Selasa, 24 Julai 2012

Sultan Pahang tegur penganjur


ROSILAWATI ROSEDI
24 Julai 2012 
 KUANTAN - Penganjur perlu bersiap sedia dua minggu lebih awal menyediakan kemudahan selengkapnya untuk memastikan keselesaan peniaga dan pelanggan yang berkunjung ke bazar sempena Ramadan.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menegur sikap penganjur yang tidak bersedia lebih awal berikutan penganjuran bazar tersebut berlangsung setiap tahun.

Baginda bertitah, kelengkapan seperti lampu, kipas perlu dipasang lebih awal dan bukan hanya dipasang di saat peniaga dan pelanggan sudah berkunjung ke bazar tersebut.

“Setip tahun bazar ini diadakan, jadi kemudahan dan keselesaan perlu diberikan buat semua pengunjung tanpa mengira pangkat kecil, besar, muda, tua,” titahnya.

Baginda bertitah sedemikian selepas berangkat mencemar duli berkunjung ke bazar Ramadan Taman Kerang dekat padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, di sini, kelmarin.

Tinjauan mendapati peniaga dan pengunjung mengeluh dan kurang selesa dengan situasi panas yang dihadapi selain keadaan cahaya yang tidak mencukupi khususnya menjelang waktu berbuka.

Bagi Abdullah Ismail, 31 yang menjual Roti John di bazar tersebut, mengakui kurang selesa dengan keadaan panas yang dialami dan rungutan sama turut diluahkan oleh pelanggan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kuantan, Abd Razak Kasim yang juga penganjur bazar terbabit berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk memasang kelengkapan tersebut dalam tempoh lebih awal.

Menurutnya, lokasi tersebut hanya mula dipasang dua hari sebelum Ramadan dan kekangan masa membatasi penganjur untuk menyediakan kelengkapan terbabit.

“Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) yang menggunakan lokasi ini sebagai venue juga menjadi faktor kelewatan.

“Namun kita berjanji malam ini segala kelengkapan seperti lampu dan kipas akan siap dipasang sepenuhnya,” katanya.

Beliau juga memberitahu, tahun ini terdapat peningkatan 30 peratus jumlah peniaga yang menyertai bazar tersebut iaitu 248 peniaga berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob berkata, mengakui penganjuran Sukma antara faktor kelewatan namun dalam masa meminta pihak penganjur lebih bertanggungjawab menyediakan segala kelengkapan.

“Kali ini kita menswastakan tapak ini dan memberikan peluang kepada persatuan menambahkan dana selain dapat membantu ahli mereka dan kita hanya mengutip bayaran permit terhadap peniaga,” katanya.

Menurutnya, pada tahun ini terdapat 24 tapak bazar dibuka sepanjang Ramadan membabitkan 2,204 peniaga.

Zulkifli juga memberitahu, tahun ini MPK dengan kerjasama Alam Flora menyediakan 50 tong sampah yang diletakkan di padang MPK 1 untuk memberikan kemudahan terhadap pengunjung yang memilih untuk berbuka puasa di padang tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan