Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani
Tarikh siar -2010/12/24
PROFESOR dalam bahasa Latin bermaksud seseorang yang menguasai sesuatu ilmu sama adalah dalam sains atau sastera dan ia perlu seorang tenaga pendidik bertahap tinggi. Profesor bukan saja berautoriti dalam sesuatu sumber ilmu dan disiplin tertentu, malah ia terbukti berkebolehan dan berkemahiran dari segi penyelidikan, penulisan, tenaga pengajar yang berkualiti dan mampu berkongsi ilmu diperoleh dengan masyarakat.
Profesor juga seharusnya diiktiraf oleh institusi pengajian tinggi seperti universiti dan agensi kerajaan dan swasta. Jaringan hubungan dibentuk seseorang profesor menjadikannya tumpuan di dalam dan luar negara untuk berkongsi pemikiran khususnya dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat dan negara. Perkara tadi menjadikan jawatan dan gelaran profesor adalah suatu yang istimewa dan menjadi idaman semua ahli akademik.
Bagaimana dengan anugerah gelaran Profesor Ulung yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi? Gelaran itu haruslah dirujuk sebagai Yang Teristi-mewa yakni profesor yang terbaik dalam kalangan keseluruhan profesor tempatan yang ada di Malay-sia. Profesor Ulung seharusnya menjadi model terbaik atau idola kepada ahli akademik sebagai contoh cendekiawan terbilang dan berintegriti negara.
Penghargaan dan pengiktirafan diberikan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi kepada Profesor Ulung ini amat dialu-alukan sebagai usaha memartabatkan kecemerlangan ilmu dan bermatlamat meletakkan kedudukan cendekiawan negara ke tahap tertinggi dalam masyarakat. Tahniah kepada Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Prof Dr Looi Lai Meng dan Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan sebagai tiga penerima pertama gelaran Profesor Ulung itu yang juga menjadi jambatan yang menghubungkan Profesor Kelas A dan Profesor Diraja.
Jawatan Profesor Ulung ini juga akan merancakkan persaingan dalam kalangan profesor dan ahli akademik secara keseluruhannya untuk menghasilkan sumber ilmiah yang tinggi mutunya melalui penulisan dan penyelidikan. Ketiga-tiga tokoh tadi terbukti layak dianugerahkan gelaran Profesor Ulung dengan hasil sumbangan berkualiti mereka yang sudah dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara umumnya selain memberi impak kepada kualiti kehidupan sejagat.
Ucapan terima kasih dan tahniah juga harus diberikan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyediakan platform yang baik dan jelas kepada ahli akademik yang bercita-cita menjadi terbilang seperti Profesor Ulung. Seperti diucapkan Khaled bahawa ilmu itu adalah untuk kepentingan bersama yang mana maklumat dan pengetahuan harus dikongsi untuk kebaikan pembangunan negara. Inisiatif dan insentif ini bukan saja dapat menarik minat profesor yang berkelayakan untuk dipertimbangkan ke jawatan gred yang lebih tinggi, malah membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada akademik muda untuk maju dalam karier akademik mereka.
Walaupun kewujudan gelaran Profesor Ulung ini menjadikan kerjaya dunia akademik semakin menjadi impian masyarakat, masih banyak usaha yang harus dibuat secara menyeluruh untuk memar-tabatkan universiti tempatan untuk bersaing di dalam proses globalisasi pendidikan kini. Dari jumlah seramai lebih kurang 22,500 pegawai akademik di 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kini, sebanyak 1,426 atau 6.3 peratus adalah berjawatan profesor (VK7, VK6, VK5).
Usaha yang lebih giat perlu dilakukan ahli akademik untuk meningkatkan lagi peratusan berjawatan profesor. Langkah memartabatkan universiti tempatan bukan saja membabitkan pertam-bahan jumlah profesor dan ahli akademik yang berstatus kedoktoran (PhD) malah ia lebih menyeluruh sifatnya. Misalnya, objektif penubuhannya Majlis Profesor Negara dengan jelas menggariskan perkara yang harus dilakukan bagi mencapai kecemerlangan akademik yang mana di antara lain:
* - Membantu Kegiatan Pembangunan Ilmiah;
* - Menggalak dan merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan melalui program dijalankan dari semasa ke semasa;
* - Mengadakan wacana dan juga seminar bagi bertukar pandangan dan pendapat masing-masing berdasarkan kepada bidang kepakaran di kalangan profesor pada peringkat tempatan dan antarabangsa;
* - Memupuk budaya kesarjanaan dan keintelektualan dalam negara untuk meningkatkan kemajuan minda rakyat;
* - Menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan kesarjanaan dalam dunia akademik, dan,
* - Membina jaringan akademik dengan badan-badan luar negara yang mempunyai objektif sama.
Yang jelas anugerah Profesor Ulung ini adalah cerminan kepada peranan universiti itu sendiri bukan saja melahirkan pemikir masyarakat yang kritis, juga pemimpin masa depan yang berilmu, menegakkan kebenaran, bijaksana, berani dan berhemah tinggi.
Sumbangan pemikiran bijak pandai negara penting untuk dimanfaatkan di dalam pentadbiran kerajaan, perkembangan industri, pembangunan pertanian, kemajuan perdagangan, kecemerlangan pendidikan, pertambahan mutu perkhidmatan kesihatan dan sebagainya sebagai penyelesaian masalah sosioekonomi dan politik negara.
Source: Berita Harian Malaysia Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan