Khamis, 22 Julai 2010

PIBG, guru bersatu lahir modal insan cemerlang

Sumber: Berita Harian Malaysia Online.

Tarikh : 2010/07/22

ALOR GAJAH
: Pembangunan modal insan adalah prasyarat penting untuk memacu pertumbuhan rantaian ekonomi bernilai tinggi yang berpaksikan ilmu pengetahuan dan teknologi di negeri ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan dan bantuan kepada semua sekolah bagi melahirkan modal insan yang seimbang.

“Dalam mencapai sasaran ini juga, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan guru sewajarnya bersama menggembleng tenaga dengan melakukan anjakan paradigma supaya kita dapat menerima perubahan sekali gus tidak ketinggalan dalam arus perkembangan pendidikan era globalisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam merasmikan Majlis Minum Petang Bersama Pemimpin dan Hari Kokurikulum 2010, dekat sini, baru-baru ini.

Program anjuran PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Dol Said itu dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik.

Antara peserta pameran adalah Kolej RISDA Alor Gajah, Bank Rakyat cawangan Tampin, GZ Reliance Automibile Sdn Bhd, PNI Neuron (M) Sdn Bhd dan International College of Yayasan Melaka.

Selain itu, turut diadakan pemeriksaan perubatan percuma oleh Putra Specialist Hospital dan persembahan kebudayaan bercirikan 1Malaysia oleh pelajar diiringi Kumpulan Gendang Warisan.

Menariknya mengenai majlis itu, juadah yang disediakan adalah hasil gotong-royong membabitkan guru, ibu bapa dan pelajar sekolah berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Datuk Norpipah Abdol; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Ab Wahab Ab Latip dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Nordin Ali.

Source: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_PIBG_gurubersatulahirmodalinsancemerlang/Article/index_html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan