TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Isnin, 22 November 2010

Orania, kemunculan semula dasar Apartheid?








KERINDUAN pada masa lalu merebak di kalangan kulit putih Orania di Afrika Selatan yang melaksanakan dasar Apartheid terhadap warga kulit hitam pada tahun 1948 hingga 1994. Lalu tersiar gambar seorang dewasa mengajar kanak-kanak kulit putih bagaimana menembak menggunakan pistol.

Pertanyaan lantas dicatat: Apakah ini permulaan era baru diskriminasi antara kaum? Walhal Presiden Afrika Selatan sejak sekian lama ialah tokoh kulit hitam.

Laporan dalam majalah Inggeris yang sama ialah mengenai Nelson Mandela, Presiden kulit hitam pertama. Puluhan tahun ia ditahan dalam penjara di Pulau Robben oleh rejim Apartheid.

Pembinaan semula Orania dilancarkan pada tahun 1991 oleh Profesor Carel Boshoff, menantu mendiang Hendrik Verwoerd yang dianggap sebagai pelopor dasar Apartheid.

Beliau membeli sebuah pekan lama yang penduduknya hanya seramai 11 orang. Ia kemudian menjadi masyarakat yang maju dengan penduduk seramai 450 orang, lengkap dengan pasar raya dan kedai-kedai serta khidmat doktor, para peguam dan arkitek, dua buah sekolah serta stesen radio.

Terdapat dipelbagai tempat di pekan tersebut ialah patung-patung Verwoerd yang pernah menyatakan bahawa pemerintahan kulit putih yang minoriti di Afrika Selatan akan kekal selama-lamanya.

Pihak berkuasa Orania juga mengatur pelbagai lawatan ke Israel untuk mempelajari teknik-teknik pertanian Israel kerana Orania mahu diperbesarkan hingga mempunyai 25,000 penduduk.

Profesor Boshoff menjelaskan: “Orania merupakan eksperimen dan ia telah berjaya”. Menurutnya, dua buah lagi pekan menyerupai Orania perlu diwujudkan setelah berjaya mengundang bekas Presiden Nelson Mandela.

Masa depan Afrika Selatan pada keseluruhannya dianggap belum menentu. Masa depan Orania pula dianggap lebih rumit diramalkan. Ayat akhir laporan berbunyi: “Patung-patung yang diletakkan di lereng bukit bukan boleh melihat apa-apa”.

Laporan mengenai Mandela diberi judul Letters From The Darkness. Lalu disebut mengenai bukunya yang terbit “20 tahun setelah bebas dari penjara”.

Isterinya, Winnie Mandela berkali-kali masuk penjara dan diganggu. Salah seorang anak lelakinya, Thambi mati dalam nahas jalan raya ketika berumur 24 tahun pada 1969.

Mandela menulis dengan rasa sedih, kerana tidak dibenarkan menghadiri pengkebumian anaknya itu.

Sepucuk surat kepada isterinya bertarikh 1 Oktober 1976 berbunyi: “Saya telah menulis surat kepada anak-anak selepas kau ditahan dan menasihati mereka supaya jangan terlalu bimbang kerana ketiadaan kau di rumah.

Saya mengingatkan mereka bahawa kau berpengalaman menghadapi apa jua kerumitan. Namun, saya sentiasa bimbang akan kesihatan diri kau kerana tidak dapat tidur pada waktu malam kerana ditinggalkan... dan berasa sedih kerana tidak tahu bila kita akan berjumpa semula”.

Juga disiarkan ialah bab pertama riwayat hidupnya bertarikh 16 Oktober 1998 berbunyi: “Sejarah tidak berhenti berputar walaupun ada pejuang-pejuang kemerdekaan yang berpengalaman. Kerap berlaku adanya pejuang-pejuang revolusi tunduk kepada kehalobaan dan terdorong mengambil wang untuk kekayaan.

Dengan memiliki kekayaan untuk diri sendiri dan pengkhianat matlamat-matlamat suci perjuangan, maka bererti mereka mengkhianati rakyat, serta menyertai para penindas setelah merampas wang rakyat yang paling miskin”.

Akhirnya setelah dibebaskan dan menyertai pilihan raya demokrasi pada 27 April 1994 African National Congress pimpinan Mandela mencapai kemenangan. Sejumlah 20 juta rakyat Afrika Selatan mengundi.

Kongres menang lebih 62 peratus undi. Pada 10 Mei 1994 beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan. Menjadi Timbalan Presiden ialah Thabo Mbaki dan Frederik Willem de Klerk, wakil kulit putih.

Lahir ialah yang dipanggil “Government of National Unity” segala kaum, Kok kini Orania milik kulit putih mencabarnya pula?

Source: Mingguan Malaysia Online

Institusi Melayu disaran martabatkan jawi

ALOR GAJAH 20 Nov. - Institusi Melayu khususnya di negeri ini disaran menggunakan lambang dalam tulisan jawi sebagai usaha memartabatkan tulisan itu agar tidak lenyap ditelan zaman.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, antara institusi tersebut seperti Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Kumpulan Melaka Berhad (KMB) seharusnya berperanan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan penggunaan tulisan jawi.

Sambil mengambil contoh akhbar Utusan Malaysia yang menerbitkan sisipan akhbar jawi, Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Ali berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan terhadap pihak yang memartabatkan tulisan jawi.

"Semua pihak perlu berusaha agar tulisan jawi tidak mati ditelan zaman dengan cara menggunakannya dalam lambang khususnya oleh institusi-institusi Melayu di negeri ini.

"Kerajaan negeri amat menyokong usaha ini, sebab itu dulu semasa terdengar ura-ura hendak menutup akhbar jawi, Utusan Melayu Mingguan, Melaka antara negeri pertama yang menentangnya," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pertandingan AgroXRace anjuran Utusan Malaysia dan Institut Skill-Tech di institut tersebut di Batu 13, Jalan Tebong/Machap, Durian Tunggal di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech, Nordin Abdul Malek, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.

Sementara itu, Nordin berkata, selain memartabatkan tulisan jawi, Skill-Tech bercadang menjadikan AgroXraces sebagai satu produk pelancongan dalam usaha mendedahkan generasi muda mengenai produk pertanian seperti tanaman, akuakultur, ternakan dan sebagainya.

"Pada masa akan datang, kita bercadang membuka peluang kepada golongan belia atau pun keluarga untuk menyertai AgroXRace sebagai aktiviti pada musim cuti sekolah.

Seramai 500 pelajar sekolah menengah seluruh negara menyertai pertandingan mencari harta karun itu yang menggunakan tulisan jawi sepenuhnya.

Juara pertandingan menerima piala pusingan, sijil dan wang tunai RM2,000 manakala naib juara (RM1,500) dan tempat ketiga (RM1,000) selain tujuh hadiah sagu hati dan 10 buah hamper.

Source: Mingguan Malaysia Online

Belanja berhemah pada musim cuti sekolah

Oleh ROHAMI SHAFIE
21 November 2010.


CUTI persekolahan kembali lagi. Sudah tentu, golongan yang paling gembira ialah murid dan pelajar. Manakala ibu bapa pula terpaksa mengatur program bagi anak-anak mereka. Ada yang mengatur program sejak awal lagi dan tidak kurang juga yang mengadakan persiapan di saat-saat akhir.

Apa sahaja program yang diaturkan, ia tentulah untuk mengisi masa lapang anak-anak. Melancong merupakan antara program yang paling popular pada musim cuti. Selain menghadiri begitu banyak jemputan kenduri kendara, ramai yang bercadang untuk melancong bersama keluarga.

Apabila disebut melancong, kita tidak boleh lari daripada mengeluarkan wang ringgit yang banyak. Dari mula bertolak ke destinasi yang ingin dituju sehinggalah pulang ke rumah masing-masing, segala-galanya memerlukan wang. Tidak boleh mengikut selera sahaja. Kena juga mengikut kemampuan yang ada.

Adalah lebih baik melancong di dalam negara terutama jika banyak lagi tempat yang belum dikunjungi. Perbelanjaan pengangkutan adalah antara belanja yang paling utama. Sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam, keputusan yang dibuat mestilah berlandaskan bajet dan juga keselesaan.

Bagi yang mempunyai anak yang ramai, menggunakan kenderaan sendiri lebih berbaloi berbanding menggunakan pengangkutan awam. Ia lebih selesa, mudah dan murah. Kecualilah jika rombongan pelancongan hanyalah beberapa orang, pengangkutan awam mungkin pilihan terbaik untuk digunakan.

Selain pengangkutan awam, kemudahan penginapan juga adalah bajet wajib untuk melancong. Bagi yang berduit, mereka lebih sanggup membayar lebih untuk hotel atau chalet mewah. Tetapi bagi yang mempunyai kekangan bajet, hotel-hotel murah yang tidak mempunyai status bintang menjadi pilihan.

Belanjalah secara berhemah untuk penginapan kerana ia boleh mengurangkan bajet keseluruhan. Lagipun, masa untuk melancong banyak dihabiskan di luar tempat penginapan. Jadi, alangkah eloknya jika wang yang dapat dijimatkan daripada membayar hotel atau chalet, digunakan untuk belanja-belanja lain yang lebih penting seperti makanan.

Kita mungkin tidak sedar banyak wang dihabiskan semata-mata untuk perbelanjaan penginapan. Malahan, banyak wang juga dihabiskan untuk membeli cenderahati. Meskipun nilainya tidak begitu mahal, namun kalau sudah terlalu banyak dibeli, akhirnya jumlah perbelanjaan akan melebihi wang yang telah diperuntukkan.

Tidak ketinggalan, perbelanjaan yang langsung tidak termasuk dalam bajet kita. Umpamanya, sering kali ada pihak mengambil gambar kita apabila melawat sesuatu tempat pelancongan.

Mereka ini berniaga menjual gambar. Sama ada sedar atau tidak, apabila tamat sahaja lawatan ke tempat yang dituju maka, peniaga-peniaga ini mengeluarkan gambar-gambar kita untuk menarik minat kita membelinya. Harganya daripada RM10 dan ada yang menjangkau RM35 sekeping.

Apabila ditunjukkan gambar kita, mahu tidak mahu kita akan tertarik untuk memilikinya. Lebih-lebih lagi jika gambar itu cukup cantik diambil oleh mereka. Itu baru satu tempat yang dituju. Jika banyak tempat yang dituju, sudah tentu lebih banyak gambar akan diambil dan lebih banyak modal yang terpaksa dikeluarkan.

Oleh itu, jangan mudah terpedaya untuk membeli kesemuanya. Bukan salah peniaga, tetapi salah kita kerana apa sahaja di depan mata, semuanya ingin dikaut. Belilah hanya gambar terbaik yang boleh mengingatkan kembali lawatan kita di tempat tersebut.

Ini belum termasuk membeli-belah barangan lain. Lebih banyak tempat yang dituju, lebih banyak barangan yang akan dibeli oleh kita. Barangan-barangan tersebut boleh mempesonakan mata memandang.

Ada yang tidak mahu ketinggalan membeli barangan tersebut, maklumlah ia tidak boleh diperoleh di tempat-tempat lain. Inilah daya tarikan industri pelancongan. Ia mampu memperkukuhkan ekonomi sesebuah negara tetapi pada masa yang sama boleh menggugat kewangan individu jika tidak kena gayanya.

Selain perbelanjaan untuk melancong, satu lagi perbelanjaan utama semasa musim cuti ini ialah perbelanjaan barangan persekolahan seperti baju sekolah, alatan tulis, buku-buku dan beg.

Kesemuanya ini memerlukan wang yang banyak, namun apalah salahnya jika berbelanja lebih untuk pendidikan anak-anak kerana ia boleh memberi kesan positif dalam jangka masa panjang.

Cuma, lebih baik membelinya semasa tawaran jualan murah. Mungkin ada yang berpendapat pada musim persekolahan, perbelanjaan adalah lebih tinggi berbanding musim cuti, tetapi percayalah jika tersilap merancang, perbelanjaan pada musim cuti akan menjadi berkali-kali ganda lebih banyak berbanding dengan musim persekolahan.

Justeru, tidak salah berbelanja kerana ia mendatangkan kebaikan kepada banyak pihak. Yang menjadi masalah, berbelanja secara tidak terkawal dan akhirnya memberi kesan negatif kepada diri sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)Universiti Utara Malaysia.

Source: Mingguan Malaysia Online

Apa agenda ekonomi Melayu?

Oleh Dr. Noor Azlan Ghazali
21 November 2010
.


Saya mengajukan persoalan ini kepada orang Melayu dan juga keseluruhan rakyat Malaysia. Apakah agenda ekonomi orang Melayu? Soalannya ringkas tetapi jawapannya mungkin tidak semudah yang disangka.

Mencabar dan menguji keupayaan kita untuk berbicara mengenai sesuatu yang amat penting secara terbuka. Mungkin bukan sahaja orang Melayu, tetapi rakyat berbangsa Cina, India, dan lain-lain juga ingin tahu.

Bukan perkara asing lagi untuk semua rakyat Malaysia. Kedudukan ekonomi Melayu adalah perkara pokok dalam proses pembangunan negara. Sejauh mana kemajuan yang dicapai dianggap memuaskan sebahagian besarnya secara langsung atau tidak tertakluk kepada sejauh mana ia mampu melonjakkan status sosio-ekonomi orang Melayu. Apa tidaknya, asalnya Malaysia adalah Tanah Melayu. Sekitar 54 peratus penduduk Malaysia berbangsa Melayu.

Sejarah telah menempatkan orang Melayu dan beberapa bangsa yang lain sebagai masyarakat bumiputera tanpa mengenepikan hak rakyat Malaysia dari bangsa lain. Pastinya sebarang perubahan yang dilaksanakan semestinya mengambil perhatian yang besar kesannya ke atas orang Melayu. Tajuk ini tajuk negara. Ia wajar dibincangkan di pelantar utama di Putrajaya bukan sekadar di medan-medan kecil dan terpinggir. Semua rakyat Malaysia khususnya barisan pemimpin harus memahami, berasa selesa dan bertanggungjawab membincangkan tajuk ini.

Dalam setiap aspek pembangunan; sistem pendidikan, pembangunan industri, kemajuan wilayah, pembangunan keusahawanan, dasar kewangan, proses globalisasi dan sebagainya, penilaian bagaimana ia mengesani masyarakat Melayu sering menjadi pengukur penting, dalam menggubal dan membuat keputusan sama ada untuk diteruskan ataupun sebaliknya.

Begitulah hakikatnya rentak pembangunan negara kita. Tiada apa yang perlu diselindungi. Di samping konteks negara, polisi pembangunan sememangnya perlu dianalisis dalam konteks kemajuan bangsa Melayu. Adakah kita mempunyai kepakaran untuk melaksanakan penilaian ini? Secara sistematik dan profesional didasari pada asas ekonomi dan fakta yang kukuh.

Kesepakatan dalam pembangunan

Namun, ini bukannya lesen untuk membantutkan pertumbuhan ekonomi negara. Ini bukan juga lesen untuk menghalang rakyat berbangsa lain dari terus melonjak ke hadapan. Dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, semangat maju bersama mesti dipupuk dan dipegang kukuh. Perhatian utama ialah bagaimana kek ekonomi negara dapat diperbesarkan. Sebaik yang boleh semuanya menang belaka, Melayu suka, Cina gembira, India ceria, Kadazan girang, Iban riang.

Pengukuhan ekonomi negara memerlukan kesepakatan. Umpama dalam peperangan, yang nak ditewaskan musuh bukannya rejimen yang lain. Malaysia berhadapan dengan cabaran besar. Arus globalisasi dan kemajuan teknologi yang begitu pantas menghambat kita. Strategi perlu diatur segera. Sedar atau tidak, negara Vietnam yang dahulunya di tahun 1980 hampir tidak langsung ( 0 peratus) menerima pelaburan asing yang melabuh ke Asia Tenggara kini sudah menerima pelaburan asing yang hampir sama jumlahnya dengan jumlah yang diterima oleh Malaysia. Terkejut, gundah, pedih, risau, semuanya ada.

Malaysia kini di persimpangan yang amat penting. Model Baru Ekonomi (MEB) menjadi pertaruhan besar kita. Tahun 2020 hanya tinggal 10 tahun lagi, tempoh yang pendek bagi tujuan pembangunan. Sejarah mengatur medan politik negara berdasarkan kumpulan bangsa. Selagi ini medannya, maka wajarlah setiap bangsa mengatur strategi masing-masing tetapi bersyarat mesti seiring dengan strategi pembangunan negara. Kemudiannya diharmonikan agar jangan ada yang tertembak sesama sendiri. Mungkin ini satu cabang 1 Malaysia yang perlu digembelengkan.

Strategi 'co-opetition', berkerjasama dan bersaing secara serentak secara sihat baik untuk Malaysia. Dengan 53 tahun kemerdekaan, Malaysia sudah cukup matang untuk membangun secara majmuk, berkompromi dan memenuhi kehendak semua pihak secara saksama. Di sudut mata dunia, inilah antara keunikan dan kekuatan Malaysia yang disegani. Serata dunia kita menjaja Malaysia Truly Asia. Kalau ia berjaya untuk pelancongan, mengapa tidak untuk kemajuan semua bangsa. Jangan beremosi tetapi meletakkan fakta dan asas yang jelas bagi menterjemahkan sesuatu hasrat.

Ke manakah ekonomi orang Melayu?

Ke mana agaknya nak kita tuju? Apakah hasrat ekonomi orang Melayu? Apakah ukuran terbaik mengukur kejayaan ekonomi orang Melayu? Kalau ditanya sebahagian besar rakyat Malaysia, jawapannya, 30 peratus! Versi terkini ada pula yang kata 50 peratus, 60 peratus dan bermacam lagi. Benarkah kalau penguasaan ekuiti 30 peratus dicapai kita dianggap berjaya dan selesa? Bagaimanakah semua ini akan tercapai? Apakah strategi dan agenda kita? Masih tidak jelas. Apa pun pengiraan dan kewajaran di sebalik angka-angka peratusan penguasaan ekuiti ini, apa yang perlu dilaksanakan masih samar untuk diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan.

Kalau kita membina rumah tentu ada pelan dan susun atur pembinaannya. Sebelum mula membina kita sudah mula melakar dan membayangkan bagaimanakah bentuknya apabila siap nanti. Pembinaan dirancang dan dilaksanakan secara berperingkat. Cepat atau lambat bergantung pada usaha kita. Mesti ada koordinasi yang baik. Tidak boleh dibina bumbung tanpa ada tiangnya. Tidak boleh dibina tiang tanpa ada tapaknya. Siapakah yang melakar pelan rumah ekonomi orang Melayu? Bagaimanakah rupanya rumah ekonomi orang Melayu yang hendak dibina? Siapa yang bertanggungjawab membina dan memantau pembinaannya? Di manakah tiang dan tapak rumah ekonomi orang Melayu?

Kita memerlukan satu pelan strategik yang komprehensif dengan terjemahan keberhasilan yang jelas, difahami dan disokong semua. Kita seharusnya mempunyai kesepakatan dalam pelan ini. Rumah ekonomi orang Melayu besar sifatnya-bagai istana. Banyak 'pekerja' yang terlibat-pendidik, usahawan, ilmuan agama, ahli sains dan teknologi, pakar kewangan, perancang pembangunan, pembina infrastruktur, aktivis budaya, dan sebagainya. Setiapnya berfungsi secara berbeza tetapi dengan pelan yang jelas kita mampu membina, memantau, menilai dan menyemak kemajuan sepanjang pembinaan istana ini. Tidaklah istana yang diharap tetapi pondok jadinya.

Agenda Strategik Ekonomi Melayu: Penyertaan-Pemilikan-Penguasaan (3P)

Dalam tempoh 53 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah memberi impak yang besar kepada peningkatan sosio-ekonomi orang Melayu. Jangan dinafikan kemajuan yang dicapai. Hidup kita lebih selesa. Pada tahun 2009, pendapatan bulanan purata isi rumah bumiputera ialah RM3,624. Benar, dari segi jumlah masih lebih rendah dari bangsa China (RM5,011) dan India (RM3,999). Ini bukan bererti kita lemah. Jangan salah tafsir data purata ekonomi ini. Bumiputra merupakan komposisi terbesar dan begitu tersebar sifatnya. Yang lebih penting walaupun komposisi kita besar, dalam tempoh lima tahun yang lepas (2004-2009), berbanding bangsa lain, pertumbuhan tahunan purata pendapatan bumiputra mencatat kadar tertinggi iaitu enam peratus (China: 2.5 peratus dan India:3.0 peratus). Ini petanda yang amat baik menuju ke arah keserataan nilai.

DEB serampang bermata dua. Yang pertama jelas kemajuannya. Pada tahun 2009 kadar kemiskinan ialah 3.8 peratus jauh menurun dari lebih dari 50 peratus awal 70-an. Usaha membasmi kemiskinan perlu diteruskan. Perhatian dan tenaga kita perlu dikerah pada yang mata yang kedua, perihal struktur dan penguasaan kek ekonomi rakyat Malaysia.

Agenda ekonomi Melayu perlu bersifat strategik. Keberhasilan apa jua langkah memajukan ekonomi orang Melayu perlu menuju ke matlamat akhir yang sama iaitu mencapai kedudukan ekonomi yang mantap dan lestari, mempunyai organiknya yang tersendiri untuk terus mengukuh. Dengan pencapaian ini kita perlu secara teratur dan dan terancang berani melepaskan tongkat polisi afirmatif kerajaan tanpa menjejaskan apa yang telah dicapai. Polisi afirmatif jangan dibuang langsung tetapi digunakan sebagai jaringan keselematan bagi yang memerlukan. Untuk menjadi strategik dan membenih sifat organik, agenda ekonomi Melayu perlu mensasarkan kepada 3P: Penyertaan, Pemilikan, dan Penguasaan.

Source: Mingguan Malaysia Online

Ahad, 21 November 2010

Lapangan terbang Jeddah sesak

JEDDAH 21 Nov. - Pegawai tinggi Saudi Arabian Airlines menyalahkan kesesakan sepanjang dua hari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz (KAIA) ke atas penyedia perkhidmatan haji yang tidak membuat perancangan rapi untuk membawa penumpang dari Mekah ke lapangan terbang.

"Kesesakan dan pertambahan jemaah haji untuk kembali ke negara-negara Teluk dan destinasi domestik di KAIA semalam dan kelmarin disebabkan kesilapan jadual membawa jemaah yang mahu berlepas ke lapangan terbang.

"Akibat kesilapan penyedia perkhidmatan haji itu, Saudi Arabian Airlines terpaksa merombak jadual penerbangan dan menyediakan penerbangan lain," kata penolong ketua pengarah syarikat penerbangan itu, Abdullah al-Ajhar.

Abdullah turut menafikan laporan beberapa laman web yang mengatakan Kuwait menghantar sebuah pesawat untuk membawa rakyatnya pulang dan menyifatkannya tidak berasas.

"Jemaah haji Kuwait dan beberapa jemaah lain pulang ke negara asal menggunakan penerbangan alternatif yang dikendalikan oleh Arab Saudi.

"Tidak ada sebarang penerbangan dari negara Teluk tiba di sini untuk membawa pulang jemaah haji yang telah menunggu di KAIA selama 20 jam," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata enggan mengulas berkenaan laporan palsu.

"Kami menguruskan penerbangan domestik dan antarabangsa untuk lebih setengah juta jemaah haji. Saya tidak menolak akan berlaku sebarang kesilapan, tetapi kami akan akan cuba sebaik mungkin untuk memperbetulkan kesilapan yang timbul dan menyelesaikan masalah pada peringkat awal." tegas Abdullah.

Beberapa laman web melaporkan Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) membawa pulang rakyat masing-masing selepas jemaah haji dibiarkan menunggu di lapangan terbang Jeddah selama 15 jam.

Source: Utusan Malaysia Online.

Anugerah julung kali iktiraf kecemerlangan kerjaya Allahyarham Abdullah Sanusi

Oleh Khairunnisa Kamarudin, khairunnisa@bharian.com.my

Tarikh: 2010/11/21


KUALA LUMPUR: Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menganugerahkan Ijazah Kehormat (Posthumous) Doktor Pengurusan kepada pengasasnya, Allahyarham Tan Sri Abdullah Sanusi Ahmad sempena Majlis Konvokesyen Kesembilan universiti itu yang bermula semalam. Allahyarham meninggal dunia pada 29 November 2003 ketika berusia 67 tahun, meninggalkan isteri dan empat anak. Anugerah yang julung kali diberikan universiti itu adalah bagi mengiktiraf kecemerlangan Allahyarham dalam kerjaya merangkumi pelbagai lapangan termasuk perkhidmatan awam dan juga akademik. Anugerah itu disampaikan Canselor OUM Tun Jeanne Abdullah kepada isteri Allahyarham, Puan Sri Hashimah Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Jasa Allahyarham yang dilantik sebagai Naib Canselor OUM pada April 2001 itu juga berjaya menjadikan universiti itu perintis institusi pembelajaran jarak jauh dan terbuka di negara ini.

Ketika hayatnya, Allahyarham Abdullah pernah menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dari 1994 hingga 2000 selain diiktiraf pembina institusi dan perintis kepada penubuhan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Sementara itu, seorang guru, Low Suan Hua, 52, menerima Anugerah Canselor hasil pencapaian cemerlang beliau sepanjang pengajiannya dalam Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Rendah).
Pasangan Hew Teck Soon, 42, dan isterinya, Leong Lai Ying, 31, yang menerima Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dengan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 4.0.

Source : Berita Minggu Malaysia Online.

Strategi berterusan mampu pikat pelancong

Oleh Dr Awangku Hassanal Bahar Pangeran Bagul

Tarikh siar : 2010/11/21


Kempen percutian domestik besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik manfaatkan negara

AKTIVITI pelancongan secara amnya dapat membuka minda dan menambah pengalaman serta dapat mempertingkatkan keinsanan seseorang individu berkenaan. Pelancongan serantau oleh rakyat Malaysia semakin popular pada masa kini dan dijangka akan lebih pesat pada masa depan. Banyak destinasi sudah pun menjadi kegemaran pelancong Malaysia seperti Hanoi dan Ho Chi Minh di Vietnam, Bandung dan Bali di Indonesia serta Bangkok dan Phuket di Thailand. Rakyat Malaysia juga dikenali dengan aktiviti membeli-belah sebagai aktiviti utama pelancongan mereka. Tidak hairanlah jika peniaga di sesetengah destinasi pelancongan di rantau ini dapat berbahasa Melayu kerana mereka sering menerima kunjungan pelanggan Malaysia.

Destinasi berkenaan amat popular dengan aktiviti membeli-belah kerana ia menawarkan produk unik, murah dan berkualiti serta destinasi berkenaan juga mempunyai mata wang yang rendah berbanding ringgit, sekali gus memberi kelebihan kepada pelancong Malaysia.

Namun, apabila pelancong Malaysia membeli-belah di luar negara, ini akan menyebabkan pengaliran wang keluar ke negara asing dan boleh menyebabkan keseimbangan ekonomi menuju ke arah negatif.

Malaysia sudah pun berkembang dengan pesat dari segi sosioekonominya dan ramai rakyatnya mempunyai kehidupan selesa dan mengalami peningkatan dalam pendapatan boleh guna atau ‘disposable income.’ Ia satu daripada faktor penting dalam membuat keputusan untuk membeli produk pelancongan.
Pada masa sama, setiap hari, rakyat Malaysia didedahkan dengan pelbagai iklan yang menjual tiket kapal terbang dan pakej pelancongan ke luar negara dengan harga rendah dan menarik. Harga itu mungkin serendah atau lebih tinggi berbanding harga tiket dan pakej untuk pelancongan dalam negara.

Fenomena ini dapat dilihat dengan pembabitan syarikat penerbangan bajet di Malaysia pada 2001. Kejayaan yang dikecapi syarikat penerbangan itu sudah pun menjadi inspirasi beberapa negara jiran di rantau ini untuk menubuhkan syarikat penerbangan bajet mereka sendiri dan ini menggalakkan persaingan dan sekali gus menurunkan harga servis yang ditawarkan.

Persaingan ini juga membabitkan syarikat penerbangan konvensional yang ingin mencapai kepada pasaran pelancongan bajet. Persaingan itu sudah membentuk pasaran yang cenderung kepada manfaat pengguna.

Jika dilihat kepada barang yang dibeli pelancong Malaysia, ada di antaranya yang dapat dibeli di Malaysia sendiri, tetapi pada harga lebih tinggi. Oleh itu, bukan saja rakyat Malaysia, malah pelancong secara umum lebih suka membeli barang atau produk di negara asal, yang mana harga adalah lebih jauh murah dan memberi kesenangan kepada minda pelancong itu dalam isu keaslian produk serta kualitinya.

Ia juga memberi kepuasan dalam minda pelancong yang berpendapat bahawa mereka sudah berbelanja atau membeli-belah secara bijak. Oleh kerana konsep pelancongan adalah berdasarkan kepuasan pengalaman, oleh itu, membeli-belah di luar negara adalah satu pengalaman membolehkan pelancong mendapat kepuasan yang boleh dikongsi dengan keluarga dan sahabat handai.

Selain itu, sesetengah barang adalah cenderamata yang unik untuk destinasi itu seperti barangan laker (lacquer ware) serta batu permata dan manikam di Vietnam, kraf tangan halus dan hasil seni dari Indonesia dan juga sutera serta barangan perak dari Thailand.

Setiap destinasi pelancongan mempunyai pengkhususan dalam pembuatan dan pengeluaran barang tertentu dan ini turut menjadi satu daripada tarikan bagi pelancong Malaysia ke destinasi itu.

Semestinya, juga rakyat Malaysia memang berminat membeli-belah dengan kuantiti yang banyak kerana mereka selalunya tidak lupa membeli cenderahati untuk keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja.

Perlu diingat, industri pelancongan beroperasi di atas konsep penawaran dan permintaan. Sehubungan itu, tindakan mewujudkan halangan atau sekatan aliran pelancong, adalah tidak praktikal walaupun ia bermaksud wang mengalir keluar daripada lingkungan ekonomi negara.

Ada beberapa strategi yang boleh kerajaan laksanakan bagi ‘menyekat’ pelancong domestik ke luar negara. Justeru, usaha kerajaan menarik pelancong ke Malaysia dari negara lain melalui beberapa kempen termasuk kempen ‘Malaysia Truly Asia’ yang sangat terkenal di luar negara, dapat mengimbangi semula aliran wang keluar dengan aliran wang masuk ke Malaysia.

Kempen percutian domestik secara besar-besaran dengan pelbagai pakej menarik juga dapat meningkatkan rakyat Malaysia untuk memilih destinasi dalam negara dan berbelanja di destinasi itu. Malaysia sendiri mempunyai aset pelancongan bertaraf antarabangsa dan serupa dengan aset pelancongan di rantau ini dengan kos berpatutan.

Antara destinasi terkenal seperti Pulau Pangkor, Pulau Redang dan Pulau Sipadan misalnya, sudah dapat menandingi destinasi di rantau ini yang turut dikunjungi pelancong antarabangsa seperti Pulau Phuket dan Bali.

Begitu juga Kuala Lumpur, sebuah kota yang menawarkan aktiviti pelancongan termasuk membeli-belah setanding dengan Jakarta dan Bangkok. Destinasi seperti Kota Kinabalu dan Kuching juga terkenal dengan kraf tangan dan cenderahati yang unik dengan harga berpatutan.

Kementerian Pelancongan sudah pun membina imej pelancongan domestik yang kukuh dengan kempen Cuti-Cuti Malaysia dan sudah diberi sentuhan penjenamaan semula dengan Zoom Malaysia. Malah, Malaysia kini menjadi saingan kepada destinasi serantau untuk rakyatnya sendiri.

Pada masa akan datang, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju dengan taraf kehidupan penduduknya akan lebih meningkat. Rakyat Malaysia akan mempunyai pendapatan boleh guna atau belanja lebih tinggi dan ini akan memberikan lebih peluang dan opsyen untuk pergi melancong ke luar negara.

Syarikat penerbangan bajet dan konvensional akan terus berkembang dan akan menambah destinasi baru sepanjang masa dan persaingan akan merendahkan harga untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan.

Ini menjadikan industri pelancongan pada masa depan sebagai industri tanpa sempadan. Justeru, pembentukan strategi berterusan adalah penting untuk memastikan industri ini sentiasa memberi manfaat kepada negara Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaysia Sabah dan Perunding Utama, Tinjauan Pasaran Domestik, Lembaga Pelancongan Sabah.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Jemaah haji mula tinggalkan Makkah

Rakyat dari negara Teluk kumpulan terawal menaiki pesawat, bas pulang ke tanah air

JEDDAH: Jemaah haji tempatan dan dari negara Teluk adalah kumpulan terawal yang mula mengambil penerbangan untuk pulang ke tanah air masing-masing dengan pesawat serantau kelmarin selepas selesai menunaikan ibadat itu, kata jurucakap Pihak Ber-kuasa Penerbangan Awam Arab Saudi Khaled Khaibari kepada Arab News. Beliau berkata, jemaah mula berlepas menggunakan enam pesawat setiap jam dari Terminal Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz. Khaibari menggesa misi haji dan agensi pengangkutan membawa jemaah ke lapangan terbang lebih awal supaya urusan perjalanan dapat selesai tepat pada masanya dan tiada kelewatan ketika kapal terbang mahu berlepas.

Beliau juga meminta jemaah mengemas bagasi dengan selamat dan memastikan tiada beg yang melebihi 32 kilogram supaya ia dapat dimasukkan dengan mudah ke dalam pesawat.

Pengarah jabatan yang menguruskan bas jemaah, Faisal Al-Asrah, memberitahu Arab News 800,000 jemaah berlepas ke Madinah bermula semalam dalam perjalanan pulang ke rumah menggunakan bas.

“Jemaah yang tiba terus ke Makkah sejurus sebelum haji akan menuju Masjid Nabawi di Madinah sebelum mereka pulang ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, Misi Haji India dalam satu kenyataan berkata pesawatnya hanya membenarkan bagasi 45 kilogram, 10 kilogram bagasi bimbit dan 10 liter air ZamZam untuk setiap jemaah. Syarikat penerbangan akan mengenakan bayaran 40 riyal (RM33.21) bagi setiap kilo-gram lebihan. Ia berkata bagasi bimbit dilarang membawa sebarang cecair dan barangan tajam seperti gunting, pisau, jarum dan sebagainya.

Terminal antarabangsa itu tidak sesak walaupun ramai penumpang, namun ia akan berubah sebaik saja jemaah tidak sabar untuk kembali. Beliau menasihatkan jemaah supaya tidak membawa lebih 45 kilogram setiap seorang penumpang dalam bas dan bagasi tidak melebihi 40 sentimeter tinggi.

Pengarah ubatan terlarang di lapangan terbang, Abdul Ghani Al-Malki, berkata sepasukan anggota dari Kementerian Kesihatan membantu jemaah yang sakit yang berlepas sejak Khamis lalu.

“Bantuan perubatan disediakan kepada 2,000 jemaah sejak Khamis lalu, kebanyakannya mengalami penyakit tidak membahayakan,” katanya.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Hampir 60 warga Malaysia urus operasi Makkah Metro

Hampir 60 warga Malaysia urus operasi Makkah Metro

Susunan Nurul Hazren Masitom, nurulh@nstp.com.my


Tarikh siar: 2010/11/21


USAHA pihak berkuasa haji Arab Saudi meningkatkan infrastruktur di Makkah dan kawasan sekitarnya, membolehkan hampir tiga juta jemaah dari seluruh dunia melakukan ibadat haji dengan lebih selasa tahun ini.



Infrastruktur ini termasuklah jambatan Jamrat dan sistem pengangkutan komuter Makkah Metro yang mula digunakan tahun ini untuk jemaah dari negara Arab, dan semua jemaah tahun depan. Kehadiran Makkah Metro yang sudah siap di antara Mina dan Padang Arafah, dan langkah pihak berkuasa melarang kenderaan membawa kurang daripada 25 penumpang sedikit sebanyak mengurangkan kesesakan lalu lintas, lapor akhbar online Arabnews. “Jumlah besar pegawai polis dan sukarelawan yang ada untuk membantu jemaah menjadi satu lagi elemen penting bagi memastikan ibadat haji tahun ini berjaya dan selamat.

“Tahun sebelumnya menyaksikan ibadat haji dicemari insiden tragik terutama ketika melontar jamrah di Jamratul Aqabah. Dengan keadaan sempit dan jumlah jemaah yang ramai, ia sentiasa menjadi bahagian paling berbahaya dalam ibadat haji,” kata akhbar itu.

Bahaya itu seolah-olah tiada lagi, apabila jambatan lima tingkat siap dibina membolehkan lebih ramai jemaah mengambil bahagian pada masa yang sama.

Satu lagi kemajuan ialah sistem pengangkutan komuter Makkah Metro atau secara rasmi dikenali sebagai Kereta Api Mashair.
Sumber jabatan kereta api melaporkan, Makkah Metro menguruskan kira-kira 66,000 jemaah pada hari pertama ia beroperasi.

Kereta api itu membawa jemaah haji dari awal pagi Isnin (15 November) sehingga jam 11 pagi hari sama. Ia meneruskan perkhidmatan sehingga lewat tengah hari.

Malaysia boleh berbangga kerana hampir 60 orang warga negaranya terbabit dalam menguruskan operasi itu selain sejumlah besar juruteknik dari China, Pakistan dan India.

Menurut seorang pengurus warga Malaysia di satu daripada stesen di Arafah, kereta api itu melakukan 22 perjalanan pada hari pertama ia beroperasi.

“Setiap kereta api memiliki 12 gerabak dan boleh membawa 3,000 jemaah,” kata pegawai itu yang enggan namanya didedahkan.

“Satu perkara yang berbeza di Arafah ialah jumlah tinggi jemaah yang menaikinya. Saya masih belajar menguruskan kesesakan penumpang di sini.”
Pengurus stesen itu bekerja dengan Keretapi Malaysia Berhad (KTMB) di Kuala Lumpur.

“Stesen yang saya uruskan di Kuala Lumpur tidak memiliki jumlah penumpang yang ramai seperti ini.

“Pengajaran lain yang saya pelajari ialah komunikasi. Untuk memastikan mesej yang diberi sampai dan tepat, ia adalah aspek paling mencabar. Ia semua satu pengalaman pembelajaran dan saya mahu kembali ke sini,” katanya.

Pembinaan Makkah Metro menelan belanja 6.5 billion riyal (RM5.41 bilion) dan sistem kereta api baru itu memiliki kapasiti membawa 72,000 jemaah sejam.

Ini adalah projek kedua terbesar dilaksanakan Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar selepas projek Jambatan Jamrat berteknologi tinggi bernilai 4.5 bilion riyal (RM3.74 bilion) di Mina.

Timbalan Menteri Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar, Habib Zain Al-Abidine, berkata sistem kereta api itu memiliki 10 lokomotif dalam fasa pertama, setiap satunya 300 meter panjang.

Kereta api itu boleh membawa jemaah dari satu tempat suci ke tempat suci lain dalam tempoh sekitar lima minit.

Zain Al-Abidine berkata, kereta api itu akan beroperasi sepanjang tahun. Fasa kedua projek akan menghubungkan Kereta Api Mashair dengan Masjidil Haram di Makkah, dengan satu stesen dibina di atas Jalan Umm Al-Qura.

Ia juga akan dihubungkan dengan Stesen Kereta Api Haramain yang akan menghubungkan Makkah ke Madinah dan Jeddah.

Kemudahan pengangkutan itu akan memiliki 20 lokomotif dalam peringkat berikutnya, setiap satunya dengan 12 gerabak dan setiap gerabak boleh membawa 250 penumpang. Kira-kira 20 peratus penumpang boleh duduk manakala selebihnya berdiri. Kereta api itu boleh memecut sehingga 120 kilometer sejam.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

Terowong mercu tanda

Oleh Nurhayati Abllah, edisimingguan@bharian.com.my

Tarikh siar : 2010/11/21

Binaan Terowong Berkembar Berapit, Perak terpanjang di Asia Tenggara dan setaraf negara maju

SEJARAH
penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban di mana manusia menyediakannya sebagai akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air di permukaan berbatu. Definisi kamus menyatakan terowong adalah laluan yang dibina menembusi bukit, gunung dan terusan. Sesebuah terowong boleh menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya atau lebuh raya, kereta api mahupun laluan air. Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan.

Masyarakat Rom satu ketika dulu dikatakan mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina sebuah terowong sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino yang terletak di Timur Rom, bagi mengelak masalah banjir.


Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan tempoh masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.

Kini, berbekalkan kepakaran manusia dibantu kecanggihan teknologi terbukti banyak membantu dalam pembinaan lebih banyak terowong moden.
Malah, Malaysia sendiri melakar sejarah apabila membina terowong lebuh raya pertama iaitu Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang, yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Malaysia turut membina terowong jalan raya terpanjang di negara ini iaitu Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sepanjang empat kilometer (km) yang mula beroperasi pada 2007.


Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Terowong itu sebahagian komponen projek infrastruktur terbesar negara setakat ini bernilai RM12.5 bilion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar. Terowong berkenaan kini siap 70 peratus sejak dimulakan pada awal 2008.

Tanggal 1 November lalu menjadi detik awal sejarah terowong itu apabila bahagian terakhir terowong itu dipecahkan dan majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Apa yang menarik, terowong berkenaan berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.

Lebih membanggakan, ilham reka bentuk dan binaan struktur itu dibuat sepenuhnya hasil kerjasama pakar, jurutera dan pekerja mahir anak tempatan di bawah syarikat penerajunya, MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV).

Pembinaan terowong itu menggunakan kaedah pembinaan seperti gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Pengarah MMC-GAMUDA JV, Datuk Azmi Mat Nor, berkata pembinaan Terowong Berkembar Berapit berhadapan banyak cabaran seperti pengorekan dibuat di bawah PLUS dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping ke Kuala Kangsar) ketika kedua-dua laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Keadaan geoteknikal dengan beberapa faktor seperti struktur tanah, aliran air dan kecerunan bukit diambil kira bagi kaedah pengorekan-mikro di bawah lebuh raya. Selain itu, pengurusan trafik dan lencongan sejauh 1.5 km juga dilakukan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

“Faktor penyumbang kepada kelancaran kemajuan projek dan pembinaan terowong dibantu dengan semangat dedikasi pasukan pengorekan terowong di kalangan rakyat Malaysia terlatih. Mereka mengaplikasikan pengalaman sebelum ini iaitu ketika terbabit dalam beberapa projek pengorekan terowong lain terutama Terowong SMART," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok, berkata kerja pembangunan Terowong Berkembar Berapit kini siap sekitar 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2011.


“Baki 30 peratus kerja pembinaan terowong itu masing-masing hanya membabitkan 15 peratus pembinaan infrustruktur dan 15 peratus pemasangan sistem dalam terowong.

"Pembinaan terowong itu juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrustruktur bertaraf dunia. Malah, sehingga kini kita mampu mencapai '19 Juta Jam Tenaga Manusia Tanpa Kehilangan Masa Akibat Kemalangan' untuk rekod keselamatan dan kesihatan PLBE," katanya.


Hin Kok berkata, dengan terbinanya terowong berkenaan, Malaysia kini mampu dilihat setanding dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara maju lain kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/sejam, walaupun melalui terowong.

"Selain Terowong Berkembar Berapit, beberapa lagi mercu tanda PLBE Ipoh-Padang Besar yang bakal menjadi antara struktur menarik di negara ini ialah Jambatan Marin Bukit Merah di Bukit Merah, Taiping sepanjang 3.5 km yang kini 95 peratus siap, Terowong Larut yang berukuran 342 meter (m) bersaiz 13 m lebar dan 10 m tinggi (85 peratus siap) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang iaitu sepanjang 282 m," katanya.

INFO: Terowong di Malaysia

Terowong di Malaysia


•Terowong lebuh raya pertama negara
- Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang dibuka secara rasmi pada 1979.


•Terowong jalan raya terpanjang di negara ini
- Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) yang beroperasi pada

Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak


•Diiktiraf terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.


•Sebahagian komponen projek infrastruktur negara iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.


•Projek di bawah syarikat peneraju MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV), kini 70 peratus siap sejak dimulakan awal 2008.


•Setaraf negara maju kerana membolehkan kereta api pecut pada kelajuan 140 km/sejam.


•Dibina dalam bentuk ladam kuda, berukuran 9 m (tinggi) x 9 m (lebar).


•Pembinaan menggunakan kaedah gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.

Source: Berita Minggu Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran