By Idris Talu.
Nama saintifiknya: Carica papaya.
Nama lain: Kulikih, kalikih, parenghek, situkau, sampelo, kapelo, santelo (Minang), papaya.
Betik dikatakan berasal dari Mexico, tetapi hingga sekarang ini boleh dikatakan telah ditanam di kebanyakan negeri di kawasan tropika.
Buah betik yang cukup masak mewah dengan vitamin C yang amat kita perlukan. Buah betik juga mempunyai kandungan serat (fiber) tinggi. Enak dimakan mentah atau dijadikan jus.
Betik yang hampir matang (disebut mangkal atau mengkal), sesuai dibuat sayur manis dengan dicampur sayuran lain seperti pucuk manis atau bayam serta ikan bilis.
Buah betik masak juga sesuai untuk dimakan oleh mereka yang mengalami masalah sembelit.
Selain dari buahnya, pucuk betik juga cukup digemari. Pucuk betik direbus dijadikan ulam bersama sambal kelapa atau sambal bercampur ikan panggang. Kerabu pucuk betik juga amat digemari ramai, terutamanya di bulan Ramadhan, dijadikan juadah makan selepas berbuka.
Pokok betik jantan banyak menghasilkan bunga yang tidak menjadi buah. Bunga-bunga betik ini cukup digemari bila dibuat kerabu yang disebut kerabu bunga betik.
Dikatakan, kulit buah betik mempunyai vitamin A dan kalium. Buah betik juga mengandungi zat besi, tiamin, kalsium dan niasin. Disamping itu, daun betik tua biasa direbus bersama daging yang agak liat atau keras untuk melembutkannnya. Papain dalam pucuk betik dikatakan dapat melembutkan daging yang keras.
Assalamualaikum Tn Hj idris
BalasPadamsaya suka pucuk betik, buat ulam, cicah dengan tempoyak.....
Wassalam
Wa'alaikumussalam Tuan Haji Rozali,
BalasPadamSaya suka juga dengan pucuk betik - buat kerabu pucuk betik, makan tengah hari di dangau di tengah bendang.
Kerabu bunga betik pun sedap jugak.
Wassalam.