Khamis, 23 Disember 2010

Satu rumah, satu naskhah



Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail, smohd@bharian.com.my

Tarikh siar - 2010/12/19


Setiap rumah umat Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, disasar ada senaskhah al-Quran Braille

SEMANGAT mereka membuak-buak mahu turut sama membaca al-Quran, namun apakan daya sudah ditakdirkan Tuhan, mereka tiada upaya dari segi penglihatan. Lalu hanya satu cara menjadi pilihan, sekadar mampu mendengar ayat suci dibacakan sebelum ke dalam memori ia disimpan.

Bagi yang kuat berazam dan kuat ingatan, tiada masalah mengingati kesemua 30 juzuk isi kandungan kitab suci. Betullah kata orang, biarpun penglihatan terhalang, golongan ini memang berhati terang.

Seiring perkembangan zaman, teknologi juga turut berkembang. Proses membaca al-Quran buat golongan cacat penglihatan menjadi semakin mudah dan menyenangkan.

Tercipta al-Quran Braille umpama sinar suci buat mereka. Apa tidaknya, kandungan kitab Allah yang selama ini hanya mampu diperdengarkan oleh orang lain kini sudah boleh dibaca sendiri. Banyak bezanya di antara mendengar dan membaca sendiri.

Mengimbau kemunculan al-Quran Braille, ia pada mulanya terhasil menggunakan mesin taip Perkins Brailler, tetapi proses menaipnya memakan masa amat panjang. Untuk menyiapkan 30 juzuk, ada kala mengambil masa sehingga setahun.

Naskhah kemudian dihantar kepada Jawatankuasa Penyemakan al-Quran pada 1999 dan dibuktikan tidak ada kesalahan pada cetakan, namun timbul pula masalah lain, kitab suci dalam cetakan sedemikian tidak mampu menampung permintaan kumpulan sasaran.
Menyedari masalah itu, Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Mah Hassan Omar mengambil langkah berani menggunakan komputer `bersuara’ sebagai usaha menggalakkan lebih ramai orang buta membaca dan menghayati kitab suci.

“Sebelum ini, kami menggunakan mesin taip Braille menghasilkan al-Quran untuk golongan cacat penglihatan, tetapi prosesnya memang mengambil masa. Contohnya jika lima orang membaca al-Quran, dalam tempoh setahun hanya lima juzuk al-Quran cetakan ini dapat dihasilkan,” katanya.

Lama sebelum menghasilkan al-Quran Braille sendiri, SBM mendapat sumbangan al-Quran cetakan itu daripada Badan Yayasan Kebajikan Penatrat Islam Indonesia, namun oleh kerana keperluan untuk kumpulan sasar di republik itu juga tinggi, sumbangan itu terpaksa dihentikan.



Pada 1990, muncul teknologi komputer bersuara untuk kegunaan golongan ini dan tanpa berfikir panjang, SBM memutuskan untuk membeli kemudahan itu sebelum bersama dua rakan lain cuba memasukkan data al-Quran ke dalam komputer berkenaan.

“Ketika itu, kami yakin al-Quran berbentuk Braille dapat dicetak dengan lebih cepat berbanding cara menaip,” katanya sambil menambah usaha yang dimulakan mereka pada 1999 berhasil dan lebih membanggakan cetakan melalui komputer berjaya menyiapkan dua naskhah kitab suci Braille hanya dalam tempoh 10 jam.

Bagaimanapun, SBM masih menghadapi kekangan terutama dari segi kewangan kerana kos mencetak senaskhah kitab suci jenis itu yang boleh mencecah RM300 adalah di luar kemampuan persatuan.



Kekangan itu sekali gus membantutkan matlamat mereka yang mahu melihat sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga Islam yang ada ahlinya cacat penglihatan, ada senaskah al-Quran Braille.

“Kos untuk sekotak kertas Braille saja sudah kira-kira RM120. Kami memerlukan kira-kira 1,000 helai kertas jenis itu untuk mencetak senaskah al-Quran, belum dikira lagi kertas Braille yang rosak disebabkan masalah mesin cetak,” katanya yang juga seorang peguam dan turut menerajui Pusat Sumber Braille Kuala Lumpur.



Namun, ketika itu pelbagai organisasi yang prihatin dengan masalah golongan cacat penglihatan turut menyumbang al-Quran Braille seperti Yayasan Emkay, Yayasan Sime Darby, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan orang perseorangan.

Menyambung kisah perit mereka dalam menghasilkan al-Quran Braille, Mah Hassan berkata, kertas yang diguna bagi memuatkan cetakan itu juga memainkan peranan kerana ketebalannya jika dikira dalam bentuk timbangan mesti tidak kurang 150 gram dan permukaannya pula tidak kasar bagi memudahkan pembacaan.



“Sejak diperkenalkan, ada sekurang-kurangnya 5,000 naskhah al-Quran Braille diletakkan di sekolah dan pusat latihan golongan cacat penglihatan seluruh negara, namun agak menyedihkan kerana sukar mencari naskhah berkenaan di kebanyakan masjid utama di negara kita.

“Sepatutnya pihak berkuasa bertanggungjawab dalam hal agama mengambil inisiatif menyediakan al-Quran Braille di masjid untuk kegunaan jemaah cacat penglihatan. Saya juga merayu lebih banyak syarikat korporat membantu dalam hal ini supaya dalam setiap keluarga Islam yang ada penghuni cacat penglihatan, sekurang-kurangnya ada senaskhah al-Quran Braille,” katanya.



Info al-Quran Braille

# Dicetak dalam bentuk jawi Braille untuk membantu golongan cacat penglihatan menguasai al-Quran dengan baik.

# Menggunakan kod khas bagi memudahkan kumpulan sasar membaca dan mengikut tajwid yang betul.

# Boleh dibaca oleh pengguna cacat penglihatan dari seluruh dunia asalkan tahu sistem tulisan jawi Braille.

# Proses penghasilan membabitkan kerjasama pakar agama yang mahir dengan tulisan Braille.

Tulisan Braille


# Sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta.

# Dicipta oleh seorang Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

# Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan tentera bagi memudahkan tentera membaca ketika gelap.

# Sistem ini dinamakan sistem Braille, tetapi ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

# Braille terdiri daripada sel yang mempunyai enam titik timbul yang dinomborkan.

# Huruf Braille bahasa Melayu hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris.

# Simbol Braille juga diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

# Boleh dihasil menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

# Juga boleh dihasil menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM)

# Organisasi sukarela kebangsaan yang ditubuhkan dan diterajui sendiri warga cacat penglihatan.

# Keanggotaan mencakupi semua bangsa dan pelbagai lapisan masyarakat.

# Objektif untuk meningkatkan taraf kedudukan sosio ekonomi orang cacat penglihatan di negara ini.

# Membimbing kumpulan sasar menjadi warga Malaysia yang berguna dan produktif.

# Telefon, 03-22746162, Faks 03-22743818, e-mel admin@sbm.org.my


Source: Berita Minggu Malaysia Online.

1 ulasan:

  1. Bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
    -
    Tulisan jawi – Amat cantik! Semakin Terancam?!
    Semarak Jawi. Membandingkan dengan Rumi:
    1. Jawi lebih indah, lebih mudah, lebih menarik.
    Rumi = 26 +A+B+D+E+G+H+Q+R = 17x2 = 34 bentuk berdiri sendiri.
    Huruf Arab + 6 Jawi - titik-2 = Sahaja 17 bentuk yang manis + tari-menari.
    Tidak seperti Rumi, Jawi suka bercantum.
    Hanya ekor perubahan seperti yang ditunjukkan di sini:
    http://www.arabictypography.com/ani1.html
    2. BM adalah bahasa fonetik, seperti Arab.
    Cara terbaik adalah ditulis (dan dibaca) dalam Jawi
    -
    Tetapi kebanyakan orang Melayu + Indons tidak mengetahui.
    -
    Melompat Lebih Tinggi + Semoga Berjaya
    http://typophile.com/node/74436

    BalasPadam