Sumber: Berita Minggu Malaysia Online
Tarikh siar: 03 Oktober 2010.
Oleh - Fairuz Zaidan
BUKAN saja terkenal dengan keindahan pulau yang mampu menggamit ribuan pelancong dalam dan luar negara untuk ke sana, Terengganu turut menzahirkan lebih banyak tarikan lain termasuklah sebagai lokasi yang menawarkan pelbagai produk hasil kraf terkemuka di rantau ini.
Masakan tidak, ada di antara produk hasil kraf negeri pesisir pantai itu hampir tidak ada ditawarkan di negeri lain, sekali gus membuktikan nilai eksklusif hasil seni tradisional yang bernilai tinggi terus dipertahan oleh generasi hari ini.
Penghasilan batik, anyaman tikar dan bakul, pembuatan bot tradisional, pembuatan tembaga hinggalah kepada penghasilan tenunan songket sudah cukup memperlihatkan daya inisiatif Terengganu dalam memelihara warisan bangsa daripada dimamah kepupusan.
Malah, sebagai bukti kepada kejayaan produk kraf menerusi projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang diperkenalkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (KPKK) melalui agensinya, Kraftangan Malaysia di Terengganu, pihak media dibawa menyelami kerancakan pembuatan kraf tradisional di sana.
Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, Zahir Ahmad, menyifatkan program bertemu usahawan itu memberi peluang bertukar pandangan mengenai produk kraf yang dijalankan melalui konsep mesra pelanggan.
“Melalui inisiatif yang dibuat kerajaan ditambahkan pula dengan projek SDSI ini, kita dapat mendidik usahawan kraf supaya lebih kreatif dan berdaya saing supaya produk yang dihasilkan mereka menepati pasaran semasa.
“Pada masa yang sama, kita juga giat membantu usahawan kraf dari segi bantuan teknologi dan aplikasi untuk memastikan keberkesanan dari segi kemampuan menghasilkan produk bermutu,” katanya.
Seni pembuatan bot tradisional masih popular dijalankan di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, turut diperjuangkan pengusaha, Hasni Ali, 62, yang gigih meneruskan usaha itu.
Ketika tiba di kawasan perusahaan bot di pesisir Pulau Duyong, kudrat tua Hasni atau lebih dikenali sebagai Pak Hassan dilihat masih kuat dan bersemangat untuk menyiapkan tempahan bot nelayan persendirian yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
“Setakat ini, bot nelayan tradisional ini adalah antara yang terbesar pernah saya hasilkan sejak berkecimpung dalam bidang ini sejak berusia 14 tahun lagi.
“Bukan mudah untuk membuat bot tradisional membuatkan tidak ramai anak muda yang mampu bertahan kerana kerja-kerja yang rumit dan berat tidak menepati selera muda mereka,” katanya yang dibantu oleh enam pekerja lain termasuk anak lelaki yang mengikut jejak langkahnya, Azmawi Hasni.
Ditanya mengenai saiz bot tradisional dalam pembikinan itu, kata Pak Hassan, bot nelayan yang menggunakan kayu cengal itu mempunyai kepanjangan 85 kaki dan 27 kaki lebar dan dijangka dapat disiapkan tahun depan. Penggunaan kayu cengal katanya antara yang terbaik kerana ketahanan dan kekuatan kayu itu untuk tempoh lama.
“Bot tradisional yang saya hasilkan bukan saja menarik minat masyarakat tempatan, tetapi sudah banyak juga tempahan yang diterima daripada pelancong luar seperti dari Kanada, Perancis, Itali dan Jerman kerana keunikan seni pembuatan bot tradisional tempatan ini sendiri.
“Walaupun dari segi kos mungkin agak tinggi, tetapi hasil seni ukiran dan pembuatan bot ini cukup tersendiri hingga memakan masa selama hampir dua tahun untuk disiapkan,” katanya.
Lawatan ke Marang pula meninjau kraftangan tradisi anyaman mengkuang dan pandan oleh penduduk wanita luar bandar di Kampung Rusela.
Diketuai oleh Fatimah Ngah, seni kraftangan anyaman di bawah projek SDSI itu memperlihatkan sambutan hebat penduduk apabila terdapat 20 peserta yang berjaya dikumpulkan di kawasan Kampung Rusela untuk turut serta menghasilkan anyaman tikar, beg, bakul dan kipas.
Kata Fatimah yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun menghasilkan kraf anyaman, sambutan ramai penduduk membolehkan proses menganyam diperhebatkan untuk memenuhi tempahan sedia ada sama ada daripada usahawan, syarikat korporat hinggalah kepada wakil individu.
“Kalau hendak diikutkan, tempahan memang sentiasa ada dan kadang-kala sukar untuk disiapkan dalam jangka masa singkat memandangkan jumlah peserta yang terhad menyukarkan penghasilan dalam kuantiti yang besar.
“Walaupun ada yang beranggapan seni kraf anyaman sudah tidak popular, tetapi hakikatnya sambutannya tetap hebat terutama untuk produk bakul, beg dan kipas antaranya,” kata Fatimah yang juga usahawan tunjang di kawasan Rusela.
Selain di Kampung Rusela, ada lebih 30 peserta kraf anyaman mengkuang dan pandan di Rhu Renggeh dan Rhu Rendang yang turut sama menghasilkan pelbagai hasil produk anyaman di kawasan masing-masing.
Apa yang cukup membanggakan, sesetengah daripada hasil produk anyaman seperti bantal, tempat duduk dan alas meja yang diperbuat daripada bahan tradisi itu boleh diketengahkan berdasarkan nilai komersial yang ada sekali gus mengangkat martabat seni tempatan.
Khadijah Yong, menerusi syarikat HKY Collection, pula mengambil inisiatif sendiri dengan melebarkan jaringan di beberapa kawasan sekitar Marang untuk membuat anyaman mengkuang dan pandan bagi pihaknya.
Bermula sebagai hobi terhadap seni tradisional itu, bekas pensyarah maktab perguruan ini nekad untuk mengembangkan hasil anyaman mengkuang dan pandan selepas menyedari potensi yang ada untuk memasarkan produk anyaman di peringkat lebih tinggi.
Kunjungan di Tembaga De’Craft Enterprise di Kawasan Industri Mara (KIM) Marang, pula memperlihatkan aplikasi teknologi moden diserap untuk penghasilan produk kraf tembaga.
Pengurusnya, Syahrol Khairuddin Ali, berkata penyerapan teknologi baru dan moden berupaya mempercepatkan penghasilan produk pembuatan produk kraf tembaga berbanding cara tradisional yang lebih memakan masa.
“Pun begitu, ia tidak menghakis proses pembuatan secara langsung kerana kita tetap mengekalkan beberapa teknik dalam penghasilan tembaga kecuali beberapa proses baru seperti melebur tembaga yang dibakar menggunakan oven serta acuan yang dibentuk daripada getah silikon dan paten lilin,” katanya.
Kunjungan ke Terengganu turut dimanfaatkan dengan melawat pusat batik terkemuka, Noor Arfa yang diusahakan pasangan suami isteri, Wan Mohd Azwan dan Noor Hijerah Hanafiah di Kawasan Perindustrian Chendering, Kuala Terengganu. Rahsia kejayaan Noor Arfa sebagai jenama batik terkemuka itu ketara daripada hanya perusahaan milik keluarga sejak 1980 itu ternyata berkembang pesat seiring dengan permintaan pasaran terhadap produk tekstil batik.
Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Krafkelasdunia/Article/index
Tiada ulasan:
Catat Ulasan