TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Sabtu, 12 Februari 2011

Utamakan kepentingan bangsa - Aspirasi

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Generasi muda Melayu hari ini perlu mempunyai jiwa, semangat dan sikap sentiasa mengutamakan kepentingan bangsa melebihi kepentingan peribadi.

Presiden Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, ia penting bagi meningkatkan kemajuan orang Melayu dari pelbagai aspek terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Selain itu, katanya, belia Melayu juga perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan agenda politik masing-masing dengan lebih menumpukan kepada usaha memberikan idea dan pelan bagi membangunkan bangsa Melayu pada masa depan.

''Ini penting demi memastikan kepentingan perjuangan anak bangsa, kini dan masa depan terus terjamin,'' katanya semasa berucap pada Simposium Dilema Melayu anjuran Aspirasi di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Mohd. Shahar dalam pada itu memberitahu, anak muda Melayu kini juga sudah mula melupai sejarah tanah air sehingga ada yang menjadi perosak kepada usaha perjuangan tokoh Melayu sebelum ini.

Keadaan itu sekiranya tidak ditangani katanya, akan menjadi bom jangka yang boleh menghancurkan kemajuan dan kemakmuran Malaysia.

Justeru katanya, penganjuran simposium seperti ini kena pada masanya melihat kepada keadaan orang Melayu dan generasi muda Melayu masa ini.

''Jika ada pihak lain yang mengatakan simposium ini sebagai tindakan provokasi terhadap kaum lain dan usaha menidakkan 1Malaysia, ia adalah tidak benar kerana mereka berasa iri hati atas penyatuan anak-anak muda Melayu yang berhimpun atas satu cita-cita yang sama,'' katanya.

Source: Mingguan Malaysia Online

Jumaat, 11 Februari 2011

Persimmon Malaysia

By Idris Talu.

Pohon-pohon persimmon Malaysia (pisang kaki) sedang mengalami musim gugur di Malaysia. Selepas kebanyakan daunnya gugur ke bumi, pohon-pohon pisang kaki ini mula berdaun semula dan juga akan mula mengeluarkan kuntum bunga yang bakal mengeluarkan buah.


Gambar di atas, penulis ambil di pinggir sebuah ladang teh di Cameron Highlands.

http://idristalu.blogspot.com/

Kohlrabi atau lobak Jerman

By Idris Ismail Talu

Kohlrabi atau lobak Jerman merupakan tumbuhan dari jenis kobis yang dikatakan boleh tumbuh di kebanyakan tempat di bumi ini.

Namanya berasal dari perkataan Jerman – Kohl, yang bermaksud kobis, dan ditambah Rube ~ Rabi (mengikut slanga Switzerland ~ Jerman). Ianya dikatakan sebagai "lobak", kerana batangnya yang membengkak yang menyerupai lobak.



Kohlrabi di Cameron Highlands.


Subur bumi kita.



http://idristalu.blogspot.com/

Ikhwanul Muslim kagum perjuangan rakyat Mesir

12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb.
- Kumpulan pembangkang paling berpengaruh, Ikhwanul Muslim menyambut baik perletakkan jawatan oleh presiden Hosni Mubarak dan mengucapkan terima kasih kepada tentera yang telah menunaikan janji mereka.

“Kami sangat kagum dan menghormati perjuangan rakyat Mesir serta pihak tentera yang memenuhi janji mereka,” kata Essam el-Erian, pemimpin kanan Ikhwanul Muslim.

Tokoh pembangkang terkemuka Mesir, Mohammed ElBaradei ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata, perletakan jawatan oleh Mubarak telah mengembalikan semula kehidupan rakyat Mesir.

Menteri luar Turki, Iran dan pemimpin Hezbollah Lebanon mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menjatuhkan Mubarak dan berharap akan muncul sistem baru untuk rakyat negara itu.

Turut mengalu-alukan pengunduran Mubarak adalah pemimpin Hamas dan penduduk Palestin yang sama meraikan kejayaan rakyat Mesir di seluruh Gaza City.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mubarak letak jawatan, rakyat Mesir berpesta

12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb.
- Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tharir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.

Source: Utusan Malaysia Online.

Mubarak tunduk selepas 18 hari

2011/02/12

Lebih sejuta penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Mesir gembira peletakan jawatan


KAHERAH:
Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di kota Kaherah, Iskandariah, Suez dan Delta Nil semalam dan menunjukkan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, semalam.

Mereka awalnya marah dengan kenyataan tentera menyokong pelan pemimpin mereka terus memegang kuasa hingga pilihan raya bermula September depan.

Mereka berarak ke istana presiden dan melakukan hadangan di depan stesen televisyen rasmi sebagai menunjukkan bantahan terhadap lambang rejim pemerintahan Mubarak.
Penunjuk perasaan menyambut gembira kenyataan Majlis Tertinggi Tentera dianggotai jeneral kanan awal semalam menjamin tuntutan rakyat Mesir akan dipenuhi yang ditafsirkan sebagai tindakan mengambil alih pemerintahan.

Tetapi, kenyataan terbaru badan itu mencetuskan kemarahan ramai penunjuk perasaan, lebih-lebih lagi selepas Mubarak masih enggan meletak jawatan meskipun memberi kuasa kepada Naib Presiden, Omar Suleiman.

“Apa yang kamu tunggu lagi?” jerit seorang penunjuk perasaan kepada seorang askar di luar istana utama, Oruba, utara Kaherah dalam bantahan yang disertai 1,000 orang.

Tidak diketahui sama ada Mubarak ada di dalam. Istana itu dikawal empat kereta kebal dan kawat berduri tetapi askar tidak menghalang orang ramai berhimpun bagi membuat bantahan.

Dataran Tahrir pula penuh sesak dengan penunjuk perasaan yang meneruskan protes buat hari ke-18.

Di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir, lebih 100,000 orang berkumpul di dataran utamanya dan mula berarak ke kediaman utama Mubaral di bandar itu di Istana Ras el-Tin.

Penunjuk perasaan berkata mereka semakin bersemangat untuk menamatkan pemerintahan Mubarak dan akan cuba mendapatkan sokongan tentera dengan menjerit ‘rakyat dan tentera adalah satu tangan.’

Tukang baca khutbah solat Jumaat di Dataran Tahrir juga menggesa penunjuk perasaan meneruskan usaha mereka.

“Kita sudah bertahun-tahun hidup tanpa bersuara. Hari ini, kita suruh rejim sekarang berundur. Kita berdoa setiap Jumaat di sini pada minggu akan datang dan mempertahankan maruah kita.”

Kenyataan kedua tentera digelar ‘Perisytiharan Nombor 2’ menyokong rancangan Mubarak memberi sebahagian kuasanya kepada Suleiman selain berjanji memastikan Presiden dan timbalannya memenuhi janji mereka.

Kemarahan penunjuk perasaan kepada kenyataan tentera juga meletus di kota Suez dan bandar Tanta di Delta Nil dengan beribu-ribu penduduk menyertai perarakan anti-Mubarak.

Harapan bahawa Mubarak akan meletak jawatan meningkat kelmarin selepas majlis tentera mengeluarkan ‘Perisytiharan Nombor 1’ menyatakan ia campur tangan untuk menyelamatkan negara dan seorang panglima kanan memberitahu penunjuk perasaan bahawa semua tuntutan mereka akan dipenuhi.

Tetapi, beribu-ribu penunjuk perasaan kembali marah selepas dikejutkan dengan ucapan Mubarak mengatakan beliau tidak akan meletak jawatan, beberapa jam kemudian.

Source: Berita Harian Malaysia Online

5 penerbangan MAS dari Mesir hingga Sabtu

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Malaysia Airlines System (MAS) akan meneruskan misi membawa keluar penuntut dan rakyat Malaysia dari Mesir melalui Ops Piramid sehingga Sabtu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu mengumumkan akan melakukan lima lagi penerbangan membawa mereka yang terlibat dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.

"Sehingga kini MAS melakukan 11 penerbangan. Ramai lagi dijangka pulang ke tanah air pada hujung minggu ini," ujar kenyataan itu.

Pada fasa pertama operasi itu, MAS berjaya membawa keluar 3,431 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah sementara sehingga semalam seramai 1,274 orang sudah sampai ke tanah air dari Jeddah.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin memberitahu, seramai 14,000 penuntut Malaysia dilaporkan mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk dibawa keluar dari Mesir.

Menurutnya, MAS akan terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan misi membawa pulang penuntut dan rakyat Malaysia dari negara bergolak itu.

Kata Tengku Azmil, kesudian Mesir dan Arab Saudi membenarkan MAS mendarat di lapangan terbang negara itu adalah kunci kelancaran operasi tersebut.

Jelasnya, sudah bertahun-tahun MAS membina dan berusaha mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua negara itu.

Source: Utusan Malaysia Online

Tawaran biasiswa tarik lebih ramai pelajar Indonesia ke Malaysia

Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA, saharudin.musthafa@utusan.com.my

JAKARTA 10 Feb.
- Dalam usaha menarik rakyat Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia, kerajaan menawarkan pelbagai pelan biasiswa kepada bakal siswazah dari negara jiran itu.

Tawaran biasiswa itu merupakan insentif yang dijangka membuka ruang yang lebih luas bagi menarik kemasukan yang lebih besar pelajar antarabangsa di Malaysia.

Selain pelan biasiswa, pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) juga menjadi tarikan buat rakyat Indonesia untuk memilih melanjutkan pengajian di Malaysia.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Vanitha Mohan, tawaran itu akan diberikan kepada mana-mana rakyat Indonesia yang berkelayakan dan memenuhi syarat serta berhasrat menyambung pengajian di mana-mana universiti di Malaysia.

"Tawaran ini merupakan pendekatan yang sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pameran pendidikan Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 di sini, hari ini.

Pameran Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Nasional Indonesia bermula hari ini sehingga 12 Februari ini.

Vanita memberitahu, Kementerian Pengajian Tinggi yang menyokong pameran itu turut membuka ruang pameran pendidikan yang diwakili oleh 12 buah universiti Malaysia.

Sehingga kini, hampir 10,000 rakyat Indonesia berada di Malaysia untuk melanjutkan pengajian di pelbagai universiti.

Menjelang 2015, negara mensasarkan kemasukan 150,000 pelajar antarabangsa dari seluruh dunia yang sekali gus untuk menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Sehubungan itu, Vanitha berkata, divisyen Education Malaysia yang bertanggungjawab memasarkan sistem pendidikan negara berharap pameran yang disertai kali kedua itu akan menarik minat lebih ramai rakyat Indonesia.

"Kita gembira kerana selama ini rakyat Indonesia sudah sedia maklum mengenai tahap kualiti pendidikan yang ditawarkan di Malaysia.

"Kerana itu, kita akan terus mempromosikan pendidikan Malaysia di Indonesia biarpun pada masa sama kita harus berhadapan dengan persaingan yang sengit dari negara-negara luar yang lain," katanya.

Selain Indonesia, Education Malaysia juga jelas Vanitha, turut berkunjung ke negara-negara lain seperti Singapura, Kazakhstan, China, India dan Oman bagi menarik minat rakyat dari negara-negara itu untuk belajar di Malaysia.

Hadir sama memberi sokongan pada pameran pendidikan yang berlangsung di Istora Senayan di sini ialah Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan serta Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar.

Sementara itu, Pejabat Promosi Pendidikan Malaysia di Jakarta pula akan meneruskan usaha mempromosikan pendidikan negara dengan lebih luas lagi sepanjang tahun ini.

Menurut Pengarah jabatan berkenaan, Yahurin Mohd Yassin, promosi yang akan diadakan untuk memperkenalkan pendidikan Malaysia sepanjang tahun ini ialah menerusi siri jelajah Indonesia, penganjuran pelbagai seminar serta pameran.

"Sebagai permulaan sebanyak tujuh destinasi utama sudah dikenal pasti untuk kami mempromosikan pendidikan negara.

"Untuk itu, wakil-wakil dari pelbagai universiti di Malaysia juga akan turut diajak untuk sama-sama memperkenalkan apa yang boleh negara tawarkan kepada seluruh rakyat Indonesia berhubung sistem pendidikan negara," kata Yahurin lagi.

Source: Utusan Malaysia Online

PM hadir Syarahan Global Khazanah


KUALA LUMPUR 10 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini menghadiri Syarahan Global Khazanah yang disampaikan oleh bekas Presiden Ireland, Mary Robinson.

Ia merupakan siri syarahan kesembilan anjuran Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sejak mula diadakan pada 2007.

Ia diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengerusi UEM Group Berhad, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.

Mary menyertai tokoh lain sebagai penyampai Syarahan Global Khazanah antaranya Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh; bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan Pengasas Bank Grameen Bangladesh, Dr. Muhammad Yunus.

Dalam syarahannya yang bertajuk 'Sharing the Unequal Burdens of Global Warming-Climate Justice and Our Global Responsibility', Mary berkata, perubahan suhu tidak hanya tertumpu kepada masalah berkaitan cuaca seperti yang sering dibimbangi oleh masyarakat dunia.

Sebaliknya kata beliau, ia melibatkan perbincangan isu yang sangat meluas mencakupi teknologi, dasar ekonomi, hubungan antarabangsa, etika kepimpinan dan juga polisi global.

"Barangkali sudah tiba masanya untuk kita memberi tumpuan kepada keadilan cuaca dalam erti kata sebenar seterusnya menjadi 'tetamu' yang adil kepada bumi," kata beliau.

Syarahan perdana itu turut diikuti oleh mahasiswa tujuh buah universiti menerusi sidang video.

Sesi soal jawab antara Mary dengan penuntut berkenaan dikendalikan oleh Ketua Cawangan Maklum Balas Kemanusiaan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Source: Utusan Malaysia Online

Khamis, 10 Februari 2011

Transformasi pembiayaan dunia akademik

2011/02/11

DALAM hampir semua peradaban, komuniti ilmu dan sarjana sering mendapat layanan istimewa. Institusi dan kos pengajian disediakan. Malah biaya penyelidikan ditaja. Tidak salah rasanya jika dirumuskan bahawa dalam semua peradaban, kesarjanaan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat sebagai institusi penggerak minda, pembangun insaniah dan penyuluh zaman.

Itulah justifikasi kebanyakan sarjana dibiaya sepanjang pembabitan dalam dunia ilmu bermula dari proses pembelajaran sehinggalah akhirnya sampai pada tahap tertinggi dari segi pengembangan idea, pengajaran, penyelidikan dan penulisan. Justeru, dalam konteks moden, dunia kesarjanaan masih sinonim dengan layanan istimewa, pelaburan besar dan penajaan, khususnya dari kerajaan dan dermawan. Memang dunia kesarjanaan penuh keanehan.

Dalam keghairahan sarjana menekuni pelbagai disiplin ilmu, tidak ramai prihatin terhadap kerangka kewangan institusi ilmu. Apabila berbicara mengenai pengurusan, sarjana biasanya melihat ke luar dengan mengemukakan pelbagai teori mengenai pengurusan organisasi swasta dan awam; jarang sekali mengenai institusi pengajian tinggi. Apabila membahaskan mengenai model kewangan, mereka mendefinisikan pelbagai sistem dari Wall Street sehinggalah sukuk; jarang sekali mengenai kaedah untuk menampung program kesarjanaan.

Realitinya, dengan ratusan pakar dalam pelbagai subdisiplin ekonomi di universiti tempatan, mereka masih mengharapkan geran dan pelbagai bentuk subsidi untuk melengkapkan peralatan komputer di makmal fakulti. Malah di kalangan selebriti penerima Anugerah Nobel masih bergantung kepada sumbangan geran untuk menaja penyelidikan dan menampung kos aktiviti kesarjanaan.

Barangkali sudah menjadi resam dalam dunia kesarjanaan moden bahawa ahli akademik yang tersohor dan dianggap cemerlang adalah di kalangan mereka yang paling berjaya mendapat geran penyelidikan paling lumayan. Dengan kata lain, paling banyak mendapat ihsan dan bantuan pihak lain!

Itulah keanehan dunia akademia. Hal ini tidak terhad kepada universiti awam tempatan, malah di serata dunia. Sejak saya menjadi Naib Canselor UTM pada akhir 2008, persoalan ini sering ‘menghantui’ fikiran saya. Ini semakin ketara berikutan langkah kerajaan seluruh dunia mengurangkan defisit kewangan yang turut membabitkan pengurangan peruntukan kepada universiti dan aktiviti kesarjanaan.
Pada hemat saya, komuniti ilmu perlu mencari perspektif dan kerangka baru dari segi kewangan. Secara idealnya, institusi ilmu terutama universiti seharusnya menjadi model kepada sistem kewangan moden. Hal ini perlu membabitkan inovasi dalam semua aspek, termasuk kos operasi dan pembiayaan program kesarjanaan.

Pada hemat saya, kerangka kewangan pengajian tinggi dan pembangunan kesarjanaan boleh ditransformasi terhadap empat komponen utama, iaitu pembiayaan pengajian, emolumen, penyelidikan dan prasarana. Dalam konteks Malaysia, sebahagian sudah dirangka menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menerusi dasar autonomi.

Sehubungan itu pada 2 Februari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, melancarkan Biasiswa Endowmen UTM yang menyediakan peluang kepada 100 mahasiswa terbaik mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di UTM pada sesi akademik 2011/12. Biasiswa RM10,000 setahun untuk setiap penerima itu ditaja menerusi dana Endowmen UTM yang ditubuhkan pada 2010. Dijangka menjelang 2020, semua mahasiswa ijazah sarjana muda akan mendapat pembiayaan Biasiswa Endowmen.

Biasiswa Endowmen UTM bukan sekadar kemudahan penajaan pengajian malah satu inisiatif dalam kerangka untuk mentransformasi pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia. Biasiswa Endowmen juga adalah komitmen warga akademia untuk turut menyumbang dan mewarnakan dunia kesarjanaan menerusi sumbangan pelbagai pihak untuk menyemarakkan kesarjanaan di Malaysia. Secara tidak langsung akan mengurangkan pergantungan kepada Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN).

Selain penyediaan biasiswa, dana Endowmen UTM juga akan menaja kursi profesor, menyediakan kemudahan prasarana terbaik untuk pembelajaran dan pengajaran, dan dana penyelidikan berimpak tinggi. Pada suatu tahap nanti, menjelang 2020, dana Endowmen menyumbang lebih 10 peratus daripada kos operasi universiti.

Hal ini bukan suatu khayalan. Dalam sejarah banyak universiti ternama dan tidak begitu ternama, endowmen adalah mekanisme utama pembiayaan pengajian tinggi. Universiti Al-Azhar di Mesir adalah contoh terbaik. Model ini juga dilaksanakan di Harvard, Yale, Princeton dan MIT. Selain itu, banyak sumber kewangan lain dapat dijana menerusi pelbagai aktiviti berkaitan pengajian tinggi seperti komersialisasi harta intelek, pelaburan strategi dan penyediaan kemudahan prasarana.

Ringkasnya, untuk terus memacu kesarjanaan dan institusi pengajian tinggi negara, maka pergantungan kepada geran dan sumbangan pihak kerajaan perlu dikurangkan. Pengurangan ini tidak bermakna kerajaan boleh lepas tangan untuk tidak lagi berpartisipasi dalam pembiayaan pengajian tinggi, sebaliknya menyediakan ekosistem lebih mantap bagi menyemarakkan kesarjanaan.

Pembabitan pelbagai pihak untuk menyediakan dana pelbagai program dan komuniti ilmu menandakan komitmen seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama memartabatkan kesarjanaan.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan Pengerusi Akademia bagi Program Agenda Kritikal Pengajian Tinggi

Source: Berita Harian Malaysia Online

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran