TO ALL MY BLOG READERS

TERIMA KASIH - شكرا لك - THANK YOU - ありがとうございました - 谢谢您 - Teşekkürler - Mulţumesc - Obrigado

Jumaat, 29 Oktober 2010

Cikgu Ibrahim Omar meninggalkan banyak novel

Sumber: Utusan Malaysia Online
Tarikh siar: 30 Oktober 2010.


Oleh NAZERI NONG SAMAH, pengarang@utusan.com.my


Allahyarham cikgu Ibrahim Omar.

SEMINGGU yang lalu, saya bermimpi beliau meninggal dunia. Saya amat sedih kerana gugurnya sebutir lagi bintang yang pernah menerangi dunia kesusasteraan Melayu. Saya membacakannya, al-Fatihah.

Ternyata semalam (Jumaat 29 Oktober 2010), beliau yang dimaksudkan iaitu novelis Desa Pingitan, Ibrahim Omar , 74, benar-benar telah pergi buat selama-lamanya kerana sakit tua pada pukul 11.30 pagi di Kampung Mela, Lipis, Pahang.

Beliau dikenali sebagai Cikgu Ibrahim kerana pernah mengajar subjek Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab di beberapa buah sekolah di Pahang dan Perak. Pada tahun 1966, Ibrahim pernah menjadi guru besar di Sekolah Arab Al-Ehya Assyarif, Gunung Semanggol, Perak.

Nama Ibrahim juga tidak asing bagi para pelajar pada tahun 1960-an kerana novel Desa Pingitan, karyanya pernah menjadi teks Kesusasteraan Melayu untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 1966-1968.

Buku biografi Wajah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran tahun 1988 merumuskan bahawa novel Desa Pingitan mengemukakan kisah masyarakat Melayu di kampung dan bandar dengan perbezaan hidup serta sikap terhadap pembangunan.

Novel itu terus segar dibaca sehingga kini kerana Ibrahim lebih awal telah menerapkan elemen 1Malaysia di dalam Desa Pingitan.

Beliau meninggalkan banyak buah tangan berupa antologi cerpen dan tidak kurang daripada 50 buah novel termasuk novel Desa Pingitan yang diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Antara novel popular karya Ibrahim ialah Desa Pingitan (DBP 1964), Embun dan Tanah (Pustaka Melayu Baru 1965), Hilang (Pustaka Nasional Singapura 1966), Hujan Panas (Pustaka Timur Kuala Terengganu 1966), Patah Galah Haluan Perahu (Utusan Melayu (M) Berhad 1973), Tiba Masanya (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) 1977).

Ibrahim yang dilahirkan pada 17 Jun 1936 di Kampung Jeram Landak, Mela, Lipis, Pahang pernah belajar di Sekolah Menengah Inggeris Clifford, Kuala Lipis sebelum memilih kerjaya sebagai guru dan penulis kreatif berupa novel dan skrip drama Radio Malaysia sejak awal 1960-an.

Kemuncak kejayaan Ibrahim ialah apabila novel Desa Pingitan yang menyertai peraduan mengarang novel anjuran DBP, Kuala Lumpur tahun 1962 berjaya memenangi tempat kedua kerana tiada pemenang pertama dalam sayembara itu.

Selepas meninggalkan bidang perguruan, Ibrahim pernah menjadi penulis sepenuh masa sebelum menyertai penerbitan Utusan Melayu (M) Berhad sebagai penyunting Utusan Malaysia pada tahun 1975.

Seorang penulis sastera dan wartawan Haris Fadilah Ahmad dari Jerantut, Pahang berkata, kali terakhir Ibrahim menghadiri majlis akademik adalah anjuran Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis kira-kira empat bulan lalu.

Bagi yang mengenali Ibrahim, pasti terbayang wataknya sebagai insan merendah diri serta gemar bercakap tentang motivasi, falsafah dan sesekali diselitkan dengan jenaka bermutu.

"Kita jangan tinggalkan bidang kesusasteraan kerana di dalamnya banyak mengajar kita tentang erti kemanusiaan dan saya gembira kerana Kementerian Pelajaran kini memperkasakan semula subjek itu di sekolah,'' kata Ibrahim seakan-akan berwasiat.

Source: Utusan Malaysia Online.

Istana Kenangan Perak

Idris Talu

Istana Kenangan ini dibina dalam tahun 1926 merupakan istana tempat persemayaman sementara untuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah yang pada ketika itu sedang menunggu penyempurnaan Istana Iskandariah, istana rasmi baginda.

Istana ini dibina di Bukit Chandan, Bandar DiRaja Kuala Kangsar, Perak.



Bahagian depan Istana Kenangan.

Sisi Timur Istana Kenangan.
Istana ini juga dikenali dengan dua nama; sebagai Istana Lembah atau Istana Kepas. Bangunan kayu istana ini dibina tanpa menggunakan sebarang paku logam. Dindingnya dibuat dari anyaman kelarai yang unik. Istana ini terletak di sebelah Barat Istana Iskandariah.


Struktur bumbungnya merupakan kombinasi gaya perabung bumbung lima dan perabung pisang sesikat. Sementara atap asalnya ialah kepingan papan dari kayu berlian.






http:idristalu.blogspot.com/

Ahad, 24 Oktober 2010

Adik Ipar Dapat hidayah ketika kunjungi masjid

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.

LONDON: Adik ipar bekas perdana menteri Britain Tony Blair yang juga penyiar dan wartawan Lauren Booth, 43, mengumumkan beliau memeluk Islam enam minggu lalu selepas mendapat hidayah.


Lauren, adik tiri kepada isteri Blair, Cherry, berkata beliau kini memakai hijab ketika keluar rumah, bersolat lima kali sehari dan pergi ke masjid setiap kali mempunyai kesempatan.

“Saya tidak lagi makan daging babi atau minum arak. Saya juga membaca al-Quran setiap hari dan kini sudah sampai ke halaman 60. Sudah 45 hari saya tidak meneguk arak, paling lama dalam tempoh 25 tahun.

“Ajaibnya, sejak memeluk Islam saya langsung tidak teringin menyentuh arak, sedangkan sebelum ini saya akan minum sekurang-kurangnya dua gelas setiap hari,” katanya yang dipetik akhbar Daily Mail.

Lauren berkata beliau memperoleh ‘pengalaman suci’ ketika mengunjungi Masjid Fatimah al-Masumeh, yang menempatkan makam Fatimah al-Masumeh, adik Imam Reza, imam kelapan penganut Syiah daripada keturunan Saidina Ali, di Qom.

“Tiba-tiba saja saya berasa tenang dan gembira. Sejurus tiba di Britain, saya terus mengambil keputusan memeluk Islam,” katanya.

Mengenai kemungkinan untuk memakai burqa atau penutup muka, Lauren tidak menafikan akan berbuat demikian pada masa depan.

“Siapa tahu ke arah mana dan hala tuju mana Islam akan membawa saya seterusnya?” katanya.

Lauren sebelum ini diketahui sebagai seorang yang bersimpati dengan Islam dan menghabiskan banyak masa bertugas di Palestin.

“Saya kagum dengan keteguhan dan keindahan agama ini,” katanya apabila ditanya mengenai Islam.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

Dua hospital Tabung Haji capai piawaian Arab Saudi

Sumber: Berita Minggu Malaysia Online
Tarikh: 24 Oktober 2010.

MAKKAH: Dua hospital Lembaga Tabung Haji (TH) di sini mencapai piawaian Kementerian Kesihatan Arab Saudi, membolehkannya beroperasi 24 jam untuk memberi perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia pada musim haji 1431 Hijrah ini.

Pakar Perunding Kanan Respiratori, Prof Bersekutu Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, berkata dua hospital TH masing-masing di Aziziah dan Syisya terletak kira-kira dua kilometer antara satu sama lain dilengkapi kemudahan asas yang mencukupi. Katanya, hospital TH Aziziah dikhususkan bagi merawat penyakit tidak berjangkit dan dilengkapi 80 katil manakala di Syisya bagi merawat penyakit berjangkit saja dengan 100 katil.

Kebetulan ketika pasukan media TH yang membuat liputan musim haji ini melawat hospital TH Aziziah hari ini, sepasukan enam pegawai Kementerian Kesihatan Arab Saudi tiba dan memeriksa bagi memastikan hospital itu memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Pasukan yang sama kemudian memeriksa hospital TH Syisya.

"Di kedua-dua hospital ini, kami memberi rawatan peringkat pertama (merawat dan memberi ubat). Tiada pembedahan dibuat. Kes-kes kritikal dan perlu pembedahan dirujuk ke Hospital Raja Fadh, Raja Abdul Aziz atau Hospital An Nur di Makkah.

"Sekiranya hospital ini penuh, pesakit dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi lain di Jeddah atau Taif," kata Dr Abdul Razak yang juga Ketua Jabatan Respiratori Hospital Pulau Pinang kepada pasukan media TH selepas meninjau hospital tersebut.
Beliau berkata, lima doktor termasuk seorang pakar ditugaskan di hospital TH Aziziah menyediakan rawatan psikiatri, bius, sakit puan, ortopedik, terapi, umum dan dilengkapi sebuah mesin x-ray termasuk ultra-sound, makmal dan stor ubat.

Selain itu, katanya, kedua-dua hospital tersebut dan semua klinik TH di Makkah dan Madinah menggunakan sistem Sistem Maklumat Kesihatan Jemaah (PHIS) yang dihubungkan secara terus menggunakan aplikasi jalur lebar 4G Wimax.

Dr Abdul Razak berkata, setiap musim haji terdapat jemaah menghadapi gangguan jiwa ketika di tanah suci akibat tekanan dan pelbagai faktor lain terutama persekitaran sekeliling.

"Kita merawat mereka di hospital ini (Aziziah). Berdasarkan pengalaman tahun lalu seramai 80 orang yang dirawat, alhamdulillah mereka sembuh dan dapat menyempurnakan haji," katanya.

Beliau menasihatkan jemaah tidak memaksa diri melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan sehingga selepas wukuf 15 November ini.

Cuaca terlalu panas dan kering sekarang memudahkan mereka dijangkiti penyakit.

Pengarah hospital TH Aziziah, Dr Zamsari Kamarudain, berkata Kementerian Kesihatan Arab Saudi hanya mengeluarkan sijil layak beroperasi selepas membuat penilaian dan berpuas hati setiap hospital yang beroperasi pada musim haji memenuhi piawaian mereka.

“Mereka turut melawat dan memeriksa klinik-klinik yang disediakan TH di semua bangunan yang menempatkan jemaah haji Malaysia,” katanya.

Dr Zamsari berkata, antara faktor diambil kira ialah peralatan, kebersihan dapur, keselamatan dan petugas disuntik dengan pelalian pencegahan penyakit. – BERNAMA

Source: Berita Minggu Malaysia Online

Jumaat, 22 Oktober 2010

MIFF pasar debu tayammum mudahkan pengguna

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh siar: 2010/10/23


Oleh Hasliza Hassan, hasliza@bharian.com.my

Proses samak dipantau JAKIM jamin kesucian kontena dan produk dibekal berstatus halal

MENCARI yang halal itu fardu, begitu juga menyediakan produk atau perkhidmatan yang dijamin status halalnya untuk memenuhi keperluan masyarakat hari ini supaya dapat melakukan amal ibadat dengan mudah serta sentiasa mematuhi kehendak hukum syarak. Bagi MIFF Marketing Sdn Bhd, syarikat pengeluar debu tanah liat untuk tayammum yang turut menawarkan perkhidmatan sertu atau samak, menyediakan produk memenuhi syariat agama sebagai memenuhi fardu kifayah.

Pengarah Urusannya, Ab Razak Ab Hadi, berkata membangunkan produk yang diperlukan umat Islam supaya terus dapat melakukan tuntutan agama menjadi tanggungjawab semua pihak terutama dalam gaya hidup masa kini melihat perubahan berlaku begitu pantas.

Katanya, jika dulu persoalan bagaimana hendak berwuduk jika tiada air atau sukarnya untuk bertayammum kerana sukar mencari tanah, kini pelbagai pilihan disediakan termasuk debu tayammum bagi merungkai permasalahan itu.

Justeru, katanya, Islam agama yang menekankan ilmu inovasi sepatutnya dikembangkan umat Islam melalui idea kreatif bukan saja untuk menangani masalah yang timbul tetapi membawa diri lebih maju dalam pelbagai bidang.

“Jika dulu kita tidak banyak pilihan tetapi dengan adanya kepakaran serta teknologi, kita boleh mencipta tidak menyalahi hukum agama sebaliknya dapat memberi manfaat serta kemudahan kepada semua terutama dalam beribadat.
“Debu tayammum yang dikeluarkan MIFF bertujuan memberi kemudahan jika air tiada untuk berwuduk dan bersolat. Dulu banyak sangat soalan, nak ambil tanah di mana, tetapi sekarang sudah ada di pasaran dan boleh diperoleh dengan mudah.

“Bagi yang bermusafir atau ada penyakit tidak boleh terkena air, kini mudah bertayammum. Begitu juga sertu atau samak kerana bukan mudah untuk melakukannya.

“Namun, dengan adanya perkhidmatan yang disediakan, perkara itu bukan mustahil. Buat masa ini kami banyak melakukan perkhidmatan sertu untuk restoran, rumah dan kilang bagi memastikan ia benar-benar bebas daripada unsur meragukan,” katanya.

Beliau berkata, terbaru pihaknya menyediakan perkhidmatan sertu kontena untuk syarikat penyedia kontena sebagai pilihan kepada pelanggan yang ingin kontena yang tidak diragukan kesucian mengikut hukum syarak.

Katanya, MIFF mendapat kerjasama Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memantau proses sertu kontena bagi membolehkan sijil pengesahan dikeluarkan badan yang diiktiraf itu.

APL-NOL Malaysia Sdn Bhd, peneraju dalam pengangkutan kontena kini mengambil inisiatif menyediakan kontena berstatus halal untuk kegunaan pihak yang ingin menjaga kesucian serta kebersihan produk mereka.

Pengarah Urusannya, Ab Aziz Toha, berkata penyediaan kontena sudah disertu itu menyediakan pilihan kepada pelanggan yang ingin memelihara produk mereka mengikut syariat Islam.

Katanya, walaupun semua kontena berkenaan melalui proses pembersihan dan pembaikan setiap kali tiba di depoh penyimpan, proses sertu yang diperkenalkan memberi nilai tambah dari sudut status serta keyakinan pelanggan.

“Perkhidmatan ini sejajar dengan tuntutan syariah dan kita yakin akan ada permintaan untuk kontena yang disertu. Sekurang-kurangnya, produk sudah ada di pasaran dan ini perkara baik,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Kontena Sertu APL-NOL Malaysia Sdn Bhd, baru-baru ini.

Bagi proses sertu, kontena yang sudah dibersihkan akan dibasuh menggunakan air dicampur tanah sekali, diikuti enam kali menggunakan air bersih mengikut syariat ditetapkan Islam dengan memastikan air tanah mengenai setiap sudut bahagian dalam kontena.

Kontena yang sudah disertu akan dikunci dan ditampal pelekat khas, kemudian di hantar kepada pelanggan untuk digunakan.

Sijil sah sertu hanya sah sekali saja dan status kontena yang disertu terbatal sebaik saja kontena dibuka dan produk dikeluarkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Abdul Hamid Mohamed Salleh, berkata JAKIM berpuas hati dengan proses sertu dilakukan MIFF dan untuk setiap sesi sertu pihaknya akan mengawasi serta memantau demi menjaga tatacara sertu sebenar.

“Berdasarkan proses yang dilakukan dengan pemantauan JAKIM, sertu itu mengikut syariat. Kami memastikan syarikat yang menjalankannya mematuhi syarat sebelum pengesahan dibuat,” katanya.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Guru serang pelancong berpurdah bakal dipenjara

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh siar: 2010/10/16

Wanita boleh didenda RM3,669

PARIS: Seorang wanita Perancis yang dituduh merentap niqab seorang pelancong Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menggigit serta mencakar mangsa yang cuba memakainya semula, berdepan tuntutan perundangan bagi hukuman penjara dua bulan tertangguh kelmarin.

“Kita perlu bertoleransi dengan orang lain tidak kira apa yang mereka pakai atas dasar tinggal bersama,” kata pendakwa raya Anne Fontette kepada mahkamah di sini.

Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa tertinggi perlembagaan meluluskan rang undang-undang mengharamkan pemakaian burqa termasuk pakaian menutup muka lain dengan pesalah berpotensi didenda 150 euro (RM583) atau perlu mengambil bahagian dalam kelas kewarganegaraan.

Rang undang-undang berkenaan dijangka berkuat kuasa selepas enam bulan bagi membolehkan peraturan itu dimaklumkan sepenuhnya kepada wanita berpurdah.

Penyerang yang juga guru bahasa Inggeris sudah bersara dikenali sebagai Marlene Ruby, memberitahu polis dia meminta wanita dari UAE itu dalam bahasa Inggeris supaya membuka penutup mukanya.

Namun, wanita itu enggan, lalu dia merentapnya dan wanita itu memakainya semula, dia menumbuk, mencakar dan menggigitnya.
“Saya tahu akan hilang pertimbangan satu hari nanti. Saya mahu ia dianggap skandal. Burqa mula menjengkelkan saya,” kata Marlene, 63, kepada polis. Dia juga boleh didenda 750 euro (RM3,086). Insiden itu berlaku di sebuah butik mewah di sini, Februari lalu.

Marlene, yang tidak hadir di mahkamah dan tidak diwakili peguam, mempertahankan pendiriannya kepada media.

Bercakap kepada akhbar Le Parisien, dia berkata wanita yang memakai penutup muka itu tidak dapat diterima dalam apa digelarnya tempat kelahiran hak asasi manusia.

Dia menafikan melakukan tindakan ganas dalam akhbar.

Ramai pemimpin Islam berkata, mereka bersikap berkecuali dalam undang-undang itu. Keputusan itu dijangka diputuskan 4 November depan.

Fontette juga berkata, kejadian berlaku pada Februari lalu ketika pakaian berpurdah dibenarkan di Perancis.

Tetapi, beliau juga menegaskan, perbuatan Marlene tetap dipandang hina pada masa ini meskipun pengharaman burqa berkuat kuasa.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Melayu mesti elak jadi burung walit, beruang madu

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh: 2010/10/23


Oleh Kamal Ahmad, bhrencana@bharian.com.my


Perwakilan pertikai GLC bersaing dengan usahawan dan komuniti perniagaan Bumiputera

ADA dua perumpamaan yang mesti dihindari orang Melayu. Pertama, jangan menjadi seperti burung walit (layang-layang). Kedua, jangan sekali-kali menjadi beruang madu. Perumpamaan ini penting diambil kira dan diinsafi kerana menjadi burung walit umpama hidup bersusah payah dan sentiasa diperalat orang lain. Ketika air liurnya sangat berharga untuk membina sarang dan sarang itu cukup berkhasiat, malangnya sarang itu diambil orang lain dan dijual dengan harga mahal.

Si walit akan membina sarangnya semula dan ia akan diambil lagi oleh orang yang sama. Orang yang berkepentingan itu sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk membina sarang walit tetapi nyata pelaburan itu menghasilkan keuntungan berlipat ganda.

Kasihan, burung walit juga tinggal dalam suasana penuh kegelapan walaupun ada sesetengah orang yang memeliharanya memasang alat pendingin hawa untuk memastikan ia tidak berpindah ke sarang lain.

Moral cerita ini, Melayu dan UMNO jangan diperalatkan selama-lamanya, apatah lagi selepas menyedarinya orang lain yang menuai hasil daripada susah payah serta hak kita.

Kita juga jangan menjadi seperti beruang madu. Ia menyelongkar sarang lebah, merosakkan kemudian meminum madunya. Yang rosak bukan setakat sarang tetapi benih lebah yang ada juga dimusnahkan. Boleh diambil iktibar di sini ialah jangan kita merosakkan parti selepas mengaut manfaat peribadi daripadanya atau jangan kita mengambil hak orang lain, apatah lagi memusnahkannya selepas kita menikmati kebaikan daripadanya.

Beberapa perkara menarik dibangkitkan perwakilan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden dan usul ekonomi, semalam. Antara yang perlu diberi perhatian ialah mengkaji semula tahap persaingan yang diwujudkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan anak syarikatnya.

Ketua UMNO Bahagian Taiping, Datuk Ahmad Shalimin Shaffie, berkata: “GLC ini kawan atau lawan?”

Beliau mempersoalkan ‘status’ itu dalam skop persaingan dengan usahawan dan komuniti perniagaan Bumiputera kerana ada GLC sanggup menubuhkan agensi pelancongan atau syarikat membekalkan alat tulis, sedangkan banyak syarikat kecil Bumiputera seumpamanya beroperasi.

Lantas katanya, GLC ini wajar menumpukan operasi kepada perniagaan teras dan tidak perlu berkongsi kek dengan peniaga dan usahawan kecil Bumiputera yang sepatutnya dibantu bukan diberi saingan sengit.

Tidak merugikan jika GLC memainkan peranan mewujudkan lapisan kedua usahawan dan peniaga Bumiputera. Anak syarikat yang bukan teras elok dijual melalui konsep pengambilalihan oleh pengurusan atau MBO (managements buy-out) kepada usahawan berkelayakan serta berpotensi. Masih mengekalkan pegangan ekuiti pada tahap minoriti sekurang-kurangnya 30 peratus, GLC perlu membantu pengurusan terbabit dalam soal pengurusan tunai dan kewangan yang lazimnya lemah atau longgar sehingga syarikat gulung tikar.

Wajar juga dipertimbangkan supaya mengaitkan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dengan Pelan Transformasi Politik (PTP). Menghubungkan MTAB dengan PTP akan mewujudkan komitmen politik secara tegar dan sentiasa dalam pengetahuan Datuk Seri Najib Razak, selaku peneraju majlis itu.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Terharu pengalaman kerja haji jadi panduan, bantu golongan OKU

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh siar: 23 Oktober 2010.


Oleh Karim Sulaiman, sitikarim@gmail.com


SAYA bersyukur kerana pengalaman sewaktu menunaikan fardu haji tahun lalu dijadikan panduan bagi jemaah orang kelainan upaya (OKU), orang berusia dan sakit. Tulisan yang disiarkan dalam ruangan ini dimuatkan juga dalam blog dan portal berita persendirian. Ada juga yang mahukan saya menulis lagi mengenainya.

Saya juga berharap pengalaman itu memberi semangat dan dorongan kepada umat Islam yang mampu, berkuasa dan cukup syaratnya segera melaksanakan kewajipan ini.

Pada saya, sewaktu usia muda dan sihat, baiklah segera melaksanakan tuntutan ini. Janganlah menunggu sehingga tua atau sakit baru tergerak mengerjakan haji. Hal ini kerana ibadat haji berbeza dengan ibadat lain yang memerlukan banyak pergerakan fizikal di beberapa tempat.

Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Justeru, jika kita sihat dan bertenaga, ia adalah kelebihan untuk melaksanakan ibadah itu dengan lebih sempurna. Contohnya, kajian Jabatan Wakaf, Zakat Dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri terhadap 1,000 jemaah haji pada musim haji 1429 Hijrah mendapati kebanyakan rungutan dan aduan ketidakpuasan hati sewaktu berada di Arafah, Masy'aer dan Jamrah diterima daripada responden yang berumur 50 tahun ke atas.

Keadaan di ketiga-tiga tempat memang mencabar ketahanan fizikal dan mental seseorang jemaah haji. Jadi, tidak hairan berlaku pelbagai masalah yang kebanyakannya membabitkan jemaah haji yang berusia di tempat ini. Pada usia muda dengan kekuatan fizikal serta kesihatan baik membolehkan kita melakukan banyak perkara tanpa bantuan orang lain.

Pengalaman saya, memang banyak perkara sunat untuk dilaksanakan sewaktu berada di Tanah Suci, tetapi terbatas dengan kekurangan yang ada. Kadang kala timbul rasa kasihan apabila melihat jemaah berusia yang terpaksa berjalan jauh atau dipapah.

Memanglah ramai yang sedia membantu sewaktu di sana, tetapi ia lebih baik dan berkat jika dapat melakukannya sendiri. Begitu pun, perkara sebegini, jangan pula dijadikan halangan dalam melakukan terbaik sewaktu di sana. Islam adalah agama yang indah dan harmoni yang memudah dan tidak membebankan umatnya. Allah tidak membebankan seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya.

Seperti saya katakan pada tulisan lalu, ketentuan Allah tidak siapa pun mengetahuinya. Orang yang sakit, sihat sewaktu di Tanah Suci dan sebaliknya.
Terkenang saya, dengan kisah sepasang suami isteri yang menunaikan haji tahun lalu. Si isteri sakit didorong dengan kerusi roda oleh si suami yang sihat.

Alhamdulillah mereka dapat melaksanakan ibadat haji. Sewaktu dalam perjalanan menunaikan umrah sunat, jemaah dikejutkan dengan kejadian seorang jemaah dalam bas tiba-tiba mengerang kesakitan. Semua jemaah menyangka jemaah wanita itu yang sakit. Namun, Allah lebih menyayangi suami wanita itu yang meninggal dunia dengan berpakaian ihram.

Begitu saya, bertemu dengan seorang jemaah yang berada dalam pemerhatian doktor sewaktu di tanah air. Doktor menasihat beliau supaya menangguhkan pemergian ke Tanah Suci kerana kesihatannya belum stabil. Jemaah itu bagaimanapun berkeras untuk pergi juga kerana yakin hidup dan matinya adalah ketentuan Allah. Alhamdulillah, beliau dapat melaksanakan ibadat haji tanpa sebarang masalah besar.

Source: Berita Harian Malaysia Online

Suara orang Melayu

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh: 23 Oktober 2010.

Oleh Mior Kamarul Shahid. mkamarul@bharian.com.my

Ucapan dasar Presiden UMNO padam ‘api sebelum marak’

MUSTAHIL dengan hanya mendengar satu ucapan Presiden UMNO, semua masalah selesai. Mengambil kira sistem politik demokrasi hari ini, keajaiban seperti ini tidak akan berlaku. Jika ada pihak yang mengatakan ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 kelmarin boleh menyebabkan seluruh orang Melayu, termasuk daripada parti pembangkang terus menyokong dan menyertai UMNO, ia juga adalah sesuatu kenyataan yang keterlaluan.


Setiap orang perlu berpijak di bumi nyata kerana mereka yang menyokong pembangkang sudah tidak peduli soal agama, bangsa dan negara mereka, sebaliknya hanya mahu merampas tampuk kuasa dengan apa cara sekali pun, walaupun menanggung dosa.

Apa yang jelas, inti ucapan Najib memberi kelegaan kepada ramai pihak, khasnya orang Melayu berhubung pendekatan yang diambilnya sejak 18 bulan lalu mengurus negara dan membimbing rakyat bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Setidak-tidaknya, apa yang samar sebelum ini, sudah diterangkan, apa yang bengkok sudah pun diluruskan dan yang beku sudah dicairkan.

Sebelum 21 Oktober 2010, bukanlah rahsia bahawa ramai orang Melayu resah dengan sikap dan keputusan kerajaan yang sering dilihat mengambil jalan tengah dalam setiap keputusan dan tindakan politik dan bukan politik. Banyak keputusan yang diumumkan menimbulkan persoalan, menyebabkan orang Melayu menggeleng kepala, bukan kerana dengki, tetapi kerana mereka meraba-raba mencari alasan rasional tindakan seumpama itu diambil.

Mereka tidak mendapat penjelasan yang tepat mengenai kebijaksanaan suatu keputusan itu dilaksanakan. Kesannya, orang Melayu membuat andaian sendiri. Sebaik saja sesuatu keputusan dilihat memberi keistimewaan kepada kaum lain, orang Melayu bersungut, menyimpan dendam di jiwa dan bara menyemarak di hati.

Sehinggakan pada satu peringkat orang Melayu mula mengandaikan keutamaan bukan lagi diberikan kepada mereka tetapi kepada kaum lain.

Tanpa pemahaman yang jelas juga orang Melayu mempertikaikan gagasan 1Malaysia dengan kata-kata ia tidak menguntungkan mereka hinggakan ada yang menyatakan kegusaran dengan mengatakan ‘kerana takutkan undi kaum lain hilang, UMNO akhirnya akan kehilangan undi orang Melayu’.

Walaupun banyak lagi cerita dan rungutan, bagi orang Melayu, mereka tetap bersabar menunggu penjelasan. Mereka sememangnya menunggu perhimpunan agung kali ini untuk meluahkan rasa. Namun, dalam ucapan dasar Presiden semalam, Najib bercakap pada masa dan tempat yang betul. Beliau berjaya menjelaskan rasional tindakannya selama ini dengan kronologi dan analogi yang jelas, bermula dengan rentetan sejarah hasrat Presiden UMNO pertama, Datuk Onn Jaafar yang mahu membuka UMNO kepada bukan Melayu.

Jika Bajet 2011 dirumus berasaskan kepada pandangan daripada rakyat seperti yang dijelaskan Najib sendiri sebelum ini, ucapan dasar perhimpunan agung juga dibuat selepas meneliti, memahami dan menyelami kehendak serta perasaan rakyat. Ia adalah ucapan yang terhasil daripada suara dan tuntutan orang Melayu.

Bagi bukan Melayu, mereka tidak perlu gusar kerana kepentingan mereka juga tidak pernah diabaikan. Jika UMNO, sebuah parti terbesar orang Melayu menerima hakikat ini, tidak ada sebab kaum lain perlu takut dengan kepentingan masa depan kaum mereka. Apa yang sepatutnya ditakuti ialah apabila orang Melayu mempertikaikan secara terbuka tuntutan yang dianggap keterlaluan yang boleh menghakis hak dan keistimewaan orang Melayu.

Dengan penjelasan Najib mengenai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kepentingan kaum lain dari segi politik yang sudah terkunci kemas dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh dipinda tanpa perkenan Majlis Raja-Raja Melayu, segala yang keruh menjadi jernih.

Daripada inti ucapan Najib jelas menampakkan beliau sudah pun mendapat mesej daripada orang Melayu. Setiap mesej yang baik dan buruk, tersurat dan tersirat, sudah pun mendapat perhatian dan penilaian Presiden UMNO itu. Bolehlah disimpulkan Najib dapat menyelami hati nurani dan keresahan orang Melayu yang amat bimbangkan hak dan keistimewaan keturunan mereka kelak akan lupus di bumi Melayu ini.

Bagi orang Melayu, mereka cukup takut pendekatan sebelum ini yang memberi laluan dan membuka peluang seluas-luasnya kepada kaum lain hanya kerana andaian takut undi kaum bukan Melayu jatuh kepada parti pembangkang dalam pilihan raya nanti. Orang Melayu fobia jika mereka bukan saja kalah sorak, tapi kampung juga tergadai.

Mereka amat resah bila melihat UMNO tunduk dengan desakan pihak lain. Berita baik ialah jika sebelum hari Perhimpunan Agung UMNO ada ura-ura mengatakan bahawa perbahasan usul akan berbahang, ia tidaklah sepanas yang diramalkan.
Panas tetap panas kerana ia adalah forum orang Melayu untuk menuntut hak mereka. Namun, api yang mula marak cepat-cepat disirami air. Segala-galanya yang dilakukan ada alasan yang tersirat.

Najib, sebagai anak Melayu, tidak berganjak walau seinci pun daripada asas perjuangannya untuk membela nasib orang Melayu. Namun, sebagai pemimpin sebuah kerajaan, beliau perlu adil kepada setiap insan yang berpijak di bumi ini, apatah lagi mereka yang menunjukkan taat setianya kepada negara ini.

Jika orang Melayu marah kaum lain yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN) atau UMNO atas alasan mereka bukan Melayu, kita seharusnya lebih marah kepada orang Melayu yang menentang UMNO, tetapi menyokong PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tunduk kepada dasar DAP.

Najib mengambil pendekatan politik menarik benang dalam tepung dan berlandaskan dua firman Allah SWT yang diungkap dalam ucapan dasarnya itu. Antara firma ialah surah Ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu.”

Apa yang penting, ucapan Najib menjadi penyuluh kepada cita rasa dan nurani orang Melayu. Najib tahu pengaruh UMNO dan orang UMNO seperti yang disebutnya bahawa tidak ada seorang pun dapat menafikan, apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepemimpinannya menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanah air.

Source: Berita Haraian Malaysia Online



Khamis, 21 Oktober 2010

Pasangan madu asmara didapati suami isteri

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.

Tarikh siar: 2010/10/21


PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) menjelaskan pemandu bas Nadi Putra yang dilaporkan memadu asmara bersama seorang wanita berhampiran Hospital Putrajaya dalam Sentral, Khamis minggu lalu sebenarnya adalah pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, Timbalan Pengarah Kanan Perhubungan Awam PPj, Zaharah Salamat, dalam satu kenyataan mengakui tindakan pemandu terbabit berdua-duaan dengan isterinya di tempat yang terpencil sememangnya kurang sesuai kerana boleh menimbulkan syak wasangka orang awam.

“Sehubungan itu, semua pemandu Nadi Putra diingatkan lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk mereka walaupun dalam kes ini, pemandu terbabit dan isterinya berehat di lokasi itu pada waktu rehat beliau antara jam 6.30 dan 7.15 petang, untuk berbuka puasa bersama.

“Pemandu bas itu bertugas di laluan 501 dan pada hari berkenaan, beliau serta isterinya yang berpuasa pada awalnya bercadang berbuka di Putrajaya Sentral dengan makanan yang dibawa dari rumah mereka.

“Bagaimanapun, tempat meletak kenderaan penuh pada hari itu dan pemandu terbabit membawa bas ke bulatan berdekatan Hospital Putrajaya yang sememangnya tempat alternatif lazim bagi bas Nadi Putra yang menunggu giliran masing-masing untuk masuk ke Putrajaya Sentral,” katanya.

Khamis lalu, Sentral menyiarkan gambar dan berita mengenai perbuatan seorang pemandu bas awam memadu asmara bersama pasangannya di sebuah kawasan sunyi berdekatan Hospital Putrajaya dengan berselindung di sebalik bas yang diletak di tempat awam.

Wartawan Sentral membuat tinjauan di lokasi terbabit selepas menerima maklumat daripada beberapa penduduk setempat yang rimas melihat perbuatan pasangan terbabit dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.

Mereka juga menganggap perbuatan itu boleh mencemarkan nama Putrajaya walaupun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sering mengadakan operasi.

Source: Berita Harian Malaysia Online.

CLICK NOW

Tajuk Kegemaran