TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 1 Julai 2011

Anak Manusia Korban Politik


Nama Novel: Anak Manusia Korban Politik
Penagarang: Muhammad Dafiq Saib Sutan Lembang Alam

Sebuah kisah fiktif tentang pergolakan yang berlaku dari tahun 1958 hingga tahun 1980an khususnya di Sumatra Barat dan di Indonesia secara umumnya.

Sebagaimana tajuknya, kita dapat membayangkan bagaimana akhirnya novel politik karya saudara Muhammad Dafiq Saib ini.

Kisah kehidupan manusia yang bernama Marwan, yang pada mulanya disangkanya orang Surabaya dari lenggok bahasa Jawanya. Rupanya pengalaman hidup si Marwan selama di Surabaya bersama pak eteknya, menjadikan dia fasih berbahasa Jawa cara Surabaya.

Nasib malang keluarga si Marwan bermula dari kemalangan yang menimpa pak tangahnya, diikuti penahanan ayahnya selama dua tahun di penjara Padang. Namun begitu dia tidak pernah mundur, sehingga bertemu jodohnya dengan Rosita. Walau pun selepas perkahwinannya, cobaan hidup yang dihadapi Marwan cukup getir.

Rosita yang kurang daya resilientnya kurang mampu menempuh badai kehidupan bersama Marwan. “Penasihat” kepada Rosita akhirnya berjaya menundukkan hatinya, sebagaimana Leman kalah kepada bujukan keluarganya dalam buah tangan almarhum Buya Hamka, “Merantau Ke Deli.”

Walau pun tetes air mata kita bila melalui halaman 206, namun akhirnya mungkin kerna barakah kesabarannya, Marwan beroleh cahaya terang dalam hidupnya

Tahniah saudara Muhammad Dafiq! Walau pun ianya novel pertama, ianya cukup mengesankan. Semoga tulisan seterusnya akan lebih berjaya dalam pasaran.

http://idristalu.blogspot.com/

Pengunjung tangisi detik terakhir stesen kereta api Tanjong Pagar

Tarikh siar: 2011/07/01

SINGAPURA: Sejurus selepas tren terakhir meninggalkan Stesen Kereta Api Tanjong Pagar tepat pada 11 malam tadi, Mohd Ayub Embong terus bergerak ke pejabatnya yang terletak 50 meter dari situ.

Di pejabatnya itu, Mohd Ayub, yang merupakan Pengurus Operasi stesen berkenaan, memastikan segala dokumentasi yang diperlukan bagi menutup operasi stesen itu secara rasmi siap menjelang detik 12 tengah malam. Segala gerak-geri beliau menyiapkan dokumen terakhir itu diperhatikan dengan penuh minat oleh pengunjung dan jurugambar media yang mahu merakamkan detik-detik terakhir perkhidmatannya di situ. Walaupun sibuk menyiapkan tugasnya yang perlu diselesaikan sebelum tengah malam itu, Mohd Ayub itu kerap "diganggu" oleh permintaan demi permintaan daripada pengunjung untuk mengambil gambar bersamanya.

"Terima kasih tuan di atas segala-galanya," merupakan ungkapan daripada pengunjung warga Singapura yang beremosi selepas bersalaman dan berpelukan dengan pengurus stesen Tanjong Pagar yang terakhir itu.

Mohd Ayub hanya mampu tersenyum tanpa berkata apa-apa.

Ditanya oleh wartawan tentang perasaannya ketika beliau menyiapkan dokumen terakhir sebelum stesen itu ditutup selepas 80 tahun beroperasi, beliau menjawab: "Sudah pasti sedih."

Sepuluh minit sebelum tengah malam, pengurus kanan operasi Stesen Keretapi Gemas, Abdul Aziz Said, memasuki pejabat Mohd Ayub yang semakin sesak dengan pengunjung ketika detik penuh bersejarah itu semakin dekat.

Abdul Aziz adalah pegawai kanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bertanggungjawab memeriksa semua dokumen yang diperlukan, sebelum operasi stesen itu ditutup secara rasmi.

Selepas memeriksa semua dokumen itu, beliau menurunkan tandatangannya dalam Buku Lawatan stesen berkenaan menandakan semua proses menutup operasi Stesen Kereta Api Tanjong Pagar itu berjalan lancar.

"Selepas 12.01 tengah malam ini, operasi Stesen Keretapi Tanjong Pagar di Singapura ini tamat secara rasmi dan tidak akan ada lagi sebarang komunikasi dari stesen ini," kata Abdul Aziz sambil bersalaman dengan Mohd Ayub.

Suasana dalam pejabat Mohd Ayub itu diselubungi perasaan emosi pengunjung yang berpusu-pusu berpelukan dengan Abdul Aziz dan Mohd Ayub ketika jam semakin hampir menunjukkan 12 tengah malam.

Ramai pengunjung dan kakitangan KTMB yang berada di dalam pejabat itu tidak dapat mengawal perasaan, menangisi detik-detik terakhir operasi stesen yang merupakan antara lambang kepada usaha merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara.

Tepat pada tengah malam, Mohd Ayub, Abdul Aziz dan beberapa kakitangan KTMB yang terakhir menarik pintu penutup stesen itu buat kali terakhir. – BERNAMA

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Penutupan stesen kereta api lambang kejayaan kerjasama Malaysia-Singapura

Tarikh siar: 2011/07/01

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyifatkan penutupan stesen kereta api KTM Berhad di Tanjong Pagar mulai malam tadi sebagai satu lambang kejayaan pelaksanaan Perkara-perkara yang Dipersetujui (POA) antara Malaysia dan Singapura bagi merintis jalan memajukan lagi pelbagai bidang untuk kepentingan bersama.

Beliau memuji rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, kerana kepimpinan dan keazamannya telah membolehkan kedua-dua pihak sama-sama menikmati hasil daripada hubungan yang lebih baik itu. "Saya gembira kerana Singapura dan Malaysia telah berjaya menyelesaikan dengan baik satu isu yang tertangguh lebih 20 tahun," katanya merujuk kepada pelaksanaan POA mengenai tanah KTMB itu. Stesen Tanjong Pagar yang berusia 80 tahun, ditutup tengah malam tadi selepas kereta api terakhir yang dipandu Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail, berlepas sejam sebelum itu.

Kerajaan Singapura akan mengekalkan bangunan itu disebabkan oleh faktor sejarahnya.

Lee juga mengucapkan terima kasih kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai dari kedua-dua pihak yang telah bekerja keras dan menjalin hubungan baik dalam melaksanakan perjanjian itu.

Pada satu pertemuan pada 24 Mei tahun lalu, Lee dan Najib mengumumkan bahawa stersen kereta api KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke Woodlands, juga di Singapura, bermula 1 Julai 2011 (hari ini).

Satu lagi stesen kereta api KTMB di Singapura, stesen Bukit Timah, juga tidak lagi beroperasi. – BERNAMA

Source: Berita harian Malaysia Online.

Tasik Raban Lenggong

By Idris Ismail Talu
Foto ihsan Syed Alfandi Syed Mansor



Keindahan hentian lama R & R Tasik Raban Lenggong pada waktu senja, hasil tangan Sdr Syed Alfandi Syed Mansor.

Tasik Raban di waktu senja.

Dengan barisan Banjaran Bintang di latar belakang.


Tasik Raban dari sudut lain, lebih menarik.

Alangkah indahnya suasananya di Tasik Raban di waktu senja yang tenang. Semoga suasana ini boleh menggamit balik anak-anak Lenggong di perantauan untuk kembali sekali sekala menikmati suasana sebegini yang pastinya tidak didapati di tempat lain.

Sabtu, 25 Jun 2011

Pengajaran berguna dari Greece

Ku Seman Ku Hussain

KETIKA Athens dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2004, Greece sebuah negara maju, mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh. Greece menjadi impian negara-negara lain khususnya dalam Kesatuan Eropah (EU) untuk berada pada kedudukan ekonomi setanding Greece.

Malah negara ini menjadi lambang kekayaan dan kehidupan mewah apabila berada di tangga ke 31 kedudukan ekonomi tertinggi di dunia.

Untuk Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece membelanjakan RM34 bilion termasuk RM3.6 bilion untuk keselamatan selepas fobia tragedi serangan pengganas di New York pada 11 September 2001. Malah Sukan Olimpik juga diasaskan di Athens yang kemudiannya acara sukan paling berpengaruh di dunia. Kegemilangan sejarah Olimpik dan kecemerlangan penganjuran Sukan Olimpik 2004 kini terpadam apabila empayar ekonomi Greece berkecai, meneruskan hidup dengan berhutang dan beban hutang terlalu tinggi seolah-olah tidak terbayar.

Sebagai negara yang dikagumi dalam EU, Greece memang dicemburui oleh rakan-rakan. Tetapi keadaan yang menjurus kepada kemusnahan sebuah negara yang bertamadun tinggi ini tentunya memberikan banyak iktibar.

Selepas Amerika Syarikat (AS) dilanda kemelesetan ekonomi yang teruk pada 2008 era awal Presiden Barack Obama, iaitu yang kedua teruk selepas 1930-an, kini Greece menjadi tumpuan dunia kerana keruntuhan empayar ekonominya. Greece diambang muflis dan rakyat menyalahkan kerajaan membuat keputusan silap mendapatkan pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak RM478.7 bilion. Greece juga masih menanggung beban hutang lain yang tinggi iaitu RM1.48 trilion.

Kegawatan ekonomi di peringkat yang paling bahaya membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan. Berpuluh ribu penunjuk perasaan keluar ke jalan-jalan raya dalam keadaan negara yang terumbang ambing di ambang muflis. Rakyat percaya krisis ekonomi yang teruk itu bukan disebabkan oleh kegawatan ekonomi global walaupun sebuah lagi negara dalam EU, Sepanyol mendepani nasib yang sama.

Rakyat yang pernah hidup mewah walaupun sebelum ini negara menanggung beban hutang yang tinggi tidak boleh menerima hakikat yang sebenarnya. Greece membuat kesilapan besar sebelum ini apabila memilih pendekatan popular untuk menyenangkan hati rakyat yang bermewah dengan hutang. Rakyat tidak diberi maklumat sebenar kedudukan ekonomi dan kemampuan kewangan kerajaan kerana menjadi percaturan politik.

Lebur

Dari sebuah negara yang menduduki tangga ke 22 pembangunan manusia yang mempunyai kehidupan yang berkualiti di dunia, Greece kini menunggu masa untuk lebur dan ternyata IMF bukan menyelesaikan masalah yang dihadapi. Dalam kes Greece, satu lagi yang membuktikan sistem kewangan yang dilaksanakan oleh IMF lebih kepada menindas berbanding membantu meringankan beban.

Greece terperangkap dengan IMF yang sebelum ini telah memudaratkan banyak negara di Asia yang mendapatkan pinjaman untuk keluar dari belenggu krisis ekonomi global pada 1997 lalu. Banyak negara terus menanggung beban hutang, pada masa yang sama tidak menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi. Greece kini berada dalam keadaan yang sama, bayaran balik kepada IMF dan pendapatan yang kurang dari perbelanjaan negara terus menjerumuskan Greece dalam keadaan sangat genting.

Tindakan drastik kerajaan memotong gaji di sektor awam dan bayaran pencen serta menaikkan kadar cukai mencetuskan kemarahan rakyat. Kempen berjimat cermat yang dianjurkan oleh kerajaan mendapat tentangan hebat. Tetapi untuk masa terdekat, ini saja tindakan segera yang boleh dibuat, sekurang-kurang untuk mendapatkan sedikit “nafas”. Bagaimanapun rakyat sedikit pun tidak mahu berganjak, mereka mahu hidup mewah seperti sebelum 2009. Greece menjadi sebuah negara malang apabila rakyat tidak sanggup berkorban sedikit pun selepas sekian lama hidup mewah.

Selepas 2009, Greece menjadi negara kedua paling rendah dalam Indeks Kebebasan Ekonomi selepas Poland dan menduduki tangga ke 81 di dunia. Semua ini adalah kesan daripada penyelewengan politik dan ekonomi yang tidak ditangani dengan betul oleh kerajaan. Sebelum ini kerajaan mengambil pendekatan untuk kekal berkuasa dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Hakikatnya kedudukan ekonomi tidak mengizinkan dan kerajaan gagal mengatasi peningkatan kadar pengangguran yang menyumbang kepada krisis ekonomi.

Rakyat mesti menerima hakikat kedudukan Greece pada masa ini. Tanggungjawab kerajaan pula mesti menjelaskan tentang hakikat sebenar. Tetapi keadaan ini tidak berlaku ketika krisis ekonomi mula terasa pada 2009, malah rakyat digula-gulakan dengan kemewahan, hakikat itu semuanya dari hutang. Greece memilih gaya hidup “biar papa asal bergaya”.

Tinjauan yang dibuat oleh The Groningen Growth and Development Centre yang dikeluarkan pada Mei lalu menunjukkan 62 peratus responden mempersoalkan kewajaran Greece membuat pinjaman IMF. Mereka menganggap itu tindakan salah dan menghancurkan negara, sementara 80 peratus pula hilang kepercayaan terhadap Menteri Kewangan Giorgos Papakonsstantinou menangani krisis ini, 97 peratus pula melahirkan kebimbangan peningkatan serius kadar pengangguran.

Ketidakstabilan

Kadar inflasi yang tinggi iaitu 4.5 peratus berbanding 1.2 peratus pada 2009 dan kadar pengangguran meningkat menjadi 16.2 peratus juga menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi. Keluaran Dalam Negara Kasar mencatatkan RM943.4 bilion tetapi defisit belanjanya mencatatkan RM73.2 bilion. Pergolakan politik telah memburukkan lagi keadaan ketika kerajaan sedang bertungkus lumus menyelamatkan keadaan yang sangat genting ketika ini. Oportunis politik kalangan pembangkang menyemarakkan kemarahan rakyat dan mendesak Perdana Menteri George Papandreou meletakkan jawatan.

Papandreou sebelum ini mengambil pendekatan popular dengan melimpahkan kemewahan kepada rakyat. Ternyata ini bukanlah tindakan bijak, apa lagi mendapatkan pinjaman dari IMF untuk meneruskan “kegemilangan” palsu sebuah negara yang dulunya gemilang. Kerana itu apabila ada kerajaan yang awal-awal lagi mengaku kedudukan kewangan yang tidak kukuh, rakyat harus menerima hakikat ini. Apabila kerajaan mengurangkan subsidi misalnya, rakyat juga perlu sedar bahawa ada ketikanya mereka perlu berkorban sedikit untuk menikmati kesenangan yang berpanjangan.

Bagi oportunis politik, keadaan tidak stabil terutama ekonomi adalah ruang untuk menawan hati rakyat. Mereka menyalakan kemarahan dan tunjuk perasaan di jalan-jalan raya. Di Greece, banyak yang terperangkap dalam permainan politik seperti ini, padahal tindakan mereka sedikit pun tidak menyumbang menyelesaikan keadaan genting yang hampir memufliskan negara. Banyak yang boleh diambil iktibar daripada tamadun Greece yang kini sudah berada di penghujungnya.

Source: Mingguan Malaysia Online.

Jumaat, 24 Jun 2011

Mamapeh @ Memancing Di Ipoh

By Idris Talu

Patin makan di awal pagi.

Patin pagi.

Lepas patin, haruan atau gabus pulak.


Patin dan haruan.



Patin lagi.

Tasik yang tenang.





Di udara tasik kami memancing merupakan laluan kapalterbang turun naik di Ipoh.

Rabu, 22 Jun 2011

Guru perlu ada ilmu psikologi

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Norzali, rencana@hmetro.com.my

RESAH masyarakat terhadap masalah disiplin pelajar cukup berasas apatah lagi pelbagai insiden luar jangkaan mampu disumbangkan mereka meskipun umur hanya setahun jagung.

Peningkatan kadar jenayah atau disiplin ini bukan saja membimbangkan institusi persekolahan malah masyarakat turut keliru serta tercari-cari apakah mekanisme terbaik boleh diguna pakai bagi menanganinya.

Meskipun banyak lambakan kempen menerusi sesi ceramah dan pameran, ia masih belum ampuh untuk melembutkan hati pelajar.

Akibatnya, masyarakat tertanya-tanya apakah pendekatan selama ini salah atau pelajar semakin naik lemak hingga sukar dinasihati lagi.

Masih adakah lagi jalan penyelesaiannya?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata cara didikan pelajar masa kini tidak boleh dilakukan secara semberono tanpa disuntik elemen tertentu yang boleh ‘mematahkan’ sikap degil pelajar.

Beliau berkata, kemampuan pelajar hari ini sukar dijangka hingga ada ketikanya mampu mencapai tahap tertinggi dengan keberanian luar biasa.

“Melihat rentak sebilangan pelajar hari ini, memang menakutkan kerana mereka sangat ekstrem hingga mampu melahirkan keberanian tanpa batasan.

“Memang wajar masyarakat melahirkan kebimbangan namun jalan penyelesaian masih ada, jangan mudah berputus asa,” katanya.

Bukan hairan lagi apabila masyarakat menganggap pelajar hari ini terutama peringkat menengah, penyumbang masalah disiplin.

Biarpun hanya segelintir, mereka yang melanggar disiplin bagaikan memberi persepsi buruk kepada pelajar lain.

Yang bermasalah pula terus ‘bermaharajalela’ hingga menyebabkan masyarakat semakin muak untuk membantu sebaliknya membiarkan guru dan sekolah mengatasinya.

Beliau berkata, meskipun disiplin pelajar menjadi antara isu hangat, tidak bermakna setiap pihak hanya mampu berdiam diri atau melepaskannya kepada golongan minoriti.

Pelajar, katanya, adalah kelompok yang memerlukan bimbingan berterusan selain pendekatan sesuai untuk menyedarkan tindakan dilakukan adalah salah.

“Kebanyakan hanya pandai menuding jari atau melepaskan tanggungjawab itu kepada orang lain tanpa mahu duduk semeja mencari jalan penyelesaian.

“Pada masa sama, menganggap pelajar bermasalah sudah tiada masa depan dan terus memberi tekanan hingga menyebabkan nasib pelajar semakin terumbang-ambing.

“Mencari penyelesaian dengan bertunjangkan konflik akan memburukkan lagi keadaan dan pelajar melihat pertelingkahan itu sebagai medium melepaskan diri” katanya.

“Ada kalanya, masyarakat suka menyalahkan guru dan sekolah kerana tidak bertindak namun kesalahan itu tidak wajar diletakkan pada bahu golongan terbabit semata-mata.

“Masyarakat perlu akur, senario pendidikan sekarang terlalu banyak ‘pantang larang’ hingga menyukarkan segala tugasan yang ingin dibuat.

“Namun, itu bukan alasan mereka tidak mengambil tindakan cuma caranya saja tidak bersesuaian dengan jiwa pelajar,” katanya mengakui guru hari ini perlu belajar cara terbaik untuk menakluk tentangan pelajar.

“Jika menggunakan pendekatan lama, sudah tidak sesuai kerana zaman ini pelajar lebih bijak mencipta alasan. Untuk itu, guru perlu ada ilmu psikologi yang hebat bagi menakluki emosi mereka.

“Kebiasaannya, tindakan atau hukuman diselarikan dengan pendekatan berbentuk fizikal seperti rotan dan denda namun terlupa menyentuh emosi sedangkan ia aspek paling mudah untuk menjinakkan pelajar.

“Pendekatan salah bukan saja tidak menyelesaikan masalah malah mengundang lebih banyak konflik kedua pihak hingga mampu mewujudkan jurang selain perasaan tidak puas hati,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu menunjukkan kasih sayang dan perhatian dengan ikhlas tanpa niat menghukum atau sindiran supaya pelajar rasa lebih selesa untuk meluahkan perasaan.

Menurutnya, ada guru hanya tahu mengajar namun tidak mendidik menyebabkan hasrat menjadikan pelajar hari ini sebagai generasi berilmu, berdisiplin dan berperibadi mulia sukar.

“Ini bukan tuduhan namun ada kalanya guru tidak pandai berdiplomasi dan hanya mengajar berpandukan nota semata-mata sedangkan matlamat sebenar adalah memberi pendidikan.

“Antara mengajar dan mendidik memang jauh perbezaannya. Bayangkan jika guru pun boleh terasa dan melenting jika ditegur, apatah lagi pelajar yang masih muda dan teraba-raba mencari arah.

“Sebab itu penting guru bermuhasabah dan mencari pendekatan sesuai sebelum mengenakan hukuman supaya pelajar memahami apa dilakukan itu bukan disebabkan benci namun peringatan menjadikan mereka lebih baik,” katanya.

Ditanya adakah cara itu seolah-olah membuatkan pelajar seperti besar kepala dan semakin manja, beliau menafikannya kerana pelajar pasti faham yang dilakukan itu sekadar hukuman membetulkan kesilapan.

“Malangnya, ramai guru terlupa hingga menyebabkan pelajar melihat hukuman itu seolah-olah misi ‘balas dendam’ dan melepaskan perasan benci hingga menjadikan mereka terus memberontak.

“Berdasarkan pengalaman dan kajian, saya percaya jika guru pandai menggunakan budi bicara, pelajar boleh menerima dan mampu diubah. Cuma tidak boleh mengharapkan keajaiban berlaku sekelip mata sebaliknya perlu berterusan dan disertai doa,” katanya.

Faktor penyumbang masalah disiplin pelajar:

•Kurangnya perhatian dan kasih sayang ibu bapa pada era globalisasi kerana lebih mengutamakan kerjaya hingga lupa tanggungjawab mendidik anak.

•Kemunculan media massa serta sumber bacaan tanpa batasan hingga menyebabkan pelajar ingin meniru dan mencuba.

•Pengaruh rakan sebaya kerana menganggap rakan sebagai rakan sebenar lantaran ibu bapa sukar meluangkan masa untuk mendengar atau berdampingan dengan anak.

•Kegagalan pihak sekolah untuk bertindak pantas dan telus kerana ada sebilangan cuba merahsiakan masalah disiplin yang berlaku.

•Ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai atau menarik hingga pelajar lebih gemar menghabiskan masa di tempat tidak berfaedah.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Rezeki temoleh Kenyir


Oleh Zulhilmi Hat, hilmi@bharian.com.my

Tarikh: 2011/06/18

Permintaan tinggi, harga lumayan jadikan spesies ikan sasaran pemancing


IKAN temoleh atau dikenali sebagai temelian (Probarbus jullieni) adalah ikan air tawar yang semakin pupus gara-gara sikap masyarakat yang mengamalkan kaedah tangkapan seperti menjaring, menuba dan mengebom ikan itu. Pemburuannya sukar dihalang pihak berkuasa berikutan permintaan tinggi serta tawaran harga yang lumayan di pasaran gelap manakala saiznya yang boleh mencapai puluhan kilogram setiap seekor menjadikannya sasaran pemancing. Tambahan isinya yang lazat menyebabkan ikan ini sering diburu di sungai ataupun empangan iaitu tempat pembiakan spesis omnivor ini membiak.

Pada awal Mac lalu, sebatang joran milik tukang masak dari Kenyir Lake Resort yang kebetulan memancing ikan lampan berhampiran Pangkalan Gawi, ‘terjun’ dalam tasik selepas dilarikan ikan misteri. Sangkaannya ikan jelawat yang memakan umpannya kerana Tasik Kenyir ini didiami ikan itu yang mudah dipancing menggunakan umpan buah kelapa sawit.

Masran Mohamat yang ditemui berkata, sejak kes kehilangan jorannya dilarikan ikan bersaiz mega di tebing tasik berhampiran tempat kerjanya, dia bertindak ‘merasuah’ kira-kira 50 kilogram buah kelapa sawit untuk menjinakkan ikan misteri itu.

“Selepas seminggu merasuah buah kelapa sawit yang diperam, gerombolan ikan yang kelihatan bermain-main di tengah tasik menghampiri kawasan saya memancing. Pada ketika itu joran sudah dipacakkan dengan berumpankan buah sama untuk menjinakkan ikan terbabit.
“Pada pagi sama, sebatang daripada dua joran yang diletakkan berhampiran tebing digetu ikan seakan-akan lampam sedang mencuit umpan seperti biasa.

“Tiba-tiba hujung joran melentur dengan kasar sekali menyebabkan saya bergegas mendapatkan joran itu sebelum mengaraunya hingga ke tebing. Perlawanan berlangsung hampir 30 minit dan akhirnya alangkah terkejutnya saya apabila temoleh bersaiz sembilan kilogram berjaya didaratkan,” katanya.

Katanya lagi, hari itu rezeki memihak kepadanya apabila tangkapan temoleh kedua berskala 11 kg berjaya ditangkap pada waktu petang selepas umpan yang dibaling di kawasan temoleh pertama berjaya didaratkan tadi.

“Temoleh kedua ini berbeza dari tangkapan pertama tadi. Larian padu yang dibuatnya ke kawasan terbuka tasik membuatkan saya cukup risau kerana bimbangkan tali tangsi 30 paun yang digunakan mungkin putus bila-bila masa.

“Gegelung tali pula yang memuatkan hampir 120 meter hampir habis akibat mengekang larian ikan ini seperti lembu takut dicucuk hidung. Mujurlah lubuk terbabit tidak mempunyai reba yang memihak kepada saya untuk mendaratkannya selepas 40 minit bertarung,” katanya.

Ikan temoleh ditemui membiak di Sungai Pahang dan Perak juga terdapat di Tasik Kenyir. Menurut Masran lagi ikan itu dilepaskan Jabatan Perikanan sejak lapan tahun lalu untuk membiakkan spesies terbabit dalam tasik ini.

Difahamkan ikan itu sudah membiak dengan banyaknya dan terdapat di seluruh Tasik Kenyir apabila gerombolan temoleh dapat dilihat muncul dekat tasik itu pada awal Januari hingga Mac, yang mana ketika itu berlaku aktiviti menghempas telur.

Masran menambah, keesokannya beliau memancing di tempat sama dan temoleh berskala 15 kg berjaya didaratkan dengan menggunakan umpan kelapa sawit peram.

“Seekor temoleh berskala sembilan kilogram masih hidup sehingga hari ini dalam kolam peliharaan manakala dua lagi gagal diselamatkan kerana terlalu penat selepas aktiviti menaikkan ikan ini di tebing,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Selasa, 21 Jun 2011

Majikan bangga, Sarmini terima diploma

Sarmini Muhyadi.
Foto ihsan Dr Richard Ng.
21 Jun 2011.

KUALA LUMPUR - Perasaan bangga dan terharu terpancar pada wajah pasangan majikan ketika pembantu rumah mereka, Sarmini Muhyadi menerima tepukan paling gemuruh ketika menaiki pentas untuk mendapatkan diploma dalam bidang pengurusan pada majlis konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) ke-10 semalam.

Tan Choo Tang, 56, dan isteri, Wee Phooi Khuan, 47, telah membiayai sebahagian besar kos pengajian Sarmini, 28, yang bekerja dengan mereka sejak tujuh tahun lepas, selepas pembantu rumah itu menyatakan hasratnya untuk kembali ke Indonesia bagi melanjutkan pengajiannya pada 2007.


Choo Tang yang bertugas sebagai pensyarah sebuah kolej swasta, bagaimanapun telah memujuk Sarmini untuk terus bekerja dengannya sebagai pembantu rumah sambil melanjutkan pelajarannya di sini dengan bantuan Choo Tang, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga mencarikan institusi pengajian tinggi yang sesuai.

Sarmini dari Kampung Bayunmas, Jawa Tengah walaupun terpaksa menjalani pengajian separuh masa sambil bekerja sebagai pembantu rumah selama empat tahun, telah berjaya memperoleh mata purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.39.

Choo Tang berkata: "Ketika nama Sarmini diumum pada majlis konvoksyen semalam, beliau menerima tepukan paling gemuruh dan ia membuatkan kami sangat bangga dan terharu dengan kejayaannya."

Sarmini yang akan pulang ke Indonesia pada 3 Julai ini menyatakan rasa terhutang budi kepada majikannya yang telah membantu dia mencapai impiannya untuk mendapat pendidikan tinggi.

"Saya sangat berterima kasih tak terhitung nilainya, senang sekali mendapat kesempatan untuk belajar di sini sekali gus bekerja... mungkin saya yang pertama bernasib baik," katanya.

Dia yang terharu mengenang kebaikan majikannya itu berkata: "Keluarga majikan turut membantu saya membuat tugasan, terutama untuk mendapatkan maklumat bagi tugasan universiti serta membantu saya menguasai bahasa Inggeris." – Bernama

Source: Harian Kosmo Malaysia Online.

Isnin, 20 Jun 2011

Bangsa bukan penentu kecemerlangan akademik

Oleh Ruhaiza Rusmin, ruhaizarusmin@hmetro.com.my

SUDAH sekian lama, institusi pengajian tinggi awam negara dihadapkan pelbagai cabaran dan dugaan malah ada mempersoalkan kewibawaan institusi berkenaan melaksanakan tanggungjawabnya.

Ada beranggapan institusi itu anak emas kerana sering mendapat sokongan penuh kerajaan, ada pula mendakwa institut pengajian tinggi awam (IPTA) berkenaan ketinggalan zaman kerana menawarkan program lapuk sehingga meningkat bilangan graduan menganggur.

Malah, ada suka membandingkan dengan institusi pengajian tinggi swasta yang dilihat lebih dinamik merencanakan pelbagai perancangan untuk mahasiswa.

Kritikan demi kritikan bukan saja mencalarkan reputasi IPTA malah ibarat tidak mengenang jasa terhadap budi dicurahkan dulu.

Persoalannya, mengapakah kritikan ini masih kedengaran sedangkan institusi terbabit sudah melakar nama di puncak dunia.

Apakah dengan ‘berdiam diri’ boleh menyelesaikan masalah atau mereka takut dikritik bimbang mencalarkan reputasi?

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata sebagai institusi yang mendokong aspirasi serta cita-cita pendidikan negara, IPTA perlu terus memperjuangkan agendanya tanpa perlu takut kepada kritikan.

Beliau berkata, IPTA perlu tegas dan kalis pada pendiriannya serta menjadikan kritikan itu sebagai satu lonjakan penambahbaikan kualiti sedia ada ke tahap lebih baik.

“Seharusnya setiap institusi perlu mempunyai pendirian teguh dalam mempertahankan perjuangan mendidik anak bangsa tanpa perlu gentar terhadap apa jua kritikan.

“Dalam konsep memberi pendidikan, kritikan harus dilihat sebagai cabaran besar untuk mengubah pandangan atau kelemahan institusi. Ia bukanlah satu ‘perangkap’ untuk mendedahkan kepincangan sebaliknya satu teguran bagi memperbaikinya.

“Ia perlu diperhalusi supaya tidak timbul salah faham apatah lagi jika membabitkan reputasi mahasiswa dan institusi sendiri,” katanya.

Isu kritikan membabitkan IPTA bukan baru apatah lagi institusi terbabit paling ramai mengeluarkan graduan saban tahun.

Dengan 20 IPTA, jumlah graduan dilahirkan menjangkau puluhan ribu menjadikan pasaran kerjaya cukup sempit bagi mereka memperoleh keputusan cukup makan atau bukan daripada program profesional.
Kesukaran memperoleh pekerjaan ditambah tanggapan program ditawarkan tidak relevan atau menepati keperluan semasa menyebabkan graduan terpaksa menganggur.

Akibatnya institusi ditempelak kerana tidak peka hingga menyebabkan mahasiswa menjadi mangsa.

Beliau berkata, tanggapan itu tidak benar kerana setiap institusi pasti memikirkan kebajikan mahasiswanya dan tidak sewenang-wenangnya menawarkan program tanpa kualiti.

Malah, katanya, setiap program ditawarkan adalah sejajar dengan keperluan semasa selain tidak boleh diperlekehkan kerana di antaranya mendapat pengiktirafan profesional dan antarabangsa.

“Mereka yang melontarkan pendapat itu tidak faham dan enggan membuka minda. Sekarang zaman alaf baru, jadi program ditawarkan mesti selari dengan permintaan semasa.

“Institusi awam tidak sesekali memperjudikan masa depan mahasiswa semata-mata untuk memuaskan hati pihak tertentu sebaliknya berusaha menyediakan mereka asas untuk pasaran kerjaya dan masa depan.

“Setiap program bukan picisan namun mempunyai fungsi tertentu menjana dan merangka kesinambungan negara untuk jangka masa panjang sekali gus mengisi permintaan kerjaya bukan saja bertaraf tempatan sebaliknya merentasi global,” katanya.


Mengulas pandangan skeptikal mengatakan hanya graduan tertentu memperoleh peluang pekerjaan, beliau menafikannya kerana graduan Bumiputera banyak mengisi ruang kerja profesional yang dikhususkan bangsa asing.

Menurutnya, pertikaian sama ada graduan boleh melakukannya atau tidak bukan terletak pada sesuatu bangsa namun kehendak, semangat berdaya saing serta keinginan untuk berubah.

“Malangnya ramai yang meletak dan melabelkan kemampuan mahasiswa mengikut bangsa. Tambah menyedihkan apabila bangsa sendiri mudah memperlekehkan mereka.

“Bukankah ini tidak adil kerana seperti merendah-rendahkan kemampuan sedangkan yang perlu dilakukan adalah menyokong supaya mereka tidak patah semangat mahupun rebah.

“Jika asyik mempertikaikan, bagaimana mahu berjaya. Bukan semua mampu bertahan dengan kritikan dan mengambilnya sebagai positif.

“Ia juga sekali gus bagai mempersoalkan kewibawaan sesebuah institusi bertaraf pengajian tinggi yang tenaga pengajarnya terdiri daripada kalangan ahli akademik, profesional serta berkepakaran ,” katanya.

Beliau kecewa kerana ramai menghentam kerana dikuasai perasaan tidak puas hati bukan berpihak di bumi nyata.

“UiTM mampu melahirkan graduan yang menepati pasaran malah setiap programnya mendapat pengiktirafan dunia.

“Apakah pengiktirafan ini kerana institusi hanya pandai mengangkat diri semata-mata atau orang luar sememangnya nampak kemampuan itu?” katanya.

INFO

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi menumpukan kepada 10 misi utama yang disasarkan kepada institusi pengajian tinggi negara iaitu:

•Memperkasakan institusi pengajian tinggi
•Kualiti tenaga akademik
•Memartabatkan akademik dan penubuhan Majlis Profesor Negara
•Peningkatan kegiatan penyelidikan dan pembangunan
•Program pengantarabangsaan
•Pembangunan kualiti pelajar
•Kebolehpasaran graduan
•Pelan transformasi politeknik
•Transformasi kolej komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat
•Program transformasi institut pengajian tinggi swasta

Source: Harian Metro Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran