Sumber: Mingguan Malaysia Online
Tarikh siar: 26/09/2010 8:04pm
FRANKFURT 26 Sept. - Seorang pakar Jerman mengenai persijilan halal memuji Malaysia yang “merintis” usaha dalam bidang pemprosesan makanan halal.
Mohmoud M. Tatari, Pengurus Besar Ruesselsheim-based Halal Control e.V., yang mengesahkan produk halal dan mengeluarkan sijil halal kepada syarikat pengeluar dan pemproses makanan di Eropah, berkata agensi itu turut diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Malaysia bermula lebih awal dalam mengenakan syarat dan standard pematuhan halal. Malahan, Malaysia telah lebih awal menetapkan syarat halal yang perlu diamalkan,” kata Tatari kepada Bernama di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Perdagangan Malaysia di Frankfurt Mohd. Sabri Ab Rahman.
Menyatakan Malaysia sebagai “antara negara Islam paling moden, daripada segi pembangunan teknikal dan ekonomi”, Tatari, yang berasal dari Syria, menambah walaupun produk halal hanya digunakan oleh penduduk Islam di Jerman, beliau berharap ahli politik Jerman akan menyokong usaha industri halal untuk mendapatkan “suara” di kalangan masyarakat.
"Halal tiada kaitan dengan penyebaran agama Islam. Ia lebih kepada mematuhi syarat kebersihan dan ritual tertentu dalam agama Islam tetapi tiada agenda agama di belakangnya,” katanya. – Bernama
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_32.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan