Isnin, 18 Jun 2012

Yadim ceriakan Muslim Kemboja

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN, Gambar Jabatan Penerangan 

MEMBERI kepada yang memerlukan adalah nikmat yang cukup besar kepada penerima dan juga penderma.

Begitulah sepatutnya persaudaraan sesama Islam. Yang berada memberi kepada yang kurang bernasib baik sebagaimana yang ditunjukkan oleh kaum Ansar dan Muhajirin pada peristiwa Hijrah bersama Nabi Muhammad SAW.

Kaum Ansar bukan sahaja menawarkan sebahagian harta mereka kepada saudara Muslim dari Mekah, malah turut sanggup menyerahkan salah seorang isteri mereka.

Inilah indahnya persaudaraan kental sesama Islam sebagai mana yang dijelaskan menerusi hadis Nabi SAW yang antara lain bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang itu selagi mana tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah melebihkan rezeki sebahagian daripada kita bukan untuk bermegah-megah atau bakhil, sebaliknya ia untuk dikongsi bersama dengan orang lain.

 Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 

Ia sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki, tetapi orang-orang yang dilebihkan (rezekinya itu) tidak mahu memberikan rezeki mereka kepada budak-budak yang mereka miliki, agar mereka sama (merasakan) rezeki itu. Maka mengapa mereka mengingkari nikmat Allah? (an-Nahl: 71)

Kepada penderma bukan kata-kata pujian dan sanjungan yang diharap sebaliknya senyuman dan wajah ceria penerima itulah yang memberi kepuasan.

Demikianlah gambaran suasana di Kampung Rakapram Daerah Kampung Cham, Kemboja akhir Mei lalu.

Keceriaan dan kegembiraan itu berikutan penyampaian sumbangan pelbagai barang keperluan terutamanya kelengkapan solat untuk penduduk di situ.

Ia hasil inisiatif Sukarelawan Al-Falah (SAF), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi.

Sesungguhnya penat lelah mengumpul pelbagai sumbangan serta menempuh perjalanan darat selama kira-kira empat jam dari Phnom Penh ke Kampung Rakapram terbalas dengan sambutan hangat penduduk di situ.

Misi kemanusiaan kali ini juga mendapat sokongan Kementerian Pertahanan yang membantu menerbangkan pelbagai sumbangan yang dianggarkan mencecah dua tan melalui pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lebih bermakna, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut serta dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk terlibat.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Taib Ali yang mengetuai delegasi Sukarelawan Al-Falah (SAF) berkata, misi kali ini adalah salah satu cara Yadim menyebar luas konsep dakwah bil hal.

Ia juga bertujuan merapatkan jurang di antara golongan miskin dan berada serta menyerap konsep taawun (bantu membantu) tanpa mengira bangsa, kaum dan negara.

"Kampung Rakapram menjadi pilihan kerana masyarakatnya perlu diberi input melalui pendidikan memandangkan kebanyakan anak-anak generasi di sini ingin belajar dan mengubah nasib masyarakat mereka agar lebih baik pada masa hadapan.

"Ia sesuai dengan fokus misi ini kepada pendidikan mengubah masa depan," katanya dalam ucapan pada majlis penyerahan bantuan tersebut.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan