Sumber: Harian Metro Malaysia Online.
Oleh Hadzlan Hassan dan Mohd Nasif Badruddin, am@hmetro.com.my
DESAS-DESUS mengenai jumlah sebenar ganjaran diberikan kepada atlit yang berjaya mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa Sukan Komanwel New Delhi terjawab apabila bakal memperolehi habuan masing-masing dalam tempoh terdekat.
Bukan itu sahaja, atlet negara yang berjaya membawa pulang 12 emas, 10 perak serta 14 gangsa akan menerima habuan atas kecemerlangan dipamerkan di bangunan Parlimen.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata atlit yang meraih emas akan menerima habuan RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000) membabitkan peruntukan dikeluarkan untuk imbuhan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlit Kebangsaan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara berjumlah RM2.3 juta.
“Semua atlet akan menerima habuan wang tunai tanpa sesenpun pemotongan dan tidak timbul masalah sumber kewangan mencukupi atau sebaliknya.
“Kabinet sudah bersetuju dan sebagai penghargaan kerajaan atas kecemerlangan dipamerkan atlet, kita memilih bangunan Parlimen sebagai lokasi untuk majlis penyampaian habuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup Konvesyen Terengganu 2010, di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau juga mengakui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap akan membuat kajian mengenai pemberian ganjaran kepada atlet yang berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa akan datang, tetapi tidak timbul masalah kerajaan kekurangan peruntukan.
“Jangan timbul soal sama ada kita mampu atau tidak...termasuk mengurangkan jumlah ganjaran. Apa yang kita maksudkan ialah skim itu sudah lama tidak dibuat kajian dan berkemungkinan ganjaran akan ditambah, termasuk menawarkan insentif dalam bentuk barangan.
“Apa yang saya maksud ialah untuk mengkaji semula jumlah tambahan ganjaran tanpa mengambil kira soal kemampuan kewangan kerana KBS akan berusaha untuk mendapatkan sumbangan pihak swasta bagi menambah dana untuk tabung itu.
“Kajian termasuk memberi anugerah dalam bentuk lain mengikut kesesuaian seperti ditawarkan kerajaan di beberapa negara lain turut diambil kira, tetapi jangan sekali-kali timbulkan soal pengurangan ganjaran,” katanya.
Ahmad Shabery berkata, KBS sedar jika dikurangkan jumlah ganjaran, semangat atlet terutamanya untuk bersaing pada Sukan Asia Guangzhou pada 12 November depan mungkin terjejas.
“Jika kita kurangkan ganjaran, jumlah yang akan diterima atlet hanyalah 70 peratus kerana 20 peratus akan diagihkan kepada jurulatih, manakala 10 peratus lagi untuk persatuan yang diwakili atlet,” katanya yang mengakui jumlah ganjaran ditawarkan atlet lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara termasuk Australia.
Source: http://www.hmetro.com.my/articles/20101018022536/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan