PEJABAT Perhubungan Awam Tentera Darat, Kementerian Pertahanan Malaysia.
DALAM keghairahan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini menyambut tarikh 14 Februari sebagai Valentine Day atau hari memperingati kekasih, kita lupa pada tarikh itu juga mencatatkan satu peristiwa penting yang perlu diingati untuk membangkitkan semangat cinta dan kasihkan negara.
Tarikh 14 Februari menyaksikan satu tragedi, satu pengorbanan dan satu perjuangan seorang anak Melayu, yang tidak pernah merasa gentar berdepan dengan maut demi mempertahankan tanah melayu dari penaklukan tentera Jepun.
Walaupun tewas namun perjuangan beliau tidak pernah ada noktahnya dan semangat itu terus membara bersama-sama pahlawan dan para perjuang tanah air yang lain sehingga ke hari ini.
Mungkin ramai generasi muda hari ini masih tidak mengenali tokoh pejuang ini, Lt. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor dilahirkan pada 1915.
Adnan mendapat pendidikan awal di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan berdedikasi.
Setelah tamat persekolahan beliau memulakan karier sebagai guru pelatih selama setahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun.
Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta terpilih sebagai rekrut terbaik.
Pada 1936, beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan dan setahun kemudian Lt. Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.
Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan ke Pangkat Leftenan Muda dan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .
Lt. Adnan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.
Pada 1941, Lt. Adnan membawa keluarganya tinggal di Pasir Panjang dan ketika berita pihak Jepun bersedia menyerang Singapura, beliau membawa keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang dan pada ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak yang ketiga. Itulah kali terakhir Lt. Adnan bersama keluarganya sebelum beliau menemui ajal di tangan Jepun.
Pertempuran Bukit Candu
PERTEMPURAN Bukit Candu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, berlaku sehari sebelumnya.
Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.
Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik iaitu ia boleh melihat bahagian utara Singapura dengan lebih jelas dan merupakan laluan langsung ke kawasan Alexandra yang mana terdapatnya depot bekalan peluru dan gudang utama bekalan makanan, hospital tentera dan kemudahan-kemudahan lain Tentera British. Justeru, lokasi ini perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.
Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi melancarkan serangan ke pesisiran Selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.
Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya, namun Kompeni 'C' dan Lt. Adnan yang ditempatkan di perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai 'Celah' (Gap) telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun beralah dan berundur walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.
Pada tengah malam hari yang sama, 'C' Coy dengan kekuatan 42 orang terdiri daripada gabungan sebahagian anggota Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Briged India ke-44, diperintahkan untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu.
Setelah memilih lokasi yang sesuai untuk pertahanan, Lt. Adnan memerintahkan anggotanya memperkukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir di sekeliling kawasan tersebut. Pada petang 14 Februari, pihak Jepun mengatur strategi menggunakan helah dengan menyamar sebagai "Tentera Punjabi", British-Indian Army.
Bagaimanapun Lt. Adnan dapat menyedari helah tersebut apabila perasan sesuatu tidak kena dengan tentera berturban yang mara itu, bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.
Menyedari helah itu, Lt. Adnan membiarkan tentera Jepun tersebut menghampiri garisan pertahanan sebelum beliau dan anak buahnya melepaskan tembakan daripada mesingan Lewis dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat serta tentera Jepun sekali lagi terpaksa berundur dari Pertahanan Bukit Candu. Dua jam kemudian tentera Jepun melancarkan serangan balas besar-besaran dalam bilangan yang lebih besar.
Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu dengan melibatkan pelbagai jenis senjata seperti granet, bayonet dan parang turut digunakan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut namun bilangan tentera musuh yang ramai tidak mampu dilawan oleh Lt. Adnan dan pasukannya.
Pertempuran yang berlangsung selama 48 jam itu menyebabkan ramai jiwa Askar Melayu terkorban dan tidak kurangnya yang cedera. Namun bagi Lt. Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.
"Biar Berputih Tulang, Jangan Berputih Mata", kata-kata inilah yang membakar dan terus menyemarakkan lagi semangat juangnya dan rakan-rakan yang lain agar tidak gentar menghadapi Jepun demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah yang terakhir.
Namun Lt. Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Candu akhirnya ditawan Jepun dan beliau sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung di sebatang pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet Jepun.
Mayat beliau dilarang diturunkan daripada pokok tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Jepun akan turut menerima nasib yang sama.
Kematian Lt. Adnan merupakan episod perjuangan seorang anak Melayu yang berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta. Semangat dan pengorbanan beliau perlu dikenang dan disemai dalam setiap generasi muda hari ini dengan menjadikan 14 Februari tarikh untuk dikenang, gugurnya seorang pahlawan dan pejuang negara.
Lt. Adnan turut dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Selangor oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datuk.
"Biar putih tulang, jangan putih mata," jadi pengajaran
SESUNGGUHNYA keberanian Lt. Adnan dan rakan-rakan yang bertempur bermati-matian merupakan episod yang kekal dalam lipatan sejarah.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Lt Datuk Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi? Masih adakah anak bangsa pada hari ini yang mahu mengikut jejak langkahnya yang sanggup berputih tulang daripada berputih mata? Pastinya jika Lt. Adnan dapat melihat Malaysia pada hari ini yang begitu makmur dan pesat membangun, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara ini dengan darah dan nyawanya.
Keberanian Lt. Adnan turut diakui oleh General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".
Iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah keberanian Lt. Adnan adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati di kalangan seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agama. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan oleh musuh negara.
Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah dan bangsa demi kepentingan material dan diri sendiri serta tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.
Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini.
Mereka perlu disedarkan agar tidak sesekali terjerat dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuru harakan negara demi kepentingan pihak tertentu.
Mereka harus menjadikan semangat Lt. Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan serta sayang dan cintakan negara.
Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu demi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.
Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka.
Pada tanggal ini, 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Lt. Adnan dan marilah bersama-sama kita menghadiahkan sekalung doa buat insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.
Source: Utusan Malaysia Online.
saya nak jadi tentera mcm lt.adnan..insyaallah..-)
BalasPadam