TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Ahad, 29 Julai 2012

Peniaga tepi jalan masih trauma


Wartawan Sinar Harian
30 Julai 2012 

RANTAU PANJANG - Rakan kepada peniaga yang maut dirempuh lori ketika berniaga di laluan Rantau Panjang-Pasir Mas dekat Gual Tinggi Jumaat lalu, masih trauma.

Rata-rata masih teringat kejadian menimpa Allahyarham Nik Mariam Nik Ya, 52, yang sama-sama berniaga sejak 10 tahun lalu.

Kejadian kali pertama sejak mereka berniaga di situ lebih 10 tahun lalu sememangnya tidak diduga.

Peniaga dikenali sebagai Sabariah, 58, berkata, dia masih terkejut dengan kemalangan menimpa Allahyarham.

Menurutnya selepas kejadian, matanya lebih tertumpu ke arah jalan kerana takut peristiwa sama berulang.

“Kalau ikutkan hati memang saya takut untuk berniaga lagi.

“Jika tidak berniaga, buah akan rosak, bagi mengelaknya, saya terpaksa berniaga,” katanya.

Sabariah berkata, dia kerap terkejut bila terdengar bunyi kuat datang dari arah jalan.

Rakannya dikenali Kak Dah, 49, berkata, dia masih trauma dan takut selepas kemalangan meragut nyawa rakannya.

Menurutnya, dia takut melihat kenderaan dipandu laju dan kemalangan tengah hari Jumaat itu benar-benar meninggalkan kesan padanya.

“Bila tengok atau dengar kenderaan dipandu laju, saya kerap terkejut,” katanya semalam.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian mendapati, keluarga Allahyarham masih belum berniaga.

Jumaat lalu, mangsa yang berniaga buah di Gual Tinggi mati di tempat kejadian setelah terlibat kemalangan dengan sebuah lori muatan tanah biji besi.

Pemandu lori berkenaan pula hanya mengalami cedera ringan.

Sabtu, 28 Julai 2012

Suasana Bazar Ramadhan Di Kuala Kangsar - Siri 03


إدريس تالو ‎
Idris Talu 
 
Persediaan iftar Ramadhan
 رمضان الإفطار إعداد
Ramadhan Iftar preparation.

 Buah-buahan.

Buah-buahan merupakan bahan penting dalam menu kita berbuka puasa dan bersahur dalam menyediakan makanan seimbang yang menjadi keperluan badan kita sepanjang bulan Ramadhan.Oleh itu ianya tidak boleh dianggap perkara enteng. 

  Tembikai biasa dan tembikai susu.

Ambik gambor free
Ambik ayam kena bayor, Yop!

Walau pun dalam keadaan berpuasa, peniaga ayam panggang ini tabah dalam tugasnya memanggang ayam suatu ketahanan yang luar biasa - dengan asap dan kepanasan yang tinggi di samping bara api untuk memanggang ayam-ayam tersebut.

Para peniaga ceria dengan jualannya.

Penulis kagum dengan ketabahan dan keceriaan peniaga-peniaga di Arena Kuala Kangsar ini. Walau pun dalam keadaan penat berpuasa, mereka tetap gigih menjalankan perniagaannya. Alangkah moleknya jika usaha setahun sekali ini diteruskan secara tetap sepanjang masa. 

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan di mana para peniaga kecil ini memulakan satu langkah penting dalam dunia keusahawanan. Kita doakan semoga mereka terus berjaya dalam perniagaan mereka untuk kesejahteraan keluarga dan kemajuan ekonomi negara.

Petugas media jadi sasaran


Wartawan Sinar Harian  - 
27 Julai 2012
 IPOH - Barangan bernilai tinggi seperti kamera video serta komputer riba menyebabkan kenderaan petugas media mulai menjadi sasaran jenayah pecah kereta, termasuk kes pecah kereta milik seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat akhbar di Greentown Avenue, di sini, kelmarin.

Mangsa, K Ramesh, 39 menyedari kereta jenis Naza Citra miliknya dipecah masuk, menyebabkan kerugian lebih RM5,000 ketika bersiap-siap untuk pulang ke rumah pada jam 7.30 petang.

Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama menimpa dirinya dan ketika kejadian, keretanya diletakkan berhampiran pejabat bermula kira-kira jam 4.30 petang sehingga waktu kejadian.

"Saya hanya menyedari kejadian apabila ternampak cermin tempat duduk penumpang belakang sebelah kanan pecah. Selepas itu saya segera memeriksa bahagian dalam kenderaan dan mendapati beg berisi komputer riba serta dokumen penting syarikat hilang," katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam kejadian berasingan, seorang wartawan penyiaran mengalami kerugian lebih RM8,000 apabila kereta miliknya dipecahkan di jalan Mustapa Al Bakri, berhampiran Gerbang Malam, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku pada jam 9 malam dan mangsa hanya meninggalkan keretanya selama 30 minit ketika itu untuk membeli barangan keperluan rumah sebelum mendapati cermin sebelah penumpang hadapan pecah serta kehilangan kamera video, gugusan kunci dan beberapa dokumen.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kedua-dua mangsa dan akan menyiasat kejadian berkaitan untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kes pecah kereta membabitkan petugas media di sekitar bandar raya ini.

Krisis tempe di Indonesia


Dari wakil di Jakarta

JANGAN sesekali ada yang terfikir tajuk artikel itu sebagai jenaka. Ia memang benar berlaku di Indonesia pada masa ini.

Sejak lebih seminggu lalu, media-media tempatan melaporkan Indonesia sedang kecoh kerana bekalan tempe dan tauhu sukar diperoleh di pasar.

Seluruh rakyat negara ini amat pelik dengan situasi yang berlaku. Tempe adalah jiwa bangsa ini. Sejak abad ke-16 lagi, tempe sudah menjadi makanan asli bangsa ini.

Justeru, apabila tempe ghaib di pasaran, ia mengundang suasana yang mencemaskan. Mana mungkin orang Indonesia tidak makan tempe.

Keakraban tempe dengan negara ini juga pernah disebut oleh Presiden Sukarno dalam satu pidatonya.

Sila dapatkan naskhah Mingguan Malaysia hari ini.


Jumaat, 27 Julai 2012

Berbuka puasa dalam kenderaan semasa bertugas tetap meriah


KUALA LUMPUR 26 Julai - Berbuka puasa di dalam kenderaan atau di tepi jalan bukanlah pilihan bagi kebanyakan orang, namun ia dianggap satu kepuasan buat sebahagian anggota polis yang bertugas demi menjaga keselamatan orang ramai.

Walaupun hanya menikmati segelas air serta roti sebagai juadah namun sudah cukup buat mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di Balai Polis Bergerak di Tasik Permaisuri di sini mendapati anggota yang bertugas berbuka puasa secara ala kadar tanpa meninggalkan tuntutan tugas masing-masing.

Lebih meriah apabila ada anggota yang bukan beragama Islam turut menemankan rakan-rakan berbuka.

Menurut Lans Koperal Rizuan Anuar Zakaria, 28, yang pertama kali menyambut Ramadan sebagai suami, dia terpaksa membuang perasaan sedih tidak dapat berbuka bersama isteri demi tuntutan tugas yang perlu diutamakan.

"Walaupun sedih, tetapi isteri saya memahami tugas saya. Jadi pada waktu cuti saya akan berbuka bersamanya di rumah," katanya ketika ditemui di sini petang semalam.

Lans Koperal Naim Yahya, 27, berkata, baginya berbuka puasa ketika bertugas sudah dianggap sebagai 'alah bisa tegal biasa'.

"Sepanjang empat tahun menyertai polis, ini kali keempat saya ditugaskan di kawasan bazar Ramadan dan terpaksa berbuka di tepi jalan sahaja," ujarnya.

Rakan setugas, Konstabel Mohd. Azurazi Jalaluddin, 30, pula menganggap berbuka puasa bersama rakan-rakan adalah sesuatu yang menyeronokkan kerana dapat berkumpul beramai-ramai.

"Jika saya tidak bertugas pun, saya lebih seronok berbuka bersama kawan-kawan di balai kerana terdapat pelbagai jenis juadah yang dibawa oleh mereka. Masa itu juga kita dapat bersama-sama selepas penat bertugas," ujarnya yang masih bujang.

Berlainan pula bagi Konstabel Ross Hanny Lorenz, 28, yang berasal dari Sabah, walaupun bukan beragama Islam namun dia merasakan 'majlis' berbuka puasa di tepi jalan merupakan sesuatu yang unik.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran