Khamis, 22 November 2012

Nelayan Malaysia dipenjara di Medan pulang ke tanah air



Arkib 13/03/2012 10:42pm

SEPANG 13 Mac — Setelah lebih tiga tahun dipenjarakan di Medan, Sumatera Utara, Indonesia kerana didapati bersalah menangkap ikan seberat 20 kilogram di perairan Indonesia, nelayan Malaysia, Ibrahim @Awang Pa Deraman akhirnya pulang ke tanah air hari ini.

Perasaan gembira jelas terpancar pada riak wajahnya apabila melihat keluarganya dari Bachok, Kelantan datang menyambut kepulangannya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada pukul 8.30 malam ini.

Ketika ditemui pemberita sambil tersenyum Ibrahim berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana bersusah payah berusaha mengeluarkannya dari penjara.

"Saya rasa gembira apabila dapat keluar daripada penjara setelah lebih tiga tahun berada di sana, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia terutamanya Datuk Dr. Awang Adek Hussin (Timbalan Menteri Kewangan) kerana berusaha membebaskan saya.

"Tidak lupa juga kepada pihak kedutaan Malaysia di Indonesia yang sering datang menjenguk saya sepanjang saya berada di penjara,” katanya dengan loghat Indonesia.

Ibrahim, 58, dari Pantai Remis, Perak berkata, sepanjang berada di penjara, beliau sentiasa dilayan dengan baik oleh pihak penjara Indonesia dan tidak ada sebarang kekerasan berlaku terhadapnya.

Ditanya sama ada beliau serik atau tidak untuk bekerja sebagai nelayan beliau berkata: “Saya tidak serik dan akan meneruskan pekerjaan saya sebagai nelayan, bos lama saya pun sudah menelefon saya bertanyakan bila boleh saya bekerja semula,” katanya.

Adik Ibrahim, Zulkefli Harun, 32, yang bekerja sebagai seorang polis ketika ditemui pemberita berkata beliau berasa gembira atas kepulangan abangnya itu.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berusaha membebaskan abang saya keluar daripada penjara di sana,” katanya.

Ibrahim, yang berasal dari Bachok, Kelantan, dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh sebuah mahkamah di Medan pada 2009 dan denda Rp2 bilion (RM700,000) atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda itu, setelah didapati bersalah menangkap ikan di wilayah Indonesia di tengah-tengah perairan Selat Melaka pada 25 Jan 2009.

Beliau dibebaskan lebih awal daripada tempoh hukuman penjara empat tahun setelah Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berusaha mendapatkan kelulusan remisi (pengurangan masa tahanan) terhadap hukuman itu daripada pihak berkuasa Indonesia. — BERNAMA



Tiada ulasan:

Catat Ulasan