Khamis, 16 Ogos 2012

MERU RAYA JADI HUB ANIMASI 2015


Wartawan Sinar Harian
15 Ogos 2012 
 Ipoh Sentral atau Meru Sentral?
IPOH – Meru Raya bakal berfungsi sebagai sebuah hub animasi di negeri ini menjelang 2015 selepas enam syarikat animasi beroperasi di Pusat Perdagangan dan Teknologi Negeri (PTTC).

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, kewujudan hub animasi itu diyakini bakal membantu serta menyumbang kepada pembangunan serta peningkatan bidang teknologi maklumat ICT khususnya di negeri ini.

Menurutnya, ia juga dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk direalisasikan berdasarkan kepada kepesatan pembangunan di kawasan itu.

“Sasaran kita adalah pada 2015, kita sasarkan Meru Raya ini menjadi satu hub animasi. Jika di Lembah Klang mereka ada Cyberjaya, di sini entiti kita adalah K-Perak.

“Lagipun di Meru Raya ramai pihak luar dari Kelantan, Johor dan lain-lain berpindah ke sini. Lokasinya memang strategik dan semua kemudahan ada di sini, dari segi kos sara hidup yang murah, akses ke lebuh raya yang berdekatan, berhampiran hentian bas, pasar raya dan sebagainya,” katanya pada Majlis Memperkenalkan Rangkaian Syarikat Pengeluar Siri Animasi di PTTC di sini, semalam.

Sementara itu, Mohammad Zahir berharap agar lebih ramai tenaga pakar animasi khususnya dapat menyertai K-Perak dan seterusnya membantu merancakkan lagi pertumbuhan industri animasi di negeri ini.

“Kita tahu ada ramai lepasan SPM atau lepasan Universiti yang berbakat besar dalam bidang ini (animasi). Kami mengalu-alukan mereka untuk menyertai kami.

“Kami juga turut mengalu-alukan pakar-pakar animasi dari kalangan golongan bukan bumiputera untuk menyertai kami dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat menjadikan Meru Raya sebagai hub animasi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan