Jumaat, 15 Oktober 2010

Kutip 4 emas lagi untuk lakar sejarah baru

Sumber: Berita Harian Malaysia Online
Tarikh Siar: 15 Oktober 2010.


KONTINJEN negara berundur dari temasya New Delhi sambil gah mengibar Jalur Gemilang semalam - segala-gala terarah kepada episod gembira dengan tambahan empat pingat emas buat mengatasi sasaran awal dan melakar sejarah pencapaian terbaik dalam temasya Sukan Komanwel.

Jumlah itu - tiga dari badminton dan satu dari ratu gimnas berirama, Elaine Koon - memberi pungutan keseluruhan 12 emas buat mengatasi angka 10 yang ghairah disebut-sebut sebelum ini.


Elaine - nama yang kurang diberikan perhatian - membutirkan emas ke-10 selepas membuat kejutan memenangi acara gelung gimrama selepas beregu campuran, Koo Kien Keat-Chin Ee Hui memulakan buruan pada awal pagi.

Dua emas bonus menyusul daripada Lee Chong Wei dan Kien Keat-Tan Boon Heong untuk mencipta rekod unik pencapaian terbaik di luar gelanggang sendiri, selain mengatasi angka 10 di Kuala Lumpur 1998.

Di Melbourne 2006, kontinjen negara pulang dengan 7-12-10.


“Kita menang beberapa emas daripada acara yang tidak dijangkakan dan ini turut membantu pencapaian terbaik kita,” kata Chef de Mission, Tan Sri Abdul Halil Mutalib.

“Syabas kepada atlit negara yang buat kita bangga dan kini harus bersiap lebih mantap untuk temasya 2014.”


Pencapaian kali ini membanggakan ketika kontinjen negara mengutip purata satu emas setiap hari sejak temasya bermula 4 Oktober lalu.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Terbaik_/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan