Selasa, 19 Jun 2012

Bekas ketua jurutera TUDM selamat dibawa pulang



KUALA LUMPUR 18 Jun - Bekas Ketua Jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Brig. Jeneral (B) Datuk Ir. Ahmad Sujak Bon yang terlantar sakit di sebuah hospital di Jakarta, Indonesia berjaya dibawa pulang ke tanah air hari ini dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M).

Menggunakan jet peribadi Perkhidmatan Antarabangsa SOS Sdn. Bhd., Ahmad Sujak yang diserang penyakit angin ahmar ketika menziarah kenalan di negara itu selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang, dekat sini, kira-kira pukul 2.55 petang.

Sambil melahirkan rasa terima kasih dan syukur, anaknya, Suraya, 30, berkata, ketibaan bapanya itu merupakan hadiah sempena sambutan Hari Bapa dan ulang tahun kelahirannya yang sangat bermakna.

"Walaupun abah masih tidak sembuh sepenuhnya, namun saya dan keluarga bersyukur dan lega kerana dia berada di sini dan dekat dengan keluarga.

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang banyak membantu sehingga membolehkan ayah saya dibawa pulang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menceritakan lebih lanjut, Suraya berkata, dia sekeluarga dimaklumkan mengenai keadaan bapanya pada 12 Jun lalu sebelum kakaknya ke Jakarta keesokannya bagi melihat sendiri keadaannya.

Katanya, sejak itu juga dia sekeluarga hanya melihat keadaan bapanya melalui perbualan internet 'Skype' yang diaturkan kakaknya sambil berdoa kesihatan ayahnya stabil dan dapat dibawa pulang segera.

"Usaha membawa pulang abah ke tanah air menggunakan jet peribadi menelan belanja hampir RM70,000. Oleh itu, dengan bantuan seorang kawan, saya berjaya menghubungi Abdul Azeez dan meminta bantuan beliau," ujarnya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau bersyukur kerana usaha membawa pulang Ahmad Sujak berjalan dengan lancar walaupun keadaan kesihatan Ahmad Sujak agak kritikal.

Jelasnya, sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai perkara itu, KP1M bertindak pantas menghantar pakar perubatan kelab berkenaan untuk mengenal pasti tahap kesihatan Ahmad Sujak sama ada boleh dibawa pulang atau sebaliknya.

"Kita juga berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Lembaga Persahabatan Indonesia Malaysia (Prima) yang banyak membantu urusan membawa pulang Ahmad Sujak.

"Beliau akan dibawa terus ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan