TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Memaparkan catatan dengan label Harimau Malaya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harimau Malaya. Papar semua catatan

Rabu, 29 Disember 2010

Perdana Menteri dan TPM ucap tahniah kepada skuad bola sepak negara

Dipetik dari muka hadapan Utusan Malaysia hari ini - 30 Disember 2010.


KUALA LUMPUR 29 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga serta gembira atas kejayaan skuad bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 apabila menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.

Menurut Perdana Menteri, skuad negara telah bermain dengan baik sebagai satu pasukan sehingga berjaya menjulang piala berkenaan.

“Saya berasa begitu gembira dan bangga atas kejayaan yang diraih oleh pasukan muda Malaysia. Syabas Harimau Malaya! Kamu semua telah membanggakan negara. Tahniah,” katanya menerusi pesanan ringkas dalam laman sosialnya di Twitter dan Facebook.

Malaysia adalah negara keempat di rantau ini yang berjaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 selepas Thailand, Singapura dan Vietnam.

Dalam satu kenyataannya menerusi Bernama pula, Najib berkata, kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Piala Suzuki-AFF adalah sesuatu yang dibanggakan.

“Ini adalah malam paling gemilang dalam bola sepak Malaysia. Pasukan muda telah memberikan kita kebanggaan dan kita mesti bina kejayaan ini untuk menggerakkan bola sepak maju ke hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

“Ini bagi memastikan apa yang kita capai malam ini bukan satu yang sepintas lalu tetapi permulaan dalam sejarah bola sepak kita sebagai yang besar,” katanya.

Sementara itu, perasaan sama turut dikongsi Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Malaysia atas kejayaan itu.

Menurut beliau, pencapaian itu lebih manis setelah menunggu 14 tahun untuk menjulang kejuaraan itu.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa tiada yang mustahil sekiranya kita benar-benar idamkan kemenangan. Segala usaha, penat lelah dan pengorbanan setiap pemain, jurulatih dan pegawai pasukan jelas terhasil dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Muhyiddin percaya setiap rakyat pasti berasa megah, terharu dan paling utama bersyukur kerana kejayaan itu memperlihatkan kesungguhan mereka yang terbabit terutama para pemain dan jurulatih, K. Rajagobal memburu kejuaraan itu.

“Saya ingin menggesa para pemain supaya terus mengekalkan prestasi sekali gus meningkatkan kecemerlangan yang dicapai agar Malaysia terus gah di persada antarabangsa,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, aspirasi itulah yang diperlukan untuk terus membakar semangat wira-wira bola sepak negara untuk terus merekodkan kejayaan pada masa depan dan kembali muncul sebagai pasukan yang digeruni bukan sahaja di Asia Tenggara malah seluruh dunia.

“Penghargaan juga ditujukan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang berjaya menerajui bola sepak Malaysia serta usaha-usaha selama ini sehingga berjaya mengecapi kejayaan ini,” katanya.

Source: Utusan Malaysia Online.

Badi 14 tahun berakhir

JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Gambar-Gambar Sekitar Piala Suzuki AFF 2010

Gambar-Gambar ihsan Utusan Malaysia Online.

Para pemain Harimau Malaya meraikan kemenangan.

Penonton di Kuala Lumpur.

Penyokong Harimau Malaya.

Suasana di Gelora Bung karno.

Mohd Safee Sali tetap tangkas.

Gambar-Gambar ihsan Utusan Malaysia Online.

‘Gol Safee meyakinkan saya’


JAKARTA – Pengendali skuad negara, K. Rajagobal mengakui dia sudah terbayang kejuaraan selepas jaringan gol yang dilakukan oleh Safee Sali pada minit ke-53 kerana amat sukar buat Indonesia bangkit mendapatkan lima jaringan dalam tempoh baki perlawanan yang tinggal di separuh masa kedua.

Katanya, selain memberikan kelebihan gol di tempat lawan, ia mengundang rasa keyakinan buat pemain pertahanan mudanya untuk bertahan membendung asakan bertali arus tuan rumah.

‘‘Walaupun Indonesia cuba bangkit selepas mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-71, saya masih menaruhkan kepercayaan kepada para pemain untuk mempertahankan kelebihan yang kita ada.

‘‘Selepas gol kedua Indonesia, saya sedar masa sudah semakin suntuk buat mereka dan kejuaraan hampir pasti dirangkul oleh kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Tambah Rajagobal, dia sedar Indonesia akan mempamerkan perwatakan agresif sebaik wisel perlawanan dimulakan dan memberitahu pemainnya supaya memberi lebih perhatian ketika bertahan pada awal 45 minit separuh masa pertama.

‘‘Saya berpesan kepada pemain, sekiranya mereka kehilangan bola, mereka mesti cepat merampas kembali dan bekerja secara berpasukan.

‘‘Kami dapat bertahan dengan baik dan berharap melakukan serang balas untuk melakukan jaringan.

‘‘Sekiranya penalti pada minit ke-18 dapat disempurnakan oleh Indonesia, saya rasa ia mungkin memberikan semangat buat tuan rumah untuk mendapatkan gol namun saya puji semangat yang dipamerkan oleh pemain-pemain muda saya,” katanya.

Media Indonesia juga sempat bertanyakan apakah formula kejayaan yang dilakukan olehnya selepas kalah besar 1-5 pada perlawanan pertama.

Tanpa berselindung, Rajagobal berkata rahsia kejayaannya kerana memberikan kepercayaan kepada pemain mudanya dan menganggap kekalahan pertama itu sebagai proses kematangan. – Utusan

Source: Utusan Malaysia Online.

Kedutaan Malaysia jadi stadium kedua.

JAKARTA - Kecewa dengan lokasi tempat duduk dalam Stadium Gelora Bung Karno serta faktor risiko keselamatan, antara 150 hingga 200 penyokong Malaysia 'menonton dalam protes' perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010 Malaysia-Indonesia di layar besar di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, semalam.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor Mohd Nasir Yunus, 55, yang mengetuai rombongan penyokong pasukan bola sepak Malaysia berkata, kumpulan penyokong Malaysia yang tidak ramai jumlahnya telah menempah tiket di tempat duduk VIP tetapi mereka diberikan tempat duduk di belakang gawang gol di pintu dua.

Mereka juga diletakkan di tengah-tengah para penyokong Indonesia dan berasa tidak selamat untuk berada dalam stadium untuk menonton perlawanan bagi menyokong pasukan Malaysia.

"Kami amat kesal sekali. Kami berasa kami telah dianaktirikan, kami disisihkan dan tidak diberikan keadilan sewajarnya.

"Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan perbincangan dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia serta persetujuan anggota rombongan, kita telah mengambil keputusan untuk menonton perlawanan ini dalam protes di Kedutaan Besar Malaysia di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dewan Serbaguna Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Mohd. Nasir berkata rombongan itu terdiri daripada kira-kira 60 orang yang datang dari Malaysia dan protes mereka turut disertai para penyokong Malaysia yang berada di Jakarta.

"Kumpulan kami tidak ramai bilangannya, tidak ada masalah jika kami diberikan tiket di tempat duduk VIP. Dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Disember lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah memperuntukkan jumlah tempat duduk VIP yang agak besar kepada penyokong Indonesia yang datang dari Jakarta," katanya.

Mohd. Nasir berkata, rombongan penyokong Malaysia tiba di Jakarta semalam dan agak terperanjat bila mengetahui PSSI masih tidak dapat memastikan jumlah peruntukan tiket yang boleh diberikan kepada penyokong Malaysia sehingga mereka diberitahu pada pukul 2.30 petang ini bahawa tiket mereka di tempat duduk belakang gawang gol, melalui pintu dua, di tengah-tengah penyokong Indonesia.

Alasan yang diberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) bahawa hanya tempat duduk kawasan itu sahaja yang berbaki tidak dapat diterima, katanya. – Bernama

Source: Utusan Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran