Selasa, 19 April 2011

Misi untuk memburu emas pertama Olimpik tidak terjejas


Datuk Misbun

STATUS Datuk Misbun Sidek yang tidak lagi membimbing pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei ketika ini, tidak akan menjejaskan persediaan pemain itu untuk memburu emas pertama Olimpik negara, menjelang Sukan Olimpik London.

Dengan detik mula yang tinggal hampir setahun, ketiadaan Misbun mengiringi Chong Wei seperti dirancang untuk perjuangan terakhirnya sebelum bersara bagaikan satu kerugian, apabila bekas jaguh badminton negara itu ‘turun pangkat’ untuk melatih skuad pelapis.

Begitupun Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menolak andaian itu, malah menganggap pemain itu sudah berada di landasan tepat untuk mencapai misi berkenaan biarpun tanpa kehadiran Misbun.

“Chong Wei dilihat masih terus memberikan keputusan yang baik dan meskipun berdepan kemelut, dia masih mampu memberi pencapaian yang baik.

“Tidak semestinya jika Misbun tidak melatih Chong Wei sepenuhnya, dia tidak boleh memberi tunjuk ajar, nasihat dan semangat kepada pemain itu. Saya percaya selama ini Chong Wei pun sentiasa berhubung dengan Misbun,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) 2011 di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Malah menurutnya, ketika menghadapi kemelut itu, Chong Wei masih mampu memberikan keputusan yang di luar jangkaan orang ramai.

Misbun mencetuskan gempar dalam dunia badminton awal tahun ini apabila memutuskan untuk meletak jawatan dengan pelbagai spekulasi bermain di fikiran peminat sukan yang mengandaikan beliau berselisih dengan pihak tertentu dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Begitupun, selepas Misbun berjaya dipujuk kembali menyertai persatuan itu beliau tidak lagi diberikan mandat untuk melatih Chong Wei hasil Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Sabtu lalu sebaliknya diberi kepercayaan untuk melatih pasukan pelapis yang turut dibarisi anaknya, Misbun Ramdan.

“Apa yang penting, Misbun sudah kembali bersama keluarga besar badminton negara dan tidak lagi tersisih.

Apa saja yang diputuskan BAM terpulang kepada mereka kerana ini bukan tanggungjawab kementerian mahupun MSN.

“Kepulangan Misbun adalah satu perkara positif kerana tanggungjawab melatih atlet pelapis adalah sesuatu yang amat penting. Kita tidak mahu menghadapi masalah ketandusan pemain berbakat selepas Chong Wei,” kata Ahmad Shabery.

Source: Harian Metro Malaysia Online.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan