Isnin, 22 Oktober 2012

KUALA LUMPUR ANTARA 18 BANDARAYA TERBAIK DUNIA



KUALA LUMPUR 22 Okt. - Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima 'Cities of Opportunity,' yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Partnership Bandar Raya New York.

Secara keseluruhannya, kedudukan Kuala Lumpur berada di tangga ke-18, di tengah-tengah kedudukan antara Shanghai dan Beijing.

Dalam rangking 2012, 'Cities of Opportunity" melaporkan yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10 dari segi kemudahan menjalankan perniagaan.

Untuk kategori bandar raya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.

Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional dan cara hidup kelas pertengahan.

Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik Hong berkata, kos rendah Kuala Lumpur dan kemudahan menjalankan perniagaan menjadi titik permulaan transformasi sesebuah bandar sebelum menjadi hab dunia untuk bakat dan daya saing.

 Kuala Lumpur dalam tahun 1940an.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, kita berada di landasan yang baik," kata beliau.

Antara yang memberikan pemarkahan baik untuk Kuala Lumpur ialah kos penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang rendah.

Dari segi kemudahan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.

Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang agak fleksibel.

Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan kelima dalam aktiviti pembinaan utama.

Chan berkata, Kuala Lumpur dipilih untuk laporan 'Cities of Opportunity' 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.

Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan