Selasa, 9 Julai 2013

Pembuka Selera Ketika Bersahur.




Ikan pekasam merupakan ikan yang telah dibersihkan, diasamkan, digaramkan, kemudian diperamkan selama beberapa hari – biasanya lebih seminggu, baru boleh dimakan dengan cara menggorengkannya. Ikan pekasam atau fermented fish atau marinade fish,  ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan yang diperam secara tradisi. Dikatakan telah bermula sejak orang Melayu mengenal ikan sebagai salah satu bahan makanan mereka, sebelum adanya sistem penyejukbekuan seperti sekarang.

Jika dibuat dengan cara dan teknik yang betul, ikan pekasam tahan disimpan lama, malah lebih lama disimpan, lebih terasa keenakannya.Ikan pekasam yang baik boleh disimpan untuk tempoh satu tahun.

Ikan pekasam terkenal hampir diseluruh Semenanjung Malaysia. Bahan baku utamanya, iaitu ikan, bergantung kepada jenis ikan yang banyak diperolehi di sesuatu kawasan tersebut, misalnya di kawasan sawah bendang di sekitar Bagan Serai, Perak, mereka gemar membuat pekasam dengan menggunakan ikan sepat, ikan keli, ikan haruan @ gabus, dan ikan puyu. Di kawasan ini, ikan pekasam juga dikenali sebagai wadi’.

Perusahaan membuat ikan pekasam yang terkenal terletak di Lenggong, Perak. Ikan-ikan yang banyak diperolehi dari Tasik Chenderoh dan sungai-sungai di daerah ini sesuai untuk dibuat pekasam. Antaranya ialah ikan tengalan (terbaik dan termahal), ikan lampam sungai, ikan terbul, ikan kaloi, ikan loma @ luma, ikan pucuk pisang, ikan mata merah. Malah ada juga yang membuat pekasam ikan toman.

Ikan pekasam amat popular di negeri-negeri Utara Semenanjung, seperti Perlis, Kedah dan Perak. Di Pantai Timur Semenanjung juga terdapat ramai peminat ikan pekasam. Ini boleh dilihat terutamanya menjelang bulan Ramadhan, ikan pekasam mudah diperolehi di Pasar-pasar Tani dan Pasar Ramadhan. Kenapa ikan pekasam diminati di dalam bulan Ramadhan? Ikan pekasam merupakan pembuka selera (appetizer), terutamanya ketika selera makan tumpul di waktu kita bersahur. 

Ikan pekasam goreng biasanya dihidangkan bersama bawang dan cili @ cabai yang dipotong serong yang juga digoreng. Ianya tidak memerlukan hirisan limau kerana ikan pekasam sudah sedia terasa masam.

1 ulasan:

  1. Selamat berpuasa tuan...

    memang menyelerakan bila ada ikan pekasam waktu bersahur.. tp kat sini (Bandar PJ) agak susah nak jumpa ikan pekasam.. selalu kirim dengan kakak ipar yang tinggal di Tapah belikan pekasam jika kebetulan sama2 nak blk kg..

    BalasPadam