Khamis, 28 Jun 2012

Usah perbesarkan isu rendang


2012/06/28

JAKARTA: Seorang pakar kulinari terkemuka Indonesia berkata tidak perlu memperbesar-besarkan isu masakan rendang.

William Wongso berkata, oleh yang demikian tidak perlu untuk mendaftarkan rendang untuk dipatenkan walaupun masakan itu berasal dari Sumatera Barat.

Beliau berkata, rakyat Indonesia tidak sepatutnya bimbang yang hak milik warisan makanan itu akan dituntut negara lain, terutama Malaysia.

"Makanan itu tidak perlu dipatenkan. Biar mereka tuntutnya kerana yang jelas penduduk daripada kumpulan etnik Minangkabau dari Sumatera Barat juga sudah berhijrah dan menetap di sana," kata Wongso seperti dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post hari ini.

Wongso berkata demikian ketika ditemui di Padang, Sumatera Barat, di mana beliau menjadi hakim pada Festival Memasak Rendang Sumatera Barat selama dua hari yang berakhir hari ini.

Pakar kulinari itu memberikan contoh makanan Jepun 'sushi' dan 'sashimi' serta makanan Korea 'galbi' yang tidak pernah dipatenkan.

"Jepun dan Korea tidak pernah mendaftarkan makanan itu untuk dipatenkan. Mereka sebaliknya berasa gembira jika makanan mereka dinikmati di semua tempat.

"Perkara yang paling penting ialah menyebarkan cara yang betul menyediakan rendang di luar Sumatera Barat kerana rasa rendang yang dihidangkan di banyak restoran di luar Indonesia kurang enak," katanya.

Beliau memberikan contoh rendang di Belanda yang rasanya sekan-akan 'semur' (makanan Jawa), yang agak manis.

Katanya, rendang di Malaysia juga berbeza dengan di Sumatera Barat kerana ia dipengaruhi oleh makanan India yang banyak menggunakan rempah-ratus India, menggunakan bukan sahaja daging lembu atau kerbau tetapi juga ayam. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan