesia 1961-1965, iaitu hingga berlaku peristiwa 30 September 1965 yang kemudian membawa kepada kejatuhan Parti Komunis Indonesia.

Lalu disebut mengenai “wartawan melarat” dan “Pelacuran jurnalistik”. Sebuah makalah lain di Indonesia menyebut mengenai tebar pesona (spreading out charm) dan perlunya tebar karya nyata.

Juga perlu bagi para wartawan Malaysia dan Indonesia memelihara hubungan yang berasal satu rumpun dan tidak lagi tergigit lidah.

Rosihan lahir di Kubang Nan Dua, Sumatera Barat dan peringkat pertama persekolahannya ialah di Padang. Beliau melanjutkan pelajaran di Yogyakarta.

Menurut laporan Wikipedia, beliau mula bertugas sebagai pemberita akhbar Asia Raya dalam masa pemerintahan Jepun. Pada tahun 1947, beliau melancarkan majalah Siasat.

Beliau juga melancarkan akhbar Pedoman sebagai editor, tetapi dua kali ditutup kemudiannya pada tahun 1961 oleh Presiden Sukarno dan pada tahun 1994 oleh pemerintahan Suharto, kerana menyiarkan kritik.

Rosihan juga telah menulis pelbagai karya, antaranya ke Barat dari Rumah (1952), Dapat Panggilan Nabi Ibrahim (1959), Islam dan Anda (1962). Kisah-kisah Zaman Revolusi (1975), Profil Wartawan Indonesia (1977), Menulis dalam Air (1983).

Pentas Pak Ros sungguh meriah. Demikian juga Pak Samad.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Ahad, 17 April 2011

Apabila yang kalah mahu berkuasa

Oleh Mazlan Nordin

SEPERTI diakui peperangan paling digeruni ialah perang saudara dan peristiwa-peristiwa ngeri yang meninggalkan kesan-kesan berlarutan. Tetapi bagi sesetengah pihak yang bertekad merebut kuasa lain hal menjadi perhitungan utama.

Mendapat perhatian selama berbulan-bulan adalah pertembungan di Ivory Coast di antara Laurent Gbagbo yang tewas dalam pilihan raya lima bulan lalu, tetapi terus mahu berkuasa! Lawannya, Alassane Outtara menang hingga diakui oleh seluruh dunia, namun masih tertunggu-tunggu bertugas untuk rakyat.

Antara yang menjadi pengajaran ialah perang saudara di Liberia, sebuah lagi negara di Afrika Barat yang melibatkan tiga pemimpin - Samuel Kanyon Doe, Presiden yang ke-21, Charles Taylor Presiden yang ke-22 dan Prince Johnson, tokoh politik.

“Prince” bukan bererti ia keturunan raja kerana ia nama biasa bagi kaum lelaki di Liberia. Beliau berperanan menangkap dan membunuh Samuel Doe. Berikut ialah sebahagian dari laporan seorang wartawan yang menyaksikan peristiwa kejam itu:

“Apa kau buat dengan wang rakyat Liberia”? Johnson menengking dan kamera TV menunjukkan ia duduk di belakang meja. Biasanya ia memakai beberapa pingat, tetapi kali ini dua butir bom tangan tergantung pada dadanya. Ia sedang minum beer ketika itu. Lalu penyokong-penyokongnya bersorak: Mana wang itu? Mana wang itu?

Presiden Doe menjawab “Longgarkanlah tali yang mengikat diri saya ini, Saya sakit ni”. Beberapa orang Liberia mencurah beer ke atas kepalanya dan mengoyak kemejanya.

“Aku akan bunuh kau” Johnson berteriak dengan nyaring. Beberapa budak lelaki menarik beliau berdiri di hadapan Doe. Seorang wanita menyapu muka Johnson dengan kain.

perintah

Johnson kemudian memberi perintah: “Potong telinganya”. Lantas dua budak lelaki memeluk tubuh Doe. Seorang budak lain memotong telinga kirinya dengan pisau dan mencampakkannya ke atas riba.

Johnson berteriak lagi “aku suruh potong telinganya”. Doe menjerit manakala yang lain memotong telinga kedua”. Demikian sedutan laporan seorang wartawan Amerika. Bukunya terbit pada tahun 2002.

Doe sendiri pada 12 April 1980 mengetuai rampasan kuasa pihak tentera Liberia. Mati dalam peristiwa itu ialah Presiden William R. Tolbert.

Dengan peristiwa itu juga tamat dominasi politik warga Amerika-Liberia selama 133 tahun iaitu keturunan pendatang kulit hitam dari Amerika.

Menurut laporan lain pada peringkat permulaan rejim Presiden Doe, ramai ahli pemerintahan Tolbert yang digulingkan menjadi korban.

Menggantikan Doe kemudiannya ialah Charles Taylor dari 2 Ogos 1997 hingga 11 Ogos 2003 sebagai Presiden Liberia ke-22. Beliau lahir di Amerika dan mendapat ijazah sebelum kembali ke Liberia untuk bekerja dengan Presiden Doe.

Setelah dipecat atas tuduhan bersabit wang, Taylor pindah ke Libya untuk berlatih sebagai pejuang perang gerila. Beliau kembali ke Liberia pada tahun 1989 sebagai ketua gerakan untuk menggulingkan rejim Presiden Doe.

Selepas kematian Doe kemudiannya Taylor berjaya menguasai sebahagian besar negara Liberia, setelah tercapai kedamaian Taylor dipilih menjadi Presiden pada tahun 1997.

Perang saudara kedua di Liberia berlaku pada tahun 1999. Menjelang tahun 2002 beliau kehilangan kuasa di wilayah-wilayah pedalaman. Pada tahun 2006, Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu sebulat suara bersetuju membenarkan Taylor dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa di The Hague, negeri Belanda.

Juga telah dilaporkan ialah pidato-pidato beliau melalui stesen radio tiap hari pada jam enam petang, satu darinya berbunyi: “Kami telah menawan seribu laskar dan saya sendiri telah membunuh 753 orang. Mudah saja mereka menemui maut. Satu peluru memadai untuk membunuh dua orang pengecut dan pembunuh yang begitu berlagak di serata bumi Liberia”.

Dalam satu peristiwa lain beberapa orang kanak-kanak lelaki mengepung seorang dewasa. Salah seorang kanak-kanak itu berkali-kali memijak kepalanya. Siapa gerangan orang-orang dewasa yang mengajar kanak-kanak menjadi begitu bengis.

Akhirnya Gbagbo di Ivory Coast ditawan. Di samping itu Moussa Koussa, bekas Menteri Luar Libya telah menyeru supaya dihindarkan perang saudara berlaku di Libya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Sabtu, 9 April 2011

Tiga buku terbaik mengenai Islam

Oleh Tan Sri Mazlan Nordin

TELAH terbit kini ialah satu dari tiga buah buku yang dianggap terbaik sekali dalam bahasa Inggeris mengenai agama Islam sejak peristiwa 11 September 2001.

Berjudul The Muslim Next Door ditulis oleh Sumbul Ali-Karamali, seorang wanita Islam Amerika, yang lulus dari tiga buah universiti, dua di Amerika dan satu lagi di Britain.

Lalu beliau menulis antara lainnya: “Universiti-universiti sebenarnya patut mengajar seluruh kandungan Quran. Akan ternyata bahawa Quran mengandungi lebih banyak sekali ayat-ayat mengenai kedamaian dan toleransi, iaitu lebih banyak dari ayat-ayat mengenai peperangan”.

Ibu bapanya berasal dari India dan lahir kemudiannya ialah negara India dan negara Pakistan manakala mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Inggeris.

Keluarga ibunya tidak pula meninggalkan India walaupun beragama Islam, ayah ibunya berdegil tidak mahu pindah sedangkan jiran-jiran dan rakan-rakan lari demi keselamatan diri. Bagi beliau India menjadi tanah airnya.

“Apakah Tuhan tidak ada di India?” Beliau lantas bertanya. “Apakah Tuhan hanya berada di negara Pakistan? Tuhan akan melindungi diriku di India ini juga”. Ia meninggal dunia sembilan tahun kemudiannya.

Ibu bapa Sumbul pada mulanya berasa bimbang bila berhijrah ke Amerika, tetapi lama kelamaan menikmati ketenangan dalam negara kaum kulit putih, walaupun sesekali diejek kerana “orang asing”.

Fenomena

Antara nama tokoh Islam yang dicatat namanya ialah Malcolm X, iaitu dari golongan Black Muslim. Pada tahun 1964 beliau menunaikan fardu haji lalu menyaksikan di Mekah fenomena hubungan akrab warga Islam daripada pelbagai kaum seluruh dunia dan tiada toleransi terhadap sikap perkauman.

Sekembali ke Amerika kemudiannya Malcolm X tidak lagi menganggap dirinya Black Muslim tetapi Muslim semata-mata. Namanya bertukar menjadi Haji Malik El-Shabazz.

Mengenai status wanita dalam Islam pula Sumbul menyebut Indonesia dan India sebagai contoh, dengan bilangan wanita Islam paling ramai sekali dalam dunia. Jelas bahawa mereka bukan “wanita yang ditindas” sebagaimana ejekan sesetengah media Barat.

Cerita selanjutnya dari Sumbul: “Pada suatu hari saya terdengar seorang wanita Yahudi Amerika yang telah memeluk agama Islam, menelefon sebuah stesen radio lalu menyampaikan pendapatnya bahawa seorang wanita yang membeli bikini lebih rendah maruahnya daripada wanita yang bertudung”.

Menurut Sumbul lagi, warga Amerika umumnya jarang berdamping dengan masyarakat-masyarakat dan budaya Islam, sebelum Perang Dunia Kedua. “Islam hanya dibincangkan di Amerika selepas perang itu dalam konteks krisis politik atau lain-lain hal, bukan sebagai kajian sesebuah agama paling besar sekali dalam dunia.

“Islam menjadi relevan pada Amerika hanya mengenai isu-isu seperti Revolusi Iran, pencerobohan komunis Soviet ke atas Afghanistan, kepentingan-kepentingan minyak, keganasan, Perang Teluk dan serangan 11 September”.

“Kajian mengenai Islam pada abad ke-20 tidakpun digalakkan oleh pelbagai universiti Amerika dan kurang sekali bilangan cerdik pandai Amerika dalam jurusan itu”.

Akhirnya sebilangan kecil pakar-pakar yang menulis mengenai Islam tidak memahami bahasanya. Akibatnya “pakar-pakar akademik Islam di dunia Barat kini tidak tahu menahu mengenai keseluruhan peradaban Islam, sastera perundangan, politik, sejarah, sosiologi dan lain-lain lagi”.

Sumbul lalu menyebut nama buku-buku paling laris di Amerika seperti yang diberi tajuk Why I am not a Muslim dan yang bertajuk President G.W. Bush is a moron & Islam is not peace.

Akhirnya Sumbul Ali-Karamali menulis: “Saya hidup dalam agama saya kerana ia berakal, mudah dan mengajar perkara-perkara yang baik seperti bermaaf-maafan, bermurah hati, toleransi dan berperasaan belas kesihan”.

Source: Mingguan Malaysia Online

Selasa, 1 Mac 2011

Penghijrahan Islam dan air zam-zam

BUKANKAH seni dan budaya sama ertinya? Dante menulis sajak yang baik sekali, tetapi apakah dia beradab? Dante begitu kejam terhadap Nabi Muhammad SAW. Bolehkah seseorang yang berfikiran sempit tiada toleransi menjadi manusia beradab?

Demikian pertanyaan yang diajukan oleh M.J Akbar, penulis pojok majalah India Today dalam bukunya Have Pen, Will Travel: Observations of a Globetrotter setelah menjelajah ke pelbagai negara, termasuk Somalia, Britain, Itali, Amerika.

Nama yang disebut olehnya ialah Dante Alighieri (1265-1321) yang dianggap sebagai pujangga utama Itali setelah menulis puisinya Divine Comedy dan Inferno, antara lainnya. Namun mengejutkan segala pihak kemudiannya ialah kisah penjajahannya ke neraka dan pertemuannya dengan Nabi Muhammad SAW.

Sebelum kritikan Akbar, telah pun berlaku kajian mendalam oleh yang dipanggil Collegiate School berjudul Dante and Islam. Ia menjelaskan sikap negatif beliau terhadap Islam dan budaya Arab. Lantas dicatat:

"Eropah pada masa dahulu ingin mendapat informasi mengenai sains dan falsafah. Kerana itu cerdik pandai Eropah sanggup mencari teks buku-buku bahasa Arab dan menterjemahnya demi meluaskan pengetahuan mengenai pelbagai penyakit, ilmu kira-kira. algebra, trigonometri dan lain-lain lagi.

Sebelum keputusan menterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Latin dan bahasa pribumi, warga Eropah tidak begitu mengetahui falsafah Yunani dan sains kerana kebanyakan karya Yunani dalam bidang-bidang tersebut telah diterjemah ke bahasa Arab. Setelah warga Eropah berjaya menterjemah teks-teks buku Arab, mereka mula mengetahui fikiran Aristotle dan Archimedes antara lainnya.

Dipengaruhi

Dante sendiri memperlihatkan betapa dia dipengaruhi oleh Islam manakala menulis Divine Comedy. Beliau mungkin mendapat ilham menulis mengenai penjelajahannya ke neraka setelah mengetahui kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW termasuk perjalanan dari Baitulmaqdis.

Dalam pada itu budaya Islam pada masa silam tidak menghalang warga-warga Barat menerima segala pengetahuan dunia Islam. Masyarakat Islam menganggap agama mereka mengatasi yang lain dan tidak memusuhi warga Eropah. Demikian antara kajian.

Juga dicatat ialah sejarah pemerintahan Arab kemudiannya selama kira-kira 700 tahun di Sepanyol dan ramai warga Sepanyol memeluk agama Islam.

Berlaku dalam edaran sejarah ialah Islamofobia. Antara yang selanjutnya berperanan ialah Profesor Bernard Lewis yang menulis tiga buah buku selepas peristiwa 11 September: What Went Wrong? The Crisis of Islam dan Islam The Religion and the People.

Dari kalangan politik pula ialah peranan ahli Parlimen Belanda, Geerd Wilders yang menyifatkan Islam sebagai ideologi fasis dan al-Quran sama dengan Mein Kampf, karya Adolf Hitler, diktator Nazi Jerman.

Seperti diketahui, Wilders telah melawat Israel lebih 40 kali dan menyertai sidang anti jihad di Baitulmaqdis pada tahun 2008. Juga berperanan ialah petugas akhbar Denmark yang melukis kartun-kartun menghina nabi. Sebaliknya pula ialah peranan positif Profesor John Esposito dari Amerika dalam bukunya Who Speaks for Islam. Turut serta Dalia Mogahad, juga dari Amerika, antara catatan:

Bilangan warga Islam lebih 1.3 bilion dalam 57 negara yang berbicara dalam begitu banyak bahasa: Arab, Parsi, Turki, Urdu, Swahili, Cina Inggeris, Perancis, Jerman, Amerika, Denmark, Malaysia-Indonesia, Jepun dan Korea.

Berbeza dari Dante dengan cerita nerakanya ialah Dr. Thomas Irving yang memperoleh ijazah dalam bahasa Arab dan Sepanyol dari Universiti Princeton, Amerika dan bertugas hingga 25 tahun untuk menterjemah al-Quran. Nama Islamnya, Haji Ta'alim Ali.

Seorang lagi ialah Michael Wolfe, warga Amerika yang memeluk agama Islam dan menunaikan fardu haji lalu menulis buku berjudul One Thousand Roads to Mecca.

Antara nama-nama yang dicatat ialah Malcolm X, pejuang politik African-American yang nama Islamnya Haji Malok Al-Shabaza dan johan tinju dunia, Muhammad Ali yang menunaikan haji pada 1970-an. Tiada yang lupa membawa balik air zamzam kemudiannya.

Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Source: Mingguan Malaysia Online.

Isnin, 31 Januari 2011

Sejarah perhambaan di Afrika Selatan

Tan Sri Mazlan Nordin

MASA lampau adalah negara lain: Cara-cara mereka berbeza. Hanya satu dua peristiwa lebih luar biasa dalam masa 100 tahun lalu dari penjajahan dan kebebasan benua Afrika.

Demikian dicatat dalam buku berjudul Colonial Africa oleh A.J Christopher yang menceritakan betapa satu demi satu negara Afrika dahulu menjadi jajahan takluk kuasa-kuasa Barat, antaranya Portugis, Sepanyol, British, Perancis, Jerman, Belgium dan Itali.

Berperanan penting ialah tokoh-tokoh politik, bala tentera dan para pentadbir pihak-pihak penjajah. ada kalanya beberapa tokoh politik yang berperanan itu tidak pernah pun mengunjungi negara-negara yang mereka jajah.

Mulai abad ke-19 hanya kira-kira 25,000 warga kulit putih berada di Afrika. Bilangan itu meningkat hingga 2.2 juta menjelang 1911. Mereka juga membawa masuk orang-orang India untuk menjadi buruh pelbagai perusahaan. Lalu disebut: Mereka diambil untuk kontrak kerja selama lima tahun dan disambung selama lima tahun lagi, iaitu menggantikan kepulangan ke India, atau mendapat sebidang tanah untuk terus bermastautin di Afrika.

Kebanyakan memilih untuk terus bekerja walaupun hanya sebilangan kecil saja mendapat tanah yang dijanjikan oleh pemerintah kulit putih.

Sementara itu ramai sekali warga kulit hitam Afrika dicolek dan dihantar ke benua Amerika untuk menjadi hamba abdi. Mereka bekerja di ladang-ladang milik kulit putih di wilayah-wilayah selatan Amerika. Seperti catatan sejarah perang saudara berlaku kemudiannya di antara wilayah-wilayah selatan dan utara Amerika. Yang menang ialah pihak utara dan sistem hamba abdi kulit hitam beransur-ansur hapus.

Seorang ahli sejarah, Simon Schama kemudiannya mengulangi tulisan radikal seorang warga Inggeris bernama Thomas Day pada tahun 1976 seperti berikut: “Sungguh mengarut manakala seorang Amerika yang patriotik menandatangani resolusi menuntut kemerdekaan dengan tangannya, tetapi sebelah tangan lagi menghayun cemati ke arah hamba-hamba abdinya”.

Penjajahan oleh kuasa-kuasa Eropah ke atas negara-negara Afrika di dorong oleh kepentingan-kepentingan ekonomi. Masing-masing bertindak dengan cara sendiri. Terlibat ialah bala tentera, para pentadbir, para peniaga, pemburu, para peladang, pelombong dan mereka yang mahu bermastautin.

Juga terlibat ialah pengembang- pengembang agama Kristian. Kerana itu kemudiannya ramai yang memeluk agama Kristian. Sebelum itu telahpun merebak perkampungan-perkampungan Islam di Afrika Utara, Afrika Tengah dan lain-lain wilayah.

Bilangan warga Eropah sendiri di Afrika meningkat hingga enam juta pada tahun 1960. Seramai satu juta lagi ialah pendatang-pendatang dari Asia. Juga paling ramai ialah warga kulit putih di Afrika Selatan, antaranya dari negara Belanda yang mempunyai jajahan takluk di nusantara Indonesia, waktu itu dipanggil Duth East Indies. Bilangan kulit putih meningkat hingga 4.8 juta di Afrika Selatan.

Warga pribumi kulit hitam dipisahkan dari penduduk kulit putih, terutama di kawasan-kawasan perbandaran. Juga disebut: “Pendatang-pendatang bangsa Asia pula didesak supaya kembali ke negara masing-masing. Jika tidak, mereka diasingkan. Tiada yang bukan kulit putih boleh memiliki tanah”.

Dijelaskan lagi ialah keadaan di Afrika Utara. Pada tahun 1911 sejumlah 900,000 warga Eropah bermastautin di Algeria dan Tunisia. Selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918) Maghribi menerima kedatangan 600,000 warga Eropah. Dengan itu Afrika Utara milik Perancis mempunyai 1.9 juta warga Eropah.

Di Tunisia pada 1911 seramai lebih 46,000 warga Perancis, kurang dari bilangan warga Itali seramai 88,182 orang. Hampir dua pertiga penduduk Eropah di Tunis ibu kota Tunisia ialah warga Itali. Namun, akhirnya Algeria dan Tunisia mencapai kemerdekaan.

Mendapat perhatian ialah tindakan Belanda menggunakan “hamba abdi warga Asia” di Afrika Selatan sejak tahun 1659. Pihak berkuasa Dutch East Indies Company mengambil keputusan untuk menggunakan hamba abdi Asia dari jajahan takluknya (Indonesia).

Dicatat pada bahagian akhbar buku Colonial Africas ialah kenyataan berbeza oleh Raja Baudouin, raja Belgium penjajah Congo: “Bandar-bandar besar telah dibina dan keadaan perumahan baik sekali”. Patrice Lumumba (mendiang), Perdana Menteri Republik Congo pula berkata: “... dipelbagai bandar rumah-rumah yang cantik ialah milik kulit putih dan pondok-pondok usang untuk si kulit hitam”.

Menjadi bahan-bahan berita dewasa ini ialah negara-negara Afrika yang merdeka manakala berlaku kemelut politik, demonstrasi atau rusuhan, rampasan kuasa, perlantikan presiden yang tewas dalam pilihan raya antara lainnya. Berlaku ialah pertembungan sesama sendiri pula.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Ahad, 2 Januari 2011

Nyawa wartawan semakin terancam




PELBAGAI cabaran yang menghadapi para wartawan di serata dunia dibicarakan dewasa ini. Lantas disebut antara lainnya betapa 71 orang wartawan menjadi korban pada tahun 2009, iaitu lebih ramai dari tahun demi tahun sebelumnya.

Lalu simposium khas diadakan di Universiti Harvard, Amerika bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu dilaksanakan untuk mengatasi hal. Dari sumber lain pula laporan disebar mengenai sesetengah para wartawan menjadi "broker" politik dan akibat-akibatnya.

Laporan Harvard International Review baru-baru ini mencatat tindakan-tindakan keganasan terhadap wartawan di Mexico, Rusia, Zimbabwe, Colombia, Filipina dan Ivory Coast di mana seorang yang kalah dalam pilihan raya terus mendakwa ia menjadi presiden, serta negara-negara lain. Antara tajuk simposium: Journalism as a Life of Danger.

Bagi kali pertama adanya seramai 136 wartawan dihukum penjara di serata dunia daripada golongan Internet dan yang dipanggil bloggers. Dalam pada itu seramai 22 wartawan menjadi korban serangan di Mexico sejak Presiden Calderon menjadi presiden pada tahun 2006 dan melancarkan tindakan tegas terhadap gerombolan-gerombolan penyebar dadah. Ada wartawan yang dituduh terlibat dengan kegiatan tersebut.

Antara yang melakukan penyelidikan dan penyiasatan ialah International Federation of Journalists yang mewakili 600,000 wartawan di 100 buah negara.

Industri terbitan akhbar berkembang, umpamanya di negara China yang "kedua terbesar" selepas India, dengan jualan 109 juga naskah setiap hari pada tahun 2009. Sementara itu 50 juta akhbar Jepun terbit setiap hari dan Amerika dengan 46 juta naskah. Jelas bahawa setiap hari sejumlah 1.7 bilion juta membaca akhbar, iaitu 25 peratus dari jumlah penduduk dunia.

Turut dijelaskan bahawa tiga daripada empat wartawan di serata dunia yang menjadi korban bukan kerana terpijak periuk api atau tertembak ketika berlaku tembak menembak di medan perang. Ada yang mati ditambah oleh penunggang motosikal, ditembak atau ditikam berhampiran rumah sendiri atau pejabat. Pun ada yang mati setelah diculik dan diseksa seperti berlaku di Somalia.

Antara cerita yang disiarkan ialah nasib Atwar Bahjat wartawan wanita dari saluran televisyen Al-Arabiya Amiriah Arab Bersatu dan sebelum itu dengan Al-Jazeera. Pada suatu hari beliau dan juru gambarnya menyaksikan serangan di sebuah masjid di Samarra, Iraq.

Menculik

Beberapa lelaki bersenjata dalam sebuah mobil warna putih kemudian menculik Bahjat. Mayatnya kemudian dijumpai dengan tanda-tanda ia telah diseksa.

Di Pakistan pula, seorang pemberita akhbar, bernama Ghulam Rasool Birhamani diculik dan seksa setelah membuat laporan mengenai seorang gadis 12 tahun dipaksa berkahwin dengan lelaki dewasa.

Juga dicatat ialah nasib seorang wartawan Indonesia, Ridwan Solamun, jurugambar saluran Sun TV, yang mati ditikam setelah mengambil gambar perkelahian antara dua kumpulan di sebuah kampung pada bulan Ogos 2010.

Di Filipina pula 30 wartawan dari seramai 57 orang awam mati ditembak dalam satu peristiwa pergaduhan kempen pilihan raya di Wilayah Maquindano.

Di samping itu kira-kira 18 peratus wartawan mati ketika bertugas seperti berlaku pada Mazen Dana, jurugambar agensi Reuters pada tahun 2003 di luar penjara Abu Ghraib di Iraq.

Beliau berada dalam kereta bersama rakan-rakannya setelah mengambil gambar di luar penjara. Tiba-tiba sebuah kereta kebal tentera Amerika menghampiri mereka.

Dana keluar dari keretanya sambil membawa kamera di atas bahunya menuju ke arah kereta kebal tersebut. Seorang askar yang berdiri di atas kereta kebal itu menembak dada Dana.

Menurut askar tersebut kemudiannya ia melihat seorang lelaki kulit hitam menuju ke arahnya dan menyangka kamera di atas bahu Dana ialah senapang peluru berpandu. Pihak berkuasa tentera akhirnya membebaskan askar itu dari sebarang tuduhan.

Sebuah laporan dari sumber lain menyebut mengenai sesetengah wartawan melupai asas tugas kewartawanan: mencari dan menyebarkan informasi sebagaimana yang berlaku.

Wartawan tidak seperti para doktor yang tertakluk kepada sesuatu yang dipanggil Hippocratic Oath, umpamanya, seorang doktor tidak boleh mencari untung dengan memilih ubat-ubat dari syarikat-syarikat perubatan. Ia juga tidak boleh menyuruh pesakit menjalani pembedahan yang tidak diperlukan. Maka dengan itu wartawan diingati mereka tidak boleh menyalahgunakan tugasnya untuk mencari keuntungan.

Diingatkan juga bahawa mereka tidak boleh menjual diri kepada pihak-pihak politik atau yang berkuasa untuk menikmati kekayaan dan hidup senang-lenang.

Cerita bersambung kerana sebenarnya juga ada bagi wartawan ialah tatasusila kewartawanan, seperti di Malaysia, antaranya: Melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai mendapat maklumat yang benar, mengelakkan diri daripada plagiarasme, fitnah dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

Source: Mingguan Malaysia Online

Ahad, 26 Disember 2010

Hawking ibaratkan perkataan “Tuhan” sebagai kiasan










Stephen Hawking membandingkan otak manusia dengan komputer, suatu ciptaan paling pintar oleh manusia. Namun, komputer masih rendah mutunya dari otak kurniaan Tuhan. Tiada manusia yang boleh mencipta kepintaran otak.

Pada hemat saya, satu-satunya kelemahan Hawking ialah ia tidak mengenali Tuhan yang mencipta alam semesta.

Demikian kandungan dua pucuk surat para pembaca majalah Time ketika mengulas pelbagai pandangan Hawking, seorang ahli sains dari Universiti Cambridge yang pernah melawat Malaysia beberapa waktu dahulu dan disambut dengan meriah dan spontan oleh mereka yang kaget dengan kecerdasannya.

Beliau menjadi professor matematik selama 30 tahun hingga bersara pada tahun 2009. Antara pingat yang diterima olehnya ialah Presidental Medal of Freedom kurniaan peringkat awam paling tinggi di Amerika.

Antara bukunya yang paling laris sekali jualannya ialah A Brief History of Time, tetapi menurut pelbagai laporan sorotan buku tersebut hanya segelintir yang membaca sepenuhnya kerana sukar difahami pembaca biasa.

Kepercayaan

Menurut satu laporan lain Hawking menggunakan perkataan “Tuhan” ibarat kiasan saja sambil menyatakan bahawa “wujudnya tuhan tidak perlu dijelaskan bersabit kelahiran alam semesta”. Ini antara yang dicatat dalam A Brief History of Time itu.

Bekas isterinya, Jane Hawking pernah menyatakan dalam perbicaraan perceraian mereka bahawa beliau seorang ateis. Menurut kepercayaan Hawking “alam semesta lahir dari unsur-unsur saintifik”.

Beliau disanjungi kerana kepintaran luar biasa dalam ilmu fizik. Beliau beransur-ansur hilang kekuatan menggunakan kedua-dua belah tangan, kaki dan suaranya hingga hampir lumpuh setelah jatuh dari tangga sewaktu belajar di universiti. Kerana kepintaran yang luar biasa, maka beliau dihormati oleh pelbagai pihak.

Juga dilaporkan ialah kepercayaan mengenai adanya makhluk asing dilain-lain bintang siarah. Interaksi dengan mereka mungkin membawa akibat kepada manusia”. Jika makhluk asing mengunjungi kita, akibatnya ialah seperti ketika Columbus dulu mendarat di Amerika, iaitu membawa nasib malang bagi pribumi Amerika”. Yang dimaksudkan ialah mereka yang kemudian dipanggil Red Indians.

Menurut laporan lain pula hanya 2.3 peratus penduduk seluruh dunia menganggap diri mereka ateis dan 11.9 peratus lagi di kalangan yang tidak beragama.

Selanjutnya dicatat: “Di Eropah bilangan ateis dan seumpamanya tidak ramai seperti di Poland, Romania, Cyprus dan lain-lain negara. Bilangan mereka 85 peratus di Sweden, 80 peratus di Denmark, 72 peratus di Norway.

Perhatian

Menarik perhatian ialah hal-hal lain yang dihuraikan oleh Profesor Chandra Muzaffar dalam bukunya berjudul Exploring Religion in Our Time (Universiti Sains Malaysia Press).

Ia berupa cubaan untuk “memahami sesetengah isu penting yang muncul di antara agama dan masyarakat sejak beberapa dekad lampau. Apakah peranan agama-agama Buddha, Kristian, Hindu, Islam dan Judaisme dalam pembicaraan umum dewasa ini”.

Antara persoalan: Apakah yang mendorong peralihan kepada peranan agama sebagai saluran untuk reformasi dan bantahan dalam beberapa masyarakat di Asia? Lalu dicatat antara lainnya: “Mempertahan identiti Melayu bererti mempertahan identiti Islam dan sebaliknya”.

Juga disentuh ialah sikap Islamophobia yang telah berlarutan selama seribu tahun dan terbitnya buku-buku anti-Islam seperti Satanic Verses atau kartun-kartun mempersenda Nabi Muhammad dalam akhbar Denmark serta filem Fitna di negeri Belanda.

Huraian meliputi enam negeri asing - tiga dengan majoriti bukan Islam dan tiga lagi dengan majoriti Islam. Selanjutnya pula pelbagai cubaan yang dihadapi oleh kesemua.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Ahad, 28 November 2010

Perkembangan Islam di seluruh dunia








Oleh Mazlan Nordin

TERNYATA kini banyaknya buku-buku mengenai Islam dalam bahasa Inggeris. Lalu dicatat oleh Profesor John Esposito: "Ramai percaya bahawa pada peringkat pertengahan pertama abad ke-21 Islam akan menjadi agama kedua terbesar di Amerika.

Beliau ialah Ketua Editor Oxford Encylopedia of the Modern Islamic World dan The Oxford History of Islam. Menurutnya kira-kira enam juta warga Islam di Amerika kini lebih ramai dari golongan Episcopalian.

Lebih 2,100 masjid dan pusat-pusat Islam telah dibina di serata tempat di Amerika di pekan-pekan kecil dan perkampungan serta bandar-bandar besar. Ini kerana warga Islam telah berada di Amerika sejak abad ke-19 lagi.

Kedatangan mereka dari waktu Columbus termasuk golongan Moriscos (Islam Sepanyol) selain dari hampir 20 peratus hamba abdi Afrika walaupun ada yang kemudian dipaksa masuk agama Kristian. Yang lain ialah warga India dan Arab.

Masyarakat Islam paling ramai kini ialah di New York, Boston, Chicago, Los Angeles, Houston, Detroit dan Toledo. Pelbagai hal mengenai kehadiran mereka kian terserlah berikutan peristiwa-peristiwa termasuk revolusi Iran, Perang Teluk Parsi dan peristiwa-peristiwa di Pakistan.

Sementara itu bilangan warga Islam di Eropah Barat telah meningkat daripada 10 hingga 15 juta. Paling ramai ialah di negara Perancis, Jerman dan Britain. Bilangan kecil ialah di negeri Sepanyol, Belanda, Sweden, Denmark, Norway dan Austria.

Paling ramai warga Islam di Eropah ialah di negeri Perancis sejumlah lima juta. Masjid-masjid besar telah dibina di Paris dan Lyons.

Bilangan warga Islam di Britain pula hampir dua juta dan lebih 600 masjid telah pun dibina. Berbanding keadaan di Perancis dan Jerman yang ramai warga Islam tidak berhak mengundi dalam pilihan raya, warga Islam dari negara-negara Komanwel mendapat kerakyatan British.

Profesor Esposito ialah sarjana pengajian Islam dari pengarah pusat persefahaman Islam- Kristian di Universiti Georgetown. Beliau juga mendalami perbezaan di antara golongan Sunni dan Syiah dengan beberapa mazhab imam-imamnya.

PentafsirDisiarkan dalam akhbar Times, London baru-baru ini ialah iklan jualan apartmen di Mekah dari satu hingga tiga bilik yang darinya bilik boleh dilihat ke Kaabah. Iklan tersebut untuk makluman warga Islam di Britian, antara lainnya.

Menyertai Profesor Esposito sebagai pakar Islam ialah T.B Irving (Haji Ta'Lin Ali), pentafsir Quran dan Gai Eaton, lulusan Universiti Cambridge dengan bukunya berjudul Islam and the Destiny of Man.

Dari dunia timur pula ialah Historical Developments of Islam in China. Antara lain catatan mengenai 35,000 masjid di serata negara China. Di ibu kota Beijing saja terdapat 64 masjid.

Antara masjid paling tua ialah di Guangzhou, selatan China yang dibina pada abad ketujuh. Menurut banci 1990, jumlah warga Islam China lebih 17 juta, tetapi punca-punca lain menyebut jumlah mereka sebenarnya antara 30 hingga 50 juta.

Menurut laporan Wikipedia, agama Islam tiba di negara China melalui seorang yang dihantar oleh Saidina Othman. Perkampungan Islam pertama wujud terdiri dari warga Arab dan para peniaga Parsi.

Warga Islam menduduki pelbagai wilayah. Sebilangan kemudiannya menunaikan fardu haji antara abad ke-15 hingga abad ke-18. Bilangan mereka meningkat hingga 10,700 pada tahun 2007.

Menurut laporan pada bulan April 2001, kerajaan menubuhkan Persatuan Islam China untuk membantu menggalakkan pelajaran membaca al-Quran". Ia dikendalikan oleh 16 pemimpin Islam yang ditugas mengawasi pelaksanaan syariah-syariah Islam. Antara keistimewaan yang diluluskan bagi warga Islam ialah yang berikut:

# Di daerah-daerah yang warga Islam majoriti, pemeliharaan babi tidak diizinkan.

# Tanah-tanah perkuburan khas bagi warga Islam.

# Perkahwinan melalui imam dan cuti bagi para pekerja pada hari-hari kebesaran Islam.

# Izin untuk menunaikan haji ke Mekah.

Dalam pada itu banyak restoran mengadakan hidangan makanan halal. Dalam bahasa Cina terjemahan perkataan halal ialah qingzhen cai.

Laporan-laporan yang terbit ialah mengenai warga Islam yang minoriti di dunia Barat dan Timur iaitu sebahagian dari para ummah. Jelas bahawa mereka menghadapi ujian, cabaran dan ada kalanya penindasan dengan keteguhan iman.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Isnin, 22 November 2010

Orania, kemunculan semula dasar Apartheid?








KERINDUAN pada masa lalu merebak di kalangan kulit putih Orania di Afrika Selatan yang melaksanakan dasar Apartheid terhadap warga kulit hitam pada tahun 1948 hingga 1994. Lalu tersiar gambar seorang dewasa mengajar kanak-kanak kulit putih bagaimana menembak menggunakan pistol.

Pertanyaan lantas dicatat: Apakah ini permulaan era baru diskriminasi antara kaum? Walhal Presiden Afrika Selatan sejak sekian lama ialah tokoh kulit hitam.

Laporan dalam majalah Inggeris yang sama ialah mengenai Nelson Mandela, Presiden kulit hitam pertama. Puluhan tahun ia ditahan dalam penjara di Pulau Robben oleh rejim Apartheid.

Pembinaan semula Orania dilancarkan pada tahun 1991 oleh Profesor Carel Boshoff, menantu mendiang Hendrik Verwoerd yang dianggap sebagai pelopor dasar Apartheid.

Beliau membeli sebuah pekan lama yang penduduknya hanya seramai 11 orang. Ia kemudian menjadi masyarakat yang maju dengan penduduk seramai 450 orang, lengkap dengan pasar raya dan kedai-kedai serta khidmat doktor, para peguam dan arkitek, dua buah sekolah serta stesen radio.

Terdapat dipelbagai tempat di pekan tersebut ialah patung-patung Verwoerd yang pernah menyatakan bahawa pemerintahan kulit putih yang minoriti di Afrika Selatan akan kekal selama-lamanya.

Pihak berkuasa Orania juga mengatur pelbagai lawatan ke Israel untuk mempelajari teknik-teknik pertanian Israel kerana Orania mahu diperbesarkan hingga mempunyai 25,000 penduduk.

Profesor Boshoff menjelaskan: “Orania merupakan eksperimen dan ia telah berjaya”. Menurutnya, dua buah lagi pekan menyerupai Orania perlu diwujudkan setelah berjaya mengundang bekas Presiden Nelson Mandela.

Masa depan Afrika Selatan pada keseluruhannya dianggap belum menentu. Masa depan Orania pula dianggap lebih rumit diramalkan. Ayat akhir laporan berbunyi: “Patung-patung yang diletakkan di lereng bukit bukan boleh melihat apa-apa”.

Laporan mengenai Mandela diberi judul Letters From The Darkness. Lalu disebut mengenai bukunya yang terbit “20 tahun setelah bebas dari penjara”.

Isterinya, Winnie Mandela berkali-kali masuk penjara dan diganggu. Salah seorang anak lelakinya, Thambi mati dalam nahas jalan raya ketika berumur 24 tahun pada 1969.

Mandela menulis dengan rasa sedih, kerana tidak dibenarkan menghadiri pengkebumian anaknya itu.

Sepucuk surat kepada isterinya bertarikh 1 Oktober 1976 berbunyi: “Saya telah menulis surat kepada anak-anak selepas kau ditahan dan menasihati mereka supaya jangan terlalu bimbang kerana ketiadaan kau di rumah.

Saya mengingatkan mereka bahawa kau berpengalaman menghadapi apa jua kerumitan. Namun, saya sentiasa bimbang akan kesihatan diri kau kerana tidak dapat tidur pada waktu malam kerana ditinggalkan... dan berasa sedih kerana tidak tahu bila kita akan berjumpa semula”.

Juga disiarkan ialah bab pertama riwayat hidupnya bertarikh 16 Oktober 1998 berbunyi: “Sejarah tidak berhenti berputar walaupun ada pejuang-pejuang kemerdekaan yang berpengalaman. Kerap berlaku adanya pejuang-pejuang revolusi tunduk kepada kehalobaan dan terdorong mengambil wang untuk kekayaan.

Dengan memiliki kekayaan untuk diri sendiri dan pengkhianat matlamat-matlamat suci perjuangan, maka bererti mereka mengkhianati rakyat, serta menyertai para penindas setelah merampas wang rakyat yang paling miskin”.

Akhirnya setelah dibebaskan dan menyertai pilihan raya demokrasi pada 27 April 1994 African National Congress pimpinan Mandela mencapai kemenangan. Sejumlah 20 juta rakyat Afrika Selatan mengundi.

Kongres menang lebih 62 peratus undi. Pada 10 Mei 1994 beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan. Menjadi Timbalan Presiden ialah Thabo Mbaki dan Frederik Willem de Klerk, wakil kulit putih.

Lahir ialah yang dipanggil “Government of National Unity” segala kaum, Kok kini Orania milik kulit putih mencabarnya pula?

Source: Mingguan Malaysia Online

Ahad, 14 November 2010

Kisah kelasi Melayu di perantauan








Sumber: Mingguan Malaysia Online.

KIRA-kira 500 orang Melayu bermastautin di Liverpool setelah tamat Perang Dunia Kedua. Ramai dari mereka ialah kelasi kapal-kapal dagangan Inggeris.

Sebuah rumah deret, nombor 7 Jermyn Street, Liverpool dibeli untuk menjadi kelab tempat mereka berkumpul dari semasa ke semasa. Liverpool waktu itu pelabuhan besar yang mengadakan hubungan dagangan hingga ke Tenggara Asia dan seterusnya ke selatan Pasifik.

Demikian antara kisah-kisah yang dilaporkan oleh Tim Bunnell mengenai Malay Liverpool. Sebilangan lain kelasi-kelasi Melayu bermastautin di London dan New York di Amerika. Jelas sekali jauhnya mereka merantau.

Temu ramah diadakan dengan bekas-bekas kelasi yang telah meningkat umur mereka dan para keluarga mereka di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Menurut Bunnell lagi kesemua bekas kelasi itu lahir dan membesar "di alam Melayu". Ini termasuk Sumatera dan Pulau Jawa, Borneo dan Sulawesi.

Lalu dicatat betapa kelasi-kelasi yang lahir di Kampung Serkam atau Tanjong Keling di Melaka menyebut hubungan akrab mereka dengan Singapura.

Hampir ke semua kelasi Melayu di Liverpool mendapat peluang kerja masing-masing di Singapura. Seorang seperti Mohamad Nor Hamid yang berasal dari Tanjung Keling menyebut dirinya sebagai "orang Melaka" dan "orang Singapura".

Hingga lewat 1960-an pekerjaan ialah dengan kapal-kapal dagangan Inggeris. Pada dekad berikutnya barulah muncul kapal-kapal Malaysia yang bermula dengan nama "Bunga".

Pada tempoh 1970-an hingga 1980-an orang-orang Melayu yang tiba di Liverpool atau melaluinya ialah para pelajar. Dalam pada itu ramai kelasi yang bermastautin di Liverpool pada tahun 1946 hingga 1960-an tidak menjejak kaki di Malaysia atau Singapura.

Di samping itu pula wakil-wakil UMNO datang melawat orang-orang Melayu di Liverpool. Pada mulanya rumah Nombor 7 Jermyn Street menjadi seperti kelab bagi para pelawat menemui bekas-bekas kelasi.

Menurut Bunnell lagi, sebelum Perang Dunia Kedua dan Perang Pasifik orang-orang Melayu di Liverpool menyewakan rumah-rumah mereka. Para pendatang Melayu kemudiannya tidak dianggap sebagai "orang luar".

Laporan Bunnell berupa kertas kerja untuk Universiti Singapura dan disiarkan dalam majalah Pacific Affairs isu bulan September 2010. Lantas disebut buku berjudul Contesting Malayness: Malay Identity across Boundries oleh Timothy Bernard. Pada peringkat permulaan dicatat hal-hal berikut, antara lainnya:

"Orang Melayu berada di Indonesia, di Sumatera dan sepanjang pantai Borneo Indonesia... perkataan "Melayu" pada abad ke-7 dicatat oleh penulis-penulis negeri China".

Tiga perkataan: Melayu Malay, Maleis dicatat bagi manusia, tempat-tempat, bahasa-bahasa dan adab-adab di antara Petani dan Timor, Manila dan Banda Aceh, Makasar dan Bangkahulu, Pagar Ruyung dan Botavia serta Selat Melaka". Juga disebut kisah-kisah Melayu sentiasa berpindah dan melakukan transformasi diri sendiri".

Turut disiarkan ialah puisi mengenai nasib orang Melayu oleh Tenas Effendy yang diterjemah ke bahasa Inggeris. Antara lain yang berbunyi berikut.

Although Malays are soft-hearted

Towards new comers they talk sweetly,

But don't take away their rights

Malays are willing to face death.

Although Malays are forbidden to commit treason

towards the leaders they are loyal

But don't oppress them

Malays also are brave enough to put their lives on the line

Dari satu pidato Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini pula kata-kata berikut dari pujangga Melayu masa lalu:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu

Minangkabau memang Melayu

keturunan Acheh adalah Melayu.

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistani semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mualaf bertakrif Melayu

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam

Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum

kita bersama dalam serumpun.

Source: Mingguan Malaysia Online

Sabtu, 30 Oktober 2010

Putar belit Barat terhadap keindahan Islam








Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 31 Oktober 2010.

Tan Sri Mazlan Nordin


BAGI sebilangan ramai penonton filem dari masa lalu di mana juga negara maka seniwati yang paling diminati ialah Brigitte Bardot dari Perancis. Siapa menduga bahawa beliau, kini 76 tahun, bersikap antidaging halal dan menganggapnya sebagai “pencerobohan” di negara Perancis?

Hal ini dilaporkan dalam Newsweek, majalah mingguan Amerika isu 18 Oktober, bertajuk Bardot’s Contentious Second Act. Selanjutnya dicatat:

“Mahkamah-mahkamah Perancis telah lima kali mendapati beliau bersalah kerana mencetus sikap perkauman melalui temuramah-temuramah radio atau penulisannya dan mendenda beliau beribu-ribu dolar sejak dua puluh tahun lalu.”

Laporan tersebut mendapat perhatian ketika Malaysia antara yang giat berkempen menggalakkan pemakanan halal ke negara-negara lain, termasuk dunia Barat.

Lebih menarik perhatian ialah perbicaraan di The Hague, ke atas ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang dianggap anti Islam kerana menyifatkan Islam sebagai ideologi “fasis” dan menyamakan al-Quran dengan Mein Kempf karangan Adolf Hitler, diktator Nazi Jerman pencetus Perang Dunia Kedua.

Namun, pihak pendakwa baru-baru ini meminta mahkamah membebaskan Wilders daripada tuduhan yang dihadapi atas alasan kenyataan beliau tidak berunsur jenayah walaupun menyinggung perasaan warga Islam. Beliau kini ketua Party for Freedom, parti politik yang ketiga terbesar di negeri Belanda.

Berumur 47 tahun, Wilders telah melawat Israel lebih 40 kali. Beliau antara pembicara sidang Anti Jihad di Jerusalam pada tahun 2008.

Beliau juga berperanan menerbit filem mengenai agama Islam di negara Belanda, bertajuk Fitna. Pada 21 Januari 2009, Mahkamah Ulang bicara di Amsterdam mendakwa beliau kerana “menghasut rasa benci dan diskriminasi”.

Menurut laporan selanjutnya, Wilders dilarang melawat ke Britain antara Februari hingga bulan Oktober 2009. Kementerian Dalam Negeri mendakwa kehadirannya “membahayakan kepentingannya mutlak masyarakat,” tetapi larangan itu dibatalkan setelah Wilders merayu dan pada tahun 2010 beliau menayangkan filem Fitna.

Menurut catatan Wikipedia, ibu beliau lahir di Sukabumi, Indonesia semasa penjajahan Belanda. Ayahnya warga Belanda manakala isterinya dari keluarga Serani.

Memutar belit

Sejak beberapa waktu Wilders dikawal keselamatan dirinya oleh pengawal-pengawal peribadi yang ditanggung gaji mereka oleh kerajaan. Wilders yang asalnya anggota Roman Katolik kini tiada percaya pada Tuhan, tetapi menganggap golongan Kristian Belanda sebagai “rakan-rakan saya”.

Menurut laporan-laporan selanjutnya warga Islam yang mengkritiknya menuduh beliau sengaja memutar-belit ayat-ayat al-Quran.

Rencana-rencana pengarang akhbar The Will Street Jornal, The Guardian, The New York Times dan Montreal Gazatte menganggap Wilders sebagai hipokrit kerana mendesak supaya al-Quran diharamkan tetapi ia sendiri menuntut kebebasan bersuara.

Menurut Wikipedia lagi Wilders telah disamakan dengan mendiang Theo Van Gogh pembikin filem anti Islam yang kemudian mati dibunuh. Beliau juga telah menyiarkan manifesto politik yang antara lain memutuskan:


•Larangan membina masjid-masjid baru dan sekolah-sekolah agama Islam selama lima tahun, larangan dakwah dalam apa jua bahasa kecuali bahasa Belanda.


•Melarang iman-imam dari luar mengadakan kuliah.


•Menutup masjid-masjid “yang radikal” dan makmumnya dihalau.

Menjadi tanda tanya ialah kaitan dengan penjajah Belanda di Indonesia pada masa dahulu dan antara nama yang timbul kembali ialah Snouck Hurgronje, penasihat mengenai Islam kepada pemerintahan penjajah.

Beliau menganggap sepi agama Islam dan menyertai beberapa penulis lain bahawa dunia Barat dan golongan Kristian mesti menentang ketegasan Islam.

Seperti disebut dasar beliau ialah meluaskan pendidikan cara Barat untuk melemahkan dan akhirnya melenyapkan pengaruh agama Islam di Indonesia.

Antara karya Hurgronje ialah Mekka in the latter part of the 19 th Century setelah menemui secara sulit sebilangan jemaah haji Indonesia di Mekah.

Kini abad ke-21 dan Indonesia ialah negeri Islam terbesar sekali dengan penduduknya sejumlah lebih 240 juta. Hurgronje dan penjajah Belanda gagal menghalang kemaraan agama Islam. Demikian juga Wilders yang sebulu dengannya. Bilangan umat Islam kini lebih daripada 1.5 bilion.

Source: Mingguan Malaysia Online

Sabtu, 16 Oktober 2010

Faktor babu pilih Malaysia dan Arab Saudi








Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 17 Oktober 2010.

Oleh: Tan Sri Mazlan Nordin.


KEBANYAKAN migran Indonesia yang mencari kerja memilih negara-negara Islam sebagai destinasi mereka, terutama Malaysia dan Arab Saudi.

Pada tahun 2006 seramai 680,000 warga Indonesia berangkat ke luar negara sebagai migran yang mempunyai dokumen. Jumlah besar migran Indonesia pada peringkat internasional kira-kira 4.3 juta.

Demikian catatan dalam jurnal Pacific Affairs, terbitan Universiti British Columbia di Canada dalam isu bulan Mac 2010. Selanjutnya disebut hal-hal berikut:


•Dari jumlah yang berlepas pada tahun 2006, seramai 40 peratus menuju ke Malaysia dan 45 peratus lagi ke Arab Saudi.


•Majoriti migran ialah wanita dan 88 peratus bekerja sebagai babu.

Laporan tersebut, berupaya kajian mendalam, ditulis oleh Johan Linquist, sarjana dari jurusan antropologi sosial Universiti Stockholm di Sweden.

Sedutan dari laporannya yang bermula di Lombok, seperti berikut: “Waktunya sebelah pagi bulan Jun 2007 di Pulau Lombok. Saya berada di PT Semesta, agensi kecil yang menghantar wanita-wanita bekerja sebagai babu di Malaysia dan Singapura.

Pagi ini, Yati, seorang gadis berumur lebih 20 tahun masuk ke bilik tamu ketika saya mewawancara Rita dan Hannah dua petugas agensi berkenaan.

Saya telah pun mewawancara Yati dan dua hari lagi dia akan berlepas ke Malaysia untuk bekerja sebagai babu selama dua tahun. Tiket kapal terbangnya telah pun dibayar.

Sebulan sebelum ini agensi Semesta menghantar seorang wanita ke Singapura tetapi peperiksaan ke atasnya menunjukkan ia sedang mengandung. Lalu ia serta merta dihantar balik.

Agensi Semesta menyebut masalah-masalah yang dihadapi, antara lainnya sebilangannya tidak jadi pergi kerana mengandung. Kira-kira 30,000 babu Indonesia di Malaysia lari setiap tahun.

Pak Iskandar, seorang warga Cina-Indonesia yang berasal dari Riau berhampiran Singapura, akan datang pada minggu depan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi Agensi Semesta.

Lombok adalah sebahagian daripada wilayah Barat Nusa Tenggara beserta Sumbawa dan beberapa pulau kecil. Luasnya kira-kira 4,700 kilometer persegi dan sebahagian besar penduduk Islam kira-kira 3 juta jumlahnya.

Menjelang tahun 2004, seramai 14,000 migran meninggalkan Lombok tiap tahun. Bilangan meningkat hingga lebih 41,000 menjelang tahun 2008. Dari bilangan tersebut hampir 30,000 menuju ke Malaysia.

Bilangan

Ramai lelaki yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit dan lebih 11,000 menuju ke Arab Saudi, majoritinya wanita yang bekerja sebagai babu. Bilangan mereka meningkat 15 kali ganda sejak 2004.

Perjalanan ke Arab Saudi khususnya membolehkan mereka menunaikan fardu haji bersama-sama majikan mereka. Ternyata ialah pembinaan rumah-rumah baru di Lombok hasil kiriman mereka yang bekerja. Ada yang dipanggil rumah Saudi atau rumah Malaysia. Di samping itu puluhan masjid dibina.

Di Lombok terdapat pelbagai agensi pekerja. yang paling besar menghantar hingga 3,000 migran tiap tahun ke ladang-ladang kelapa sawit Malaysia. Yang lainnya pula mempunyai hubungan dengan pihak-pihak lain, termasuk Felda.

Saingan untuk mendapat khidmat babu telah meningkat di negara-negara Asia hingga ke Timur Tengah. Antara 2007 hingga 2009, bayaran kepada agensi-agensi pekerja Indonesia dari pejabat-pejabat buruh di Arab Saudi meningkat dari AS$800 (RM2,560) kepada AS $1,500 (RM4,800). Perubahan-perubahan juga berlaku di pasaran-pasaran lain seperti Malaysia.

Para wanita yang bekerja sebagai babu di Malaysia memperoleh kira-kira AS$175 (RM600) manakala di Arab Saudi, babu mendapat 800 riyal atau AS$215 (RM688).

Kebanyakan wanita memilih destinasi-destinasi Islam. Lelaki yang bekerja sebagai pemandu di Arab Saudi mendapat gaji kira-kira 1,000 riyal atau AS$270 (RM864).

Lelaki yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit Malaysia mendapat gaji AS$235 (RM800) setiap bulan.

Demikian sedutan dari laporan kerja sarjana Universiti Stockholm yang tidak berunsur politik atau cuba melaga-laga negara-negara yang terlibat. Yang dihuraikan hanya sebahagian daripada pelbagai aspek kerjasama antara Malaysia dan Indonesia antara lainnya, selaku anggota-anggota ASEAN.

Seperti telah disebut kebanyakan migran Indonesia memilih destinasi-destinasi Islam. Semoga hubungan akrab yang terjalin dengan negara-negara Islam lain terus dipelihara dan tidak mudah diadu-domba oleh manusia seperti ahli politik Belanda, Geert Wilders yang baru-baru ini dituduh mencetus rasa benci terhadap Islam. Beliau juga menganjur supaya Quran diharamkan.

Kerana, ada pihak-pihak lain menjadi konco iaitu yang bukan Islam dan nenek moyang dulu dijajah oleh Belanda.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_11.htm

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran