Ahad, 17 Oktober 2010

Membudaya kualiti akademik

Sumber: Utusan Malaysia Online.

Oleh ROHANA MAN, rohana.man@utusan.com.my


PERSIDANGAN Menteri-Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam Isesco Kelima yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Oktober ini akan digunakan oleh Malaysia untuk berkongsi pengalaman dengan negara peserta bagi mempertingkatkan kualiti pengajian tinggi negara-negara Islam.

Ia sejajar dengan perkembangan pendidikan tinggi global dan tema persidangan iaitu "Pembudayaan Kualiti dalam Akademia, Penyelidikan dan Inovasi ke Arah Kesejahteraan Ummah."

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, persidangan kali kelima ini akan memberi penekanan kepada soal meningkatkan kualiti pendidikan tinggi dan ia akan dilakukan melalui perkongsian pengalaman dan idea negara-negara peserta.

Menurutnya, persidangan seperti itu akan membolehkan setiap negara berkongsi pengalaman sekali gus membolehkan mana-mana negara peserta menggunakan peluang bersidang untuk menunjukkan pencapaian yang mereka telah capai.

"Kita juga akan menggunakan peluang ini untuk menunjukkan apa yang kita ada terutama pencapaian kita dalam pendidikan tinggi. Kesemua ini akan dikongsi bersama mereka (negara peserta)," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau memberitahu sebanyak 43 daripada 57 buah negara dari Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) telah mengesahkan kehadiran untuk menjayakan persidangan tersebut.

Selain itu, sebanyak 31 perwakilan bertaraf menteri dan 19 organisasi antarabangsa turut mengesahkan kehadiran.

Persidangan Isesco diadakan dua tahun sekali dan sebelumnya iaitu pada 2008, ia diadakan di Baku, Azerbaijan. Jumlah penyertaan kali ini adalah yang terbesar pernah diterima. Antara negara yang mengesahkan kehadiran ialah Jordan, Arab Saudi, Iran, Brunei, Sudan, Senegal, Oman, Gambia, Palestin, Kuwait, Lebanon, Maldives, Mesir, Yemen dan Nigeria. Manakala antara organisasi antarabangsa yang dijangka hadir adalah OIC, Islamic World Academic of Sciences (IWAS), Federation of Arab Scientific Research Council dan United Nations Industrial Development Organization.

Mengulas apakah topik baru yang akan dibincangkan dalam persidangan kali ini, Mohamed Khaled berkata, ia berkaitan profesionalisme wanita dalam bidang-bidang sosial dan ekonomi di negara-negara Islam.

Katanya, pencapaian wanita Malaysia yang jauh ke depan berbanding negara-negara Islam lain akan dijadikan asas perbincangan terutama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melibatkan saintis wanita Islam.

"Sesi perbincangan mengenai topik wanita ini akan diadakan pada hari kedua persidangan dan dipengerusikan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Sharifah Hapsah Shahabudin," katanya.

Selain itu, katanya, persidangan kali ini juga akan melihat bidang-bidang baru yang terdapat di dunia, selain memberi fokus kepada perkembangan sains dan teknologi global.

"Bidang-bidang nanoteknologi turut disentuh dan usaha negara-negara Islam dalam mengukuhkan bidang inovasi turut dibincangkan," katanya.

Beliau menegaskan perwakilan juga mahu melihat pada aspek kualiti khususnya dari segi modal insan yang bakal dilahirkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT).

Mohamed Khaled berkata, kualiti itu mampu dihasilkan jika setiap modal insan ada asas yang kukuh dalam sains dan matematik.

"Kita kena letak asas yang kukuh dalam sains dan matematik dan ia sejajar dengan matlamat persidangan yang mahu melihat wujudnya kerjasama dalam bidang R&D.

"Saya harap kerjasama ini dapat menjadi asas kepada kewujudan penerokaan ilmu sains dan teknologi di peringkat global," ujarnya.

Antara cabaran yang mahu dihadapi bersama adalah yang menyentuh mengenai pengukuhan bidang baru, kemiskinan, perubahan cuaca, hakisan sumber tenaga, bekalan air dan makanan.

Kesemua cabaran itu katanya akan dihadapi dan ditangani di pusat-pusat kecemerlangan yang terdapat di IPT di negara-negara Islam.

Dalam konteks negara ini, kementeriannya juga telah melaksanakan penarafan di pusat-pusat kecemerlangan di IPT untuk layak menerima status Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi atau Higher Institutions' Centres of Excellence (HICoE).

Melalui penarafan itu, sebanyak enam pusat kecemerlangan telah diisytiharkan sebagai HICoE oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April lalu. Antaranya ialah Institut Perubatan Molekul, Institut Biosains dan Institut Penyelidikan Perakaunan.

"Ia adalah jentera bagi IPT untuk memangkinkan pembangunan penyelidikan dan inovasi secara holistik. Ini kerana R&D merupakan enjin utama bagi menggerakkan negara dalam era baru innovation-led economy dan knowledge-based economy di mana bagi kebanyakan negara maju, kejayaan ekonomi bergantung pada hasil penyelidikan yang menentukan tahap daya saing sesebuah negara.

Berikutnya, persidangan itu juga diharap akan melahirkan satu kesepakatan melalui matlamat, objektif dan pendekatan dalam kualiti pendidikan mengenai bagaimana mengupayakan negara-negara Islam, saling berinteraksi dan bersaing dengan negara-negara lain khususnya negara maju.

"Selepas persidangan di Baku, apa yang kita lakukan adalah kita bantu dan berusaha melahirkan kerangka kualiti dalam pengajian tinggi di negara-negara Islam," kata Mohamed Khaled.

Sementara itu, katanya, Malaysia juga telah dipilih untuk membentuk sebuah jawatankuasa sementara bagi membangunkan kerangka kualiti pengajian tinggi yang sesuai dan mampu diterima oleh negara-negara Islam.

"Antara anggota jawatankuasa sementara itu adalah dari negara Arab, Syria, Mesir dan Indonesia. Kerjasama yang dibentuk akan mewujudkan persatuan di kalangan agensi-agensi yang berkelayakan dalam menentukan agenda ke arah meningkatkan kualiti pendidikan tinggi," tambahnya.

Beliau juga menjelaskan, kerangka kualiti itu berperanan untuk memberi input terhadap apa saja yang kita buat dalam menentukan tahap kualiti pendidikan tinggi.

Di samping itu, katanya, persidangan itu akan membuka peluang kepada Malaysia untuk memasarkan dan mempromosikan pendidikan tinggi negara di peringkat antarabangsa.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan