Isnin, 13 Ogos 2012

PANDELELA INGIN KONGSI PINGAT



 Bangkit secara dramatik pada terjunan terakhir acara 10 meter

London: "Terima kasih Malaysia...pingat ini saya kongsi bersama anda semua, " kata Pandelela Rinong sambil membelek-belek pingat gangsa miliknya di bawah pancaran matahari di Perkampungan Sukan, pagi semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu mencipta bangga 28 juta rakyat Malaysia apabila bangkit secara dramatik pada terjunan terakhir acara 10 meter platform individu wanita, kelmarin untuk naik gah ke podium di Pusat Akuatik selaku penerjun ketiga terbaik dunia ketika ini.

"Saya menghargai sokongan semua pihak untuk saya berjaya di sini. Selepas ini saya harap sukan terjun akan popular seperti badminton," katanya yang muncul atlit pertama berjaya memecahkan dominasi badminton memenangi pingat di Olimpik sejak 1992.

Dia mungkin tidak sedar betapa dia kini wanita pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik dan juga bakal menerima pencen bulanan RM2,000 berkuat kuasa bulan depan. Dia turut meraih insentif RM100,000 dari kerajaan di atas keringat meletakkan nama Malaysia di peta dunia.

Pada terjunan keempat dia berada di luar kelompok enam teratas. Ketika itu tiada siapa mempercayai dia mampu kembali kerana penerjun tersohor yang lain berada depan gadis berasal dari Bau itu - bandar kecil yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Kuching.

Satu terjunan terbaik pada usaha kelima dengan penyudah kemas mengesahkan gangsa miliknya buat seluruh negara melonjak gembira. Emas seperti diramal awal dimenangi Chen Roulin dari China yang mengutip 422.30 mata, perak menjadi milik Brittany Broben dari Australia yang berada 55.80 mata di belakang dengan gangsa diraih Pandelela, 359.20.

Ketika dia menang pingat, ibunya, Hartini Lamin tidak bersama anaknya kerana sudah dalam penerbangan pulang ke tanah air.

"Saya cuba hubungi ibu saya...dia tak jawab...mungkin dalam perjalanan," kata jagoan terjun yang layak digelar penerjun kelas dunia. Ibunya yang dibawa oleh rombongan Dutch Lady pulang awal kerana program ibu bersama anak itu hanya sehingga pusingan awal saja.

Dia juga menghambur kata-kata terima kasih kepada jurulatihnya, Yang Zhuliang yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar untuk tidak mudah putus asa dalam acara ini sekali pun dia melakukan terjunan pertama yang buruk.

"Saya terlalu ghairah apabila mahu membuat terjunan pertama dan mungkin hilang tumpuan sikit, Tapi jurulatih berkata lupakan segera dan tumpu kepada empat terjunan lagi. Dia banyak membantu saya dalam cabaran kali ini," katanya.

Pandelela juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyokong usaha ditunjukkan jurulatih negara itu yang difahamkan mungkin kembali melatih di Australia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan