Sabtu, 22 September 2012

MAJLIS AGAMA ISLAM PERAK PUNGUT RM87.4 JUTA ZAKAT



Wartawan Sinar Harian
20 September 2012

PARIT - Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) berjaya memungut sebanyak RM87.4 juta zakat pada tahun lalu berbanding tahun 2010 sebanyak RM70.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan berkata, jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun disebabkan kesedaran masyarakat untuk mengeluarkan zakat semakin meningkat.

Menurutnya, bayaran zakat yang dibuat oleh pelbagai pihak itu akan diagihkan kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk.

“Kita lihat dari tahun ke tahun jumlah pembayar zakat semakin meningkat dan pada tahun ini juga kita jangkakan jumlah itu akan bertambah.

“Ini menunjukkan adanya peningkatan pembayaran tidak kiralah daripada individu, peniaga, dan sebagainya,” katanya ketika ditemui semasa majlis menaikkan papan tanda inisiatif pembinaan rumah terbakar program ‘National Blue Ocean Strategy (NBOS7) atau kejiranan indah di Kampung Tanjung Medan Selasa lalu.

Katanya, daripada jumlah pungutan zakat itu, sebanyak RM40 juta telah diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin bagi tahun lalu.

“Bantuan ini merangkumi bantuan bulanan sebanyak RM13 juta pada tahun lalu dan kita jangkakan jumlah itu akan meningkat kepada RM15 juta pada tahun ini,” katanya.

Syed Omar berkata, pihaknya juga turut menyediakan sejumlah peruntukan bagi bantuan baik pulih dan bina rumah baru.

“Pada tahun lalu kita telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi tujuan ini dan sehingga akhir Ogos lalu kita telah mengeluarkan sebanyak RM5 juta untuk tujuan ini.

“Peruntukan untuk baik pulih rumah kami akan meluluskan maksimum sebanyak RM12,000 manakala bina baru rumah pula terdapat dua jenis iaitu rumah tiga bilik dengan jumlah RM33,000 manakala rumah dua bilik RM28,000.

“Kita akan melihat kembali jumlah ini supaya relevan dengan keadaan harga barang semasa dan jika perlu ia akan dinaikkan,” katanya.

Katanya, masyarakat diseru membuat bayaran zakat agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan