Isnin, 13 Februari 2012

Buah Durian, Buah Alam Melayu.

Idris Talu

Durian dari Kati, Kuala Kangsar.

Buah durian – namanya menggambarkan rupa buahnya, berduri. Duri ialah perkataan Melayu sejati. Oleh itu, durian ialah buah asli dari alam Melayu, alam Nusantara ini. Seluruh dunia menyebutnya sebagai durian.

Durian sedang bermusim

Beberapa perkataan berkaitan durian tercipta. Durian runtuh, membuang buruk, tempoyak, antara perkataan yang berkaitan durian. Durian runtuh dikaitkan dengan mendapat rezeki secara tiba-tiba, tidak dijangkakan.

Membuang buruk dikaitkan dengan buah durian yang kurang sempurna, jatuh sebelum matang, atau sebelum masanya yang sebenarnya. Namun begitu, durian yang gugur sebelum masanya ini, telah diproses menjadi krispi yang lazat yang mendapat harga yang baik di pasaran.

Durian yang baik.

Tempoyak pula ialah isi buah durian yang baik, dipilih untuk diasamkan untuk digunakan sebagai ramuan atau bumbu kepada pelbagai masakan berasaskan sayuran atau berasaskan ikan, biasanya ikan air tawar. Harga tempoyak lebih mahal dari harga durian biasa. Begitu juga masakan berasaskan tempoyak lebih mahal harganya dari makanan biasa tanpa tempoyak.


Cendol, enak dicampur isi durian

Buah durian yang cukup baik.

Isi buah durian boleh digunakan dalam pelbagai jenis kuih dan makanan. Minuman cendol durian, amat digemari terutama semasa keadaan panas terik. Isi buah durian juga dijadikan asas utama dalam pembuatan dodol durian. Aiskrim juga banyak menggunakan durian dalam pelbagai jenis dan bentuk.

Lempuk merupakan isi durian yang dimasak untuk membolehkan ianya disimpan lama tanpa menggunakan peti sejuk. Ia nya merupakan cara tradisi masyarakat Melayu sejak zaman dahulu kala menyimpan isi durian untuk tempoh yang lama.

Dodol bercampur durian

Cendol durian yang lazat

Isi durian yang cantik

Durian jempulan.

Dunia Barat yang begitu alergik dengan durian memberikan pelbagai gelaran buruk untuk raja buah ini. Namun begitu, usaha buruk itu tidak pernah menjejaskan nilai dan mutu buah durian. Semakin ramai masyarakat dunia menghargai dan menikmati durian. Kini masyarakat Barat tidak boleh mengenepikan durian lagi, malah ikut sama menikmati durian. Mereka sendirilah yang rugi melihat orang lain dengan lahapnya menikmati kelazatan durian. Sukur, alhamdulillah, durian merupakan anugerah Tuhan untuk dunia Melayu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan