Ahad, 5 Ogos 2012

Di mana silapnya?


05 Ogos 2012

 Pelancong di KLIA. Foto - Mingguan Malaysia.

 

Kaunter Jabatan Imigresen, laluan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Sekembali dari luar negara beberapa hari lalu, Awang terganggu melihat suasana di kaunter Jabatan Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Urusan di kaunter pemegang pasport warganegara Malaysia agak lancar tetapi lain pula bagi laluan warga asing.

Kasihan Mereka terpaksa beratur lama setelah menempuh perjalanan yang panjang dari destinasi lain apatah lagi jika membawa bersama warga tua dan anak kecil. Ketika sebahagian mereka sampai ke ruang bagasi, beg-beg sudah pun berada di lantai.

Awang sempat berbual dengan beberapa pengunjung asing termasuk dari Arab Saudi yang ternyata kecewa. Ia bukan sekadar diluahkan dengan kata-kata malah tergambar pada wajah yang berkerut dan menggeleng kepala.

Sebenarnya sudah kerap Awang perhatikan kaunter pengunjung asing yang sesak dan panjang. Lalu berlegar banyak persoalan. Ketika pengurusan keluar masuk pelawat di lapangan terbang kebanyakan negara semakin efisien, mengapa di KLIA tidak sebegitu.

Awang kerap ke luar negara termasuk negara serantau. Dalam tempoh tiga tahun ini, tidak pernah rasanya Awang berbaris panjang dan melebihi 15 minit. Ketika ramai pengunjung, semua kaunter dibuka dan lebih ramai petugas dikerah.

Di KLIA, sudah beberapa kali diperhatikan tidak semua kaunter dibuka ketika pengunjung berduyun-duyun tiba seolah-olah itu perkara biasa. Awang juga hairan mengapa beberapa lorong domestik yang menggunakan mesin automatik, tidak berfungsi. Sudah tahu rosak, mengapa dibiarkan lama begitu untuk sekadar tontonan.

Sebelum mana-mana pihak cuba mempersoalkan apa yang dibangkitkan ini, Awang mencadangkan agar Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Imigresen sendiri meninjau menerusi kamera litar tertutup.

Isunya bukan komitmen dan kualiti kerja kakitangan Jabatan Imigresen secara individu. Awang tidak ragui hal itu tetapi isunya adalah kaedah dan pendekatan jabatan itu dalam menangani bilangan pengunjung yang ramai secara konsisten. Di mana silapnya?

Ini soal imej negara. Tidak guna berbelanja banyak wang untuk menggalakkan kemasukan pelancong asing jika urusan keluar masuk di lapangan terbang, kurang efisien. Tidak guna memiliki lapangan terbang yang canggih seperti KLIA, jika aspek perkhidmatan sepenting itu tidak diberi perhatian.

Analisis Mingguan, Bisik-Bisik Awang Selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan