Rabu, 29 Ogos 2012

NAMA TOKOH FALSAFAH ISLAM DIABADIKAN DI PERPUSTAKAAN ISTAC


29/08/2012 - 18:18:41 PM 

 Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. 
Foto - sumber internet.

KUALA LUMPUR: Perpustakaan Institut Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) kini dikenali sebagai Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Ali Al-Attas bagi menghargai sumbangan tokoh falsafah Islam dan Tokoh Melayu Terbilang 2011 itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sumbangan Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam kajian mengenai tamadun Islam sangat tinggi sehingga memberi idea kepada penubuhan Istac pada 1987.

"Tokoh ini telah menghasilkan banyak karya berkaitan Islam sejak 1970 sehingga kini dan hasil penubuhan Istac telah membantu penuntut universiti melakukan kajian dan penelitian mengenai Pemikiran dan Peradaban Islam serta memberikan respon yang kritis terhadap Peradaban Barat," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan perpustakaan itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Zaleha Kamaruddin dan Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, yang mewakili bapanya, Profesor Dr Syed Muhammad Naquib Ali Al-Attas.

 Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas. 
Foto - Berita Harian.

Selain sumbangannya dalam penulisan buku, Jamil Khir berkata, kerajaan juga amat menghargai jasa Prof Dr Syed Muhammad Naquib dalam membuat kajian dan menyelamatkan dokumen berkaitan Islam.

"Usaha Prof Dr Syed Muhammad Naquib menyelamat dan membaiki lebih daripada 10,000 manuskrip dan pelbagai dokumen serta rekod kandungan perpustakaan abad ke-16 iaitu Perpustakaan Gazi Husrev Beg di Bosnia dan dipindahkan dalam bentuk 'microfilm' menerusi kerjasamanya dengan seorang bekas pengajar Istac, Dr Mustafa Ceric, harus diberi pujian," katanya.

Sehubungan itu, Jamil Khir berkata, Istac dan UIAM harus memulihara bahan yang terdapat dalam perpustakaan itu dengan cermat kerana koleksi berkaitan tamadun Islam itu turut diiktiraf oleh tokoh akademik dari Universiti Oxford , Universiti Cambridge dan Universiti Harvard.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai buku Irshad Manji bertajuk "Islam, Liberty and Love", beliau berkata, ia masih disiasat Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Irshad, wanita berfahaman Islam liberal, turut memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pada 30 Julai 2009, buku Irshad bertajuk 'The Trouble With Islam Today' diharamkan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana kandungannya mempropagandakan akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan fahaman mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan