Khamis, 21 Jun 2012

Mohamed Noah tokoh besar negara


Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan KAMIL MASLIH, pengarang@utusan.com.my

ARKIB : 21/06/2012

KUALA LUMPUR 20 Jun - Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini diselubungi kesyahduan apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membacakan sebuah puisi bagi mengenang jasa Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar yang bukan sahaja seorang tokoh negara dan usahawan berjaya tetapi juga adalah datuknya.

Perdana Menteri yang begitu kagum dengan kekentalan datuknya itu berjaya menarik perhatian hadirin untuk menyelami sejarah perjuangan serta perjalanan hidup Mohamed Noah lebih 90 tahun melalui puisinya bertajuk 'Warkah kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar'.

Di dalam Majlis Jasamu Dikenang Tan Sri Mohamed Noah Omar itu, Perdana Menteri di dalam salah satu rangkap puisinya berkata, sumbangan kepada rakyat serta semangat juang datuknya yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat pertama sentiasa menjadi inspirasi dan pedoman perjuangan.

Sebelum membaca puisi itu, Najib mengimbau kenangan beliau dengan Mohamad Noah ketika masih kecil.

Antaranya Perdana Menteri berkata, pengalaman beliau serta sepupu-sepupunya berkelah di Port Dickson bersama datuknya itu.

"Ketika kami berkelah kami minum Coca Cola dan datuk kami pesan jangan buang botol tersebut sebab datuk kata botol-botol itu boleh dihantar ke kedai dan dapat duit semula.

"Sikap cermat beliaulah yang telah banyak membawa rezeki kepada kami sehingga beliau turut berjaya sebagai usahawan dan mewujudkan Yayasan Noah," katanya.

Menurut Najib, melalui yayasan tersebut, ahli-ahli keluarganya dapat melanjutkan pelajaran sehingga universiti termasuk beliau.

"Kami semua terhutang budi sebab arwah datuk membiayai pengajian kami semua. Kami dapat berkat dan rahmat hasil baik hati beliau," ujarnya.

Kata Najib, selain ketokohan sebagai pemimpin, datuknya juga cukup terkenal sebagai seorang yang ramah dan gemar bergurau.

"Arwah datuk seorang yang humourous. Saya tidak banyak pengalaman ketika datuk menjadi Speaker Dewan Rakyat tetapi datuk sentiasa berbangga menantunya, Tun Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu terpaksa tunduk kepadanya ketika Parlimen bersidang kerana datuk seorang Speaker," ujarnya lagi.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Yayasan Noah, Datin Paduka Faridah Abdullah.

Hadir sama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Ali; ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah; ibu saudara Perdana Menteri, Tun Suhaila Tan Sri Mohamed Noah serta seluruh anggota dan keturunan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama itu.

Mohamed Noah mencatatkan sejarah tersendiri apabila beliau menjadi bapa mertua kepada dua Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Selain Najib, Hishammuddin juga merupakan cucunya yang aktif dalam politik.

Selain memegang jawatan Yang Dipertua pertama Dewan Rakyat, Mohamed Noah pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Tetap UMNO.

Bapa Tun Rahah dan Tun Suhaila itu Meninggal dunia pada tahun 1990 dan jenazahnya disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Pada majlis malam ini, Najib turut melancarkan buku Tan Sri Mohamed Noah A Tribute di samping cetakan semula buku Tan Sri Mohamed Noah Tokoh Dua Zaman Sikapnya Sederhana Hidupnya Berjasa terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan