Tan Sri Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR 28 Jun - Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan
kerajaan akan terus mempertahankan Dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri mahu semua
rakyat Malaysia bersama-sama bertanggungjawab memperkasa kedudukan, fungsi
serta penggunaan bahasa itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.
"Kerajaan tegas dalam memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan dan kita akan memastikan ia terus menjadi bahasa
pengantar utama, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran.
"Saya sebenarnya amat yakin melalui penggunaan bahasa
kebangsaan dalam sistem pendidikan, rakyat bukan sahaja dapat menguasai bahasa
dengan lebih baik malah mereka juga akan lebih menghayati nilai-nilai perpaduan
dan jati diri nasional yang ingin diterapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan
Seminar Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan
di Dewan Bahasa Pustaka (DBP) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Dr. Awang Sariyan dan Ketua
1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof. Datuk Dr. Abdul
Latiff Abu Bakar.
Pada majlis itu, memorandum hala tuju pendidikan kebangsaan
daripada 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam rangka Kajian Semula Dasar
Pendidikan Negara turut diserahkan kepada Muhyiddin.
Beliau berharap setiap rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa
kebangsaan dengan baik dan menghormati penggunaannya di jabatan-jabatan
kerajaan, sektor awam dan di tempat-tempat awam.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, peradaban Malaysia moden
mestilah bertunjangkan kepada pendidikan dan pembinaan bahasa serta
kesusasteraan kebangsaan yang dipelajari bersama bidang-bidang lain seperti
sains, teknologi, ekonomi dan sosial.
"Ini penting kerana peradaban bukan sahaja bermakna
kemajuan material sesebuah bangsa tetapi juga kehalusan budi pekerti iaitu
pencapaian dan pembangunan dalam segala perlakuan, pemikiran dan kemajuan sama
ada dalam bidang sains, teknologi, kesenian atau kesusasteraan," katanya.
Berhubung kedudukan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan
negara, beliau berkata, usaha untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa itu di
kalangan para pelajar akan diteruskan.
"Justeru, Kementerian Pelajaran akan terus melaksanakan
Dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi
memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan serta meningkatkan kebolehan berbahasa
Inggeris di kalangan pelajar," katanya.
Dalam ucapannya, Muhyiddin turut menyentuh mengenai usaha
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersama DBP mengadakan audit bahasa Melayu
terhadap semua jabatan kerajaan mulai tahun depan.
"Projek rintis audit bahasa Melayu akan diadakan di DBP
mulai Julai hingga Ogos depan dan seterusnya atas permintaan JPA, audit bahasa
Melayu akan diadakan di beberapa bahagian yang terpilih di jabatan itu mulai
Disember tahun ini," katanya lagi.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mewujudkan Sistem
Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan bagi menghargai usaha pihak berkuasa
tempatan pada tahun depan.