Selasa, 19 Jun 2012

Kenyataan akhbar isu Tor Tor Mandailing, Gendang Sembilan


KUALA LUMPUR 19 Jun - Persatuan Halak Mandailing Malaysia (Mandailing Malaysia) no daftar ROS 3637-11-NSE, ingin membuat pencerahan atau penjelasan sejelas-jelasnya berhubung atau berkaitan isu budaya Gordang Sambilan Mandailing (Gendang Sembilan Mandailing) dan tarian Tor Tor Mandailing yang menjadi kontroversi di Indonesia mulai Sabtu lalu sehingga hari ini.

Dengan perasaan rendah diri dan keinginan yang tinggi untuk melihat hubungan Malaysia-Indonesia sentiasa baik, jernih dan akrab, maka pencerahan di pihak Mandailing Malaysia adalah seperti berikut:

1. Bahawa Persatuan Halak Mandailing Malaysia, dan kira-kira 500,000 masyarakat Mandailing di Malaysia, secara tegasnya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, yang dalam kenyataannya di Singapura semalam, menegaskan bahawa kerajaan Malaysia akan tetap mendaftarkan Gordang Sambilan Mandailing dan Tor Tor Mandailing sebagai budaya warisan masyarakat Mandailing, mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

2. Bahawa Persatuan Halak Mandailing Malaysia dan seluruh masyarakat Mandailing Di Malaysia sangat terharu ketegasan YB Menteri itu dalam mempertahankan perjuangan masyarakat Mandailing di Malaysia itu.

3. Bahawa Presiden Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan pada semalam 18 Jun 2012 dan hari ini telahpun mengambil langkah segera dengan memberi kenyataan pencerahan atau penjelasan panjang lebar mengenai isu tersebut kepada beberapa TV, radio, akhbar dan majalah di Republik Indonesia, selain turut bekerjasama memberi input atau informasi tepat kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur. Antara televisyen dan radio popular Indonesia yang membuat lintas langsung perbualan dengan beliau adalah RCTI dan TV One, selain Radio Elshinta yang terbesar jumlah pendengarnya di Indonesia.

4. Mandailing Malaysia juga ingin menegaskan, sebagai latar belakang kontroversi yang tercetus di Indonesia berikutan berita Bernama yang memetik kenyataan YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia pada sidang akhbar selepas program Perhimpunan Anak-Anak Mandailing di Dewan Seri Siantan, Batu Caves, Selangor pada Khamis, 14 Jun 2012, BAHAWA laporan Bernama tersebut adalah tepat dan tiada sebarang kesalahan.

 
 5. Dan ditegaskan, bahawa kenyataan YB Menteri tersebut merupakan respons beliau kepada ucapan Presiden Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan pada program itu, yang meminta pihak kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan supaya mengiktiraf kebudayaan Mandailing khususnya Gordang Sambilan (Gendang Sembilan) dan tarian Tor Tor Mandailing setaraf atau setara dengan kebudayaan lain seperti Jawa, Minang, Bugis, Cina, India dan lain-lain di Malaysia. Ketika itu, saudara Ramli juga menyatakan harapannya suatu masa nanti agar kebudayaan Mandailing terutama Gordang Sambilan dan Tor Tor Mandailing dapat ditonton atau disaksikan oleh rakyat Malaysia dalam acara besar atau program rasmi kerajaan.

6. Bahawa dua budaya dan seni yang diperjuangkan oleh Mandailing Malaysia, dan masyarakat Mandailing di Malaysia itu adalah Gordang Sambilan Mandailing dan Tor Tor Mandailing milik suku kaum Mandailing yang berleluhur atau asalnya dari Sumatera, bukannya Tor Tor Batak Toba atau Batak Karo serta bukannya Gordang Topap di Angkola. Malah tokoh adat Batak Toba, Bapak Parangin Angin yang digandingkan dengan Presiden Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan dalam lintas langsung siaran TV One jam 9.30 - 10.00 malam tadi, MENGAKUI bahawa terdapat perbezaan yang jelas antara Gordang Sambilan dan Tor Tor Mandailing dengan apa yang dimiliki oleh suku kaum Batak Toba dan Karo.

 Tok Perak Harahap
Salah seorang anggota masyarakat Mandailing Malaysia.
Foto - Tok Perak Harahap.

7. Sebelum mengutarakan atau mengusulkan secara rasmi permintaan mengangkat martabat kedua-duanya kepada kerajaan pada Khamis lalu, Presiden Mandailing Malaysia, Ramli Abdul Karim Hasibuan pada Disember 2011 telah pun mendapatkan pandangan dan sikap masyarakat dan tokoh adat Mandailing di Sumatera Utara meliputi Kabupaten Mandailing Natal (Madina), Padang Sidempuan, Padang Lawas Utara (Paluta) dan Pemerintah Kotamadya Medan. Malah beliau dan rombongan juga menemui Bupati-Bupati (Pegawai Daerah) serta Walikota (Datuk Bandar) di daerah-daerah terlibat.

8. Hasil lawatan itu, suka cita dimaklumkan bahawa secara umumnya pemerintah di daerah-daerah Mandailing menyokong usaha Mandailing Malaysia untuk mengangkat budaya masyarakat itu di Malaysia dan ke peringkat internasional, supaya ia tidak pupus dan tinggal nama atau menjadi sejarah semata-mata. Malah, Bupati-Bupati dan Walikota terlibat atau perwakilan mereka seramai hampir 30 orang dari daerah terlibat, juga hadir untuk menyatakan sekali lagi tanda sokongan mereka pada Mesyuarat Agung (Annual General Meeting)pertama Persatuan Halak Mandailing Malaysia di Dewan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), Nilai, Negeri Sembilan pada 28 Januari 2012.

9. Bahawa Mandailing Malaysia bagi pihak masyarakat Mandailing berwarganegara Malaysia yang sudah eksis atau tinggal di tanah air Malaysia yang tercinta ini sejak 200 tahun lalu, telahpun memperjuangkan Gordang Sambilan dan Tor Tor Mandailing sejak lebih 30 tahun lalu. Dan, kami akan terus memperjuangkan supaya kebudayaan kami ini terus dikembangkan dan diangkat ke tahap yang lebih tinggi setahap dan setara dengan budaya suku kaum lain, dengan satu niat - iaitu semata-mata atas dasar menghargai, mempertahan dan mengembangkan budaya sendiri atau pendeknya mahu melestarikannya supaya ia tidak pupus atau hilang.

10. Bahawa Mandailing Malaysia ingin merayu rakyat Indonesia, khususnya dari suku kaum Mandailing di Sumatera Utara supaya terus mendukung atau menyokong perjuangan ini. Ia tetap menjadi milik bangsa Mandailing walau di manapun mereka berada di seluruh dunia, dan kami di Malaysia mengakui bahawa kedua-duanya itu berasal-usul dari tanah kelahiran moyang kami di tanah Mandailing, Sumatera Utara. Itu pasti!

11. Bahawa ditegaskan perjuangan kami ini tidak ubah sepertinya orang Cina di Indonesia yang memperjuangkan budaya mereka dipertunjukkan di hadapan umum. Dan ia berjaya setelah kejatuhan Orde Baru dan timbulnya reformasi serta diperakui atau diiktiraf oleh mantan Presiden Indonesia, Almarhum Gus Dur @ Bapak Abdulrahman Wahid. Adakah dengan perakuan pemerintah Indonesia itu, maka Indonesia telah "klaim" budaya Cina itu, jawabnya sudah pasti tidak. Begitu juga kami masyarakat Mandailing dalam perjuangan ini.
12. Berhubungan dengan pendaftaran Gordang Sambilan dan Tor Tor Mandailing dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, yang disebut oleh YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia baru-baru ini, semua pihak termasuk di Indonesia boleh menyemak dan meneliti sendiri kandungan akta tersebut di Iaman web di Internet, bahawa ia secara jelas memperakukan setiap yang didaftar itu, hak pemilikannya adalah kepada pemilik asal. Itu jelas dan terang dan tidak usah dimanipulasi.

13. Dengan perakuan dan pendaftaran itu, maka pemerintah Malaysia akan berusaha melestarikan keduanya iaitu Gordang Sambilan dan Tor Tor Mandailing dan sudah pasti menyediakan peruntukan kewangan secukupnya untuk mengembangkan dan mengangkatnya ke peringkat nasional setara dengan budaya kaum lain di Malaysia.

14. Bahawa kami di Mandailing Malaysia berharap keributan yang tercetus di Indonesia ini tidak akan menjejaskan atau mempengaruhi pertimbangan Kerajaan Malaysia dalam usaha mengangkat dan memberi perakuan kepada budaya dan keseniaan masyarakat Mandailing di negara ini.

Akhir sekali, kami bagi pihak Mandailing Malaysia berharap rakyat kedua-dua negara akan terus menjalin hubungan baik, meningkatkan keakraban silaturrahim dan memantapkan ukhuwah bersama umat di kedua-dua negara.

Horas.

- RAMLI ABDUL KARIM HASIBUAN, Presiden Persatuan Halak Mandailing Malaysia

Berita ini mungkin berkaitan: Galeri Kerinci.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan