Ahad, 26 September 2010

Penuntut Malaysia luar negara kena timba ilmu berguna

Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 26/09/2010 11:34am


NEW YORK 26 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihati semua penuntut Malaysia di luar negara supaya sentiasa cemerlang dalam menimba ilmu agar mereka menjadi modal insan berguna dalam proses transformasi ke arah menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri berkata, dalam menuju ke arah itu, negara memerlukan rakyat Malaysia yang berkelayakan, berpengalaman di samping memiliki etika kerja yang baik serta nilai dan sikap yang cemerlang.

“Belajarlah bersungguh-sungguh agar beroleh keputusan cemerlang. Kalau pun terpaksa belajar sehingga larut malam, lakukanlah, kerana saat itu sangat penting.

“Kalau kita beroleh keputusan cemerlang, maka peluang untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik adalah lebih cerah,” katanya semasa berbual serentak petang Sabtu dengan penuntut-penuntut Malaysia di enam lokasi berasingan di Amerika Syarikat melalui sesi ‘tele-conferencing’.

Sesi ‘tele-conferencing’ dengan penuntut-penuntut Malaysia di Tennessee, Colorado, Chicago, Los Angeles, Pennsylvania, Washington DC dan Chicago itu diadakan semasa sambutan Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan isteri di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini. – Bernama

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan