ARKIB : 05/09/1998 Utusan Malaysia Online.
Beliau lahir di
tengah-tengah perkembangan pesat dalam bidang penerbitan dan percetakan di
Pulau Pinang pada awal tahun 1920-an. Pelbagai akhbar dan majalah dengan tidak
sedikit memberi tumpuan kepada bidang sastera, terutamanya novel.
Kemunculan syarikat-syarikat
penerbitan ini membuka lembaran baru dalam perkembangan penulis-penulis Melayu
seperti Ahmad Rashid Talu, Abdul Hamid Aziz dan Ahmad Murad Nasaruddin yang
terpanggil untuk melihat kemunduran bangsanya.
Era ini memperlihatkan
masyarakat Melayu Pulau Pinang yang jauh ketinggalan dari pelbagai aspek
terutamanya ekonomi dan pendidikan berbanding dengan keturunan pendatang.
Menurut Pensyarah Pusat
Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sohaimi Abdul
Aziz, Ahmad Rashid Talu adalah salah seorang penulis yang prolifik pada waktu
itu.
''Melalui novelnya yang
terkenal iaitu Iakah Salmah, beliau merakamkan pemikiran yang progresif itu.
Ahmad Rashid mengemukakan pandangannya tentang faktor-faktor yang menyebabkan
bangsa Melayu tertinggal jauh di belakang.
''Novel ini membawa zaman
baru iaitu kemajuan. Untuk sampai kepada zaman itu maka masyarakat Melayu perlu
membaiki kelemahan yang ada pada diri seperti berani menegakkan kebenaran,
berfikiran terbuka dan lain-lain,'' katanya.
Beliau menjelaskan kedudukan
wanita dalam karya-karya Ahmad Rashid Talu pada Seminar Kefahaman Budaya II,
Tokoh Intelektual Melayu Pulau Pinang di USM, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Namun, dalam hal ini, sebahagian
besar karya-karya Ahmad Rashid lebih tertumpu kepada wanita sebagai
protoganisnya terutama Iakah Salmah, Kawan Benar, Rahmah binti Abdullah dan Dua
Belas Kali Sengsara.
Dalam Iakah Salmah, beliau
meletakkan wanita pada kedudukan yang istimewa. Watak Salmah merupakan lambang
pemikiran progresifnya untuk membincangkan aspek-aspek pelajaran, agama,
ekonomi dan etika orang Melayu.
Di sisi lain, Dr. Sohaimi
cenderung melihat watak yang diangkat dalam novel ini merupakan idealisme dan
realiti zaman yang melatari dunia kepengarangan dan masyarakat pendukungnya.
Malah, watak Salmah juga
merupakan simbolik untuk menjelaskan kedudukan wanita Melayu Pulau Pinang dan
negara ini secara umum yang masih terikat oleh normal-normal dan hierarki
sosial masyarakatnya.
''Salmah adalah protoganis
yang melambangkan wanita moden yang kehadirannya membawa amanat penting untuk
memajukan orang Melayu. Dia adalah wanita moden yang menentang sebahagian arus
tradisional yang kolot, mundur dan membelenggu.
''Dia juga menampilkan
dirinya dari aspek fizikal yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat
Melayu semasa. Salmah juga melihat masyarakat harus membuang pegangan budaya
dan agama yang songsang serta berpaling kepada permodenan,'' tambahnya.
Di samping itu, menerusi
watak Salmah juga, Ahmad Rashid memperlihatkan perjuangan kaum muda di negara
ini pada awal abad ke-20 banyak melibatkan peranan golongan wanita.
Suara pembaharuan yang
dibawanya memperlihatkan kelantangan yang amat berani dan mampu berdebat dan
mengkritik tentang kekolotan masyarakatnya yang tidak membezakan antara adat
dan agama.
Ahmad Rashid juga menjadikan
Salmah sebagai model sebenar yang harus diikuti oleh seluruh masyarakat Melayu.
Dengan kata lain, beliau berpendapat, puluhan Salmah boleh diwujudkan jika
wanita-wanita diberi pendidikan sempurna.
Dr. Sohaimi menjelaskan,
latar pendidikan yang perlu diutama menurut Ahmad Rashid ialah pelajaran
Inggeris. Ini kerana sebahagian besar masyarakat Melayu masih memandang negatif
kerana dikhuatiri anak-anak mereka akan dikristiankan.
''Sebagai penulis, Ahmad
Rashid Talu mahu mengubah pandangan ini dengan mengemukakan watak Salmah yang
memperlihatkan wanita berpendidikan Inggeris tetapi tidak menjadi Kristian.
Sebaliknya, Salmah juga pandai berhujah tentang Islam.
''Dengan kata lain, Salmah
adalah model bagi masyarakat Melayu yang bukan sahaja berpendidikan Inggeris,
tetapi juga berpendidikan agama,'' jelas Dr. Sohaimi.