Khamis Januari 17, 2013
KUALA LUMPUR: "Saya
akan pertahankan warisan bahasa Melayu dan tulisan jawi yang amat saya cintai
ini hingga ke hembusan nafas saya yang terakhir," demikian tekad Prof Dr
Kang Kyoung Seok, seorang profesor berbangsa Korea.
Itulah antara kata-kata
terakhir beliau setelah menamatkan tugas sebagai Profesor Tamu di Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada 3 Jan lepas dan akan pulang
ke negaranya malam ini bagi meneruskan tugas sebagai Ketua Pengajian Malaysia
di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan.
"Saya mahu pulang ke
Korea Selatan kerana di sana sekarang bahasa dan budaya Malaysia semakin kurang
dikenali berbanding tahun 80an dan 90an dulu, terutama di kalangan pelajar kami
yang sedang belajar dan mengkaji budaya dan bahasa Melayu. "Pelajar mahu
belajar dan kaji ini semua, tetapi kebanyakan mereka menyangka bahasa dan
budaya Indonesia itu sama dengan Melayu, jadi mereka hanya belajar bahasa
Indonesia. Ini perlu diperbetul, pelajar mesti belajar bahasa Melayu dan
tulisan jawi jika mahu mendalami Malaysia," katanya.
Buku "Gaya Bahasa Sejarah Melayu" yang ditulis oleh
Prof Dr Kang Kyoung Seok
Kang berkata demikian dalam
temu bual eksklusif dengan Bernama setelah menerima Anugerah Pakar Penyelidik
Tulisan Jawi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disampaikan Ketua Pengarahnya
Dr Awang Sariyan di sini, pada Khamis.
Pada Januari tahun lepas,
Kang yang bertugas di UPSI sejak 2010, melahirkan kebimbangan bahawa tulisan
jawi semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.
Mengulas perkara itu, beliau
berkata tindakan masyarakat Melayu yang meletakkan tulisan jawi eksklusif
kepada perkara berunsur Islam perlu dihindari bagi memastikan tulisan itu
sesuatu yang lebih universal.
"Tulisan ini perlu
digunakan untuk berbagai perkara, antaranya sebagai satu daripada teks utama
universiti yang membolehkan generasi baharu Malaysia mempelajarinya lebih
mendalam," katanya.
Ditanya apa yang perlu
dilakukan bagi mempopularkan kembali tulisan jawi di kalangan generasi muda
Malaysia, Kang berkata inisiatif luar biasa seperti dilakukan penyanyi Korea
Selatan, PSY yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh
dilakukan. "Gangnam Style ini memang sesuatu yang luar biasa kerana
mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea dan jadikan sesuatu
di luar kebiasaan. Di Malaysia juga ada kuda, saya percaya kita boleh lakukan
sesuatu yang serupa," katanya.
Bercerita tentang kajian
terbaharunya, Kang berkata beliau sedang mengusahakan teori 'Jawiology', sebuah
teori yang mampu memperkenalkan tulisan jawi itu kepada masyarakat dunia.
"Melalui teori ini saya
mahu menerangkan tentang perkembangan tulisan jawi daripada sebuah tulisan
dalam Al-Quran disesuaikan menjadi tulisan yang melambangkan Melayu itu
sendiri. Teori saya juga memastikan tulisan jawi mudah difahami dan dipelajari
masyarakat bukan Melayu seluruh dunia," katanya.
Bercakap mengenai kajian
tulisan jawi yang amat dekat dihatinya, Kang memberikan contoh kajian batu
bersurat di Terengganu yang dilakukannya sejak pertengahan tahun 80an.
"Saya masih mengkaji
tulisan pada batu bersurat itu. Sukar memastikan apa yang dimaksudkan kerana
tulisan itu ada sedikit kerosakan seperti hilang titik yang membezakan huruf
seperti 'ba' dan 'nun'. "Setakat ini tiada tafsiran yang benar-benar
tepat, hanya agak-agak sahaja. Saya sendiri mahu lakukan kajian lebih dalam
lagi," katanya. Mengakhiri temu bual, Kang melahirkan azamnya untuk
menjadi jambatan penghubung di antara masyarakat Korea dengan Malaysia terutama
bagi generasi muda melalui perkongsian bahasa dan budaya. "Saya mahu kita
menjadi rakan karib. Orang muda Malaysia amat minat dengan budaya K-Pop Korea
jadi saya juga mahu orang muda Korea minat bahasa dan budaya Malaysia,"
katanya.
Sementara itu, Awang berkata
DBP akan meneruskan kerjasama dengan Kang bagi mengkaji lebih 200 manuskrip
Melayu lama yang kini berada dalam simpanan dewan itu.
"Walaupun Kang kini
jauh, kita akan tetap bekerjasama dengan beliau. Melalui beliau juga kita akan
bertindak sebagai penghubung melakukan pelbagai program bersama dengan Busan
University of Foreign Studies bagi memperkenal bahasa dan budaya Malaysia di
Korea Selatan," katanya. -BERNAMA
Source: MStar