2011/02/08
KESESAKAN luar biasa di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke Lembah Klang, kelmarin mencetuskan pelbagai persoalan mengenai pengurusan lebuh raya, penguatkuasaan, sikap pemandu dan perancangan jangka panjang kerajaan untuk mengatasinya pada masa depan.
Kesesakan teruk itu menyebabkan sesetengah pemandu mengambil masa sehingga 10 jam di atas lebuh raya bagi perjalanan yang lazimnya mengambil tempoh tiga atau empat jam pada hari biasa. Lebuh raya yang lazimnya boleh menjadi ‘litar lumba’, tetapi kelmarin menyaksikan pergerakan perlahan kenderaan bagaikan ‘merangkak’.
Didesak perasaan hendak cepat sampai ke destinasi masing-masing dan pentingkan diri, ramai pemandu menyalahgunakan laluan kecemasan, sekali gus sikap itu memburukkan lagi kesesakan. Antara laluan paling sesak ialah:-
1. dari Seberang Jaya ke plaza tol Juru,
2. Changkat Jering-Sungai Perak,
3. Ipoh-Sungkai,
4. Nilai-Seremban,
5. Ayer Keroh-Jasin dan
6. Machap-Sedenak.
Situasi ini mencetuskan beberapa tanda tanya, termasuk di tahap mana keberkesanan Ops Sikap dan pelbagai kempen keselamatan di jalan raya selama ini.
Bukan untuk mempersoalkan kehadiran polis trafik, tetapi apakah menempatkan petugas dalam pondok kecil di tepi lebuh raya mampu membangkitkan rasa takut pemandu sehingga mendorong mereka mematuhi peraturan lalu lintas.
Kita menghargai komitmen dan pengorbanan pasukan polis untuk memastikan kelancaran dan keselamatan lalu lintas, tetapi melihat kesan operasi itu, pendekatan secara statik itu mungkin tidak mencukupi.
Kerajaan juga wajar mencerna semua maklumat diperoleh melalui data siri Ops Sikap dijalankan serta maklum balas umum melalui makmal khas sebagai inisiatif mengurangkan kemalangan serta kematian akibat nahas jalan raya.
Catatan rekod tertinggi 6,260 kes kemalangan maut dicatat tahun lalu mesti disusuli dengan pelan induk pencegahan komprehensif. Ops Sikap ke-23 bagi musim perayaan Tahun Baru Cina ini saja merekodkan 147 kes kemalangan maut dalam tempoh 11 hari.
Hakikatnya, jalan raya kita penuh dengan pemandu tidak berdisiplin apabila 115,783 saman dikeluarkan dalam tempoh sama. Dengan pertambahan kenderaan berlipat kali ganda berbanding saiz lebuh raya kekal dua atau tiga laluan sehala di sesetengah tempat, kerajaan wajar mula memikirkan kemungkinan membina jajaran Lebuh Raya Utara-Selatan kedua atau perbanyakkan laluan alternatif bagi menampung keperluan semasa.
Membinanya dalam masa terdekat ini pasti memberi impak besar kepada sosioekonomi, selain menjimatkan kos berbanding memulakan projek itu dalam 10 atau 15 tahun akan datang. Kesesakan begini juga boleh mendatangkan fobia kepada pengguna sehingga ada yang mengambil keputusan enggan bercuti atau balik kampung ketika musim perayaan. Masyarakat kita disaran memperkukuhkan institusi keluarga, termasuk lebih kerap menziarahi sanak saudara di tempat kelahiran tetapi gara-gara lebuh raya sesak dan kerap berlaku kemalangan, matlamat murni ini mungkin tidak dapat dicapai.
Pusat hentian rehat dan rawat di lebuh raya juga sesak setiap kali musim perayaan. Ramai pengguna tidak dapat menggunakan kemudahan disediakan untuk menghilangkan rasa letih atau mengantuk kerana keadaan begitu kesesakan. Memandangkan lebuh raya perlu menampung ramai pengguna setiap masa, adalah wajar isu sesak, pertambahan kenderaan, keperluan lebuh raya baru dan pengurusannya mesti dirujuk kepada pakar untuk mencari penyelesaian.
Source: Minda Pengarang - Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan