Selasa, 7 Ogos 2012

Umat Islam perlu elak boros, riak pada Ramadan: Raja Nazrin

Mutakhir

17:55:41 PM

IPOH: Umat Islam perlu menghayati kesucian roh Ramadan dengan mengelak daripada melakukan pembaziran, bersifat boros serta riak bermewah-mewah dan bermegah-megah ketika menyambut Syawal, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini.

Baginda bertitah menahan nafsu lapar dan dahaga pada bulan Ramadan sewajarnya diperlengkap dengan kekuatan melawan nafsu membazir.

"Meskipun kita diwajibkan berpuasa di siang hari, tetapi di bulan Ramadan ini, kemewahan makanan terhidang dalam beraneka rupa dan beraneka rasa. Di samping restoran dan warung sedia ada, pasar-pasar Ramadan tumbuh bagai cendawan di serata tempat.

"Di samping menu dan juadah berharga mahal yang sedia ada, hotel-hotel ternama turut menganjurkan juadah berbuka puasa berharga tinggi dengan hidangan yang melimpah ruah, laksana berlakunya pesta menjamu selera yang ada kalanya diselang seli dengan hiburan," titah baginda pada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke-180 di sini, hari ini.

Baginda bertitah mengingatkan bahawa Islam menganjurkan kesederhanaan dalam semua perkara.

"Islam menganjurkan amal makruf tidak dilakukan secara bermusim tetapi dilakukan secara lestari dan berkesinambungan," titah baginda.

Baginda bertitah roh Ramadan dan semangat Syawal yang suci boleh tercemar dan semakin tergelincir sekiranya tiada garis panduan yang betul berlandaskan ajaran Islam.

Tempoh lapar dan dahaga adalah dugaan kecil dan satu pengalaman menguji ketahanan fizikal dan ketahanan mental manusia berbanding hampir satu bilion penduduk miskin di serata dunia yang menderita kerana ketiadaan atau kekurangan makanan setiap hari, titah baginda.

Baginda bertitah senario yang berlaku di serata dunia itu sewajarnya meningkatkan rasa insaf untuk lebih menghayati nikmat kerana dikurniakan makanan yang cukup malah berlebihan daripada keperluan diri.

"Ramadan hendaklah dijadikan pencetus kepada rasa keinsafan yang mendalam akan erti kemiskinan, akan derita kebuluran, akan kesyukuran terhadap anugerah kesenangan dan nikmat kemewahan agar turut dilimpahkan kesenangan dan kemewahan tersebut kepada fakir miskin, anak-anak yatim, orang-orang tua dan orang-orang kurang upaya," titah baginda.

Raja Nazrin Shah bertitah Ramadan adalah detik untuk menginsafkan insan agar lebih memahami erti kesusahan dan meningkat kesedaran untuk lebih beringat kepada insan-insan yang saban hari mengharungi pahit jerih ketiadaan makanan sepanjang perjalanan hidup mereka.

Titah baginda kekurangan makanan adalah satu masalah besar yang sedang melanda dunia hingga dikaitkan sebagai salah satu masalah keselamatan yang dirujuk sebagai 'Food Security'.

"Kelemahan melaksanakan pembahagian dan agihan makanan menjadi punca kepada berlakunya ketidakseimbangan sehingga mengakibatkan hampir satu bilion manusia menghadapi penderitaan kekurangan makanan sedangkan sebahagian besar manusia menikmati kemewahan dan melakukan pelbagai bentuk pembaziran.

Baginda bertitah dunia hari ini mempunyai tujuh bilion penduduk dan setiap tahun penduduk dunia terus bertambah seramai 77 juta orang dan ia menuntut kepada keupayaan dunia untuk meningkatkan penghasilan bahan makanan pada kadar 70 peratus pada tahun 2050. – BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan