13 Julai 2012 - 22:42:43 PM
Foto - Bernama
KUALA LUMPUR: Qari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, dan
qariah Maghribi, Hasnae Khoulali, 19, muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat
Antarabangsa ke-54 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam
ini.
Anuar memperoleh markah 95.33 peratus manakala Hasnae
mendapat markah 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 bersama
piala dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul
Halim Mu'adzam Shah. Turut berangkat menghadiri majlis, Raja Permaisuri Agong,
Tuanku Hajah Haminah.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin, dan isteri, Puan Seri Norainee Abd Rahman, serta Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dan Timbalan Menteri di
JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Naib johan qari dan qariah pula masing-masing dimenangi Amin
Pouya dari Iran dan Rahmawati Bakri Hunawa dari Indonesia dengan markah 91.67
dan 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil
penyertaan.
Tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Raden Harmoko
Baharudin yang memperoleh markah 90.16 peratus dan qariah Malaysia, Che Aminah
Che Awang yang meraih markah 94 peratus. Mereke menerima hadiah wang tunai
RM20,000, cenderamata serta sijil penyertaan.
Majlis Tilawah al-Quran bertemakan "Pemacu Transformasi
Ummah Wasatiyyah" berlangsung selama lapan malam sejak 6 Julai lalu,
disertai 44 qari dan 27 qariah dari 44 negara.
Sumber: Berita Harian Malaysia Online.
Qariah Maghribi dengan nafas yang panjang dan suara dan lagu yang istimewa sungguh memukaukan.
BalasPadam