Rabu, 23 Jun 2010

Kenangan di Bukit Uhud

By Idris Ismail Talu

Perang Uhud amat diingati dalam sejarah perkembangan Islam, kerana ianya menjadi titiktolak yang amat berkesan dan cukup bermakna.

Peperangan Uhud telah terjadi pada awal Syawal dalam tahun 3 Hijriah. Di dalam peperangan ini, tentera Muslimin yang berjumlah seramai 700 orang berhadapan dengan pihak musuh – Musyrikin dari Makkah seramai 3,000 orang.

Peperangan itu telah berlaku di sini, suatu tempat yang berhampiran dengan Bukit Uhud yang dapat dilihat di dalam gambar di bawah. Di dalam peperangan ini, tentera Muslimin diketuai oleh Rasulullah SAW sendiri, manakala tentera Musyrikin diketuai oleh Abu Sufian.

Pada mulanya, pihak musuh sudah dapat diusir agak jauh dari medan pertempuran. Apabila pihak musuh sudah menjauhkan diri, tentera Muslimin pula leka dengan rampasan perang.

Madrasah Hamzah bin Abdul Mutalib
berlatarbelakangkan Bukit Uhud.


Pasukan pemanah yang telah diarahkan oleh Rasulullah SAW supaya tetap berada di atas suatu bukit yang strategik di situ supaya, walau dalam apa keadaan sekali pun, telah mengingkari arahan Rasulullah dan turun dari menjaga kedudukan di atas bukit untuk turut mengambil rampasan perang. Tindakan tentera pemanah ini mendedahkan pasukan Muslimin kepada serangan balas mengejut dari pihak Musyrikin.

Kuburan syuhada di tempat peperangan berlaku
yang sekarang telah dibina tembok di sekelilingnya.


Apabila keadaan alpa ini berlaku dan dilihat oleh pihak Musyrikin, mereka pun menyerang balas. Dalam serangan balas inilah, ramai tentera Islam gugur syahid.

Di antara yang gugur syahid dalam Peperangan Uhud ini ialah Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib (bapa saudara Rasulullah sendiri).


Walau pun tentera musuh akhirnya dapat diusir, namun ramai tentera Muslimin gugur dalam peperangan ini. Tidak patuh kepada arahan ketua (kepimpinan), merupakan salah satu punca utama “kekalahan” dalam peperangan ini.

Peperangan ini menyedarkan umat Islam bahawa mereka perlu patuh kepada arahan kepimpinan dalam setiap perjuangan.

@http://idristalu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan