Sabtu, 18 Ogos 2012

GENAP SETAHUN IBU MENINGGALKAN KAMI


إدريس تالو
Idris Talu 
 
Pagi 1 Syawal 1432 Hijriah, iaitu setahun yang lalu, ibu kami, telah meninggalkan kami buat selama-lamanya, selepas uzur agak lama. Allahyarhamah meninggal dunia di rumah adik penulis, Asiah. 

Dikenali dengan panggilan Mak Ngah di kalangan anak-anak saudaranya, merupakan anak kedua kepada pasangan suami isteri Kerun bin Naiti dan Hajah Khatijah binti Haji Ibrahim.

Masih jelas dalam minda penulis, semasa bapa meninggal dunia pada pagi 3 Muharram 1377 Hijriah, penulis baru berusia 6 tahun, adik penulis, Ishak baru 4 tahun, dan seorang lagi adik penulis, Asiah, baru belajar meniarap ketika itu. Penulis berhadapan dengan aruah bapa semasa aruah bapa menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Bayangkanlah betapa sukarnya bagi seorang ibu muda hendak membesarkan tiga orang anak kesayangannya yang masih kecil, yang belum tahu apa itu kehidupan. Allahyarhamah ibu membesarkan kami, buah hati pengarang jantungnya, dengan penuh linangan air mata di zaman yang teramat sukar itu.

Kepayahan dan kesukaran hidup untuk membesarkan tiga orang anak di zaman yang penuh kekurangan itu, ditempuhinya seorang diri dengan tabah, tanpa keluhan atau rasa penyesalan. 

Allahyarhamah ibu coba sedaya upayanya untuk tidak menitiskan air matanya di hadapan tiga orang anaknya, tetapi penulis tahu Allahyarhamah ibu banyak menitiskan air matanya dalam mengharungi kesukaran hidup untuk membesarkan kami.

Terlalu besar jasa dan pengorbanan Allahyarhamah ibu kepada kami adik beradik.

Pada 1 Syawal ini, genaplah setahun Allahyarhamah ibu kesayangan kami meninggalkan kami (anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya) buat selama-lamanya.

Ya Allah Yang Maha Mengasihani, ampunkan lah segala dosa ibu dan bapa kami, cucurilah rahmatMu ke atas ruh ibu dan bapa kami. Amin ya Rabbal ‘Alamin.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan